Friday, March 28, 2014

TIPS PENJAGAAN KESIHATAN, MAKANAN DAN MINUMAN, SERTA TEMPAT-TEMPAT YANG SEPATUTNYA DIELAKKAN OLEH ORANG YANG HIDUP DENGAN HIV (ODHA)






Sharing ini aku telah kongsikan di FB personal (AHP Pie) dan di FB fan page Pertubuhan PositiveWarriors Malaysia.

Memandangkan bukan semua pembaca blog dapat memperolehi maklumat melalui cara tersebut, aku kongsikan di sini sebagai panduan bersama.

MAKANAN DAN MINUMAN




Sebenarnya ODHA BOLEH makan atau minum sama sahaja seperti bukan ODHA. ODHA juga bebas ke mana-mana sahaja. Cuma dalam soal pemilihan makanan dan minuman, sila utamakan makanan bersih, segar, berkhasiat, seimbang, dan baik untuk kesihatan.

Kita mendengar banyak sangat pantang-larang. Sebenarnya ialah lebih kepada andaian dan kondusi kesihatan semasa setiap individu.

Contoh, jika ODHA tersebut turut mengidap darah tinggi, masalah buah pinggang, diabetes, dan saraf, sudah tentu kawalan makanan tertentu elok dielakkan atau dikurangkan.

Jika ODHA turut mengidap gout, gastrik, sinus, asthma, dan sebagainya, ianya turut memerlukan kawalan makanan dan minuman tertentu.

Tahap imuniti tubuh juga mempengaruhi pola diet ODHA.

Jadi, apa sahaja makanan berjeruk, bertapa, terdedah, expired, dan lama patut dielakkan atau dikurangkan. Peminat budu, petai jeruk, tempoyak, dan segala jenis asinan perlu peka. Bukan tidak boleh, tetapi pastikan kebersihannya dan jangan diambil terlalu banyak atau kerap.




Begitu juga apa sahaja jenis makanan dan minuman yang sukar dijangkakan kawalan kebersihannya, pembungkusannya, dan mempunyai pelbagai perisa tiruan (junk food).

Seboleh-bolehnya, semua makanan dan minuman hendaklah dimasak kecuali beberapa jenis makanan yang diambil secara mentah.

Jika anda (ODHA) peminat ulam-ulaman mentah dan jus segar, sila basuh bahan atau makanan dengan bersih sebelum dimakan. Seelok-eloknya rendam di dalam air bercampur garam terlebih dahulu untuk mengurangkan kesan penggunaan racun serangga.

Jika teringin, ambil sekadar perlu. Bukan terhadap ODHA sahaja, bukan ODHA sepatutnya begitu juga.

KAWASAN ATAU TEMPAT




Kawasan rekreasi termasuk tandas awam yang tidak diselenggara dengan baik mungkin terdapat haiwan dan serangga yang mungkin membawa pelbagai virus, kuman dan bakteria yang mudah berjangkit melalui najis dan air. Tasik, empangan, atau takungan air mungkin tercemar dengan bakteria e-coli. Jadi, ODHA mesti bijak 'membaca' situasi tersebut.




Apabila singgah di mana-mana restoran atau kedai makan, cuba lihat kebersihan lantai, peralatan penyediaan makanan atau masakan, tandas, kain pengelap meja makan, pakaian pekerja, kawasan dapur, longkang, dan sebagainya sepintas lalu. Anda dapat menilai tahap penjagaan kebersihan melalui cara tersebut.




Di kawasan sesak, pasar kotor, tertutup, dan penuh dengan orang ramai terutamanya ramai bangsa asing, anda sepatutnya berhati-hati. Sebaik-baiknya pakai mask kerana terdapat risiko beberapa penyakit yang mudah berjangkit melalui udara dan jangan mudah menyentuh apa jua secara sebarangan.

TIPS TAMBAHAN




Apabila singgah solat di mana-mana surau atau masjid yang menyediakan tempat wudhu' begini, atau apa sahaja cara simpanan air tetapi airnya tidak mengalir, (sekalipun bertutup untuk mengelakkan haiwan, dedaun atau serangga memasukinya), ODHA sebaik-baiknya mencari pilihan berwudhu' menggunakan paip air biasa.

Jika tiada pilihan, jangan sesekali berkumur menggunakan air tersebut terutama yang bacaan CD4nya masih rendah.

Air kolah dalam keadaan begini memang air mutlak, tetapi jarang diselenggara dengan baik, jarang ditukar, cuma ditambah secara automatik melalui sistem paip (pelampung) yang disediakan. Malah ada yang kelihatan kehijauan dek lumut dan beberapa ekor ikan turut diletakkan di dalamnya. Barangkali bertujuan untuk membunuh jentik-jentik.




Bayangkan kemungkinan bakteria atau kuman yang boleh membiak jika kurang penyelenggaraan.

ODHA mesti peka berusaha menjaga kesihatan diri.

Semoga perkongsian ini ada manfaatnya.


Aku, hamba-Nya yang dhaif,
Mohamad bin Wahid @ Pie @ AHP
Facebook: Ahp Pie


Info Berkaitan:

Laman Web Rasmi PPWM:

No. Akaun PPWM:
Bank: Maybank
Nombor Akaun: 5560 5750 3949
Nama Pemegang Akaun: Pertubuhan Positive Warriors Malaysia

Para pembaca boleh berkongsi pengalaman melalui FB AHP Positive Warriors Support Group (Secret Group). Anda juga dialu-alukan menjadi ahli Pertubuhan Positive Warriors Malaysia (PPWM). Untuk menyertai, sila hubungi admins yang berikut:

Abd. Shukor Mohd Yunus: shux@positivewarriors.org
Hishamudin Rahman: carphatz_04@yahoo.com



Tuesday, March 25, 2014

ENTRY WAJIB: SOALAN-SOALAN UMUM DAN ASAS MENGENAI HIV SERTA PENJELASAN SECARA MUDAH




Apa itu HIV?

HIV – Human Immunodeficiency Virus
(Virus yang melemahkan daya tahan tubuh manusia (MANUSIA SAHAJA) tanpa rawatan)

HIV adalah sekadar nama virus.
Orang yang dijangkiti HIV dipanggil Orang Yang Hidup Dengan HIV (ODHA) atau People Living With HIV (PLHIV).

HIV bukanlah PENYAKIT. Ianya sekadar VIRUS.


