Thursday, April 28, 2011

JENIS-JENIS UJIAN PEMERIKSAAN KESIHATAN (2)



Ujian Pemeriksaan Kesihatan merupakan sekumpulan ujian yang direka khas untuk menilai tahap kesihatan seseorang individu. Panduan ini memberikan maklumat umum tentang jenis-jenis dan kepentingan ujian yang dilakukan. Namun demikian, anda dinasihatkan untuk mendapat maklumat atau keterangan lanjut dari doktor anda.

PEMERIKSAAN DARAH PERIFERI

Red Cell Indices
Red Cell Indices memberi petunjuk tentang ketaknormalan sel darah merah.
Hematokrit (PCV)
Nilai PCV yang rendah mungkin disebabkan oleh anemia, kehilangan darah dan anemia hemolitik. PCV yang tinggi boleh disebabkan oleh polycythaemia atau macrocytosis.

Hemoglobin (Hb)
Hb berperanan sebagai pengangkut oksigen kepada sel. Nilai Hb di bawah aras normal menandakan anemia.

Sel Darah Putih
Sel darah putih (SDP) bertindak sebagai sistem pertahanan tubuh terhadap mikroorganisma yang boleh mendatangkan penyakit. Ia boleh dibahagikan kepada 5 jenis iaitu neutrofil, limfosit, monosit, eosinofil dan basofil.

Kehadiran sel yang abnormal menandakan infeksi kronik. Kehadiran sel-sel yang tak matang (blasts cells) dalam darah periferi dan peninkatan nilai SDP menandakan leukemia.

Platelet
Platelet memainkan peranan yang penting dalam mekanisma pembekuan darah bagi mengelakkan kehilangan darah yang berlebihan.

ESR
Erythrocyte Sedimentation Rate (ESR) merupakan kadar enapan komponen selular dalam plasma dalam masa satu jam.

PBF (Peripheral Blood Film)
Smear darah nipis yang diwarnakan dengan pewarna tertentu dan diperiksa di bawah mikroskop. Impression yang diberikan adalah berdasarkan smear darah dan keputusan ujian darah yang lain.

Kumpulan Darah
Dua sistem yang biasa digunakan dalam penentuan kumpulan darah adalah ABO dan Rhesus (Rh). Melalui sistem ABO, kumpulan darah boleh dibahagikan kepada A, B, AB dan O. Taburan bagi setiap kumpulan adalah A (23%), B (23%), AB (5%) dan O (49%).

Di bawah sistem Rhesus pula, darah boleh dibahagikan kepada 2 kumpulan iaitu rhesus positif atau rhesus negatif.

URIN (FEME)

Urin atau air kencing dihasilkan dari proses penyaringan darah melalui ginjal. Kandungan urin bergantung kepada keadaan kesihatan dan pemakanan harian seseorang individu.

pH
Individu normal mempunyai julat pH antara 5.0 hingga 7.0. Faktor yang mempengaruhi pH urin seseorang individu adalah pemakanan harian, tempoh selepas pengutipan sampel, infeksi saluran urinari dan ketakseimbangan hormonal.

Glukos
Ujian saringan kehadiran glukos dalam urin adalah petanda seseorang individu itu mempunyai penyakit diabetes melitus. Namun demikian, kehadiran glukos dalam urin individu yang normal mungkin berlaku dalam individu yang mempunyai ambang glukos rendah; keadaan yang dikenali sebagai glukosuria.

Keton
Keton adalah hasil sampingan daripada metabolisma lemak dan dikumuhkan dalam urin. Keton biasanya hadir dalam pesakit diabetes mellitus kerana sel-sel badan tidak dapat menggunakan glukos sebagai sumber tenaga secara efektif.

Darah
Kehadiran darah dalam urin; hematuria;mungkin berpunca dari ginjal, saluran urinari atau pundi kencing. Hematuria dengan kesakitan adalah satu petanda kehadiran batu karang dalam salur urinari. Namun demikian, kehadiran darah dalam perempuan semasa haid biasanya dianggap normal.

