Monday, October 22, 2012

AADK BUKTIKAN HIV BUKAN TITIK NOKTAH HIDUP






KUALA LUMPUR: Disahkan menghidap HIV sama ada menerusi penagihan dadah, jarum suntikan mahupun hubungan rambang bukan bermakna titik akhir dalam kehidupan seseorang.

Ini berikutan penubuhan pusat perawatan dan pemulihan dadah menerusi program pendampingan atau ‘outreach’ direalisasikan buat penagih tegar menerusi Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) atau pertubuhan bukan kerajaan (NGO) bertujuan membantu golongan berkenaan.

Menerusi Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983 Pindaan 1998 yang menggariskan seseorang boleh ditahan untuk ujian air kencingnya di bawah Seksyen 3(1) APD (R&P) 1983 sekiranya disyaki sebagai penagih dadah.

Apabila seseorang itu disahkan penagih dadah, majistret boleh membuat perintah menurut Seksyen 6(1) sama ada penagih tersebut menjalani rawatan dan pemulihan di pusat terpilih selama 2 tahun dan pengawasan selama 2 tahun atau diletakkan di bawah pengawasan seseorang pegawai untuk tempoh selama 2-3 tahun.

Kunjungan ke beberapa pusat Cure & Care Service Centre (CCSC) di Taman Maluri, Cheras dan dua pusat berkenaan di Chow Kit yang mengasingkan rawatan untuk lelaki dan wanita menyedarkan kita bahawa golongan itu tidak dipinggirkan.

Ketua Pegawai AADK Daerah Cheras, Norasiken Ahmad ketika ditemui di CCSC Taman Maluri, Cheras berkata, pendekatan mesra digunakan dalam kaedah rawatan penagih dadah atau pesakit HIV yang ditempatkan di pusat itu.

Di pusat jagaan harian yang menempatkan lebih 40 orang itu, mereka melakukan kerja memasak secara giliran, membasuh pakaian dan pelbagai aktiviti bersama dan dikawal selia enam pekerja dan dibantu beberapa pegawai berkaitan. “Mungkin pendekatan kami yang santai dan terbuka menyebabkan ramai kalangan penagih dibantu serta kembali pulih.

Bahkan, ada kalangan mereka sudah pulih sepenuhnya selepas menjalani rawatan di sini, kami mencarikan kerjaya yang sesuai buat mereka berdasarkan kelulusan dan kebolehan masing-masing. “Sebaik habis waktu pejabat, mereka akan pulang ke penginapan berkenaan dan meneruskan rutin hidup seperti biasa. Oleh kerana seronok di pusat ini, ada kalangan mereka tidak mahu kembali ke kampung halaman.

“Sebaliknya, mereka menjadi sukarelawan atau bekerja sebagai pembimbing rakan sebaya (PRS) dengan membantu kumpulan penagih menerusi pengalaman sendiri,” katanya.

AADK katanya, terus mencari jalan meningkatkan lagi usaha dan memperbaiki cara demi mencapai hasrat untuk menjadi Negara Bebas Dadah menjelang 2015 dengan menggunakan pendekatan secara holistik.

Menurutnya, pelbagai program baru dijalankan melalui Transformasi AADK dilakukan dalam bentuk pemulihan yang lebih terbuka, sukarela dan tanpa perundangan serta program rawatan dan pemulihan secara klinikal dipraktikkan.


Sumber: sini
Republished by: Ummie


Para pembaca boleh berkongsi pengalaman melalui FB AHP Positive Warriors Support Group (Secret Group). Untuk menyertai, sila hubungi:

Survivor: survivorpng@yahoo.com
AHP: positive4eva@gmail.com


Sokongan khusus kepada wanita: PEWAHIM.
Untuk menyertainya FB PEWAHIM, (secret group) sila hubungi:

pewahim@gmail.com
019-259-5864 (Norlela) Pengasas

DIJANGKITI HIV AKIBAT KEALPAAN SENDIRI





KALAU 20 tahun dulu, dia boleh meraih lebih RM150 sehari selepas ditolak pendapatan harian oleh ‘bapa ayam’, tapi kini untuk mendapatkan RM10 pun susah.