Apakah sebenarnya virus?

Virus hanyalah bahan genetik yang terkandung dalam satu 'kelongsong'. Jadi virus bukanlah organisma yang 'bernyawa' yang boleh dimatikan. Virus menyerang manusia dengan memasuki sel badannya dan 'melakukan program semula' sel itu bagi membentuk klon (virus yang menyerang).


Apakah itu AIDS?

AIDS – Acquired Immunodeficiency Syndrome
(Gejala sekumpulan penyakit akibat kekurangan daya tahan tubuh)

Bermakna AIDS adalah akronim bagi sekumpulan penyakit jika ODHA tidak menjalani rawatan awal. Ianya boleh dicegah dengan kepatuhan kepada rawatan. Ianya juga masih boleh dirawat.

Jadi, tidak tepat anggapan bahawa AIDS bermaksud PENYAKIT peringkat AKHIR hayat ODHA. Dengan KEPATUHAN kepada rawatan, AIDS dapat dielakkan.


Bagaimana seseorang itu dianggap telah berada di tahap AIDS?

Umumnya seseorang PLHIV dianggap berada pada tahap AIDS apabila bacaan CD4 350 ke bawah (bagi lelaki) dan 250 bagi perempuan. TETAPI ianya bergantung kepada simptom atau gejala kepada jangkitan penyakit-penyakit opportunistic akibat kekurangan daya tahan tubuh yang telah dijelaskan di atas. Jika tanpa simptom, tidak bermakna seseorang ODHA telah dianggap berada di tahap AIDS. Bacaan CD4 boleh turun dan naik disebabkan oleh banyak sebab selain HIV.

Antara jenis-jenis penyakit yang mudah menjangkiti orang-orang yang lemah imuniti tubuh ialah TB (tuberculosis) dan kayap. Penyakit-penyakit ini masih boleh dirawat. Penyakit-penyakit ini juga boleh berjangkit kepada sesiapa sahaja sekalipun tanpa HIV.


Adakah HIV ini virus akibat balasan perbuatan berdosa?

Bukan soal perbuatan dan dosa, tetapi kerana terdedah atau mendedahkan diri kepada risiko jangkitan. Hampir 100,000 orang di Malaysia yang telah didiagnos sebagai ODHA. Sekurang-kurangnya dalam anggaran 2 kali ganda lagi yang belum didiagnos.

Para pekerja seks dan penyalahguna dadah telah menunjukkan penurunan jumlah jangkitan, tetapi golongan professional pelbagai jawatan dan isteri-isteri kepada ODHA semakin hari semakin meningkat jangkitan. Tidak termasuk kepada zuriat mereka yang tidak bersalah. Ada juga kes-kes terpencil yang dipercayai berpunca daripada pemindahan darah.

Selain ODHA, affected people (ahli keluarga yang dijangkiti) turut menerima kesan stigma, diskriminasi, dan judgemental. Mereka menerima tekanan yang hampir sama.


Adakah benar bahawa ODHA majoritinya terdiri daripada para penganggur, pekerja seks, golongan yang tidak berpelajaran, dan penyalahguna dadah?

Tidak. HIV boleh menjangkiti sesiapa sahaja. Tanpa mengira pendidikan, usia, taraf kehidupan, dan jawatan. Semua bidang pekerjaan terdedah kepada HIV dengan pelbagai cara sama ada ustaz, ustazah, imam, doktor, peguam, wartawan, CEO, bayi, jurutera, pemimpin masyarakat, Datuk, Datin, atlet, artis, dan sebagainya.


Apakah yang dimaksudkan dengan pekerja seks? Adakah bermakna memperdagangkan tubuh telah diiktiraf sebagai suatu bidang pekerjaan?

Pekerja seks adalah istilah yang digunakan apabila yang menyediakan perkhidmatan seks dan mendapat ganjaran atau bayaran atas apa juga perkhidmatan seks sekalipun hanya dengan bayaran RM1. Jika secara sukarela ianya dianggap zina.


Bagaimanakah cara jangkitan HIV?

Hanya melalui cecair badan ODHA yang pekat iaitu darah, air mani, cecair faraj, dan susu badan pembawa HIV tanpa langkah pencegahan. Selain itu, tidak perlu difikirkan. Hubungan atau pergaulan kasual tidak akan menjangkitkan virus.
Untuk perhatian: VIRUS TIDAK ADA DI DALAM SPERMA.


Saya didiagnos ketika melakukan saringan secara sukarela dan tanpa sebarang simptom. Apakah kebaikannya?

PLHIV yang didiagnos tanpa simptom dan mendapat rawatan awal lebih mudah rawatannya.


Adakah apabila telah didiagnos sebagai ODHA, mereka akan terus diberikan rawatan HAART?

Tidak semestinya. Bahkan ada yang mampu menjalani hidup seperi biasa selama berbelas tahun tanpa rawatan HAART kecuali kaunseling dan pemeriksaan kesihatan secara berkala.


Kulit saya mempunyai calar dan kudis dan telah terkena darah pembawa HIV. Adakah saya berisiko dijangkiti?

Tidak, tetapi jika ragu-ragu, sila jalani ujian saringan HIV.


Adakah gigitan serangga yang menghisap darah pembawa HIV akan menyebabkan saya berisiko dijangkiti?

HIV hanya berlaku daripada manusia kepada manusia sahaja.


Adakah berciuman, mengadakan hubungan seks dengan mengambil langkah pencegahan (kondom), berkucupan, batuk, bersin, berkongsi makanan, minuman, peralatan makanan dan minuman, makanan dan minuman yang ditinkan yang dicemari oleh darah pembawa HIV, berkongsi tandas, kolam renang, pakaian, perabot, katil, tilam, dan masakan yang disediakan oleh pembawa HIV menyebabkan jangkitan?

Tidak. Jangkitan hanya melalui cara yang dinyatakan di atas dan dari dalam tubuh ke dalam tubuh sahaja. Di luar tubuh manusia virus akan mati.


Bilakah waktu yang sesuai menjalani ujian HIV jika kita terdedah kepada risiko jangkitan?

Secara umumnya, selepas 3 bulan aktiviti berisiko terakhir. Dicadangkan sekali lagi selepas 6 bulan jika masih ragu-ragu.


Saya terdedah kepada risiko jangkitan HIV. Di manakah ujian HIV dapat dibuat?