Protein
Kandungan protein meningkat dalam individu yang mengalami infeksi saluran urinari, individu yang mempunyai tekanan darah tinggi, diabetes mellitus dan penyakit ginjal.

Specific Graviti (S.G.)
S.G. adalah indikasi daya pemekatan dan perkumuhan ginjal. Individu normal mempunyai julat S.G. antara 1.015 hingga 1.030.

Mikroskopi
Permeriksaan kandungan urin di bawah mikroskop.

Sel Darah Putih (SDP)
Hitungan kurang dari 5 dalam satu HPF dianggap normal. Peningkatan SDP dan kehadiran bakteria dalam urin adalah berhubungkait dengan infeksi saluran urinari.

Ujian kultur perlu dilakukan untuk menentukan jenis bakteria dan antibiotik yang perlu diberikan.

Sel Darah Merah (SDM)
SDM menandakan kehadiran darah dalam urin.

Sel Epithelia
Hitungan lebih dari 10 dalam satu HPF adalah indikasi infeksi saluran urinari.

Casts
Kehadiran cast granular mungkin menandakan kegagalan fungsi ginjal. Cast hialin boleh hadir dalam urin individu normal selepas senaman berat atau individu yang mengamalkan pemakanan diet kaya protein.

Kristal
Kristal urin yang biasa dilihat adalah kristal asid urik dan kalsium oksalat. Kehadiran kristal triple phosphate menandakan kemungkinan besar kehadiran batu karang ginjal.

UJIAN FUNGSI HATI

Protein (Albumin & Globulin)
Kedua-dua albumin dan globulin berguna untuk mengukur status pemakanan seseorang individu. Kedua-duanya juga berguna untuk mendiagnosis penyakit hati, gastrointestinal dan ginjal (buah pinggang), ketaknormalan protein, kanser dan kegagalan fungsi sel darah.

Bilirubin
Peningkatan aras bilirubin dalam serum boleh berpunca dari kegagalan fungsi hati, obstruksi salur hempedu atau penyakit sel darah merah. Manifestasi klinikal ialah penyakit kuning.

SGOT/AST/Aspartate Aminotransferase
Enzim akan dibebaskan ke dalam peredaran darah apabila sel tercedera dan aras akan meningkat mengikut tahap kecederaan pada sel.

SGPT/ALT/Alanine Aminotransferase
Ianya selalu digunakan bersama SGOT bagi mengukur fungsi hati dan mendiagnos penyakit yang berkaitan dengan kegagalan fungsi hati.

SAP/Alkaline Phosphatase
Paras ALP yang tinggi ditemui pada kanak-kanak, penyakit hati, obstruksi salur hempedu dan penyakit tulang.

UJIAN FUNGSI GINJAL (RENAL FUNCTION TEST)

Elektrolit
Elektrolit merupakan komponen yang penting dalam cecair badan dan keseimbangannya membolehkan berbagai sel dan organ berfungsi secara normal.

Urea
Urea merupakan hasil akhir metabolisma protein dan asid amino. Ia mengukur fungsi ginjal dan hidrasi. Walaubagaimanapun, ianya tidak boleh digunakan secara bersendirian dalam penentuan fungsi ginjal (hanya untuk ujian penyaringan sahaja).

Kreatinin
Kreatinin selalunya diukur bersama-sama urea untuk menentukan fungsi ginjal.

Asid Urik
Gout merupakan sindrom klinikal bagi pesakit yang mempunyai asid urik yang tinggi dalam darah dan pengenapan kristal urate pada tisu lembut; terutamanya pada sendi mengakibatkan respons inflamasi.

Parasnya dalam darah juga dipengaruhi oleh jumlah asid urik yang dihasilkan dan kecekapan eksresi ginjal.

LIPID STUDIES

Aras kolesterol darah memberikan indikasi risiko mendapat penyakit kardiovaskular dan juga berguna untuk menilai fungsi hati dan tiroid.

Kolesterol
Peningkatannya boleh mengakibatkan penimbunan pada dinding salur darah menyebabkan penyempitan dan seterusnya penyumbatan saluran darah (arhterosclerosis).

