Wednesday, August 17, 2011

BUKTI: DOKTOR SENDIRI AKUI BERLAKU KECUAIAN...


DOKTOR LATIHAN SISWAZAH KENA KERJA 40 JAM BERTERUSAN

SAYA tertarik dengan pandangan 'insan simpati' berkenaan doktor muda yang disiarkan dalam ruangan ini pada 20 April lalu. Saya baru saja selesai tempoh sebagai pegawai perubatan latihan siswazah atau 'houseman' di sebuah hospital di selatan tanah air.

Memang benar seperti apa ditulis oleh ‘insan simpati’, malah ada yang lebih teruk lagi. Ada di antara kami yang bekerja berterusan selama 40 jam seandainya kami ‘on-call’, purata antara enam dan tujuh kali dalam sebulan.

Akibatnya, kami memang benar-benar keletihan hingga mudah berasa tertekan dan marah yang ada kalanya kami tanpa sedar meluahkannya kepada pesakit. Komunikasi dengan pesakit juga nampak kurang mesra kerana keletihan.

Kesilapan juga mudah berlaku, seperti yang pernah dialami antaranya salah memberi ubat, dos yang tidak tepat, terlupa menyelesaikan tugas, kerja yang tidak sempurna dan optimum sehingga berlaku ulangan kerja contohnya seperti prosedur mengambil darah, memasang jarum penghubung (branula) dan sebagainya.

Kesihatan dan nyawa doktor juga menjadi taruhan. Pernah berlaku, seorang teman satu universiti meninggal dunia akibat kemalangan jalan raya selepas pulang dari kerja. Punca kemalangan akibat tertidur ketika memandu kerana keletihan.

Mungkin ada yang tidak tahu, sebagai seorang ‘houseman’, harus melengkapkan empat bulan ‘rotation’ di dalam satu jabatan. Untuk tempoh itu, hanya lapan hari cuti diberikan.

Ketika mereka wajib bekerja setiap hari. Sabtu dan Ahad biasanya hanya perlu datang pada waktu pagi dan petang untuk melakukan rondaan jika tidak ‘on-call’. Hingga kini tiada saluran khusus untuk ‘houseman’ mengadu masalah.

‘Houseman’ takut untuk mengadu kerana bimbang akan dipanjangkan tempoh latihan dalam jabatan, dilabel sebagai doktor bermasalah dan ‘lembik’, ‘mengada-ngada’ dan sering dinasihatkan untuk bersyukur dan dibandingkan dengan doktor zaman dulu.

Sememangnya adalah wajar untuk berlaku penghijrahan doktor ke sektor swasta.

Sebab utama kerana beban kerja yang tidak setimpal dengan gaji yang ada, di samping tiada masa terluang untuk aktiviti lain atau bersama keluarga tersayang.

Mungkin orang di luar mudah mengatakan ‘Ala, kerja biar ikhlas, jangan merungut’ tetapi realitinya kalau anda di situasi seperti ‘houseman’, apa anda sanggup?

DR CEKAL,
Kuala Lumpur.


AHP:
Aku memang bersimpati dengan nasib doktor-doktor pelatih ni. Tetapi bagi aku itu masalah dalaman KKM dan KKM patut selesaikan. Malangnya, aku memang lebih kasihan kepada pesakit dan aku adalah antara mangsanya.

Banyak kali aku aku baca rungutan sebegini di kalangan doktor pelatih di media massa. Lihat saja mereka mengaku ada yang tersalah diagnos dan bagi ubat. Apa kena mengena pula masalah pegawai perubatan atau sesiapa sahaja pekerja kesihatan dengan hak mendapatkan rawatan terbaik dan kebajikan para pesakit? Kenapa kesihatan dan masa depan pesakit turut dilibatkan? 

Maaf, aku bukan tak faham tekanan mereka tetapi adilkah pula sikap mereka menyebabkan masa depan pesakit tergadai? Kadang-kadang kita terlalu bersimpati terhadap diri sendiri dan jika mentality begini berterusan, ramailah pesakit menjadi mangsa.

Tolong  faham, tiada pesakit normal yang sukarela duduk berehat-rehat dan melancung di hospital. Gajah dengan gajah bergaduh, kancil yang sedang jalan dengkut penyek kat tengah-tengah. Orang atas dan cerdik pandai, sila selesaikan masalah ini.

Monday, August 15, 2011

UBAT ‘HARAM’ MASIH BERLELUASA


APABILA sakit badan, demam, pening kepala atau sakit gigi, perkara pertama yang terlintas dalam fikiran setiap daripada kita pastinya adalah ubat.

Bukan sekadar sakit saja, sebaliknya dalam kehidupan kita juga, ubat adalah satu kemestian, terutama dalam penjagaan tubuh badan.

Paling mudah adalah penggunaan ubat gigi bagi melindungi gigi dan sabun bagi melindungi badan daripada bakteria dan kekotoran.