Di hampir semua hospital kerajaan, klinik kerajaan, dan di sesetengah makmal ujian darah swasta. Jangan ragu-ragu untuk menjalaninya kerana ujian saringan HIV perlu dilakukan dengan banyak sebab seperti ujian pra-perkahwinan, untuk memulakan atau memperbaharui kontrak pekerjaan, dan kerana pasangan anda mungkin terdedah kepada risiko jangkitan di luar rumah. Bukan semata-mata kerana anda telah mengamalkan aktiviti berisiko.


Saya bimbang jika keputusan ujian HIV saya nanti adalah positif. Saya tidak kuat untuk menghadapinya. Apakah yang patut saya lakukan?

Anda akan sentiasa hidup tanpa kepastian, bahkan mungkin menyebabkan lebih ramai yang tidak berdosa dijangkiti. Anda juga mungkin akan lewat menjalani rawatan dan situasi tersebut lebih memudaratkan. Sokongan, dan bantuan tidak dapat diberikan jika takut / enggan menjalani ujian atau rawatan.


Apakah cara ujian mengesan HIV?

Ujian pantas atau Rapid Test. Jika hasil ujian adalah positif, anda perlu melakukan ujian darah lanjut untuk pengesahan seperti ujian ELISA atau Western Blot.


Walaupun terdedah kepada risiko jangkitan, saya tidak mempunyai sebarang simptom. Jadi, saya yakin tidak perlu menjalani ujian HIV.

Ujian HIV tidak bergantung kepada simptom atau jumlah virus, tetapi bergantung kepada antibodi seseorang. Lebih awal dikesan lebih bagus.


Bagaimana saya mahu melakukannya?

Sila hadir ke hospital atau klinik berdekatan dan maklumkan bahawa anda mahu menjalani ujian saringan HIV. Langkah seterusnya akan diuruskan oleh pihak berkenaan.


Jika saya didiagnos sebagai HIV positif, adakah segala maklumat mengenai status kesihatan saya selamat dan dirahsiakan?




Ya, selamat dan dirahsiakan. Semua maklumat yang diambil oleh Penolong Pegawai Kesihatan Persekitaran (PPKP) akan dimasukkan ke dalam database NAR (National AIDS/HIV Register). Ini adalah prosedur standard atau Standard of Procedure (SOP) Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk kes AIDS/STI.

Maklumat dikendalikan secara SULIT. Hanya individu tertentu sahaja yang mempunyai password tertentu untuk mengakses maklumat berkenaan (CONFIDENTIALITY).

Setiap doktor yang merawat klien baru (tetapi telah disahkan HIV positif di tempat lain), akan meminta maklumat berkaitan rawatan yang diperlukan daripada PPKP melalui database NAR. Mereka tidak perlu bertanya kepada klien tentang maklumat yang sama sekali lagi.

Walau bagaimanapun, sebagai langkah untuk mencapai ZERO TRANSMISSION, PPKP diarahkan untuk mengemaskini maklumat dari masa ke semasa.

Contoh:

Jika klien yang sebelum ini bujang dan kini berkahwin, adakah pasangannya telah diberikan kaunseling atau tidak? Atau ODHA yang baru berkahwin dan kini telah hamil, adakah telah menerima HAART atau tidak?

Terpulang kepada ODHA (klien) sama ada mahu memberikan kerjasama atau tidak. Tidak bermakna PPKP boleh mendapatkan maklumat tersebut dengan cara tidak berhemah.

Jika klien rasa PPKP tersebut cuba mendapatkan maklumat dengan cara tidak berhemah, tidak perlu berikan kerjasama dan lapor kepada Pegawai Kesihatan Daerah atau Penolong Pengarah, Unit AIDS/STI Negeri. Atau Ketua Penolong Pengarah, Unit AIDS/STI Negeri atau Pakar Perubatan Keluarga di Klinik Kesihatan berdekatan.

Jika semua kakitangan KKM memahami dan memegang amanah ini secara profesional, isu kebocoran maklumat tidak akan timbul. Bahkan mereka boleh dikenakan tindakan undang-undang jika terbukti menyalah guna kuasa. ODHA pula mesti memahami hak mereka.

Nota: PHI / Public Health Inspector / Inspektor Kesihatan / PPKK /Penolong Pegawai Kesihatan Persekitaran / Merinyu Kesihatan adalah istilah bagi jawatan yang sama.


Jika didiagnos sebagai ODHA, adakah saya mesti memaklumkannya kepada pasangan saya? Saya bimbang dimarahi atau ditinggalkan.

Mesti diberitahu kerana ini soal tanggungjawab untuk mengelakkan kemudaratan yang lebih besar. Masing-masing telah mengetahui risiko jangkitan dan tidak jelas siapa yang telah menjangkiti siapa. Jika tidak mampu, gunakan pihak ketiga (seperti doktor / kaunselor) untuk menasihatkan pasangan anda menjalani ujan saringan HIV.


Bagaimana prosedur rawatan selanjutnya?

Anda akan dirujuk ke bahagian Infectious Disease (ID) atau Doktor Pakar Perubatan Keluarga untuk kaunseling dan menjalani pemeriksaan lanjut sebelum diberikan rawatan segera jika perlu.


Saya disahkan negatif setelah menjalani beberapa kali ujian HIV. Tetapi mempunyai pelbagai masalah tertentu seperti kering tekak, sesak nafas, dan letih lesu. Adakah ianya simptom dijangkiti HIV kerana ianya berlaku selepas saya melakukan aktiviti berisiko?

HIV tidak akan menunjukkan sebarang simptom dalam waktu yang singkat. Simptom juga sangat subjektif dan mungkin berbeza terhadap setiap individu. Jika HIV positif sekalipun, rawatan lebih mudah jika anda didiagnos tanpa simptom.


Cadangan?

Sila berjumpa doktor untuk mendapatkan pemeriksaan kesihatan dan kaunseling lanjut. Dikhuatiri anda mempunyai masalah kesihatan lain, termasuk stress atau psychosomatic.


Apakah pembawa HIV boleh dirawat?

Ya. Rawatan HIV sangat mudah iaitu kaunseling dan farmakologi.


Apakah jenis-jenis rawatan farmakologi?

Umumnya ARV (HAART) jika perlu dan pemantauan berterusan. Sebelum nenulakan rawatan HAART, anda perlu menjalani "pill training" iaitu pra rawatan HAART.