HDL-Kolesterol
Ianya dikenali juga sebagai kolesterol yang baik (good cholesterol). Ianya berfungsi sebagai pengangkut bagi mengeluarkan kolesterol yang berlebihan dari sel. Nilainya boleh ditingkatkan dengan melakukan senaman harian.

LDL-Kolesterol
Ianya juga dikenali sebagai kolesterol yang tak baik (bad cholesterol). Kolesterol yang berlebihan akan diangkut oleh LDL ke dinding arteri; mengakibatkan artherosclerosis.

Trigliseride
Trigliseride merupakan asid lemak yang ditemui dalam aliran darah. Aras yang tinggi boleh meningkatkan risiko mendapat penyakit jantung.

Glukos (Kandungan gula darah)
Ianya biasa digunakan untuk mengdiagnos penyakit kencing manis (diabetes mellitus). atau bagi menilai tahap pengawalan glukos. Perubahan arasnya dalam darah bergantung kepada aktiviti individu dan juga jangkamasa selepas makan.

Individu dengan keputusan ujian glukos darah dalam keadaan puasa yang menghampiri nilai yang ditetapkan dikehendaki melakukan ujian Glucose Tolerance Test (GTT) untuk menentukan diagnosis penyakit kencing manis.

T4 (Thyroxine)
Aras T4 darah berguna sebagai ujian penyaringan bagi mengesan penyakit tiroid.

Kalsium & Fosforus
Kedua-dua ujian ini berguna bagi mengdiagnos penyakit ginjal dan penyakit tulang (skeletal disorders) serta digunakan untuk menilai elektrolit dan keseimbangan asid-bes.

HBsAg
Individu dengan keputusan HBsAg reaktif juga dikenali sebagai pembawa Hepatitis B (Hepatitis B carrier). Pembawa Hepatitis B mempunyai risiko yang tinggi untuk mendapat penyakit kanser hati dan kerosakan hati (cirrhosis) jika dibandingkan dengan orang normal.

Anti-HBs
Anti-HBs merupakan antibodi yang dihasilkan bagi melawan antigen permukaan Hepatitis B.

Rheumatoid Factor (RF)
RF boleh dikesan pada pesakit yang menghidap rheumatoid arthritis dan inflamasi kronik seperti sifilis, hepatitis, infectious mononucleosis dan leprosi.

VDRL
VDRL adalah ujian penyaringan bagi penyakit sifilis. Keputusan VDRL positif tidak semestinya menunjukkan seseorang individu itu mempunyai sifilis kerana kemungkinan terjadinya reaksi positif palsu. Ujian TPHA dilakukan untuk mengesahkan penyakit sifilis jika ujian VDRL didapati positif di peringkat awal.

Petanda Tumor (Tumour Markers)
Tumour markers merupakan salah satu ujian yang penting yang dapat digunakan bersama dengan ujian lain dalam diagnosis penyakit. Selain daripada mengesan dan mengikuti perkembangan sesuatu penyakit, penentuan dengan ujian petanda tumor tertentu juga dapat menolong mengdiagnos sesuatu penyakit secara klinikal.

CEA (Carcino Embryonic Antigen)
Ianya dihasilkan secara khusus oleh sel yang aktif membahagi (proliferatif). CEA dikesan dalam aras yang tinggi pada pesakit yang mempunyai tumor pada saluran gastrointestinal (pankreas, kolon, rektum), paru-paru, buah dada, kelenjar prostatik dan ovari. Parasnya dalam darah juga bergantung kepada faktor lain seperti kehadiran inflamasi dan juga tabiat merokok.

AFP (Alpha feto Protein)
AFP merupakan antigen onkofetal yang hadir pada sesetengah sel 'germ line tumour' seperti teratoblastoma, kanser testikular dan ovari, kanser hati (hepatocellular carcinoma) dan penyakit hati seperti cirrhosis, hepatitis dan nekrosis. Ujian ini biasanya digunakan secara meluas bagi mengdiagnos kanser hati.

