Monday, July 15, 2013

ENTRY WAJIB: PENJELASAN MUDAH BAGAIMANA RAWATAN HAART DAPAT MENGELAKKAN JANGKITAN HIV KEPADA PASANGAN DAN ZURIAT




Maklumat ini telah banyak kali aku kongsikan tetapi kali ini aku cuba jadikannya lebih lengkap dan mudah untuk difahami. Maklumat yang lebih tepat dan terperinci, sila rujuk pandangan pakar perubatan.

PERKAHWINAN ORANG YANG HIDUP DENGAN HIV (ODHA) DENGAN BUKAN ODHA.

ODHA yang berkahwin dengan bukan ODHA mampu mengelakkan jangkitan dan memperolehi zuriat bebas HIV dengan kaedah dan rawatan yang betul.

Penjelasannya:

Pasangan yang bakal berkahwin dan berhasrat memiliki zuriat sendiri perlu mendapatkan rawatan HAART terlebih dahulu. Apabila rawatan HAART berkesan dan dengan amalan aktiviti seks yang halal dan selamat, risiko jangkitan dianggap tidak berlaku.

Istilah ‘dianggap tidak berlaku’ wajib digunakan kerana kita bukan Tuhan dan jika berlakunya kecuaian pasangan ketika melakukan hubungan intim.

Dengan rawatan HAART, virus boleh dikekang sehingga ke tahap undetectable. Apabila sampai ke tahap tersebut, jumlah virus tidak mampu tersebar.

Bahkan menurut kajian terkini WHO, apabila virus berada di tahap undetectable, tanpa penggunaan kondom sekalipun dianggap selamat.

Jika ditambah dengan penggunaan kondom, sudah tentu tahap perlindungan adalah sangat tinggi. Ini bermakna pasangan tersebut juga mampu memperolehi zuriat bebas HIV.

BAGAIMANA JIKA DOKTOR BELUM MENCADANGKAN RAWATAN HAART?

Sepatutnya setiap ODHA yang bakal berkahwin berhak mendapatkan rawatan HAART atas keperluan untuk mengelakkan risiko jangkitan kepada pasangan dan bakal zuriat. Sila bincang dengan doktor tentang hasrat anda dan anda berhak mendapatkan pandangan dan sokongan daripada seberapa ramai doktor yang lain jika tidak berpuas hati dengan jawapan mereka.

Penggunaaan kondom adalah mandatori dan pasangan tidak digalakkan memiliki zuriat selagi belum memulakan rawatan HAART.

SAYA TELAH MEMULAKAN RAWATAN HAART, VIRAL LOAD UNDETECTABLE DAN INGIN MEMILIKI ZURIAT, TETAPI BAGAIMANA CARANYA INGIN MEMILIKI ZURIAT SEDANGKAN SAYA MENGGUNAKAN KONDOM?

Sila bincang dengan doktor tentang kitaran haid dan waktu subur isteri. Ketika itu, tidak perlu gunakan kondom ketika melakukan hubungan intim.

‘Tidak perlu menggunakan kondom’ bermaksud, ketika hampir klimaks, anda boleh menanggalkan kondom. 

Satu lagi pilihan ialah, jika suami bukan ODHA, adalah lebih selamat air mani dimasukkan ke dalam syringe sebelum disuntik ke dalam faraj isteri.  

Berdasarkan pengalaman sahabat-sahabat, dengan rawatan dan kaedah yang tepat, belum pernah terjadi jangkitan kepada pasangan dan zuriat masing-masing. Tidak kira sama ada mereka memilih untuk menanggalkan atau tidak menggunakan kondom pada waktu subur tersebut. Syarat utama ialah virus not detected.

Jika suami bukan ODHA, kaedahnya pun adalah sama.

Nota: Pastikan anda bebas atau telah mendapat rawatan daripada sebarang jangkitan penyakit kelamin dan Hepatitis.

PERKAHWINAN ODHA DENGAN ODHA

Sama seperti di atas. Walaupun masing-masing adalah ODHA, tetapi rawatan dan menggunakan perlindungan sewaktu hubungan intim adalah mandatori kerana terdapat perbezaan jumlah virus antara setiap individu. ODHA yang mempunyai bacaan Viral Load lebih rendah berisiko download higher Viral Load.

TOLONG JELASKAN BAGAIMANA HAART DAPAT MENGELAKKAN JANGKITAN?