Apakah pill training?

Pill training ialah beberapa pil dan vitamin yang diberikan kepada ODHA sebelum memulakan rawatan HAART. Walaupun hanya pil vitamin, ODHA perlu mendisiplinkan diri, mengambilnya pada waktu yang ditetapkan setiap hari supaya dibiasakan di dalam rutin harian. Bukan semua klien diberikan pill training. Jika perawat yakin seseorang klien itu akan patuh pada arahan, cara, serta masa makan ubat, perawat akan terus memulakan rawatan HAART tanpa perlu pill training.

  
Apakah HAART?

HAART bermaksud Terapi Anti-Retroviral Berkeaktifan Tinggi (Highly Active Anti-Retroviral Therapy) dan ia adalah rawatan terkini bagi ODHA setakat ini.




Bagaimana HAART berfungsi merawat HIV?

HAART menyekat virus (viral load pembawa HIV) daripada membiak dan seterusnya meningkatkan semula imuniti tubuh ODHA dan mereka mampu hidup sihat seperti biasa.


Adakah HAART menyebabkan ODHA menerima kesan sampingan yang teruk?

Tidak semestinya. Ada yang menerima kesan sampingan awal yang agak ketara. Ada yang minimum. Ada yang tidak mengalami sebarang kesan sampingan. Bergantung kepada tubuh individu. Jika berlaku, ianya adalah normal dan sementara sahaja kerana tubuh kita sedang menyesuaikan diri dengan bahan baru yang memasuki tubuh masing-masing. HAART diberi mengikut kesesuaian dan dos individu. Kesihatan ODHA sentiasa dipantau dan setiap masalah ada penyelesaiannya.


Apakah yang dimaksudkan viral load pembawa HIV?

Jumlah virus dalam tubuh pembawa HIV.






Apakah itu imuniti tubuh?

Sistem pertahanan tubuh iaitu CD4 atau sel darah putih.


Saya dengar bahawa ODHA akan alami Grief Reaction. Apakah maksudnya?

Grief Reaction bermaksud fasa-fasa kesedihan. Tidak semestinya berlaku kepada ODHA, bahkan mungkin berlaku kepada sesiapa sahaja yang didiagnos sebagai pesakit kronik atau mereka yang mengalami trauma tertentu dalam kehidupan. Fasa-fasanya adalah seperti berikut:

- Menafikan dan mengasingkan diri
- Marah
- Kompromi
- Kemurungan
- Penerimaan





Apakah itu Treatment Fatigue?

Kepenatan dan tekanan menjalani rawatan secara berterusan. Semua penghidap penyakit kronik menghadapi gejala yang hampir sama.




Benarkah bahawa jenazah ODHA akan dimandikan dengan mandian cecair peluntur atau bleach seperti Clorox dan akan dimasukkan ke dalam beg plastik khas?

Jenazah ODHA dikategorikan dalam kumpulan jenazah berisiko tetapi anda perlu faham maksud jenazah berisiko dengan tepat terlebih dahulu.

FAHAMI MAKSUD PENGURUSAN JENAZAH BERISIKO SECARA RINGKAS & KAITANNYA DENGAN ODHA.

Pengurusan Jenazah Berisiko lebih kepada SOP langkah-langkah pencegahan jangkitan kuman dan bakteria melalui cecair badan dan udara. Bukan khusus kepada ODHA sahaja.

Antara contoh JENAZAH BERISIKO adalah jenazah yang dijumpai mati di jalanan, disebabkan oleh kes-kes pembunuhan (post mortem), mati terbakar, meninggal semasa pembedahan besar, kemalangan yang mengakibatkan si mati cedera parah, dan disebabkan oleh penyakit-penyakit yang mudah berjangkit melalui cecair badan atau udara.

Ianya juga bertujuan untuk memelihara aib jenazah, keselamatan awam, dan memudahkan ahli kariah menguruskan pengkebumian.

Antara SOPnya ialah pihak yang memandikan jenazah mesti memakai gloves, penutup mulut, dan boot getah, menjirus jenazah dengan bilasan air mutlak bercampur cecair peluntur dengan nisbah campuran 1/8 (maaf, terlupa jumlah yang tepat), dan memasukkan jenazah ke dalam beg plastik khas jika perlu (mengalir cecair badan seperti darah dan nanah, reput dan terpisah anggota badan). 

Perlu difahami bahawa semasa memandikan jenazah, (sama ada ODHA atau bukan ODHA) memang SOP inilah yang sebaik-baiknya digunakan kecuali penggunaan campuran bahan peluntur untuk membasmi kuman yang mungkin terdapat pada JENAZAH BERISIKO. Jirusan air mutlak tetap perlu. Campuran tersebut hanya selepas selesai urusan awal proses memandikan jenazah. Selebihnya sama sahaja dengan pengurusan jenazah biasa.




SOP khusus terhadap JENAZAH BERISIKO perlu diambil kerana sesetengah jenazah dalam kategori ini ada yang telah terbiar selama berminggu-minggu, berbau, berkudis, darah masih mengalir, mereput, berulat, fizikal yang mengerikan, dan perlu disegerakan urusan pengkebumian. Ianya adalah untuk mengelakkan fitnah yang lebih besar.

Bukankah jenazah begini memerlukan SOP sedemikian? Pihak yang menguruskan JENAZAH BERISIKO adalah terlatih dan dipantau oleh pihak Kementerian Kesihatan Malaysia sendiri. Di samping itu, pengurus jenazah perlu berhati-hati menjaga kebajikan diri mereka. Mereka tahu menjaga adab-adab pengurusan jenazah dan tidak akan mendedahkan aib.

Jika JENAZAH BERISIKO dibenarkan untuk diuruskan oleh ahli kariah, pengurus terlatih mewakili pihak KKM akan hadir memantau hingga selesai urusan pengkebumian.

Bagi jenazah ODHA dalam keadaan sempurna dan meninggal atas sebab-sebab biasa, SOP hanya dipakai semasa memandikan jenazah. tiada masalah untuk dikafankan seperti biasa (tanpa beg plastik), disentuh, dilihat, atau dicium oleh ahli keluarga rapat buat kali terakhir. HIV tidak berjangkit melalui prosedur pengurusan jenazah.

SOP JENAZAH BERISIKO dapat melindungi maruah ODHA kerana bukan semestinya jenazah ODHA sahaja diuruskan sedemikian.