PSA (Prostate Specific Antigen)
PSA dijumpai hanya pada tisu prostatik. Ianya digunakan untuk mengdiagnos kanser prostatik. Aras dalam darah juga meningkat pada keadaan benign seperti benign prostatic hypertrophy (BPH).

CA-125
Aras CA-125 berguna untuk mengesan perkembangan kanser dan nilainya mempunyai korelasi dengan saiz kanser.

CA-153
Aras CA-153 dalam darah meningkat dalam pesakit kanser payudara dan kanser paru-paru. Ianya digunakan untuk mengesan pertumbuhan kanser baru selepas terapi primer sebelum ianya dapat dikesan secara klinikal.

CA-199
Aras CA-199 biasanya meningkat pada pesakit dengan kanser intra-abdomen, adenokarsinoma paru-paru, perut, pundi hempedu dan kolon.

HSV II IgG (Herpes Simplex Type II IgG)
Infeksi HSV jenis II dikelasifikasikan sebagai penyakit jangkitan seksual. Namun begitu, infeksi HSV jenis I yang bukan penyakit seksual mungkin akan memberi keputusan ujian positif palsu. Ini adalah kerana kedua-dua virus tersebut mempunyai banyak persamaan (cross reactivity).

HAV IgG (Hepatitis A IgG)
Kehadiran antibodi adalah kekal dan dapat memberi perlindungan dari jangkitan berulang.

Anti HIV I & II
HIV (Human Immunodeficiency Virus) merupakan agen penyebab bagi penyakit AIDs (Acquired Immune Deficiency Syndrome). Strain virus yang utama adalah jenis I dan II.

Diagnosis serologi dan penyaringan jangkitan HIV adalah melalui pengesanan antibodi HIV (Anti HIV I & II). Pengesahan jangkitan HIV adalah melalui ujian Western Blot.

Individu dengan keputusan ujian Anti HIV I & II negatif tidak bermakna ianya tidak dijangkiti kerana ujian yang dilakukan pada window period akan memberi keputusan negatif palsu.


Sumber: sini


TANGANI HIV DAN AIDS SECARA BERHEMAH


KUALA LUMPUR, 17 Dis (Bernama) -- Rakyat Malaysia seharusnya sudah semakin sedar akan situasi genting yang sedang menyelubungi negara kita akibat serangan senyap epidemik HIV.

Berdasarkan perangkaan Kementerian Kesihatan, kes terkumpul orang yang positif HIV di negara ini telah meningkat dengan banyaknya sejak kes pertama HIV dilaporkan pada 1986.

Sehingga penghujung 2007, terdapat 80,938 orang yang dijangkiti HIV sementara untuk tempoh enam bulan pertama tahun ini, terdapat 1,766 kes baru, menjadikan bilangan orang yang hidup dengan HIV di negara ini melonjak kepada 82,704.

Perangkaan orang yang hidup dengan HIV (OHH) di negara ini dijangka meningkat kepada kira-kira 300,000 menjelang 2015 seandainya tidak ada usaha konkrit untuk membendung penyebaran HIV dan Aids.

Datuk Dr Hasan Abdul Rahman, Pengarah Kawalan Penyakit, Jabatan Kesihatan Awam, Kementerian Kesihatan memberitahu perangkaan ini dalam ucapannya pada pelancaran Laporan Kementerian Kesihatan dan UNICEF 2008 mengenai "Woman and Girls Confronting HIV and Aids in Malaysia" yang diadakan di sini baru-baru ini.

Menurut Dr Hasan, angka tertinggi OHH yang dimaklumkan kepada Kementerian Kesihatan ialah pada 2002, melibatkan 6,978 kes.

Angka tersebut adalah yang tertinggi iaitu 28.5 peratus bagi setiap 100,000 orang tetapi ianya kini menurun kepada 16.7:100,000 pada 2007.

Di sebalik peruntukan RM500 juta kerajaan untuk pelaksanaan Pelan Strategik Nasional dan Program Pengurangan Bahaya 2006-2010, Dr Hasan berkata, pengurusan isu HIV dan Aids memerlukan komitmen peringkat tinggi dari pelbagai pihak.