Untuk memahaminya, sila rujuk gambarajah di bawah:


Apabila HIV memasuki tubuh, ianya akan menyerang sistem pertahanan badan yang dinamakan CD4.

Rawatan HAART mengekang virus sejak mula memasuki CD4 untuk berintegrasi dengan sel DNA sebelum berjaya keluar membiak dengan bantuan enzim Protease.

Rawatan HAART mula bertindak pada nombor 1 dan 4.

Apabila rawatan HAART berjaya mengekang pembiakan virus (setiap virus mempunyai jangka hayat), maka CD4 kembali bertambah dan jumlah viral load semakin berkurangan sehingga boleh mencapai tahap undetectable.

Undetectable bermaksud rawatan HAART ODHA tersebut berkesan.

'Berkesan' bermaksud ODHA tersebut mampu hidup sihat seperti insan lain, dapat mengelakkan risiko penularan virus melalui apa juga cecair badan kepada pasangan dan zuriat termasuk ketika menyusukan bayi.

Jangkitan HIV tidak ada kena-mengena sama sekali dengan tahap imuniti bakal zuriat pasangan ODHA selagi zuriat tersebut bebas HIV. Jika sekalipun zuriat mendapat jangkitan HIV, tetap tiada sebab untuk mengatakan ianya akan mempengaruhi kecergasan fizikal dan minda anak-anak yang mendapat rawatan dan pemantauan yang tepat.

JANGKITAN HIV HANYA MELALUI 4 CARA BERIKUT:

Melalui hubungan seks dengan ODHA (tanpa rawatan) dan tidak mengambil langkah pencegahan.

Berkongsi jarum dan alat suntikan yang tercemar dengan HIV.

Secara vertical iaitu daripada pasangan ODHA kepada zuriat sama ada semasa mengandung, proses kelahiran atau penyusuan ibu (tanpa rawatan).

Menerima tranfusi darah atau transplant organ yang tercemar dengan HIV.

Nota: Virus hanya mampu bertahan di dalam cecair badan, jika terdedah di luar tubuh manusia, virus akan mati.

Rujukan:

WHO Guidelines on HIV & Infant Feeding 2010
Dr. Iskandar Firzada bin Osman
Dr. Zaiton binti Yahaya
Manual Latihan dan Pembangunan Kapasiti MAC


Aku, hamba-Nya yang dhaif,

Mohamad bin Wahid @ Pie @ AHP



Info Berkaitan:

Laman Web Rasmi PPWM: http://www.positivewarriors.org/

NO AKAUN PPWM:
Bank: Maybank
Nombor Akaun: 5560 5750 3949
Nama Pemegang Akaun: Pertubuhan Positive Warriors Malaysia

Para pembaca boleh berkongsi pengalaman melalui FB AHP Positive Warriors Support Group (Secret Group). Anda juga dialu-alukan menjadi ahli Pertubuhan Positive Warriors Malaysia (PPWM). Untuk menyertai, sila hubungi admins yang berikut:

Camelia Sulaiman: camelia_sulaiman@yahoo.com
Luka Rafieqa: rafieqakl@hotmail.com

NGO Sokongan:

Pertubuhan Amal Firdausi Kuala Lumpur (PAFI)
Sila hubungi:
Laman Web: http://www.amalfirdausi.org
E-Mel: amalfirdausi@gmail.com
Talian Marhabah: 018-207-0953 (Encik Hamli) @ 017-311-0306 (Encik Raffie)
Telefon / Faks: 03-9174-0934
FB PAFI: http://www.facebook.com/amalfirdausi (open group)
Twitter: twitter.com/amalfirdausi

Sokongan khusus kepada komuniti wanita: PEWAHIM
Untuk menyertai FB PEWAHIM (secret group) sila hubungi:
E-Mel: pewahim@gmail.com
Telefon: 019-259-5864 (Norlela) Pengasas
No akaun PEWAHIM: 562740121438 (Maybank)

ENTRY WAJIB: PENJELASAN MUDAH BAGAIMANA RAWATAN HAART DAPAT MENGELAKKAN IBU YANG DIJANGKITI MENYEBARKAN HIV KEPADA ZURIAT DAN PENYUSUAN BAYI


Untuk memahaminya, sila rujuk gambarajah di bawah:


Ibu yang positif mempunyai 25% ke 40% kemungkinan untuk menjangkitkan virus kepada anak yang dikandung. Ianya berlaku semasa in utero melalui placenta (uri) kerana semua keperluan bayi sebelum proses kelahiran disalurkan melaluinya.