Fiza (bukan nama sebenar) meniti lorong gelap sebagai pelacur seawal usia 21 tahun dan kini dalam usia mencecah 45 tahun, tiada lagi lelaki menjeling ke arahnya kerana lima tahun lalu dia disahkan HIV positif. 

Katanya, kesihatan yang kurang mengizinkan sejak disahkan dijangkiti penyakit digeruni itu menyebabkan dia mengehadkan aktiviti itu gara-gara ramai ‘rakan setugas’ dan bapa ayam lain turut memaklumkan pelanggan mengenai keadaannya. 

Ini menyebabkan ramai pelanggannya ‘lari’ dan Fiza menghadapi fasa sukar untuk kelangsungan hidup hingga memaksa dia menagih simpati pertubuhan bukan kerajaan (NGO) bagi mencari sesuap nasi.

Namun, katanya, hidup perlu diteruskan dan atas pertolongan NGO itu, dia sedar keterlanjurannya selama ini.

“Dulu saya pernah terfikir untuk berhenti melakukan kerja berdosa ini, tetapi semangat tidak kuat. Cuma tahun lalu, apabila disahkan menghidap sifilis yang dahsyat sehingga alat sulit bernanah dan sukar membuang air kecil, baru saya sedar ajal menghampiri. 

“Sakitnya hanya Tuhan yang tahu, tetapi selepas buat rawatan berkali-kali dan berulang alik ke hospital, akhirnya saya pulih.

“Namun beberapa hari selepas itu, saya kembali mengulangi kerja terkutuk ini kerana itu saja yang mampu dilakukan akibat kebodohan diri.

“Semuanya berpunca daripada sikap saya yang cepat terpedaya dengan rakan sekampung yang menjanjikan kerjaya menarik di ibu kota, sebaliknya saya terjebak dengan bidang pelacuran sepertinya. Beberapa tahun lalu, rakan saya itu meninggal dunia,” katanya. 

Walaupun dilanggani ribuan pelanggan sejak remaja dan kini berdepan musibah Aids pada usia 40-an, wanita ini tidak melakukan rawatan khusus di hospital seperti dilakukan kebanyakan pesakit lain. 

Atas faktor kewangan tidak mencukupi untuk ke hospital, dia terpaksa berserah kepada takdir jika jangka hayatnya tidak panjang kerana tahu sepanjang hidupnya dia hanya bergelumang maksiat dan seharusnya perbuatan terkutuk itu dibalas dengan musibah juga. 

Katanya, bagi mengelak rasa sakit berterusan pada alat sulit, dia menjaga pemakanan tertentu dengan mengelak mengambil jenis makanan yang memungkinkan rasa gatal seperti telur separuh masak dan salad. 

Menurut Fiza, dia pernah cuba melakukan kerjaya lain atas alasan mengubah nasib dan tidak mahu kembali ke dunia gelap itu dengan bekerja sebagai pembantu di sebuah restoran di ibu kota. 

Bagaimanapun, dia tidak tahan apabila kudratnya diperah teruk oleh majikan kerana bekerja seawal jam 4 petang dan berakhir 6 pagi dengan diberi upah hanya RM40 sehari. 

Bekerja lebih 14 jam tetapi gaji tidak seberapa menyebabkan dia hanya bertahan dua bulan dan kemudian mengambil keputusan berhenti kerja dan kembali melacur. 

Pengalaman bergaul dengan penagih najis dadah sekitar Chow Kit turut membuatkan dia terjebak dengan aktiviti tidak bermoral seperti mengambil dadah jenis syabu yang boleh dibeli dengan harga semurah 20 sen. 

Fiza juga mempunyai ‘kekasih’ 15 tahun lebih muda daripadanya dan turut menghidap Aids. Oleh kerana desakan hidup dan tiada pendapatan tetap kerana teman lelaki hanya bekerja mengutip tin atau botol minuman, kehidupan pasangan kekasih ini semakin parah. 

Ditanya mengenai pengalaman pahit yang sukar dilupakan sepanjang hidupnya, Fiza berkata, disebabkan kebodohan sendiri, dia pernah diperdaya pengedar heroin supaya menjaga ‘barang’ yang ditumpangkan di biliknya hingga menyebabkan dia dituduh menjadi pengedar. 

“Disebabkan kebodohan itu, saya terjebak dan dicekup dalam operasi di sekitar Lorong Haji Taib, Chow Kit sebelum Aidilfitri baru-baru ini.

