Wednesday, March 13, 2013

APA, BAKAL MENANTUKU HIV POSITIF? OH TIDAK!




Diskriminasi dan judgemental terhadap Orang Yang Hidup Dengan HIV (ODHA) sentiasa ada di mana-mana terutamanya dalam isu perkahwinan. Tidak kiralah sama ada daripada bakal pasangan ODHA sendiri, bakal mertua, segelintir daripada pihak yang sepatutnya membantu dan merawat, serta Jabatan Agama.

Mari kita berimaginasi tentang sebahagian daripada perkara yang masyarakat umum bayangkan terhadap ODHA yang mahu mendirikan berumahtangga.

Mula-mula sekali, mestilah mereka menganggap bahawa sesiapa yang mahu berkahwin dengan ODHA umpama orang yang bersedia untuk bunuh diri. ODHA yang berkaitan pula dianggap tidak sedar diri. Sudah tahu membawa ‘virus maut’, masih menggatal terfikir untuk berkahwin dan menyusahkan orang lain.

“Gila kau mahu berkahwin dengan ODHA!” Kebimbangan jangkitan kepada pasangan, anak dan kemungkinan terhadap ahli keluarga yang lain adalah normal. Kematian, hilang pekerjaan, tiada peluang hidup bahagia, pandangan hina masyarakat, kurus kering, berkudis, memalukan keturunan dan sebagainya adalah tanggapan biasa. Perkahwinan tersebut mesti ditentang. Bala’ dan aib keluarga.

Jika pasangan sesama ODHA sekali pun begitu juga. Sedia sakit, masih mahu menambah penyakit. Mesti ditentang cukup-cukup. Ini bukan perkara kecil.

Pasangan yang bakal berkahwin dengan ODHA mesti dinasihatkan supaya ‘celik mata’. Tambahan lagi jika ODHA tersebut mendapat jangkitan akibat khilaf lampau. Bencana akibat maksiat, lagilah tidak layak. Tidak sekufu. Dicari segala bukti dan hujah. Kumpulkan dalil dan istilah yang boleh meyakinkan. Sudah tentu alasan maqasyid syariah (memelihara diri dan nasab daripada bencana) antara hujah paling popular.

“Buat laporan kepada pihak polis atau jabatan agama. Kalau perlu bawa lari, bawa sahaja anak kita lari. Kalau degil juga, saman. Jika susah mahu saman, cari bomoh yang boleh jampi pembenci. Janji, anak kita selamat, bang.” Cliche lagi.

Jika ODHA tua dan cukup segala pakej penyakit seperti aku, logiknya lagilah tidak layak. He, he, he. Senak perut aku tergelak apabila membayangkan pandangan sempit begitu. Jangan risau, kami yang hidup sebagai ODHA faham masalah anda. Tidak sudi tidak mengapa. Kami tidak menagih simpati. Tidak sesekali menyalahkan sesiapa. Kami pun ada harga diri.

ODHA yang mampu dan berhasrat untuk berkahwin dan telah menjalani rawatan tidak ada masalah untuk berkahwin. Mereka mampu hidup sihat sama seperti insan lain. Mampu memperolehi zuriat bebas HIV. Teknologi rawatan telah jauh berubah. Itu fakta.

Janganlah cepat menghukum dan menilai ODHA sebagai manusia yang hina dan berdosa. Hina atau dosa bukan kita yang menentukan. Jika sekalipun mereka pernah melakukan dosa, bukankah apabila mereka bertaubat nasuha, segala dosa akan Allah ampunkan? Itu janji Allah, bukan janji kita.

Kita tidak berada di posisi mereka, berdepan dengan ujian yang mereka lalui. Mereka berjihad untuk menghadapi segala ujian tersebut dengan segala susah-payah yang Allah sahaja yang tahu. Kenapa menghukum? Tanpa HIV pun, ramai sahaja yang lebih berdosa. Banyak sahaja rumahtangga berantakan.