Risiko dijangkiti semasa proses intrapartum (kelahiran) antara 60%-75% dan semasa breastfeeding (penyusuan) antara 14%-29%.

KENAPA RISIKO SEMASA PROSES KELAHIRAN SANGAT TINGGI?

Kerana bayi terdedah kepada darah dan uri akan terluka semasa proses tersebut.

Tinggi risikonya, bukan? Cool.

Mari rujuk gambarajah di bawah:


Dengan rawatan ARV / HAART, peratusan jangkitan akan turun di antara 5% hingga 9% dan jika ibu HIV positif tersebut menjalani C-Section (pembedahan), kemungkinannya boleh turun kepada 1%.

Walau bagaimanapun, keputusan untuk melaksanakan C-Section bergantung kepada bacaan Viral Load si ibu.

JIKA HANYA SUAMI HIV POSITIF DAN HANYA IBU NEGATIF?

Bagi ibu bukan ODHA pula, selagi beliau negatif sudah tentulah bayi akan negatif. Air mani memang mengandungi virus tetapi virus tiada dalam sperma.

Golongan yang beranggapan bahawa ODHA tidak boleh berkahwin dan jika berkahwin akan menyebabkan pasangan dan zuriat turut dijangkiti adalah mereka yang tidak memahami HIV. Bersepah penyakit lain lebih bahaya dan melibatkan faktor genetik tetapi tidak mengalami stigma dan diskriminasi. 

Jangan memandai menggunakan istilah Maqasid Syariah, kelak mencerminkan kedangkalan ilmu sendiri. Boleh menggalakkan penyebaran fitnah dan menghalang masjid daripada terbina.

CECAIR BADAN YANG MEMPUNYAI KONSENTRASI HIV YANG TINGGI BERDASARKAN TAHAP RISIKO IALAH:

- Darah
- Air mani
- Air mazi
- Cecair faraj
- Susu ibu

“Jika telah mendapat rawatan HAART dan virus undetectable, adakah risiko tersebut masih wujud murid-murid?” (He he he. Tension sebenarnya ni)

APAKAH PIAWAI PROSEDUR (SOP) RAWATAN YANG AKAN DIAMBIL TERHADAP BAYI YANG DILAHIRKAN OLEH IBU HIV POSITIF?

Anak yang dilahirkan oleh ibu ODHA perlu menjalani HIV test ketika bayi itu baru lahir, ketika berusia 1 hingga 2 bulan, ketika berusia 4 hingga 6 bulan, dan yang terakhir selepas berusia 1 tahun 6 bulan atau 18 bulan.

Bayi dari ibu ODHA akan diberikan Zidovudine syrup selama 6 minggu. Selepas ujian ulangan HIV dilakukan semasa umur bayi 6 minggu dan bayi kekal negatif, Zidovudine syrup akan dihentikan dan digantikan dengan Co-Trimoxazole syrup (Bactrim).

Jika ujian ulangan HIV semasa umur bayi antara 4 hingga 6 bulan dan keputusan masih negatif, Co-Trimoxazole syrup (Bactrim) akan dihentikan dan bayi diisytiharkan bebas HIV.

Walau bagaimanapun, sebaik sahaja selepas umur 18 bulan, dinasihatkan supaya bayi menjalani HIV Rapid Test. Selepas itu, tidak perlu lagi.

Walaupun WHO menyarankan ibu BOLEH memberi penyusuan susu ibu, tetapi pendekatan KKM masih lagi tidak membenarkannya tetapi diberikan penyusuan susu formula atau susuan ibu tumpang yang bebas HIV.

Suntikan imunisasi BCG DITANGGUHKAN terlebih dahulu kepada bayi yang dilahirkan oleh ibu ODHA sehinggalah bayi tersebut diisytiharkan BEBAS HIV melalui ujian HIV sekurang-kurangnya sebanyak dua kali (usia 4 hingga 6 bulan).

Jika negatif, imunisasi BCG hendaklah DISEGERAKAN. Walau bagaimanapun, imunisasi untuk vaksin-vaksin lain (live attenuated) perlu diberikan mengikut jadual imunisasi sedia ada tanpa mengira status HIV.