Menjadi kelaziman, kita yakin ubat diambil mampu menyembuhkan sakit dan disebabkan itu juga mentaliti masyarakat akan mengatakan ubat adalah bagus dan baik untuk tubuh.

Oleh kerana itu juga, tidak hairan pelbagai ubat-ubatan boleh didapati dengan mudah sama ada melalui preskripsi diberi pakar perubatan di pusat perubatan, farmasi, kedai runcit hinggalah di kedai kaki lima asalkan ubat diambil mampu menyembuhkan sakit dialami.

Namun tahukah anda, walaupun ubat dalam pasaran dihasilkan untuk satu tujuan iaitu menyembuhkan penyakit, sebenarnya ada yang menggunakan bahan diharam oleh syarak, sekali gus haram diambil umat Islam.

Bukan hanya kerana prosesnya tidak mengikuti hukum syarak, malah kebanyakannya menggunakan bahagian daripada bangkai haiwan yang tidak disembelih, termasuk babi.

Dekan Pusat Pengajian Sains Farmasi, Universiti Sains Malaysia (USM), Prof Syed Azhar Syed Sulaiman berkata, rakyat di negara ini sememangnya terdedah kepada pengambilan ‘ubat haram’ tidak kira bagi tujuan rawatan perubatan, kecantikan atau penjagaan kesihatan.

“Berdasarkan ujian dilakukan, kami dapati boleh dikatakan banyak ubat dalam pasaran di negara ini diperbuat daripada campuran unsur babi.

“Bahagian babi ini pula bukan hanya membabitkan penggunaan gelatin, sebaliknya semua bahagian, daripada kulit, bulu, kelenjar pituitari, pankreas, usus, otak, plasma hinggalah hempedu,” katanya.

Kegunaan bahagian haiwan, termasuk babi


Mungkin akan timbul persoalan mengapa pula bahagian haiwan seperti babi digunakan dalam proses perubatan?

Adakah kerana penemuan saintifik mengenai keberkesanan bahagian babi dalam menyembuhkan badan terhadap melawan serta merawat penyakit dihidapi?

Jawapan sebenarnya mudah, ini kerana unsur daripada haiwan seperti babi digunakan sebagai ‘pembawa’ atau ‘pengikat’ terhadap kandungan ubat dihasilkan.

Pembawa atau pengikat dimaksudkan adalah unsur seperti ‘gliserin’ atau minyak yang dicampurkan bagi membolehkan sebatian ubatan berkenaan digunakan.

“Dalam konteks sains, memang wujud pelbagai unsur yang digunakan bagi menghasilkan ubat seperti yang berbentuk gel atau nano partikel. Namun kos untuk menggunakannya sangat tinggi kerana bahan berkenaan mahal, sekali gus menyebabkan produk dihasilkan perlu dijual mahal.

“Bagi menjimatkan kos, syarikat yang mengeluarkan produk ubatan berkenaan menggunakan bahan daripada babi yang secara tidak langsung mengurangkan harga jualan produk ubatan mereka serta mampu dibeli orang ramai,” katanya.

Bahagian daripada babi digunakan secara meluas dalam penghasilan ubat berikutan lebih mudah didapati dan kosnya murah berbanding bahagian haiwan lain seperti lembu.

Selain itu, ketiadaan undang-undang yang mensyaratkan setiap produk ubatan dihasilkan perlu dilabelkan sebagai haram atau halal menyebabkan ramai masyarakat kurang berhati-hati dan berwaspada dalam pengambilannya.

“Ramai daripada kita pergi berjumpa doktor atau farmasi untuk mendapatkan ubat jika sakit. Kita bertanya adakah ubat itu elok untuk sakit dialami dan mampu merawatnya atau tidak, tetapi langsung tidak bertanya kandungan sebenar ubat.

“Ini satu punca lambakan ubat haram di pasaran kerana masyarakat tidak membuat pilihan, sebaliknya hanya menerima saja apa yang boleh didapati dengan mudah. Jika masyarakat dapat menolak kehadiran ubat haram dan mengambil ubat halal, lambakan ubat haram tidak berlaku,” katanya.

Sudah lumrah bila sebut pasal ubat, orang beranggapan ia membabitkan penggunaan teknologi makmal sains perubatan yang mendalam dengan pelbagai uji kaji yang pastinya bebas daripada unsur memudaratkan kesihatan dan bertindak sebagai ejen rawatan.

“Yang perlu difahami sebenarnya adalah ubat dihasilkan hanya diuji supaya selamat diambil, tidak memberi kesan sampingan serta memberi kesan mujarab sebagaimana kegunaannya iaitu bagi menahan kesakitan, mengekalkan kecantikan dan kesihatan mahupun merawat sakit dialami.

“Namun ia tidak diuji sama ada halal digunakan atau tidak,” katanya.

Menurut Syed Azhar, kebanyakan ubat berkenaan diimport, namun tidak dinafikan ada ubat dihasilkan dalam negara juga mempunyai unsur daripada bahagian babi.