"Tindakan pencegahan dan pemantauan perlu dilaksanakan secara bersepadu sebelum penyebaran berleluasa HIV.

"Kempen kesedaran awam mengenai risiko penyebaran HIV perlu dipertingkatkan dan mereka yang berisiko perlu menjalani ujian bagi menentukan status HIV serta melibatkan diri dalam mengawal penyebaran virus ini," tegasnya.

ANTARA FAKTA YANG MENGGEMPARKAN

Laporan Kementerian Kesihatan dan UNICEF 2008 setebal 101-halaman mendedahkan banyak fakta yang menggemparkan mengenai epidemik HIV di negara ini.

Lelaki adalah majoriti (92 peratus) kes HIV terkumpul sementara bilangan wanita dan kanak-kanak perempuan kurang daripada 10 peratus.

Pada masa ini, sebahagian besar kes penularan HIV berpunca menerusi pengguna dadah suntikan atau IDU (72.7 peratus) diikuti oleh hubungan heteroseksual (15.3 peratus) dan hubungan homoseksual (1.7 peratus).

Dari segi kaum, sehingga Disember 2007, majoriti kes HIV terdiri daripada lelaki Melayu berusia 20-39. Jangkitan HIV menerusi IDU dilaporkan begitu ketara di kalangan Melayu dan India.

Bagi orang Cina pula, mereka dilaporkan dijangkiti HIV menerusi hubungan heteroseksual.

Laporan tersebut juga melaporkan epidemik HIV telah merebak kepada masyarakat Orang Asli (0.04 peratus) dan penduduk peribumi di Malaysia Timur (Bumiputera Sabah - 0.5 peratus, Bumiputera Sarawak - 0.4 peratus).

Golongan belia berusia 13-29 tahun mewakili 35.9 peratus daripada semua kes HIV di Malaysia setakat ini, majoriti daripadanya lelaki dan IDU.

PEWANITAAN HIV

Menurut Laporan Kementerian Kesihatan dan UNICEF 2008, wanita kekal sebagai satu daripada populasi yang semakin pantas dijangkiti HIV di Malaysia.

Meskipun nisbah wanita dan kanak-kanak perempuan yang dilapor dijangkiti HIV sehingga Disember 2007 kurang daripada 10 peratus, tempoh lima tahun kebelakangan ini melihat kenaikan dramatik bilangan kes baru di kalangan wanita.

Sejak kes HIV pertama dilaporkan di negara ini pada 1986, kaum lelaki adalah penghidap paling ramai virus ini, sebahagian besarnya akibat tabiat berisiko berkait dengan penggunaan dadah, terutamanya menerusi suntikan.

Bagaimanapun, profil mereka yang baru dijangkiti HIV dan menanggung kesan akibat epidemik HIV di Malaysia secara beransur kian berubah wajah di mana semakin ramai perempuan dijangkiti virus ini.

Menurut laporan tersebut, bilangan kes baru wanita dan kanak-kanak perempuan yang dijangkiti HIV meningkat 39 peratus dari 629 kes pada 2002 kepada 875 pada 2006. Jika dibanding bilangan kes baru 2006 dengan 1997 (197 kes baru), kenaikan yang dicatat ialah 344 peratus.

Sehingga Disember 2007, jumlah terkumpul kes wanita yang dijangkiti HIV ialah 6,834 wanita berbanding 74,104 lelaki.

Dari segi kes kematian Aids dan yang berkaitan dengan Aids di kalangan wanita dan kanak-kanak perempuan, bilangannya, masing-masing 1,438 dan 847.

Daripada 6,834 wanita Malaysia yang dijangkiti HIV sejak 1988, 59 peratus kes dilaporkan antara 2002 dan 2006.

Tempoh yang sama juga menyaksikan 65 peratus kes wanita Aids dan 59 peratus kematian berkait dengan Aids di kalangan wanita dan kanak-kanak perempuan.