“Dulu saya ditipu rakan baik apabila menawarkan kerja terkutuk ini hingga menyebabkan saya terpedaya, kini sekali lagi saya diperbodohkan.

“Ketika disoal siasat, saya didapati bersalah atas dua pertuduhan iaitu menagih dan salah laku perlakuan seks bebas hingga akhirnya dicekup dan terpaksa meringkuk dalam penjara selama tujuh bulan.

“Sejak itu, saya nekad menghentikan aktiviti ini kerana setiap musibah membuatkan saya benar-benar insaf dan mahu berubah serta berharap jadikan pengalaman saya sebagai iktibar,” katanya. 

Mengenai harapan masa depannya, Fiza berhasrat bekerja di restoran atau apa saja kerja, termasuk mencuci pakaian, asalkan halal kerana hinanya diri jika seseorang itu tidak mempunyai wang. 

Mengenai keinginan untuk berkahwin dan menjalani hidup berumah tangga seperti pasangan lain, hati wanitanya bagaikan tersentuh apabila diajukan persoalan itu. 

“Sebenarnya, kami akan berdepan pelbagai cabaran, antaranya saringan ujian darah dilakukan sebelum berkahwin pasti jadi penghalang utama kerana kami berdua positif HIV.

“Selain itu, teman lelaki saya pernah menyuarakan perkara itu dan ibu tirinya pula meminta wang RM3,000 untuk persiapan majlis. Apa yang dapat kami buat, sedangkan untuk mengalas perut kami seharian pun tiada, apatah lagi untuk menyediakan wang sebanyak itu,” katanya sebelum mengakhiri pertemuan kami dengan wajah sayu.


Sumber: sini
Republished by: Ummie


Para pembaca boleh berkongsi pengalaman melalui FB AHP Positive Warriors Support Group (Secret Group). Untuk menyertai, sila hubungi:

Survivor: survivorpng@yahoo.com
AHP: positive4eva@gmail.com


Sokongan khusus kepada wanita: PEWAHIM.
Untuk menyertainya FB PEWAHIM, (secret group) sila hubungi:

pewahim@gmail.com
019-259-5864 (Norlela) Pengasas

HIV AKIBAT PANCING ‘IKAN SIAM’





BACHOK: Temberang seorang suami kepada isteri kononnya pergi memancing ikan bersama rakan karib akhirnya terbongkar apabila lelaki berusia 52 tahun itu dikesan dijangkiti virus HIV selepas dipercayai kerap melanggan pekerja seks di pekan Sungai Golok, selatan Thailand, sejak 10 tahun lalu.

Malah, bagi meyakinkan isterinya yang hanya mahu dikenali sebagai Asmah, 45, lelaki terbabit juga sanggup membeli ikan besar seperti kerapu atau jenahak di pasar sebelum pulang ke rumah, kononnya itulah hasil tangkapannya.

Bagaimanapun, rahsia lelaki dikenali sebagai Jaafar itu terbongkar apabila dia disahkan dijangkiti virus HIV selepas sering demam, selain berat badannya menurun mengejut.

Sebaik didesak Asmah berulang kali, akhirnya Jaafar mengaku dia sebenarnya bukan pergi memancing, sebaliknya ‘melancong’ ke pekan Sungai Golok semata-mata untuk melanggan pekerja seks.

Asmah berkata, lebih mengejutkan, suaminya yang bekerja sebagai tukang rumah mendakwa melakukan perbuatan terkutuk terbabit sejak 10 tahun lalu dan lebih 50 pekerja seks Thai pelbagai usia ‘ditidurinya’.

Katanya, ketika ditanya, suaminya turut mengaku nafsunya lebih terdorong kepada wanita warga Thailand kerana terliur melihat paras rupa mereka, selain tertarik dengan tubuh yang berkulit putih serta gebu.

“Jaafar meninggal dunia tiga bulan lalu dan sempat meminta maaf di atas perbuatannya, namun saya dan anak lelaki berusia tujuh tahun (hanya mahu dikenali sebagai Aliff) pula yang menderita kerana turut dijangkiti virus itu.