Umum sedia maklum, susu ibu merupakan nutrisi terbaik serta lengkap untuk bayi. Penyusuan susu ibu juga akan merapatkan bonding antara ibu dan bayi. WHO & KKM menyarankan penyusuan susu ibu secara eksklusif, sekurang-kurangnya 8 kali (atau lebih) sehari semalam sehingga bayi berusia 6 bulan.

Para ibu digalakkan untuk meneruskan penyusuan susu ibu walaupun bayi telah diberikan makanan pelengkap (complementary foods) sehingga kanak-kanak berusia 2 tahun. Walau bagaimanapun, ibu ODHA (yang tidak menerima rawatan) masih berkemungkinan menyebabkan bayi mereka dijangkiti HIV melalui penyusuan susu ibu (transmisi vertical).

Oleh sebab itu, WHO dan KKM menyarankan supaya SEMUA ibu ODHA dimulakan rawatan HAART semasa mengandung, bersalin secara Caeserean, bayi TIDAK diberikan penyusuan susu ibu, tetapi diberikan penyusuan susu formula dan rawatan pencegahan (prophylaxis)- Zidovudine diberikan kepada bayi.


Prevention Mother Child Transfusion (PMCT) dapat membantu mengelakkan jangkitan sekiranya ibu (ODHA) belum menerima rawatan HAART. Bakal ibu tersebut akan diberikan rawatan HAART selepas 12 minggu kehamilan sehingga melahirkan anak.

Nota penting:

Syarat untuk pemberian susu formula pula adalah:

A – acceptable (boleh diterima)
F – feasible (munasabah)
A – affordable (mampu)
S – sustainable (lestari)
S – safe (selamat)

Oleh sebab itu, KKM menggariskan polisi bahawa semua bayi dan ibu ODHA layak serta akan dibekalkan dengan susu formula oleh KK atau hospital sehinggalah bayi berusia 6 bulan kecuali jika ibu bapa bayi mohon untuk beli sendiri.

Di negara dunia ketiga, disebabkan ramai bayi meninggal dunia akibat malnutrisi dan jangkitan kuman pada sistem penghadaman (gastrointestinal) berbanding jangkitan HIV, WHO menggalakkan ibu ODHA memberikan penyusuan susu ibu dan ibu 0DHA diberikan ART.

Hasil maklumat yang terkumpul dan dengan bukti kajian yang mencukupi, didapati HAART boleh mencegah ibu ODHA menjangkiti bayi mereka dengan HIV.

Saranan terkini WHO Guidelines on HIV & Infant Feeding 2010 adalah:

Ibu ODHA yang memilih untuk memberikan penyusuan susu ibu MESTI diteruskan ART / HAART yang diberikan semasa atau sebelum mengandung sepanjang hayat dalam usaha untuk mencegah transmisi HIV melalui penyusuan susu ibu.

Ibu ODHA sebagaimana yang di atas MESTI memberikan penyusuan susu ibu secara eksklusif selama sekurang-kurangnya 6 bulan, memberikan makanan pelengkap (complementary foods) apabila bayi berusia 6 bulan dan meneruskan penyusuan susu ibu sehingga usia bayi sekurang-kurangnya 12 bulan.

Ibu ODHA yang mengamalkan penyusuan susu ibu, jika hendak menghentikan penyusuan, MESTI menghentikannya secara sedikit demi sedikit dalam masa 1 bulan. Jika prophylaxis ARV / HAART diberikan kepada ibu ODHA dan bayi, prophylaxis ARV tersebut MESTI diteruskan sehingga selepas 1 minggu pemberhentian penyusuan susu ibu.

Ibu ODHA dengan bayi yang juga disahkan HIV positif DIGALAKKAN untuk memberikan penyusuan susu ibu secara eksklusif selama 6 bulan serta meneruskan penyusuan susu ibu tersebut sekurang-kurangnya hingga usia bayi 24 bulan. Kedua-duanya (ibu dan bayi) MESTI diberikan ART / HAART.

Walau bagaimanapun, WHO menyarankan setiap negara perlu menetapkan sendiri polisi yang akan diikuti kerana kedua-duanya ada justifikasi masing-masing. KKM telah bersetuju untuk masih kekal dengan polisi asal iaitu TIDAK MENGGALAKKAN ibu PLHIV memberikan penyusuan susu ibu. Tetapi polisi ini akan dinilai dari semasa ke semasa.