Di Malaysia, meskipun gambaran umum epidemik HIV sebahagian besarnya bertumpu kepada kumpulan populasi tertentu seperti pengguna dadah, wanita dijangkiti HIV dan menderita Aids akibat pelbagai keadaan dan persekitaran selain daripada mengguna dadah secara suntikan.

Disebabkan faktor biologikal, wanita menanggung risiko 2-4 kali lebih tinggi daripada lelaki untuk dijangkiti HIV menerusi hubungan seks tanpa perlindungan di samping rentanan akibat keadaan sosio-ekonomi.

WAJAH TAK KETARA HIV DAN AIDS

Datuk Seri Tunku Puteri Intan Safinaz Tuanku Abdul Halim, pengerusi Yayasan Sultanah Bahiyah yang turut hadir pada pelancaran Laporan Kementerian Kesihatan dan UNICEF 2008 turut melahirkan rasa khuatir beliau terhadap trend pewanitaan HIV di Malaysia.

"Pada 1990, hanya seorang daripada setiap 86 kes jangkitan baru HIV adalah di kalangan wanita dan kanak-kanak perempuan. Pada penghujung 2007, bilangannya ialah seorang daripada enam jangkitan baru.

"Memeranjatkan juga apabila tinjauan pada 2006 menunjukkan lebih ramai suri rumah yang diuji positif HIV berbanding pekerja seks.

"Di sebalik setiap statistik, setiap wanita, anda akan dapati beribu-ribu kanak-kanak yang tinggal di rumah yang dibayangi HIV. Kanak-kanak ini adalah wajah tak ketara HIV dan Aids, dan penderitaan mereka sering dilupakan.

"Yang menyedihkan juga hak mereka turut terabai dalam kemelut moral yang sering dikaitkan dengan isu HIV," katanya.

Menurut Tunku Puteri Intan Safinaz, bagi keluarga yang menanggung kesan akibat HIV dan Aids, penyakit itu sebenarnya bukan isu yang mencetuskan impak besar.

Dengan rawatan yang berkesan, katanya, penyakit tersebut dapat dikawal secara berkesan buat beberapa tahun dan ini menjamin keluarga kekal bersatu dan para ibu dapat terus menjaga dan mengasuh anak-anak mereka dengan sepenuh kasih sayang.

IMPAK CELAAN

Bagaimanapun, beliau berkata, impak terbesar datang daripada stigma sosial atau celaan masyarakat.

"Ibu-ibu yang ditemui di mana keluarga mereka menanggung kesan akibat HIV dan Aids paling takut dengan orang di sekeliling mereka. Mereka takut dengan reaksi kawan-kawan mereka, daripada sanak-saudara, rakan sekerja dan masyarakat mereka.

"Ada satu kes di mana pekedai di Kedah enggan membenarkan seorang wanita yang positif HIV daripada memasuki kedainya.

"Perasaan takut kepada HIV dan Aids telah dibiarkan mempengaruhi serta mencorak pemikiran sehingga menguasai pertimbangan kita sehingga melukai perasaan orang di mana keadaannya adalah lebih teruk daripada kesan penyakit itu sendiri.

"Stigma atau celaan bukan sahaja mengaibkan mereka yang positif HIV tetapi juga mendatangkan kehinaan kepada anggota keluarga mereka," katanya lagi.

Tunku Puteri Intan Safinaz menambah, stigma juga boleh menyebabkan seseorang itu yang lazimnya dibantu apabila mengalami kesusahan menjadi mangsa kebencian kawan dan jiran.

"Ianya tak berakhir di situ, stigma juga boleh membuatkan suami yang positif HIV menjadi terlalu takut untuk membenarkan isterinya diuji HIV. Stigma juga boleh membuatkan seseorang wanita itu menjadi terlalu malu sehingga dia tidak mendapatkan rawatan, yang bererti kematian awal dan anak-anak kecil akan membesar tanpa ibu mereka," katanya.

Masih mengenai stigma, menurut Tunku Puteri Intan Safinaz, ia juga boleh menyebabkan anak-anak yang positif HIV dipulau oleh guru dan kawan sekolah mereka.