Angkuh dan takabbur dengan pandangan sempit pun satu dosa besar. Menghina dan menghalang ODHA yang ingin membina masjid serta kembali ke pangkal jalan juga satu dosa besar. Memfitnah berdosa besar. Mungkin dalam beberapa keadaan, keimanan anda yang sedang diuji akibat sikap tersebut. Berhati-hatilah.

Jika maqasyid syariah dijadikan hujah, kenapa kita tidak halang perkahwinan pesakit-pesakit kronik yang jauh lebih bahaya atau stigma. Diabetis lebih bahaya. Darah tinggi lebih bahaya. Hepatitis lebih bahaya. Talesmia lebih bahaya. Pesakit kelamin lebih bahaya. Kenapa pesakit-pesakit ini tidak diwajibkan menjalani ujian darah sebagaimana ODHA? Sebahagian penyakit-penyakit ini mempengaruhi genetik juga.

Itu belum pesakit jantung, buah pinggang, pesakit fibromyalgia, pesakit psikiatri, migraine kronik dan sebagainya. Kita boleh sahaja bertolak-ansur, bukan? Bukankah itu namanya judgemental dan diskriminasi?

Isu sebenar

Stigma, diskriminasi dan judgemental itulah isunya. Enggan mencari maklumat dan terikat dengan kefahaman yang sempit yang menjadi punca utama.

Kali ini aku kongsikan dua pengalaman sahabatku yang berdepan pelbagai kerenah untuk berkahwin. Seorang bakal berkahwin sesama ODHA. Seorang lagi adalah ODHA yang telah berkahwin dengan bukan ODHA.

Assalamualaikum Abang Pie,

Pertama sekali terima kasih sudi memberi izin kepada saya berkongsi pengalaman semasa menjalani prosedur untuk mendirikan rumahtangga dalam masa terdekat.

Terlebih dahulu saya amat bersyukur diketemukan dengan seorang insan yang amat memahami diri saya. Walaupun pertemuan dalam masa yang singkat, kehadiran insan tersebut amat bermakna dalam hidup saya sebagai ODHA.

Keinginan dan rasa tanggungjawab untuk mendirikan masjid dan hidup berkeluarga amat kuat sekali. Niat kerana Allah yang paling utama.

Apa yang saya kongsikan ini adalah sebahagian daripada pelbagai pengalaman saya berdepan dengan diskriminasi dan stigma masyarakat serta prejudis keluarga. Walau bagaimanapun, saya bersyukur kerana akhirnya kedua-dua belah pihak keluarga terutama ibu bapa saya memberikan sokongan penuh setelah mengetahui status saya.

Memang pada awalnya sukar untuk mereka hadapi dan menerima hakikat. Tetapi setelah sesi kaunseling yang diberikan oleh doktor kepada kedua-dua ibu bapa, alhamdulillah saya ditatang bagai minyak yang penuh. Ibarat bayi yang baru dilahirkan.

Alhamdulillah sehingga kini segala urusan dipermudahkan oleh Allah. Walaupun saya dan tunang adalah pasangan ODHA, kami tekad akan berkahwin tanpa memikirkan kisah silam.

Bagi saya, yang lepas adalah pengajaran dan titik hitam dalam hidup yang sukar dilupakan. Kisah silam kami jadikan pengajaran. Yang penting adalah sekarang dan masa depan, untuk memperbaiki hidup dalam mencari keredhaan Allah.

Pengalaman menghadiri Kursus Pra Perkahwinan

Kursus pra perkahwinan memang seronok sebab kami dapat mempelajari ilmu asas munakahat. Siapa yang tidak suka? Tambahan lagi ilmu berkaitan malam pertama yang dikongsikan oleh para penceramah.

Apa yang ingin saya kongsikan adalah tentang maklumat dan nota yg disediakan oleh pihak Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAIJ).