Ini berdasarkan kajian Pusat Pengajian Sains Farmasi, Universiti Sains Malaysia, yang mengesahkan wujudnya kandungan daripada unsur babi terhadap ubat yang turut didapati dengan mudah di kedai runcit dan boleh dibeli oleh kanak-kanak seawal usia sekolah rendah.

Kajian dijalankan juga mendapati daripada setiap 10 produk ubatan di pasaran negara ini, tiga diuji positif mempunyai kandungan babi.

Ubat-ubatan berkenaan membabitkan pelbagai jenis sama ada moden mahupun tradisional, termasuk bagi rawatan kecantikan, perubatan mahupun ubatan berbentuk supplemen yang meliputi pelbagai jenis vitamin bagi memastikan diri sentiasa kekal sihat dan cergas.

“Ubat haram ini bukan saja membabitkan pil, tablet, kapsul, cecair yang disapu pada kulit, ditelan atau disuntik, malah turut membabitkan jamu, campuran herba dan serbuk.

“Namun, paling merisaukan kita adalah ada antara ubat ini memang boleh didapati dengan mudah,” katanya.

Fatwa mengenai penggunaan gelatin haiwan

Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia Kali Kelapan yang bersidang pada September 1984 membincangkan mengenai isu penggunaan gelatin dalam ubat.

Muzakarah memutuskan, penggunaan gelatin dalam ubat pada waktu itu diharuskan kerana darurat.

Jika ada bahan halal yang dapat menahan ubat daripada cepat rosak, penggunaan
gelatin dalam ubat tidak lagi diharuskan.

Namun, selepas tempoh itu adakah penggunaan gelatin daripada bahan haram berkenaan masih diharuskan, sedangkan wujud kaedah yang mampu menghasilkan gelatin daripada sayuran serta haiwan yang disembelih mengikut kaedah Islam dan hukum syarak.

Menurut Syed Azhar, masyarakat perlu tahu ubat-ubatan mengandungi bahagian babi dibenarkan di Malaysia jika ia menepati syarat pendaftaran ditetapkan, terutama daripada segi kualiti, selamat dan tiada kesan sampingan yang memudaratkan.

Disebabkan itu, masyarakat perlu mengambil peranan dengan membuat semakan dengan Pusat Pengajian Sains Farmasi USM atau mana-mana makmal milik swasta atau kerajaan di negara ini mengenai status kandungan produk ubatan yang mereka ingin ambil.

Menurut Syed Azhar, dalam kebanyakan kes, tidak timbul isu bahawa pengguna mahupun pesakit, khususnya yang beragama Islam, tiada pilihan dan terpaksa mengambil ubatan yang mempunyai unsur haram berikutan kebanyakan ubat pada masa kini sebenarnya mempunyai alternatifnya sendiri.

“Tidak timbul dilema bahawa wujudnya keterpaksaan dalam pengambilan ubat-ubatan kerana ubat atau kaedah perubatan yang wujud pada masa kini bukan hanya dihasilkan oleh negara bukan Islam.

“Sebaliknya, boleh dikatakan kebanyakan negara Islam di seluruh dunia menghasilkan ubatan yang mengikuti hukum syarak serta halal, berfungsi
serta berkesan seperti produk ubatan haram yang ada,” katanya.

FAKTA

Mungkin ramai orang Islam tidak tahu bahawa label bertulis ‘This product contain substance from porcine’ sebenarnya bermaksud ‘Produk ini mengandungi bahan daripada babi’. Selain itu, antara label yang kerap digunakan adalah ‘The source of gelatin capsule is porcine’ yang bermaksud ‘Kapsul dari gelatin babi’.

Berikut antara istilah sains yang digunakan dalam produk yang mengandungi unsur babi

1. Pork: Istilah yang digunakan untuk daging babi di dalam masakan
2. Swine: Istilah yang digunakan untuk keseluruhan kumpulan spesies babi
3. Pig: Istilah umum untuk seekor babi atau sebenarnya bermaksud babi
     muda, berat kurang daripada 50kg
4. Hog: Istilah untuk babi dewasa, berat melebihi 50kg
5. Porcine: Istilah yang digunakan untuk sesuatu yang berkaitan atau berasal
    daripada babi. Porcine sering digunakan di dalam bidang perubatan untuk
    menyatakan sumber yang berasal daripada babi
6. Boar: Babi liar
7. Lard: Lemak babi yang digunakan bagi membuat minyak masak dan sabun
8. Bacon: Daging haiwan yang disalai, termasuk babi
9. Ham: Daging pada bahagian paha babi
7. Sow: Istilah untuk babi betina dewasa (jarang digunakan)
8. Sow Milk: Susu babi