Katanya, stigma juga boleh memaksa anak yang menjadi yatim piatu akibat Aids tinggal di lorong-lorong kerana tidak ada siapa yang mahu menjaga mereka.

"Isu-isu ini adalah realiti dan berlaku setiap hari," beliau berkata.

TANGGUNGJAWAB BERSAMA

Pada pandangan Tunku Puteri Intan Safinaz, usaha mengurangkan impak HIV memerlukan keperluan dan isu wanita bukan sahaja ditangani di peringkat global, negara tetapi juga masyarakat.

"Kita perlu bekerjasama untuk menyelesaikan masalah sosio-ekonomi yang menyumbang kepada risiko wanita untuk dijangkiti HIV termasuk kemiskinan, ketidakadilan jantina, kekurangan peluang ekonomi dan pendidikan serta perlindungan perundangan dan hak asasi. Untuk berjaya, semua halangan ini perlu diatasi," katanya.

Dalam hal yang berkaitan, Tunku Puteri Intan Safinaz menjelaskan, suara kaum lelaki yang lantang diperlukan bukan sahaja untuk bercakap menentang keganasan ke atas wanita tetapi juga menggesa yang lain supaya menjauhi tabiat seksual yang membahayakan wanita dan kanak-kanak perempuan di samping mendidik anak perempuan mereka.

Wakil UNICEF ke Malaysia, Youssouf Oomar senada dengan pandangan yang disuarakan oleh Tunku Puteri Intan Safinaz mengenai tanggungjawab bersama dalam menangani isu HIV dan Aids.

Beliau berkata: "Kita perlu menyokong perubahan tingkah laku, mencabar diskriminasi ke atas orang yang posifit HIV serta mewujudkan persekitaran di mana wanita, belia dan kanak-kanak yang menanggung kesan akibat HIV menerima semua bentuk perlindungan, penjagaan dan sokongan yang mereka perlukan."

UNICEF, katanya, akan terus menyokong usaha Malaysia dalam menangani isu rentanan wanita dan dalam hal demikian, pengetahuan wanita dan kanak-kanak akan jangkitan HIV serta pendidikan kesihatan mengenai reproduktif seksual perlu ditingkatkan.

"Kita perlu juga meningkatkan kemampuan mereka untuk melindungi diri daripada HIV serta menentang diskriminasi jantina dan keganasan," kata Oomar.

PENTINGNYA GOLONGAN MUDA

Menurut Oomar, kaum wanita juga perlu diberi hak untuk membuat keputusan positif dalam berdepan dengan epidemik HIV, bukan semata-mata untuk kepentingan diri mereka tetapi juga anak mereka.

"Dianggarkan hampir 2,000 kanak-kanak di Malaysia positif HIV (daripada jumlah kes terkumpul dari 1998-2006). Ramai yang menjadi anak yatim, kehilangan seorang atau kedua ibu bapa akibat Aids. Ramai lagi yang menghuni rumah penjagaan, dan menanggung kesan teruk stigma kerana HIV dan Aids.

"Jika pun kanak-kanak itu bukan positif HIV, kesan diskriminasi dan tidak dipedulikan memberi kesan yang teruk yang boleh mencetuskan keadaan di mana kanak-kanak itu tidak dapat menikmati alam persekolahan, terputus hubungan persahabatan dan dipinggir saudara-mara serta masyarakat," katanya.

Dalam ucapannya, wakil UNICEF di Malaysia itu turut menekankan pentingnya peranan golongan muda dalam perjuangan mengawal merebaknya epidemik HIV di negara ini.

Memandangkan jangkitan HIV semakin meningkat di kalangan wanita dalam tempoh 10 tahun lepas, kanak-kanaklah yang akan menanggung kesan epidemik ini.

"Tetapi kanak-kanak dan golongan belialah yang mempunyai kuasa untuk mengubah meminda hala tuju HIV untuk generasi akan datang," tambah Oomar.

-- BERNAMA




Wednesday, April 27, 2011

PENYAKIT HERPES GENITAL & KAITANNYA DENGAN HIV

APA ITU HERPES GENITAL?