Pertama, apabila diceritakan topik dan bab kesihatan, ada nota yang menunjukkan aliran hidup dan jangka hayat ODHA. Saya sangat-sangat tidak berpuas hati dengan nota tersebut yang secara terang-terangan memaklumkan kepada para peserta bahawa jangka hayat ODHA sekitar 10 tahun sahaja.


 
Ianya hanya menambahkan stigma. Sepatutnya apa yang penting nota tersebut perlu menceritakan tentang rawatan untuk ODHA (termasuk jangkitan kelamin jika perlu), pengambilan HAART, cara mendapatkan zuriat bebas HIV, dan peluang hidup sihat serta diredhai Allah.

Tidak sepatutnya nota tersebut menyatakan tentang jangka hayat seseorang kerana perkara tersebut ketentuan Allah, terlalu subjektif dan ODHA mampu hidup sihat seperti insan lain sehingga berpuluh-puluh tahun. Golongan agamawan tidak sepatutnya bersikap begitu kerana mereka pembimbing terawal yang kami harapkan sokongan.

Banyak lagi perkara penting yang lain sepatutnya diceritakan. Bukannya terus kepada menghukum dan mematahkan semangat. Kesilapan fakta yang kecil boleh menjadi fitnah besar dan salah faham.

Keduanya, para peserta kursus diterangkan juga tentang hukum-hukum berkahwin. Memang banyak hukum. Dikatakan bahawa ODHA haram berkahwin kerana boleh memudaratkan pasangan dan anak yang bakal dilahirkan.

Bagi saya para penceramah tidak sepatutnya mengatakan hukumnya haram jika ODHA memang mampu berkahwin dan telah mendapatkan rawatan serta faham cara mencegah jangkitan kepada pasangan.

Jika hukumnya haram, sampai bila-bila pun ODHA tidak akan berkahwin dan kecenderungan untuk kekal terlibat dengan perkara yang haram adalah tinggi. Akibatnya penyebaran virus HIV akan lebih berleluasa.

Pengalaman berdepan dengan tentangan rakan-rakan dan ahli keluarga untuk mendirikan berumahtangga

Seorang rakan karib saya yang tahu status saya di pejabat terkejut apabila saya maklumkan bahawa saya akan berkahwin. Beliau tidak percaya, tambahan lagi apabila saya memaklumkan akan berkahwin dengan sesama ODHA.

Bermacam-macam persoalan yang ditanyakan dan seboleh-bolehnya hendak menafikan sehingga tergamak mengatakan saya mereka-reka cerita. Begitulah lumrah sikap manusia, terlalu yakin dengan apa yang mereka faham sehingga menafikan segala kebenaran. Cepat menilai dari segi luaran.

Luaran saya memang kelihatan sihat walafiat. Bagi beliau, ODHA hanyalah terdiri daripada para penyalahguna dadah dan pekerja seks jalanan. Kurus kering, sakit-sakit, menangis dan meratap serta berkudis seperti yang ditayangkan dalam kebanyakan media massa.

Alhamdulillah sekarang beliau dan beberapa orang rakan lagi lebih menghargai, menyayangi dan membantu saya dalam banyak perkara. Mereka menasihatkan saya supaya sentiasa bersyukur kerana saya masih diberi keselesaan, kesihatan dan kerjaya yang baik walaupun hidup sebagai ODHA. Mereka cuma perlukan sedikit masa untuk faham. Syukur Allah kurniakan sahabat seperti mereka.

Pengalaman paling perit apabila saya berterus-terang tentang status dan hasrat saya kepada kakak sulung. Memang saya akui tidak rapat dengan kakak tetapi saya tetap menghormati beliau sebagai kakak sulung.

Selepas saya berterus-terang, ternyata penerimaan kakak sangat negatif. Kadang-kadang stigma daripada keluarga lebih kuat berbanding orang luar, yang bukan darah daging sendiri.

Akibat tertekan, saya terpaksa meminta bantuan ibu untuk menasihatkan kakak. Jika Allah mahu uji kesabaran kita, Dia tetap akan uji walaupun sekejap.