Cukuplah untuk kali ini. ‘Berasap’ kepala aku menaip dan mencari rujukan.


Rujukan:
WHO Guidelines on HIV & Infant Feeding 2010
Dr. Iskandar Firzada bin Osman
Dr. Zaiton Yahaya
Manual Latihan dan Pembangunan Kapasiti MAC


Aku, hamba-Nya yang dhaif,
Mohamad bin Wahid @ Pie @ AHP




Info Berkaitan:

Laman Web Rasmi PPWM: http://www.positivewarriors.org/

NO AKAUN PPWM:
Bank: Maybank
Nombor Akaun: 5560 5750 3949
Nama Pemegang Akaun: Pertubuhan Positive Warriors Malaysia

Para pembaca boleh berkongsi pengalaman melalui FB AHP Positive Warriors Support Group (Secret Group). Anda juga dialu-alukan menjadi ahli Pertubuhan Positive Warriors Malaysia (PPWM). Untuk menyertai, sila hubungi admins yang berikut:

Camelia Sulaiman: camelia_sulaiman@yahoo.com
Luka Rafieqa: rafieqakl@hotmail.com

NGO Sokongan:

Pertubuhan Amal Firdausi Kuala Lumpur (PAFI)
Sila hubungi:
Laman Web: http://www.amalfirdausi.org
E-Mel: amalfirdausi@gmail.com
Talian Marhabah: 018-207-0953 (Encik Hamli) @ 017-311-0306 (Encik Raffie)
Telefon / Faks: 03-9174-0934
FB PAFI: http://www.facebook.com/amalfirdausi (open group)
Twitter: twitter.com/amalfirdausi

Sokongan khusus kepada komuniti wanita: PEWAHIM
Untuk menyertai FB PEWAHIM (secret group) sila hubungi:
E-Mel: pewahim@gmail.com
Telefon: 019-259-5864 (Norlela) Pengasas
No akaun PEWAHIM: 562740121438 (Maybank)



ENTRY WAJIB: HIV - PENTINGNYA STIGMA, DISKRIMINASI DAN JUDGEMENTAL DIHAPUSKAN




Berbanding sahabat-sahabat senior yang jauh berpengalaman dan berjasa kepada komuniti, aku baru sahaja 2 tahun 3 bulan didiagnos sebagai Orang Yang Hidup Dengan HIV (ODHA). Apa sangatlah yang telah aku lakukan untuk membantu komuniti.

Selepas 2 tahun juga, aku tidak nampak apa isunya yang menjadi halangan kepada seseorang ODHA untuk hidup sihat dan normal sebagai insan lain di bumi Allah ini. ODHA mampu melakukan apa sahaja dan tidak membahayakan sesiapa.

Isu sebenar yang ODHA hadapi ialah stigma, judgemental, diskriminasi dan sikap tidak profesional segelintir anggota masyarakat. Akibat perkara-perkara tersebut, maka berlakulah penganiayaan dan ramai pihak yang tidak bersalah menjadi mangsa termasuk di kalangan affected people.

Apakah bentuk penganiayaan tersebut? Antaranya, tekanan kepada ODHA untuk mendapatkan rawatan, dipulau, disisih, difitnah, rosaknya aqidah, hilang pekerjaan, masalah kewangan, kesukaran untuk berubah menjadi insan yang lebih baik, penularan virus yang semakin berleluasa, putusnya silaturrahim, gagal membina atau mempertahankan sesebuah perkahwinan, dan sebagainya.

Sikap cepat menghukum dan mengambil alih kerja Tuhan menjadi amalan biasa. Tidak ramai yang ambil peduli golongan ODHA kerana HIV sering dikaitkan dengan isu moral dan agama. Mereka gagal melihat musibah tersebut sebagai satu kaffarah atau tanda Allah kasihkan ODHA. Hak ODHA mendapat bantuan, sokongan, dan rawatan sama seperti insan lain telah diabaikan.

Mereka lupa bahawa begitu ramai yang menjadi mangsa sebenar HIV adalah para pasangan dan anak-anak kepada ODHA yang tidak mengerti apa-apa. Mereka pejam mata terhadap hakikat bahawa betapa ramai affected people turut menderita akibat sikap negatif tersebut.