Bahagian babi yang sering diguna dalam penghasilan produk

PANKREAS - bagi menghasilkan insulin
LEMAK -       digunakan dalam proses pembuatan susu, alat kosmetik, perisa 
serta pewarna tambahan, tablet serta minyak
DARAH -       digunakan bagi menghasilkan serum atau vaksin serta tablet
TULANG -     bagi penghasilan gelatin, cairan atau emulsifier dalam ubat,
                       minuman dan makanan. Juga digunakan dalam penghasilan
                       kalsium fosforus dalam produk ubat gigi serta susu
KULIT -          penghasilan kolagen dalam perkakasan kosmetik serta ubat bagi
                       rawatan kecantikan
ORGAN DALAMAN - bagi penghasilan media fermentasi seperti etanol,
                       laktat, aseton atau butirat

http://www.hmetro.com.my/articles/Ubat__8216_haram__8217_masihberleluasa/Article/artikelMA



Sunday, August 14, 2011

BERBUKA DENGAN MAKANAN MANIS BUKAN SUNNAH NABI?

Kali ini aku kongsikan pula ilmu yang sungguh bermanafaat daripada blog mentor aku ni. Rugi sangat sekiranya maklumat penting sebegini tidak kita kongsi-kongsikan. Kepada yang belum pernah baca, sila-silakan membacanya ya...




بسم الله الرحمن الرحيم
Ramadhan kembali bersama kita lagi. Sudah pasti setiap muslim ingin sekali memenuhi seharian mereka dengan amal ibadah sehinggalah Ramadhan pergi meninggalkan kita semua. Dan di bulan puasa ini, sering kita mendengar kalimat ‘Berbuka puasalah dengan makanan atau minuman yang manis'. Kononnya itu adalah sunnah Rasulullah s.a.w. Benarkah demikian?

Dari Anas bin Malik ia berkata : “Adalah Rasulullah berbuka dengan Rutab (kurma segar) sebelum sholat, jika tidak terdapat Rutab, maka beliau berbuka dengan Tamar (kurma kering), maka jika tidak ada tamar kering beliau meneguk air. (Hadits riwayat Ahmad dan Abu Dawud)

Nah. Rasulullah berbuka dengan kurma. Kalau tidak mendapat kurma, beliau berbuka puasa dengan air. Samakah kurma dengan ‘yang manis-manis’? Tidak. Kurma, adalah karbohidrat kompleks (complex carbohydrate). Sebaliknya, gula yang terdapat dalam makanan atau minuman yang manis-manis yang biasa kita makan sebagai makanan berbuka puasa, adalah karbohidrat sederhana (simple carbohydrate).

Dari mana asalnya sebuah kebiasaan berbuka dengan yang manis? Tidak jelas. Malah berkembang jadi keyakinan umum di kalangan masyarakat, seakan-akan berbuka puasa dengan makanan atau minuman yang manis adalah 'sunnah Nabi'. Sebenarnya tidak demikian. Bahkan sebenarnya berbuka puasa dengan makanan yang manis (karbohidrat sederhana) boleh menjejaskan kesihatan.

Buah tamar, dalam keadaan asli, sebenarnya tidak terlalu manis. Tamar segar merupakan buah yang bernutrisi sangat tinggi tapi berkalori rendah, sehingga tidak menggemukkan.  Jadi, kalau mahu mengikuti sunnah Rasulullah, sebaiknya carilah tamar segar yang tanpa ditambahkan kandungan gulanya. Kini, saya merasakan buah tamar yang terdapat di pasaran adalah dalam keadaan asli.

Kenapa berbuka puasa dengan yang manis sehingga boleh menjejaskan kesehatan?

Ketika berpuasa, kadar gula darah kita menurun. Kurma, sebagaimana yang dicontohkan Rasulullah, adalah karbohidrat kompleks, bukan gula (karbohidrat sederhana). Karbohidrat kompleks, untuk menjadi glikogen, perlu diproses sehingga memakan waktu. Sebaliknya, kalau makan yang manis-manis, kadar gula dalam darah akan melonjak naik. Sangat tidak sehat. Kalau karbohidrat kompleks seperti buah tamar asli, keadaan pergerakannya perlahan.

Mari kita bicara tentang ‘indeks glikemik’ (glycemic index/GI). Karbohidrat sederhana dengan GI (Glycemic Index) tinggi yang memiliki sifat merangsang penimbunan lemak kerana respon insulin yang tinggi. Contohnya makanan atau minuman yang mengandungi kandungan gula yang tinggi. Sementara, Karbohidrat sederhana dengan GI (Glycemic Index) rendah yang memiliki sifat menyediakan tenaga besar yang cepat habis, namun tidak merangsang penimbunan lemak kerana respon insulinnya rendah. Contohnya buah-buahan. Karbohidrat Kompleks pula adalah karbohidrat yang memiliki struktur untaian gula yang panjang dan juga merupakan sumber tenaga besar, namun memiliki sifat yang membuat tenaga yang dihasilkan menjadi lebih tahan lama dan tidak menghasilkan lemak. Dalam tubuh kita karbohidrat kompleks akan diproses secara perlahan, itulah sebabnya tenaga yang dihasilkan menjadi tahan lama.