Akhirnya kakak menerima saya dan juga tunang saya walaupun beliau bersedih dengan apa yang menimpa. Bagaimana pula dengan sedih saya sebagai ODHA? Tidak mengapalah, itu telah ditakdirkan. Wajib redha terhadap apa juga yang berlaku sebagai satu kaffarah.

Pengalaman mendapat kebenaran bernikah luar negeri

Saya dan seorang sahabat yang sama-sama perlu menguruskan kebenaran tersebut telah pergi ke Pejabat Agama Islam Negeri Johor untuk mendapatkan surat kebenaran nikah.

Apabila giliran sahabat saya tiba, cepat sahaja prosesnya. Tidak sampai 15 minit. Apabila giliran saya tiba, dan apabila borang dan dokumen saya disemak, ternyata keputusan ujian HIV juga akan dilihat. Di Johor, bakal pengantin mesti menjalani ujian HIV dan dinyatakan dalam borang yang dikeluarkan sendiri oleh Pejabat Agama. Keputusannya mesti dicatat. (Tidak boleh sekadar dicatat: Telah menjalani ujian HIV)


Selepas disemak dan didapati HIV positif, automatik pihak JAIJ akan menyediakan 1 fail putih yang tertulis SULIT. Ditulis juga nama, nombor kad pengenalan, dan status saya sebagai HIV positif.

Saya diminta berjumpa dengan kaunselor di Unit Pembangunan Keluarga. Persoalannya, jika fail tersebut SULIT, sepatutnya tidak ditulis HIV Positif pada fail tersebut. Di manakah kerahsiaan sesuatu yang sepatutnya sulit?

Menjalani kaunseling

Soalan pertama yang ditanya, bagaimana boleh dijangkiti HIV?
Seperti biasa saya tidak memberikan jawapan dan hanya menjawab tidak perlu tahu. Soalan apakah ini sedangkan saya sendiri tidak sanggup lagi mengenang kesilapan lampau?

Soalan seterusnya, adakah tunang saya sudah maklum status sebenar?
Jawapan saya, kami sama-sama HIV positif.

Soalan seterusnya, sejak bila dapat tahu status?
Jawapan saya sejak Mac 2009.

Soalan seterusnya, pernah menjalani kaunseling?
Jawapan saya, sejak tahun 2009, setiap kali ambil darah untuk pemeriksaan darah sehingga sekarang. Sudah lebih 10 kali dan saya juga memaklumkan berkenaan Pertubuhan Positive Warriors Malaysia yang banyak membantu saya membina kekuatan.

Akhirnya kaunselor membuat rumusan, beliau tidak mahu memberi banyak pandangan kerana beliau melihat saya sebagai seorang educated person yang berjawatan tinggi.

Beliau hanya memberikan nasihat berkaitan pendekatan kerohanian. Saya dinasihatkan supaya memperbaiki diri dan mendekatkan diri kepada-Nya. Serahkan aturan hidup kita kepada Allah yang menentukan segala-galanyanya tetapi yang agak kelakar apabila kaunselor menasihatkan saya supaya kami tidak perlu memperolehi zuriat kerana bimbang dijangkiti.

Terbalik pula dengan nasihatnya supaya menyerahkan segala-galanya kepada Allah. Terpaksalah saya memberikan sedikit penerangan kepada kaunselor tersebut tentang HAART. Tentang risiko jangkitan terhadap zuriat yang boleh dikatakan terlalu minima. Kita sekadar berusaha, Allah yang Maha Menentukan.

Akhir sekali kaunselor meminta pengesahan saya sama ada mahu meneruskan perkahwinan atau tidak.