“Walaupun marah serta geram dengan perbuatannya, saya tidak mampu melakukan apa-apa kerana sudah terlambat,” katanya ketika dia dan anaknya ditemui Metro Ahad di Rumah Masyarakat Prihatin (RMP) di sini.

Kehidupan Asmah semakin malang apabila Aliff pula disahkan mengalami masalah pendengaran oleh pihak hospital, menyebabkan ibu tunggal yang bekerja sebagai pembantu kedai makan itu makin tertekan.

Asmah berkata, perkahwinannya dengan Jaafar adalah yang kedua selepas bercerai dengan suami pertama.

Katanya, melalui perkahwinan itu, mereka dikurniakan dua anak, namun anak sulung meninggal dunia lima tahun lalu akibat demam panas.

“Ketika meminta izin dengan saya untuk keluar memancing, riak mukanya langsung tidak menunjukkan reaksi berbohong, menyebabkan saya percaya kata-katanya.

“Lagipun, Jaafar turut membawa peralatan memancing, termasuk umpan serta bekalan makanan, kononnya hendak bermalam selama dua hari, menyebabkan saya bertambah yakin,” katanya.

Menurutnya, seminggu sebelum meninggal dunia, Jaafar turut memaklumkan dia boleh jadi ‘sasau’ jika tidak pergi ke negara jiran.

“Dia turut mengaku menghabiskan wang antara RM200 hingga RM300 setiap kali melanggan pelacur.

“Kini, saya dan anak sering hadir ke RMP bagi mendapatkan khidmat kaunseling daripada kaunselor, Zaimah Hussin,” katanya.


Sumber: sini
Republished by: Ummie



Para pembaca boleh berkongsi pengalaman melalui FB AHP Positive Warriors Support Group (Secret Group). Untuk menyertai, sila hubungi:

Survivor: survivorpng@yahoo.com
AHP: positive4eva@gmail.com


Sokongan khusus kepada wanita: PEWAHIM.
Untuk menyertainya FB PEWAHIM, (secret group) sila hubungi:

pewahim@gmail.com
019-259-5864 (Norlela) Pengasas

LEBIH RAMAI SURI RUMAH DIJANGKITI HIV BERBANDING PEKERJA SEKS





Oleh NORIAH IDRIS dan AZLAN HAFEEDZ
metahad@hmetro.com.my


KUALA LUMPUR: Mengejutkan apabila kajian terbaru trend kes HIV di negara ini mendapati golongan isteri, terutama suri rumah, sebenarnya lebih lima kali ganda lebih ramai menghidap HIV berbanding pekerja seks berikutan kegiatan liar si suami yang gemar ‘makan luar’.

Mendedahkan perkara itu, Presiden Majlis Aids Malaysia (MAM), Datuk Dr Raj Karim berkata, bilangan wanita yang dijangkiti HIV sangat menyedihkan berikutan ramai tidak tahu suami mereka menyebar virus berjangkit itu.

“Isteri perlu mengambil sikap berjaga-jaga dengan memakai kondom ketika bersama suami (jika mengesyaki pasangan curang) sebagai perlindungan, selain mendapatkan rawatan segera jika mendapati ada jangkitan penyakit untuk mengelak risiko kepada anak dikandung.

“Kita tidak menafikan segelintir lelaki di pantai timur, utara tanah air atau yang bersempadan dengan negara jiran seperti Thailand dan Indonesia, melanggani pelacur kerana kaji selidik mengenainya pernah dibuat sepasukan penyelidik bagi mendapatkan gambaran sebenar.

“Selain itu, golongan nelayan menyebarkan penyakit kepada pasangan selepas melakukan hubungan dengan wanita lain di luar perairan negara dan segelintirnya didapati mengambil dadah jenis suntikan. Hal ini akan menjadi semakin membimbangkan jika tidak dipantau sebaik mungkin,” katanya kepada Metro Ahad.


Sumber: sini

Republished by: Ummie


Para pembaca boleh berkongsi pengalaman melalui FB AHP Positive Warriors Support Group (Secret Group). Untuk menyertai, sila hubungi:

Survivor: survivorpng@yahoo.com
AHP: positive4eva@gmail.com


Sokongan khusus kepada wanita: PEWAHIM.
Untuk menyertainya FB PEWAHIM, (secret group) sila hubungi:

pewahim@gmail.com
019-259-5864 (Norlela) Pengasas