Nah, kalau perut sudah kosong seharian, lalu langsung dibanjiri dengan gula (makanan yang sangat-sangat tinggi indeks glikemiknya), sehingga respon insulin dalam tubuh langsung melonjak. Dengan demikian, tubuh akan sangat cepat bertindakbalas untuk menimbunkan lemak.

Seorang sufi yang diberi Allah ilmu tentang urusan kesihatan jasad manusia. Kata Beliau, bila berbuka puasa, jangan makan apa-apa dulu. Minum air putih segelas, lalu sholat maghrib. Setelah shalat, makan nasi seperti biasa. Jangan pernah makan yang manis-manis, kerana ia boleh merosakkan badan dan mengundang penyakit. Kenapa nasi? Sebabnya, nasi adalah karbohidrat kompleks. Perlu waktu untuk diproses dalam tubuh, sehingga tindakbalas insulin dalam tubuh juga tidak melonjak. Kerana tindakbalas insulin tidak tinggi, maka kecenderungan tubuh untuk menabung lemak juga rendah.

Inilah sebabnya, ramai sekali orang di bulan puasa lemaknya bertambah di bahagian-bahagian penimbunan lemak: perut, pinggang, pinggul, paha, belakang lengan, pipi, dan sebagainya. Ini kerana tubuh dibanjiri dengan insulin, melalui makan yang manis-manis, sehingga tubuh menimbunkan lemak, padahal otot sedang mengecil kerana puasa.

Rasulullah mengajarkan kita untuk makan dengan tidak berlebihan. Jangan sampai makanan menjadi cubaan yang menghalangi ibadah kita di bulan Ramadhan yang penuh berkah ini. Ramai orang di bulan puasa ini menjadi lemas, mengantuk, atau bertambah gemuk kerana pengambilan makanan yang mengandungi gula yang berlebihan. Kerana salah memahami hadits di atas, maka natijahnya ‘rajin puasa = rajin berbuka dengan gula.’

Jika ingin sihat, ikuti saja kata Rasulullah: "Makanlah ketika lapar dan berhentilah makan sebelum merasa kekenyangan.“ DAN Sabdanya lagi, "Tidak ada satu wadah pun yang diisi oleh Bani Adam, lebih buruk daripada perutnya. Cukuplah baginya beberapa suap untuk memperkukuhkan tulang belakangnya agar dapat tegak. Apabila tidak dapat dihindari, cukuplah sepertiga untuk makanannya, sepertiga lagi untuk minumannya, dan sepertiga lagi untuk nafasnya.” (HR Tirmidzi, Ibnu Majah dan Ibnu Hibban)

Semoga ada manfaatnya...

Dikutip dari kebanyakkan sumber



Friday, August 12, 2011

TAZKIRAH SEORANG PEMBAWA HIV: BERSYUKURLAH ANDA TERPILIH


Assalamualaikum wrh wbk.

Sahabat-sahabatku pembawa HIV yang dikasihi Allah,

Tidak kira siapapun anda, andalah sahabat-sahabatku yang tercinta. Di kesempatan yang ada, izinkan aku yang serba hina di sisiNya ini menyampaikan sebuah tazkirah serba ringkas sebagai peringatan kita bersama.

Firman Allah yang bermaksud:
“Apakah manusia itu mengira bahawa mereka dibiarkan saja mengatakan Kami telah beriman sedangkan mereka tidak diuji. Dan sesungguhnya Kami telah menguji orang-orang yang sebelum mereka, maka sesungguhnya Allah mengetahui orang-orang yang benar dan sesungguhnya Dia mengetahui orang-orang yang dusta.”  [Surah Al-Ankabut, ayat 2-3]

Sahabat-sahabatku pembawa HIV yang dikasihi Allah

Segala ujian Allah bukanlah perkara yang sia-sia. Jauh sekali merupakan satu bentuk ketidakadilan Allah s.w.t. Kita pasti diuji sama ada dalam bentuk kesenangan atau kesusahan.

Ujian dalam bentuk kesenangan sebenarnya jauh lebih sukar. Ramai manusia yang lalai, kufur nikmat dan kufur hakikat akibat limpahan kemewahan, kuasa, kemasyhuran, kesihatan dan lain-lain bentuk nikmat dunia.

Mereka menjadi angkuh, takkabbur dan riak sehingga terlupa bahawa segala sifat kebesaran itu hanya milik Allah. Akidah kadangkala terpesong tanpa disedari. Mereka terlalu cintakan dunia sehingga terlalu takutkan kematian dan akhirat yang pasti.

Demi kecintaan dan kelangsungan terhadap nikmat dunia yang fana ini, ada yang sanggup berterusan melakukan dosa-dosa besar sehingga ke akhir hayat seperti menipu rakyat, menganiaya, mengamalkan riba, rasuah, terlibat dengan khurafat, membunuh dan apa saja. Lebih keji apabila mereka tenggelam dalam lembah kemaksiatan sehingga ke akhir hayat.