Jawapan saya sudah tentu tetap akan meneruskan perkahwinan kerana Allah. Bahkan rasa tidak sabar pun sebenarnya. He, he, he. (AHP: Aku yang tambah supaya ada unsur dramatik)

Alhamdulillah urusan telah selesai. Banyak perkara yang dipermudahkan Allah. Kita jangan lupa bahawa setiap yang berlaku adalah berdasarkan kehendak-Nya. Kadang-kadang kita rasa sukar untuk menghadapi setiap ujian tetapi selepas kita tempuhi, sebenarnya tersembunyi segala keindahan dan bantuan Allah.

Allah hanya menguji kesabaran kita untuk mendengar rayuan dan doa kita. Alhamdulillah, Allahu Akbar.

Perkongsian kedua

Memang benar hak peribadi ODHA adalah privacy. Pengalaman saya sejak mula mahu mendirikan perkahwinan dengan bukan ODHA, naik turun Pejabat Agama, menjalani rawatan pemantauan, dengan keluarga bakal isteri termasuk 2nd dan third opinion menyebabkan hak peribadi iaitu AIB KITA makin dikongsi ramai.

Apatah lagi jika rawatan dibuat di daerah yang berdekatan dan terdapat kakitangan yang mengenali kita. Dari segi kerjaya memang boleh dibuat mengikut undang-undang tetapi aib yang sudah tersebar dari mulut ke mulut, diskriminasi dan harga diri tidak mampu dinilai dengan wang, serta tidak mampu membeli ketenangan diri.

Masih ada masyarakat kita yang pemikirannya di takuk lama. Suka atau tidak, kita tetap perlu berhijrah dan redha dengan senyuman. (Dalam hati Allah sahaja yang tahu).

Lebih simpati nasib keluarga, isteri dan anak kita (affected people). Mereka turut terasa tempiasnya akibat salah faham tersebut. Yang melaluinya pasti memahami. Yang merasai tidak sama dengan yang simpati.

Kalau dulu air mata dianggap dayus tetapi kini air mata menjadi penawar yang melembutkan hati. Kesimpulannya, ODHA mesti redha dengan segala ujian. Prosedur ciptaan dunia. Kita ada insan yang ikhlas menyayangi kita tanpa syarat. Syukur Alhamdulillah.

Banyak lagi perkongsian tetapi itu sahaja kali ini.

Jumpa lagi.

Aku, hamba-Nya yang dhaif,
Mohamad bin Wahid @ Pie @ AHP


Para pembaca boleh berkongsi pengalaman melalui FB AHP Positive Warriors Support Group (Secret Group). Untuk menyertai, sila hubungi admins yang berikut:

Camelia Sulaiman: camelia_sulaiman@yahoo.com
Luka Rafieqa: rafieqakl@hotmail.com


Pertubuhan Amal Firdausi Kuala Lumpur (PAFI)

Sila hubungi:
Laman Web: http://www.amalfirdausi.org
E-Mel: amalfirdausi@gmail.com
Talian Marhabah: 018-207-0953 (Encik Hamli) @ 017-311-0306 (Encik Raffie)
Telefon / Faks: 03-9174-0934
FB PAFI: http://www.facebook.com/amalfirdausi (Open Group)
Twitter: twitter.com/amalfirdausi





Sunday, March 10, 2013

KAITAN ANTARA PARANOIA, OCD DAN HIV




Apabila berkesempatan menonton TV, antara saluran kegemaranku adalah Discovery Channel dan National Geographic. Rencana berkaitan psikososial, budaya, nature, dan teknologi cepat menangkap minatku.

Baru-baru ini aku menonton satu rencana mengenai Taboo, mengenai pengidap OCD.  OCD pernah aku pelajari sepintas lalu suatu ketika dahulu. Apabila memori tersebut datang kembali, dan ada kaitan dengan rutin harianku bersama komuniti, aku terfikirkan sesuatu.

Apa kaitannya?