Jadi, siapa yang sebenarnya diuji? Siapa yang sebenarnya sakit? Bukankah bersikap menghukum, menabur fitnah, mengaibkan, menganiaya dan menyebarkan salah faham juga adalah salah satu dosa besar? Cuba fikirkan secara rasional.

Itulah isu yang aku perjuangkan selama ini kerana itulah masalah sebenar yang ODHA hadapi. Miskin minda, penyakit emosi, dan rohani adalah punca penularan HIV. Di sebalik HIV, megah berdiri ujian yang jauh lebih besar yang dinamakan ujian iman. Angkuh dan takabbur lebih bahaya daripada HIV.

Dua tahun lebih aku hidup sebagai ODHA, akhirnya sudah tidak tertanggung lagi menahan kesakitan akibat semua sikap negatif yang aku sebutkan tadi. Aku mengambil risiko yang sangat besar terhadap diri sendiri dan keluarga apabila mula tampil secara terbuka sebagai ODHA ke dalam masyarakat.

Mungkin mudah untuk orang berkata, ramai ODHA yang telah tampil secara terbuka, jauh lebih lama sebelum ini. Baiklah, tolong senaraikan satu persatu yang sanggup heret anak isteri sepertiku untuk sama-sama berjuang dalam komuniti secara terbuka.  Silakan.

Harus diingat, aku bukannya volunteer sepenuh masa terhadap apa-apa NGO, pertubuhan atau Majlis dan mendapat imbuhan kewangan untuk terlibat dengan isu ini. Bukan setakat tiada imbuhan kewangan, habis segala punca kewangan adalah biasa. Aku dan isteri-isteriku ada karier dalam bidang masing-masing. Pendapatan kami sekeluarga tidak dibayar oleh NGO. Risiko kami menerima tekanan majikan dan akhirnya melibatkan kesan ekonomi keluarga terutama kepada anak-anak sangat tinggi.

So, kenapa aku mengambil risiko tersebut? Kerana aku yakin bahawa cara yang paling berkesan menentang salah faham tersebut adalah dengan cara ODHA sendiri mesti bangkit untuk menentang ketidakadilan secara terbuka. ODHA sendiri mesti buktikan sesuatu. Cukuplah, aku tidak mampu melihat sakitnya ODHA menanggung pelbagai tekanan yang tidak perlu.

Aku bukan bermaksud untuk mendabik dada dan mahu menjadi hero. Aku sekadar mahu membuktikan bahawa tiada hinanya hidup sebagai ODHA kepada masyarakat melalui sisa-sisa kekuatan yang Allah pinjamkan. Aku redha jika menjadi mangsa diskriminasi. Aku tidak mencari redha manusia. Aku mencari redha Allah. Majikan sebenar aku adalah Allah yang Maha Kuasa.

Dua tahun lebih aku hidup sebagai ODHA, dua tahun lebih juga sepanjang hari (kecuali waktu tidur yang terhad) aku cuba membantu komuniti di seluruh negara mengikut keupayaanku. Semakin hari semakin bertambah.

Pie, apa yang telah engkau bantu? Tidak perlulah aku menceritakan bahawa aku telah begitu begini, buat itu buat ini. Aku tidak berminat. Bagi aku yang penting adalah keikhlasan dan kesungguhan.

Usah ditanya susah-payah dan sakit pedihnya aku berdepan pelbagai tekanan luar dan dalam semasa membantu komuniti. Jika aku karangkan sebuah novel koleksi cerita sedih nasib ODHA, rasanya sudah berpuluh-puluh siri. 

Malah aku sudah tidak sempat hendak memikirkan yang aku sendiri pun ada berbagai masalah peribadi dalam kehidupan harian. Sudah kering air mata dan sudah lali dengan segala-galanya.

Mungkin ada ketikanya aku kelihatan sedih pada hari semalam, tetapi jika ditanya pada hari ini tentang kesedihanku semalam, mungkin aku sudah tidak mampu mengingatinya kerana hari ini aku berdepan kembali dengan pelbagai lagi tekanan dengan kisah-kisah sedih komuniti. Mereka perlu disokong dan dibantu.

Mungkin ramai yang menganggap bahawa perananku membantu komuniti hanya secara maya. Sekadar di blog, Facebook dan internet. Mereka yang beranggapan begitu mungkin tidak mengenaliku secara rapat. Tanggungjawab terhadap komuniti selain daripada medium tersebut jauh lebih besar.