Masyarakat mesti JELAS dengan maksud "PENGURUSAN JENAZAH BERISIKO". Kewajiban memelihara aib dan tanggungjawab fardhu kifayah bukan mainan. Apa hukumnya memfitnah jenazah yang tidak mampu membela diri? ODHA pula tidak perlu paranoid.

Andaian bahawa kononnya jenazah ODHA akan dimandikan dengan cecair peluntur dan akan menyakitkan serta mengaibkan jenazah serta ahli keluarga adalah SILAP besar. Mungkin mereka membayangkan bahawa jenazah ODHA akan dimandikan dengan cecair peluntur semata-mata atau jenazah akan dicelup ke dalam tong cecair peluntur. Cecair peluntur tidak mampu membunuh virus. Ianya cuma berfungsi untuk membasmi kuman.

Jika mandi cecair peluntur boleh membunuh virus, lebih baik kita gantikan rawatan HAART dengan cecair peluntur sahaja.


Adakah benar bahawa ODHA tidak dibenarkan berkahwin dan pasti menjangkitkan virus kepada pasangan dan zuriat?

Salah. ODHA boleh berkahwin, mengelakkan jangkitan kepada pasangan dan zuriat dengan kaedah dan cara yang betul. Yang penting ialah kaunseling ODHA dan bakal pasangan, KEPATUHAN kepada rawatan, dan memahami kaedah mendapatkan zuriat secara tepat.


Adakah benar bahawa ODHA tidak perlu dan tidak dibenarkan berpuasa, tidak boleh berkhitan, dan tidak boleh menunaikan umrah atau haji?

Tidak tepat. Ianya memerlukan penerangan yang lebih lanjut dan pernah dikongsikan sebelum ini di dalam blog ini.


Penutup




Sebahagian daripada MITOS terhadap ODHA dan cara jangkitan HIV:

·        Jangka hayat ODHA adalah singkat.
·        Tiada rawatan HIV dan mereka hanya menunggu saat-saat kematian.
·        Semestinya apabila suami atau isteri didiagnos sebagai ODHA akan menyebabkan jangkitan virus kepada pasangan.
·        ODHA tidak boleh berkahwin kerana akan menyebabkan zuriat turut dijangkiti HIV.
·        Tidak mampu bekerja dan menjalani kehidupan sama seperti bukan ODHA.
·        HIV akan berakhir dengan AIDS.
·        HIV berjangkit dan hanya melibatkan orang-orang "BERDOSA" seperti LGBT, pekerja seks, dan penyalahguna dadah.
·        Tidak boleh berkongsi makanan dan minuman dengan bukan ODHA.
·        ODHA tidak dibenarkan berniaga dalam apa juga bidang penyediaan makanan atau minuman kepada bukan ODHA kerana bimbang seandainya darah mereka termasuk atau dimasukkan dengan sengaja ke dalam makanan atau minuman.
·        HIV berjangkit melalui sentuhan, ciuman, pelukan, berkongsi bekas makanan, bersalaman, berkongsi bilik mandi atau tandas, spa ikan, berenang di kolam renang yang sama, menyentuh kanak-kanak, melalui gigitan nyamuk, haiwan atau melalui apa jua aktiviti harian.
·        Tidak boleh berkongsi gelas, sudu, garpu, perabut, katil, tilam, dan sebagainya dengan ODHA.
·        Tidak boleh menggunakan perkhidmatan di kedai gunting rambut yang sama dengan ODHA.
·        Adalah merbahaya membantu ODHA yang kemalangan, semasa pengurusan jenazah, dan pengkebumian.
·        Batuk atau bersin ODHA boleh menyebarkan virus.

Jawapan ini disediakan oleh aku yang hanya seorang ODHA, bukan oleh medical practitioner. Mohon teguran dan pandangan melalui mereka yang pakar dan berpengalaman.


Aku, hamba-Nya yang dhaif,
Mohamad bin Wahid @ Pie @ AHP
Facebook: Ahp Pie


Info Berkaitan:

Laman Web Rasmi PPWM:
http://www.positivewarriors.org/

Facebook Fan Page:
https://www.facebook.com/ppwmfanpage?ref=hl

No. Akaun PPWM:
Bank: Maybank
Nombor Akaun: 5560 5750 3949
Nama Pemegang Akaun: Pertubuhan Positive Warriors Malaysia

Para pembaca boleh berkongsi pengalaman melalui FB AHP Positive Warriors Support Group (Secret Group). Anda juga dialu-alukan menjadi ahli Pertubuhan Positive Warriors Malaysia (PPWM). Untuk menyertai, sila hubungi admins yang berikut:

Abd. Shukor Mohd Yunus: shux@positivewarriors.org
Hishamudin Rahman: carphatz_04@yahoo.com





Sunday, March 16, 2014

ENTRY WAJIB: AKU HIV POSITIF



sebagai fasilitator sesi Sharing Is Caring – Outreach: ‘Best Practice’
sukarelawan sosial Islam menangani isu HIV/AIDS
di Masjid Tuanku Sultan Mizan Zainal Abidin Putrajaya
anjuran JAKIM dan Yayasan Ihtimam
2 Mac 2014


Entry kali ini lebih kepada perkongsian dan luahan pengalaman peribadi. Aku cuba santaikan perkongsian sejujur mungkin tentang apa yang aku rasa selama hidup sebagai Orang Yang Hidup Dengan HIV (ODHA) yang baru mencecah 3 tahun.

Segala perkongsian ini sebenarnya pernah aku kongsikan dalam entries lama, tetapi maklum sahaja bukan semua orang yang rajin membaca satu persatu. Jadi, sekali pun jemu, untuk kesekian kalinya aku cuba kongsikan lagi sebagai panduan bagi yang memerlukan.

Aku dikenali sebagai AHP Pie. AHP bermaksud AKU HIV POSITIF. Ianya adalah ikrar dan pengakuanku bahawa aku hidup dengan virus istimewa ini. Pie adalah nama panggilan keluarga dan teman-teman rapat. Dalam komuniti, aku dikenali sebagai AHP Pie. Ada yang panggil aku pakcik, uncle, abah, abang, atok, dan sebagainya. Suka hatilah, aku terima sahaja asalkan selesa. Nama sebenar aku mengikut kad pengenalan ialah Mohamad bin Wahid.