Aku sering berdepan pertanyaan-pertanyaan tidak masuk akal tentang HIV. Kadangkala kerana terlalu sibuk dan banyak perkara penting yang perlu diurus, soalan-soalan tersebut aku abaikan sahaja. Contoh:

“Apakah punca jangkitan HIV?”
“Adakah HIV boleh berjangkit apabila saya bersalam dengan Orang Yang Hidup Dengan HIV (ODHA)?”
“Saya HIV positif. Berapa lama lagi saya boleh hidup?”
“Pekerja seks mengeluarkan air mani saya menggunakan tangan, adakah saya berisiko dijangkiti HIV?”
“Aq nk tnya ko pasal HIV, bole ke?”
(Aku mahu tanya engkau tentang HIV, bolehkah?)
Cantiknya bahasa sedangkan gambar profile yang bertanya melalui WhatsApp tersebut kelihatan sebaya anak-anak aku.

Jika aku layan, biasanya perlahan-lahan masalah sebenar akan terbongkar satu persatu. Sama ada mereka memang betul-betul tidak faham tentang HIV atau cuba menyelindungkan aktiviti berisiko yang mereka lakukan.

Itu pun masih boleh diterima. Aku paling tidak suka apabila yang menelefon dan bertanya, kononnya bagi pihak kawan mereka tetapi tanpa sedar semasa berbual menunjukkan bahawa mereka sendirilah yang melakukan aktiviti  tersebut. Terus terang apa salahnya?

Sebaik sahaja habis berbual, siap tinggalkan pesanan, “jangan simpan nombor telefon ini ya. Ini bukan nombor telefon saya, tetapi nombor telefon kawan saya. Saya takut dia diganggu.”  Mak aih. Berpuluh-puluh nombor telefon daripada mereka yang tidak dikenali menghubungi aku setiap hari. Engkau ingat aku ada masa hendak simpan nombor telefon engkau?

Aku tidak selesa dengan paranoia kerana aku suka berfikiran positif . Walau bagaimanapun, memang realitinya sikap manusia berbeza-beza. Kemampuan aku juga terhad. Jadi, jika ada pertanyaan yang tidak terjawab, bermakna aku tidak larat. Sila buat sedikit carian maklumat asas di blog ini atau hubungilah sahabat-sahabatku yang lain. Nombor telefon atau alamat e-mel mereka tertera di blog.

Seperkara yang unik ialah, aku berdepan dengan individu yang sama, ditanya soalan yang sama, dijawab dengan ayat yang sama sehingga bertahun-tahun. Mereka risau dijangkitan HIV, sedangkan ujian HIV telah berpuluh-puluh kali mereka lakukan. Mereka akui sakit setiap kali dicucuk jarum tetapi tetap juga bertanya.

Kadang-kadang aku agak marah, mereka tetap bertanya dan pandai ambil hati. Daripada bujang sampai beranak-pinak masih bertanya, adakah mereka ada HIV sedangkan doktor sendiri telah mengesahkan mereka, pasangan, dan zuriat bebas HIV.

Sakit mata, mereka kata simptom HIV. Sakit kaki, mereka kata simptom HIV. Tumbuh jerawat, mereka kata simptom HIV. Lenguh badan, mereka kata simptom HIV sedangkan mereka baru sahaja terdedah dengan aktiviti berisiko seminggu sebelumnya.

Kalau boleh, semua perkara mereka akan kaitkan dengan HIV. Tayar kereta pancit, rumah sempit, isteri merajuk, dan sebagainya, semua ada kaitan dengan HIV. Istighfar sahajalah yang aku mampu lakukan. Mereka langsung tidak perasan yang aku sedang berdepan macam-macam tekanan sebagai ODHA.



Apa itu OCD?

Ringkasnya begini:

OCD adalah Obsessive Compulsive Disorder.

Obsessive adalah:
Fikiran, bayangan, atau imej yang kerap berulang-ulang menghantui fikiran. Ia mengganggu pengidapnya sehingga menjadikan mereka resah, gelisah dan bercelaru.

Mereka sedar bahawa fikiran ini datangnya dari dalam diri sendiri, tetapi sukar mengabaikan.

Ianya bukan sekadar kerisauan, kerana sentiasa menghantui pemikiran dan memerlukan tindakan untuk meredakannya.