Sahabat-sahabatku pembawa HIV yang dikasihi Allah,

Ujian dalam bentuk kesusahan pula Allah uji kita dengan musibah seperti keruntuhan rumahtangga, kematian insan tersayang, dianugerahkan zuriat yang cacat, suami/ isteri yang mengalami penyakit mental, menghidap pelbagai penyakit kronik, papa kedana, menjadi mangsa fitnah, ditimpa kemalangan yang mengorbankan semua anggota keluarga, menjadi seorang pembawa HIV dan sebagainya.

Firman Allah yang bermaksud:
“Boleh jadi kamu membenci sesuatu padahal ia amat baik bagimu, dan boleh jadi pula kamu menyukai sesuatu, padahal ia amat buruk bagimu, Allah mengetahui sedang kamu tidak mengetahui.” [Surah Al-Baqarah, ayat 216]

Ujian terhadap kita sebagai pembawa HIV sebenarnya sangat ringan berbanding ujian terhadap insan-insan lain yang jauh lebih teruji. Ianya masih boleh dirawat. Masih boleh dilawan dengan kekuatan rohani, spiritual, dan fizikal serta berbaik sangka terhadap Allah s.w.t.

Malangnya apabila terlalu memikirkan kepentingan diri dan gagal melihat sesuatu hikmah di sebalik ketentuan Allah, kita terasa bahawa diri kita sahajalah yang paling malang dan menderita.

Hakikatnya jika kita sabar dan redha dengan rahmat Allah, kita sepatutnya bersyukur dipilih menerima didikan serta mendapat teguran direct daripada Allah s.w.t. Bukankah ini tanda kasih sayangnya terhadap kita? Apakah lagi yang lebih berharga selain daripada redha dan kasih sayang Allah?

Sahabat-sahabatku pembawa HIV yang dikasihi Allah,   
             
Sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud:
“Orang yang cerdas ialah orang yang mengendalikan dirinya dan bekerja untuk kehidupan setelah kematian.”  [HR Tirmidzi]

Apabila menjadi seorang pembawa HIV, setiap detik dan perlakuan kita sentiasa dirantai dengan kasih sayang Allah. Baring, bangun, jaga, lena, makan, minum dan apa saja perlakuan sentiasa terikat dengan kebesaran Allah dan kematian.

Adakah sahabat-sahabat mengerti bahawa dengan mengingati kematian menjadikan kita orang yang lebih bersyukur, berlemah lembut, jujur, tekun, bersungguh-sungguh, istiqamah dan penuh nilai positif dalam kehidupan?

Sesungguhnya dengan mengingati kematian menjadikan kita lebih berjaya dan menghargai kehidupan.

Sama ada ada HIV atau tidak, sihat atau sakit, tua atau muda, berkuasa atau marhaen, kaya atau miskin dan bersedia atau tidak, semuanya pasti mati apabila sampai waktunya.

Firman Allah yang bermaksud:
“Katakanlah, Sesungguhnya kematian yang kamu lari daripadanya, maka sesungguhnya kematian itu akan menemui kamu, kemudian kamu akan dikembalikan kepada Allah, yang mengetahui yang ghaib dan yang nyata, lalu Dia beritakan kepadamu apa yang telah kamu kerjakan.” [Al-Jumu’ah:8]

Mengingati mati dan bersedia untuk mati jauh sekali bermaksud kita lemah dan berputus asa. Rasulullah, para sahabat baginda dan orang-orang yang beriman sentiasa mengingati mati dan cintakan kematian.

Mereka adalah pemimpin dunia dan pahlawan yang hebat, yang menyerahkan seluruh hidup mereka demi mencari keredhaan Allah. Ingatlah, hakikatnya Malaikat Izrael sentiasa menziarahi kita sebanyak 70 kali dalam sehari dan bersedia melaksanakan tugasnya tanpa kita sedari.

Sahabat-sahabatku pembawa HIV yang dikasihi Allah,  
          
Firman Allah yang bermaksud:
“Allah tidak membebani seseorang itu melainkan sesuai dengan kesanggupannya.” [Surah Al-Baqarah, ayat 286]

Di sebalik segala ujian ada hikmahnya. Jika kita menderita ramai lagi golongan yang lebih menderita tetapi mereka tetap sabar dan redha. Kenapa kita tidak belajar daripada ketabahan mereka? Kita wajib berpegang kepada dalil naqli ini. Allah tidak pernah zalim, sahabat-sahabatku.

Diuji dengan HIV terutama kerana dikaitkan dengan perlakuan keji yang kononnya akibat pembalasan atas segala dosa seringkali tidak dapat diterima di peringkat awal.

Kita dilanda resah dan gelisah, diburu ketakutan dan sesalan terhadap kealpaan silam. Tidak mengapa, itu norma biasa kita sebagai manusia.

Tetapi perlahan-lahan bangkitlah, terima segala teguran dan ambillah segala peluang yang ada untuk memuhasabah dan mengubah gaya hidup supaya menjadi insan yang bertaqwa. Menjadi insan yang lebih baik daripada semalam.