Ada juga yang berkata, utamakan diri dan keluarga terlebih dahulu. Betul, tetapi jika para sahabat Rasulullah S.A.W sekadar mementingkan kepentingan peribadi, dan bukan terdiri daripada golongan yang berjiwa besar, Islam tidak akan tersebar ke seluruh dunia. Islam adalah rahmat kepada seluruh alam. Kenapa kita sempitkan tafsiran?

Bersama ODHA adalah keutamaan diriku. ODHA adalah keluarga besarku sekalipun bukan dalam semua perkara aku bersetuju dengan cara hidup mereka. Aku tidak meminta balasan apa-apa kecuali mencari keredhaan Allah. Jika kau sakiti mereka bermakna kau sakiti aku.

Jika sekadar untuk kepentingan diri, aku tidak perlu bertindak begini. Aku telah mencapai segala-galanya dalam kehidupanku yang serba sederhana sebagai insan biasa. Tidak perlu bersusah-payah memikirkan masalah orang lain. Tetapi adakah fitrah kelahiran kita (sebagai khalifah di bumi Allah)  ini sekadar untuk dilahirkan begitu? Sekadar berseronok-seronok melayan nafsu?

Jadi, maaflah teman, jika segala caci-maki dan prasangkamu tidakku layan. Cakap dan tuduhlah apa sahaja yang kau mahu. Fikirlah apa yang mahu kau fikir mengikut andaian dan kefahamanmu. Aku tiada masa melayannya kerana banyak perkara yang lebih penting yang perlu diuruskan.

Jangan diandaikan bahawa rutin harianku sama seperti insan lain. Aku telah menerima hakikat tersebut semenjak aku infakkan diri untuk membantu komuniti. Terpulang kepada penilaian masing-masing.

Walau bagaimanapun, sudah tentu kemampuan makhluk ada batasnya. Aku tidak pernah terfikir untuk selama-lamanya berada di sini. Diriku yang sebenar adalah seorang lelaki tua yang dahagakan ketenangan dan kedamaian. Sangat mengelakkan kontroversi dan konfrontasi.

Aku sasarkan dalam tempoh 2 tahun ini akan lebih ramai ODHA muda yang berani tampil secara terbuka menjalankan amanah fardhu kifayah ini melalui Pertubuhan Positive Warriors Malaysia yang aku pimpin. Insya-Allah selepas itu aku akan mengundur diri. Lebih selesa berperanan di blog kerana keupayaan diriku yang terhad.

Akhir kata, salam perjuangan kepada semua sahabat ODHA. Kita mesti buktikan dan harus diingat bahawa:

”You never know how strong you are until being strong is the ONLY choice you have.”

Aku, hamba-Nya yang dhaif,
Mohamad bin Wahid @ Pie @ AHP



Info Berkaitan:

Laman Web Rasmi PPWM: http://www.positivewarriors.org/

NO AKAUN PPWM:
Bank: Maybank
Nombor Akaun: 5560 5750 3949
Nama Pemegang Akaun: Pertubuhan Positive Warriors Malaysia

Para pembaca boleh berkongsi pengalaman melalui FB AHP Positive Warriors Support Group (Secret Group). Anda juga dialu-alukan menjadi ahli Pertubuhan Positive Warriors Malaysia (PPWM). Untuk menyertai, sila hubungi admins yang berikut:

Camelia Sulaiman: camelia_sulaiman@yahoo.com
Luka Rafieqa: rafieqakl@hotmail.com

NGO Sokongan:

Pertubuhan Amal Firdausi Kuala Lumpur (PAFI)
Sila hubungi:
Laman Web: http://www.amalfirdausi.org
E-Mel: amalfirdausi@gmail.com
Talian Marhabah: 018-207-0953 (Encik Hamli) @ 017-311-0306 (Encik Raffie)
Telefon / Faks: 03-9174-0934
FB PAFI: http://www.facebook.com/amalfirdausi (open group)
Twitter: twitter.com/amalfirdausi

Sokongan khusus kepada komuniti wanita: PEWAHIM
Untuk menyertai FB PEWAHIM (secret group) sila hubungi:
E-Mel: pewahim@gmail.com
Telefon: 019-259-5864 (Norlela) Pengasas
No akaun PEWAHIM: 562740121438 (Maybank)