Compulsive adalah:
Untuk menghilangkan keresahan dan anxiety akibat obsesi di atas, pengidapnya  mesti melakukan sesuatu yang boleh mengurangkan keresahannya sekalipun berulang-ulang kali sehingga ada pihak menganggap mereka psycho.

Disorder adalah:
Kecelaruan dan gangguan dalam tindakan.

OCD dalam bahasa Melayu lebih kurang bermaksud Tindakan Luar Kawalan Akibat Kecelaruan Melampau.

Pengidap OCD biasanya dianggap mengalami gangguan psikologi dan ada ketikanya dianggap tidak waras. Pengidap OCD dikatakan dihantui rasa was-was dan terpengaruh dengan bisikan iblis syaitan. Itu judgmental juga namanya, bukan?

Perfectionist , was-was atau ragu-ragu berbeza dengan OCD kerana OCD adalah sejenis penyakit.

Kita biasa berjumpa pengidap OCD hampir di mana sahaja bahkan mungkin kita juga turut mengalaminya tanpa sedar. Ingat ya, jika terlalu banyak menyimpan barangan buruk dan usang, kita mungkin mempunyai tanda-tanda mengidap OCD.

Contoh tingkah laku dipengaruhi OCD:

Kita mungkin pernah melihat individu yang terlalu sukar untuk menyempurnakan takbiratul ihramnya semasa sama-sama solat berjemaah di masjid. Apabila imam hampir rukuk, mereka masih bertakbir seperti Ultraman.

Atau...

Individu yang mengambil wudhu’ sehingga beberapa kali sebelum betul-betul berpuas hati, mencuci beberapa pinggan yang sama terlalu lama dan teliti, teragak-agak memilih jenama roti yang mahu dibeli sehingga mengambil dan meletakkan semula berkali-kali dan sebagainya.

Dalam rencana tersebut, aku lihat pengidapnya sangat sukar semasa mahu membuang sampah ke dalam garbage bin di hadapan rumahnya. Beliau akan membuat beberapa pemeriksaan terhadap garbage bin, membuang sampah, menyelongkar, mengambilnya kembali dan memeriksanya semula. Setiap langkah sehingga berpuluh kali. Ada masanya selepas melangkah masuk ke pintu rumah, kembali semula mengulangi tindakan akibat OCD. Bayangkan.

Satu fakta terbaru yang menarik mengenai OCD berdasarkan rencana National Geographic tersebut ialah ianya lebih banyak dipengaruhi faktor biologi berbanding  disebabkan faktor psikososial.

Pengidapnya di seluruh dunia adalah dalam skala 1/40 orang, boleh mengakibatkan kemurungan berpanjangan, dan kemerosotan kualiti hidup.

Maklumat lanjut mengenai OCD boleh dicari sendiri. Kepada yang bertanya dan membantu komuniti, masing-masing wajib faham bahawa ada kemungkinan kita sedang berdepan dengan isu OCD.

Itu sahaja kali ini. Insya-Allah jumpa lagi.

Aku, hamba-Nya yang dhaif,
Mohamad bin Wahid @ Pie @ AHP


Para pembaca boleh berkongsi pengalaman melalui FB AHP Positive Warriors Support Group (Secret Group). Untuk menyertai, sila hubungi admins yang berikut:

Camelia Sulaiman: camelia_sulaiman@yahoo.com
Luka Rafieqa: rafieqakl@hotmail.com


Pertubuhan Amal Firdausi Kuala Lumpur (PAFI)

Sila hubungi:
Laman Web: http://www.amalfirdausi.org
E-Mel: amalfirdausi@gmail.com
Talian Marhabah: 018-207-0953 (Encik Hamli) @ 017-311-0306 (Encik Raffie)
Telefon / Faks: 03-9174-0934
FB PAFI: http://www.facebook.com/amalfirdausi (Open Group)
Twitter: twitter.com/amalfirdausi