Ingat firman Allah yang bermaksud:
“Janganlah kamu bersikap lemah, dan janganlah pula kamu bersedih hati, padahal kamulah orang-orang yg paling tinggi darjatnya, jika kamu orang-orang yang beriman.” [Surah Ali-Imran, ayat 139]

Usah terlalu risau terhadap masa depan yang sememangnya bukan di bawah kawalan kita. Kita sekadar hambaNya yang mampu merancang. Dia yang Maha Maha Perencana. Kita berusaha, biar Allah yang tentukan selebihnya.

Hanya Dia yang Maha Menjaga dan Maha Memelihara. Akuilah hidup ini bersifat fana [sementara] dan di sanalah perjalanan kita yang hakiki.

Sahabat-sahabatku pembawa HIV yang dikasihi Allah,

Ingatlah, segala ujian dan musibah Allah umumnya terbahagi kepada tiga iaitu Musibah kafarah, bala’, dan Ibtila’.

Musibah kafarah berlaku ke atas hamba-hambaNya yang baik tetapi terlanjur melakukan kejahatan kerana kelalaian atau kealpaan dan gagal mengawal nafsu.

Kita anggaplah ujian kafarah memang untuk kita. Kita hanya insan biasa yang tidak sunyi daripada melakukan kesilapan. Musibah ini Allah berikan sebagai tebusan terhadap segala dosa kita. Berdosa adalah pasti sama ada kita sedari atau tidak dan walaupun tidak diketahui oleh orang lain.

Musibah bala’ adalah ujian yang dikenakan ke atas orang jahat yang melakukan kejahatan dan diturunkan sebagai hukuman di dunia sebelum dihukum dengan lebih berat lagi di akhirat kelak.

Musibah bala’ sebenarnya tiada kaitan dengan kita jika kita belajar daripada kesilapan dan kealpaan lalu.

Tetapi alangkah malangnya jika ianya benar-benar menjadi bala’ akibat sikap kita yang enggan memperbaiki diri setelah diberi peringatan. Tetap angkuh, tenggelam dan larut dengan kelazatan maksiat, berputus asa dan tidak redha dengan ujianNya. Na'uzubillahu min zaalik.

Musibah ibtila’ pula berlaku ke atas orang-orang baik ketika dia melakukan kebaikan sebagai tanda kasih sayang Allah bagi meninggikan darjat hamba-hambaNya yang beriman kepadaNya.

Sesungguhnya Rasulullah s.a.w, [Kekasih Allah] sendiri diuji Allah dengan segala macam fitnah, pemulauan, penderitaan dan penghinaan. Inikan pula kita insan yang hina.

Musibah ibtila’ juga mungkin untuk pasangan, keluarga dan bayi yang dijangkiti. Apalah dosanya bayi-bayi yang turut dijangkiti HIV. Anak-anak malang ini turut dicemuh dan dikutuk oleh mereka yang merasakan diri mereka cukup mulia.

Siapalah kita untuk mempertikaikan teguran Allah? Apa sangatlah ujian-ujian yang kita hadapi berbanding ujian yang dihadapi baginda Rasulullah?

Bukankah ini satu lagi bukti Allah sangat menyayangi kita dan memilih kita sebagai insan istimewa? Kerana istimewalah kita diberi peringatan. Syukurlah kita tidak dibiarkan berterusan menzalimi diri sendiri.

Sahabat-sahabatku pembawa HIV yang dikasihi Allah,

Redha dan sabarlah dengan ujian Allah untuk mendapatkan ganjaran yang berlipatkali ganda. Jangan sesekali berputus asa dengan rahmat Allah kerana Allah suka kepada hamba-hambaNya yang merayu dan meminta belas kasihan daripadaNya. Itulah sebahagian daripada lambang pengabdian dan penyerahan diri terhadapNya.

Untuk merawat kesihatan diri, adalah lebih penting kita terlebih dahulu merawat kekosongan rohani. Peliharalah solat, perbanyakkan solat sunat taubah, membaca al Qur’an, zikir, selawat, ayat-ayat syifa’ dan berdoa.

Doa itu senjata mukmin. Tiada kekuatan sebenar tanpa kekuatan rohani. Apa digentar kepada virus yang juga sekadar makhluk ciptaan Allah?

Firman Allah yang bermaksud:
“Dan mintalah pertolongan (kepada Allah) dengan jalan sabar dan mengerjakan sembahyang dan sesungguhnya sembahyang itu amatlah berat kecuali kepada orang-orang yang khusyuk.” [Surah Al-Baqarah, ayat 45]

Bukan itu sahaja, solat yang didirikan dengan penuh kesedaran, sempurna   dan ikhlas akan menghindarkan kita serta membantu kita melawan godaan untuk kembali ke lembah kealpaan yang membinasakan.