Aku anak kampung jati. Memang asal orang Pahang. Kampung asalku ialah Kampung Merapoh, Kuala Lipis, Pahang. Sebuah kampung yang dulunya sangat tradisional. Soal susah-payah hidup sebagai anak kampung memang rutinku sejak lahir. Aku dilahirkan dalam keluarga miskin, bilangan adik-beradik yang ramai, di sebuah kampung terpencil di hulu Pahang yang suatu ketika dahulu tanpa sebarang kemudahan asas, bayangkan sendiri.

Bandar-bandar berdekatan (Kuala Lipis dan Gua Musang) hanya boleh dihubungi oleh pengangkutan keretapi. Ketika kecil, aku masih sempat menggunakan perkhidmatan keretapi wap. Soal pacat dan nyamuk ketika menoreh getah, dibakar matahari ketika berhuma, bergurau dengan lintah ketika berbendang, bermandi peluh menebas kebun, dan mandi sungai memang rutin harianku ketika kecil hingga remaja.

Sekarang aku menetap di Temerloh. Sudah hampir 20 tahun. Maklum sahaja berkahwin dengan Kak Da, orang Temerloh. Mandi air Sungai Pahang, sudahnya sangkut di sini hingga sekarang. Kami kahwin muda. Umur 24 tahun aku sudah berkahwin. Umur 25 tahun sudah ada anak sulung. Orang tua-tua kata, “bunting pelamin.” Sesekali balik juga ke Merapoh melihat kampung asal dan menziarahi sanak saudara.

Bersama Kak Da, aku mempunyai dua orang anak lelaki. Danial dan Danish. Alhamdulillah, kedua-duanya cahaya mata yang hebat. Kami bersyukur dan bangga dengan anak-anak kami.

Ketika berumur 34 tahun, aku berkahwin lagi dengan Ummie. Semasa itu, anak kedua baru berumur 5 tahun. Aku dan Ummie tidak dianugerahkan zuriat. Adalah sebab musababnya, tetapi tidak mengapa kerana Allah Maha Perencana. Danial dan Danish juga tetap anak kepada Ummie.

Kami bertiga ada karier dalam bidang masing-masing. Bolehlah, cukup-cukuplah setakat makan pakai. Mewah memang tidak. Maklum sahaja kelulusan tidak tinggi, gaji pun ciput.

Tohmahan dan fitnah semasa aku berkahwin dengan Ummie, Allah sahaja yang tahu. Usahkan orang luar, tentangan daripada keluarga sendiri tidak terkira. Menjawab pun tidak ada gunanya. Lebih baik redha dan aku berpegang kepada prinsip, cakap banyak tiada gunanya selagi aku tidak membuktikan bahawa segala tuduhan tersebut salah. Buat sesuatu di luar kotak pemikiran orang lain, biasalah berlaku banyak salah faham. Tidak boleh bergurau, baik duduk dalam surau. Jangan ambil risiko dan bercampur dengan orang lain.

Jika tipikal pemikiran umum membayangkan aku mengamalkan hidup berpoligami atas sebab-sebab nafsu dan menggatal pun, aku tidak ada masalah. Yang penting, aku bukan tipu sana, tipu sini seperti dalam lagu "Madu Tiga" nyanyian Allahyarham P. Ramlee. Nilai Melayu dan Islam jauh bezanya.

Apabila aku yakin keputusanku tidak bercanggah dengan syarak, aku buat. Simple! Logik akal mana boleh pakai sangat kerana kita sekadar makhluk. Ada ujian, ada penyelesaian dan inayah. Kenapa mahu menggelabah?

Atas pilihan bersama, kami membuat keputusan untuk tinggal serumah. Bukan tidak mampu hidup berasingan, tetapi itu memang pilihan kami, bahkan tetap ada sedikit harta untuk bahagian masing-masing sekadar termampu.

Syukur Alhamdulillah, kami merasai indahnya hidup bersyariat dan berpoligami. Apa manusia hendak fikir, fikirlah kerana sampai bila-bila pun mustahil kita mampu menghalang orang berfikir dan menilai. Terpulang kepada pertimbangan iman dan akal masing-masing. Cabaran sebenarnya banyak berpunca dari luar, mulut orang. Bukannya daripada kami sendiri yang menghadapinya.

Hubungan kami sekeluarga sangat rapat. Semenjak anak-anak semakin remaja dan dewasa, hubungan kami lebih berbentuk sebagai kawan berbanding ayah dan anak. Tidak sukar membesarkan anak-anak kerana mereka tidak banyak kerenah. Mereka bagus menjaga pergaulan dan ibadah wajib. Hormat orang tua, tahu perkara yang aku suka, dan yang aku memang pantang.

Hubunganku dengan Kak Da dan Ummie pula sangat istimewa. Mereka memang memanjakan aku berlebih-lebihan. Manja cuma bahasa manisnya. Bahasa yang tepat - aku memang pemalas. Serba-serbi mahu dilayan. Di rumah, aku adalah raja. Tetapi sebenarnya mereka pun terlebih-lebih manja juga. Itu semua, biar kami sahaja yang tahu. Susah orang lain dapat faham apa yang kami rasa.

Tetapi… jangan sesekali membayangkan aku seorang suami yang romantik. Itu memang silap besar. Bahasaku kasar dan direct dengan individu yang rapat denganku, tetapi insyaAllah hatiku baik.

Darling, I love u so much!”
Eeeuuuwww… sorry, aku memang tidak pandai. Kadang-kadang aku bercakap “aku engkau” atau “lu gua” sahaja, tetapi mereka tahu menilai kasih sayangku melalui tanggungjawab dan perhatian terhadap kebajikan mereka semua. Kalau sesekali aku cuba bercakap macam hero filem love story, mesti dia orang gelak dan rasa hendak muntah. Dalam kasar ada lembutnya, dalam lembut ada tegasnya.

Sedikit sebanyak apa yang kami lakukan menjadi salah satu usaha dakwah juga. Isu tarik rambut, bermasam muka, dan caci maki antara Kak Da dengan Ummie memang tidak pernah terjadi. Sungguh! Aku ketua keluarga. Selagi aku betul, mereka wajib taat. Salah, wajib tegur. Kami terima kekuatan dan kelemahan masing-masing. Kuat tumpang kelebihan, lemah sama-sama baiki. Bahkan kalau aku ‘marah’ Kak Da, Ummie akan membela dan menyejukkan aku. Begitu juga sebaliknya.