Jangkitan virus yang disebabkan oleh Virus Herpes Simplex Jenis 1 dan 2
(HSV 1 and 2). Kebanyakan disebabkan oleh HSV 2.

HSV 1 disebar melalui:

1.      Berkongsi perkakas makan
2.      Bercium dengan mereka yang mengalami ulser (cold sore)

HSV 2 disebar melalui hubungan seks vagina ,oral atau dubur
Awas, virus ini masih boleh disebarkan kepada orang lain walaupun tiada ulser di bahagian kemaluan. Setelah dijangkiti, virus ini akan kekal di dalam badan sehinggalah ia dirawat.

BAGAIMANA ANDA TAHU ANDA DIJANGKITI HERPES?

Sesetengah individu tidak menunjukkan sebarang gejala/tanda. Walau bagaimanapun sesetengah dari mereka mungkin mengalami gejala seperti :
Gatal atau sakit yang berlaku setelah beberapa hari terdedah kepada virus.
Kemudian menjadi ruam yang bertukar menjadi merah dan melepuh pada bahagian:

1.      Vagina
2.      Punggung
3.      Dubur
4.      Buah zakar
5.      Penis


jangkitan di mulut

Ruam yang melepuh kemudiannya akan pecah mengeluarkan cecair atau darah dan akhirnya sembuh 2 hingga 4 minggu kemudian. HSV 1 menyebabkan ruam/ulser pada mulut, bibir atau hidung. Gejala seperti demam dan bengkak pada kelenjar limfa mungkin berlaku.


jangkitan di punggung

 

APAKAH YANG BERLAKU KEMUDIAN?


Setelah ruam yang melepuh itu sembuh (sama ada dengan rawatan atau secara spontan), virus ini akan kekal berada dalam badan tetapi tidak aktif (dorman). Apabila sistem pertahanan badan anda rendah, ia akan diaktifkan semula dan menyebabkan ulser yang sangat sakit dan menyiksa.

SISTEM PERTAHANAN BADAN KITA RENDAH APABILA:

1.      Kita merasa penat/lesu dan stress.
2.      Kita mengamalkan cara pemakanan yang tidak sihat
3.      Semasa haid
4.      Episod ulser ulangan adalah kurang teruk dan sembuh dalam
          jangkamasa yang lebih pendek.

BAGAIMANA HERPES GENITAL DIRAWAT?


Setakat ini tiada ubat untuk Herpes Henital. Walau bagaimanapun doktor akan memberi anda ubatan antivirus untuk mengawal jangkitan ulangan dan merawat ulser/ruam yang melepuh

 

APAKAH KOMPLIKASI JANGKITAN INI?


Herpes Genital meningkatkan risiko jangkitan HIV. Jika jangkitan herpes aktif semasa proses kelahiran, bayi berisiko untuk dijangkiti penyakit. Jangkitan Herpes pada bayi yang baru lahir boleh menyebabkan meningitis (jangkitan selaput otak), sawan dan kerosakan otak.

BOLEHKAH KITA MENCEGAH HERPES GENITAL


Herpes Genital dapat dicegah melalui:

Cara yang paling baik adalah dengan mengelakkan diri dari hubungan seks. Jika anda aktif melakukan hubungan seks, amalkan hubungan seks yang selamat:

1.            Setia pada seorang pasangan. Elakkan daripada bertukar-tukar
pasangan.
2.      Gunakan kondom. Walau bagaimanapun, kondom bukanlah 100%
         berkesan dalam pencegahan Herpes Genital, tetapi ianya mampu
         mengurangkan risiko jangkitan.
3.      Elakkan dari pengambilan alkohol atau dadah di mana ia akan
         menjejaskan pertimbangan anda.

Jika anda juga mengidap penyakit Herpes Genital, anda berisiko tinggi untuk mendapat jangkitan HIV semasa melakukan hubungan seks tanpa perlindungan.


Sumber: sini


AHP: Jika mahu lebih jelas tentang penyakit ini, google images berkaitan Herpes Genital. Insya-Allah pembaca akan lebih memahaminya.