Penyerahan diri secara total, kekuatan rohani yang dibina, bersikap dan berfikiran positif, berdisiplin menjaga pemakanan dan kesihatan diri serta kepatuhan terhadap rejim rawatan akan menjadikan kita lebih sihat daripada orang lain, insya-Allah...

Ada di kalangan pembawa HIV yang hidup dengan sihat sehingga berpuluh tahun. Bukankah itu tanda syifa’ dan pertolongan Allah?

Maka benarlah sahabat-sahabatku maksud firman Allah:
“Cukuplah Allah bagiku, tidak ada Tuhan selain dariNya. Hanya kepada-Nya aku bertawakkal.” [Surah At-Taubah, ayat 129]

Sahabat-sahabatku pembawa HIV yang dikasihi Allah,

Manusia yang beriman tidak mengenal putus asa dalam perjuangan. Mereka berazam untuk pergi dalam keadaan bermaruah dan diredhai Allah. Mereka mahu pergi sebagai pejuang. Mereka mahu pergi dalam keadaan suci bersih dan bertaubat nasuha daripada segala dosa dan kealpaan.

Jangan sesekali berputus asa kerana Allah telah memberi peringatan dalam firman-Nya yang bermaksud:
“... dan janganlah kamu berputus asa dari rahmat Allah. Sesungguhnya tiada berputus asa dari rahmat Allah melainkan kaum yang kafir.” [Surah Yusuf, ayat 8]

Mari kita lihat segala ujian ini melalui perspektif yang berbeza. Anggaplah ianya sebagai satu rahmat dan permulaan baru. Bukan sebagai bala’ dan pengakhir kepada segala-galanya. Sesungguhnya setiap penyakit ada ubatnya kecuali tua dan mati.

Maksud Firman Allah lagi:
“Dan apabila aku sakit, Dialah yang menyembuhkan aku.” [Surah al-Syu’ara]

Akhir kata sahabat-sahabatku yang tercinta,

Marilah kita kembali ke pangkal jalan. Berbaik sangka terhadap kebesaran dan keadilan Allah. Anggaplah segala cemuhan, sinis, stigma, diskriminasi dan sikap judgmental sebahagian daripada anggota masyarakat sebagai resipi untuk menambahkan pahala dan menguatkan mental kita sebagai insan istimewa. Tak perlu jadikannya sebagai kudis kepada perjuangan kita.

Terimalah hakikat bahawa ini ujian kita. Jika sesekali hati diperbolak-balikkan, ingatlah itu hanya bisikan syaitan dan manusia yang keji dan mahu meyesatkan. Maksud firman Allah:
“...Yang melemparkan bisikan dan hasutannya ke dalam hati manusia, Iaitu pembisik dan penghasut dari kalangan jin dan manusia.”  [Surah an-Nas, 6-7]

Merayulah pertolongan dan perlindungan Allah ketika bersedih, ketakutan dan ragu-ragu.

Jangan sesekali meletakkan pergantungan secara total kepada sesama makhluk kerana setiap makhluk ada had kemampuannya. Manusia menolong tetapi Allah Maha Penolong dan sebaik-baik pemberi pertolongan.

Di kesempatan yang ada ini juga aku menyeru diri sendiri dan sahabat-sahabat yang dikasihi, marilah kita bersungguh-sungguh menghargai anak, isteri, suami, seluruh ahli keluarga dan insan-insan mulia yang telah membantu kita.

Mereka terlalu banyak berkorban dan berjasa kepada kita.   Rebutlah segala peluang yang ada untuk melakukan kebajikan yang berkekalan.

Yakinlah dengan janji Allah dalam firman-Nya yang bermaksud:
“Oleh itu, maka tetapkanlah kepercayaanmu bahawa sesungguhnya tiap-tiap kesukaran disertai kemudahan, Sekali lagi ditegaskan bahawa sesungguhnya tiap-tiap kesukaran disertai kemudahan.” [Surah Al-Insyirah, ayat 5-6]

Bantulah rakan-rakan senasib kerana jika kita sendiri tidak membantu mereka, usahlah terlalu mengharap orang-orang yang sihat di luar sana akan memahami dan membantu.

Kadangkala sedikit bantuan dan sokongan mungkin telah menyelamatkan akidah, sebuah rumahtangga dan satu nyawa. Adakah ketika sihat kita pernah terfikir untuk mendapat peluang hebat sebegini?

Ujian dalam bentuk kesenangan sepatutnya menjadikan kita lebih bersyukur dan tawadhu‘. Ujian dalam bentuk kesusahan pula sepatutnya menjadikan kita hamba-Nya yang lebih kuat, mulia, diredhai, sabar dan redha.

Akhir kata renungkan kata-kataku ini:
“Sikap positif adalah umpama CD4 yang perlu dipertingkatkan dan sikap negatif umpama Viral Load yang mesti dimusnahkan.”

Mohon maaf jika ada sebarang terlanjur kata.


Daripada:
AKU HIV POSITIF (AHP) UNTUK SAHABAT-SAHABAT HIV POSITIF YANG TERCINTA.