Sama ada bersama keluarga aku, keluarga Kak Da dan keluarga Ummie, kami semua tetap bersama. Jadi tidak pernah timbul masalah giliran hendak balik kampung, kenduri-kendara, menziarahi keluarga, dan sebagainya masalah remeh-temeh yang biasanya menjadi punca pergaduhan bagi pasangan monogami sekalipun. Mahu terima aku, mesti terima aku sebagai satu pakej. Jangan hendak berdalih-dalih. Mahu lebih di sana, lebih di sini, sorry! Tidak mampu, pergi main jauh-jauh!

Pendidikan aku pula, bukanlah tinggi, tetapi Alhamdulillah mendapat pendidikan agama yang baik sejak kecil. Emak dan allahyarham ayah sangat menitik beratkan soal agama.

Sejak memasuki sekolah menengah, aku mula hidup berdikari. Menyewa rumah sendiri (selayaknya reban ayam sahaja jika dalam keadaan sekarang) dan berdikari. Semua kena buat sendiri, sama ada membasuh pakaian, memasak, dan belajar. Maklum sahaja, kampung asalku belum ada sekolah menengah pada waktu itu. Lagipun mak dan ayah mahu aku belajar di sekolah agama. Makan setakat ikan masin atau telur goreng dan pucuk paku atau pucuk ubi kayu yang boleh dipetik di sekeliling rumah sewa.

Pergaulan ketika sekolah menengah memanglah huru-hara. Maklumlah hidup umpama terbiar. Hujung minggu sahaja berpeluang balik kampung. Rumah sewa memang menjadi “port” segala macam jenis remaja bermasalah kerana aku belum pandai memilih kawan. Hendak memilih macam mana jika diri sendiripun tiada siapa yang mahu berkawan selain mereka?

Aku terbiasa melihat segala macam perangai pelik sejak muda. Nakal pun boleh tahan lantaran tekanan hidup sendirian dan susah. Memberontak, baran, melalak, cari pasal, dan bersikap kasar memang fitrah anak jalanan yang terpaksa survive. Kalau tidak, kena makan dan jual jawabnya.

Sekalipun agak nakal, aku tidaklah sampai terbabas jauh sangat kerana mungkin doa mak ayah menyelamatkan aku. Cuma satu kerugian yang aku rasa sehingga sekarang ialah aku tidak dapat fokus pada tanggungjawabku menuntut ilmu. Kalau aku belajar betul-betul, aku sebenarnya agak cemerlang.

Tidak perlu dikesalkan. Allah telah aturkan yang terbaik untukku dan daripada pengalaman tersebut juga menjadikan aku lebih emphatic terhadap masalah dalaman dan pelbagai ujian hidup manusia.




Habis sekolah menengah, aku sambung pengajian di sebuah kolej dan selepas itu terus bekerja sebagai penjawat awam. Lama kemudian, aku sambung belajar hingga ke peringkat degree. Itu sahajalah kemampuan aku. Tidak cemerlang dalam bidang akademik, tetapi agak kaya pengalaman hidup.

Sekarang umurku hampir 47 tahun. Memang sudah tua. Diagnosed ODHA ketika berumur 43 tahun. Ramai yang sentiasa tertanya-tanya, bagaimana aku mendapat HIV dan kenapa susah sangat aku hendak kongsikan puncanya?

Aku boleh sahaja bagitahu punca, tetapi untuk apa? Hanya menambahkan stigma terhadap ODHA yang lain. Kalau baca entries blog ini betul-betul, pasti akan jumpa jawapan. Lagipun yang paling penting, sekarang aku sama sahaja dengan ODHA yang lain. Berikan apa sahaja punca, aku tetap dan memang hidup dengan HIV. Confirmed!

Setakat dituduh sebagai pengamal seks bebas, biseksual, dan penyalahguna dadah secara suntikan, aku sudah lali. Nasihat aku, tidak payahlah serabutkan kepala. Kepada yang tahu, tahulah. Allah sudah aturkan yang terbaik untukku.

Sebaik sahaja aku disahkan HIV positif, antara perkara yang sangat ingin aku lakukan adalah berkongsi pengalaman tersebut kepada umum. Ketika itu, blog sahajalah jalan yang ada. Aku mahu masyarakat dan anak-anakku belajar sesuatu daripada ujian hidupku.

Daripada blog dan sokongan ramai pihak, aku mula bangkit perlahan-lahan. Jadi, kepada yang baru cuba mencari kekuatan, jangan cepat sangat cari jalan pintas untuk faham dan selesaikan semua perkara dalam satu hari. Sama seperti dalam isu lain seperti tiada jalan pintas untuk pandai baca Qur’an, memiliki degree, master, PhD, menjadi kaya dan bahagia.

Cuba rajinkan diri membaca pengalamanku sejak awal diagnosed. Ianya baik untuk diri sendiri. Aku mengalami semua fasa yang sama. Bukanlah terus sahaja mampu berdikari. Alami kekeliruan dan ketakutan yang sama suatu ketika dulu.

Ketika itu, segala macam perkara aku kabur. Segala macam ubat, jenis rawatan, sama ada alternatif, complementary, dan supplement aku mahu cuba dan telan. Agaknya kalau ada yang bagitahu telan tiang elektrik mampu sembuhkan HIV, aku sanggup kunyah seperti nasi. Duit habis sampai berpuluh-puluh ribu. Semuanya bermula daripada zero.

Bersikap positif dan menulis menjadikan aku cepat memahami banyak perkara berkaitan HIV sekalipun aku bukan seorang medical practitioner. Rajin bertanya kepada doktor (dedikasi kepada Dr. Iskandar Firzada bin Osman) dan mencari sumber rujukan yang sah adalah jalan terbaik. Ilmu bersifat dinamik. Keep your friends close but keep your enemies closer – Sun Tzu.




Berblog juga menyebabkan aku berpeluang membantu dan membentuk jaringan sokongan. Daripada jaringan tersebut, aku belajar lebih banyak perkara lagi tentang pengalaman hidup yang mungkin tidak dapat dirasai oleh orang-orang lain. Ada yang pahit, ada yang manis, tetapi semuanya menjadi positif dan semakin menguatkan kita apabila kita melihat dan menghadapi setiap ujian dengan betul.

Jadi, jangan pelik jika ada soalan-soalan terlalu basic atau mengarut mengenai HIV yang tidak aku layan di blog ini. Janganlah semuanya hanya mahu disuap, short cut dan perlu diberitahu. Kelak akan menimbulkan lebih banyak kekeliruan.

“Adakah menyentuh ODHA akan menyebabkan saya dijangkiti?”
Mula-mula memang soalannya begitu dan apabila dijawab, akhirnya meleret-leret dan kita mula nampak masalah sebenar yang cuba disembunyikan.

“Saya sudah bertaubat, adakah masih ada harapan saya boleh sembuh daripada PENYAKIT ini?”
Baguslah bertaubat, tapi relax la, bro… Buktikan dulu baru cakap. Aku bukan menilai kau pun. Jangan taubat cili api sudahlah…

Ada beratus-ratus pertanyaan setiap hari yang yang perlu dijawab melalui pelbagai cara komunikasi sama ada melalui panggilan telefon, e-mel, Whatsapp, SMS, dan blog. Jika aku layan semua, pengsan!!!



Keluarga Sumber Kekuatan

Aku tidak dapat menafikan bahawa Kak Da, Ummie, dan anak-anak adalah sumber kekuatanku. Jasa dan pengorbanan mereka terlalu besar. Mereka ahli keluarga yang baik. Memanglah baik dan hebat… aku akui.

“Abang Pie untunglah ada ramai orang yang jaga. Punca jangkitan berbeza. Sudah berkahwin, ada Kak Da, ada Ummie, ada kawan-kawan yang ramai. Ada majikan yang faham… sebab itu abang Pie mudah untuk bangkit dan mengatasi segala macam ujian… saya tiada sesiapa.” Bla bla bla…

Tidak mengapalah jika yang mengungkapnya bukan individu yang rapat. Tetapi jika yang mengungkapkannya adalah orang-orang yang mengaku kononnya sangat memahami, hancur luluh rasa hati. Aduhai… sabar dan istighfar sahajalah.




Kau cakap memanglah mudah kerana kau tidak tahu apa sebenarnya yang aku rasa. Macamlah aku langsung tidak ada masalah sedangkan kau tidak berada dalam situasiku sebagai ketua keluarga yang mesti sentiasa menunjukkan nilai positif dan bertanggungjawab terhadap keluarga sendiri, keluarga mertua, dan keluarga besar.

Segala sakit pedih banyak yang mesti dipendam untuk mengelakkan mereka tertekan. Sentiasa mesti kelihatan kuat di depan khalayak kerana aku bersikap terbuka dengan statusku. Aku membawa nama baik komuniti untuk menentang stigma, diskriminasi, dan judgemental, sedangkan aku sama sahaja seperti ODHA lain. Melepek macam mana pun mesti kelihatan strong dan membantu sahabat-sahabat senasib sedangkan aku turut mengalami treatment fatigue dan pelbagai tekanan. Siapa tahu bahawa aku sebenarnya mungkin sangat sunyi dan memerlukan sokongan?


sila share


Di penghujung segala kesedihan, aku akur dan sedar bahawa hanya kebergantungan kepada Allah sahaja sebaik-baik tempat pergantungan. Mungkin faktor lali dengan hidup susah sejak kecil dan faktor usia turut membantuku supaya bertenang dan bersabar.

Usah dirayu, dicari kekuatan, dan diharap simpati sesama makhluk yang serba lemah kerana akhirnya akan menjadi semakin kecewa. Kita ada kehidupan masing-masing dan perlu bertanggungjawab terhadap diri sendiri. Berusaha, berdoa, dan bertawakal sahaja. Jaga hubungan dengan Allah dan banyak “memberi” sesama insan, insyaAllah segalanya menjadi mudah.

Jadi, marilah kita melihat ujian Allah melalui makhlukNya yang bernama HIV ini secara positif. Tidak perlu terus-terusan bersedih. Bantu mereka yang memang mahu bantu diri sendiri. Kita sekadar mencadangkan beberapa pilihan, hak memilih di tangan masing-masing. Menyeru ke arah kebaikan tanggungjawab kita, soal hidayah urusan Allah.

Setakat caci maki, fitnah, sindiran, dan kutukan tidak menjadi kudis dan mencalarkan sedikit kulit pun. Tambahan jika segala sindiran tersebut daripada golongan yang tidak berada di medan perjuangan, sekadar mencari kekuatan sendiri dan hanya tahu mengkritik. Dalaman mereka yang sedang sakit. Jawab pun tidak ada gunanya. Pandai-pandailah hendak hidup dan menghindari stress.

Melalui blog juga aku mendapat peluang berdakwah dan membuat kebajikan dengan banyak cara tanpa mengira golongan yang dijangkiti, ahli keluarga yang turut terjejas tanpa mengira bangsa dan agama dari seluruh negara, bahkan merata dunia yang dapat berkomunikasi dalam bahasa Malaysia. Bahasa Inggeris, failed! Memang lintang-pukanglah jawabnya.

Selagi Allah berikan peluang, walaupun cuma 1 hari sahaja lagi untuk berbakti, akan aku gunakan sebaik-baiknya. Itu sahajalah bekalanku setelah kematianku nanti. Tiada yang menyulitkan, tiada yang menggentarkan. Aku tidak memikirkan perkara-perkara yang di luar pengetahuanku sebagai makhluk-Nya.

Perjuangan jalan terus!


sila share


Aku, hamba-Nya yang dhaif,
Mohamad bin Wahid @ Pie @ AHP
Facebook: Ahp Pie


Info Berkaitan:

Laman Web Rasmi PPWM:
http://www.positivewarriors.org/

Facebook Fan Page:
https://www.facebook.com/ppwmfanpage?ref=hl

No. Akaun PPWM:
Bank: Maybank
Nombor Akaun: 5560 5750 3949
Nama Pemegang Akaun: Pertubuhan Positive Warriors Malaysia

Para pembaca boleh berkongsi pengalaman melalui FB AHP Positive Warriors Support Group (Secret Group). Anda juga dialu-alukan menjadi ahli Pertubuhan Positive Warriors Malaysia (PPWM). Untuk menyertai, sila hubungi admins yang berikut:

Abd. Shukor Mohd Yunus: shux@positivewarriors.org
Hishamudin Rahman: carphatz_04@yahoo.com