Saturday, January 18, 2014

ENTRY WAJIB: MEMAHAMI DAN MENCEGAH HIV/AIDS DENGAN TEPAT



1.                  HIV ialah akronim kepada Human Immunodeficiency Virus. Ianya virus yang menyerang sistem pertahanan badan yang membuatkan mereka yang dijangkiti HIV menjadi lemah dan mudah terdedah kepada pelbagai penyakit.

Pembawa HIV dipanggil People Living with HIV (PLHIV). Apabila mereka dijangkiti penyakit-penyakit tertentu maka mereka dipanggil mengidap AIDS.

AIDS pula adalah akronim kepada Acquired Immunodeficiency Syndrome.

AIDS sering disalahfaham sebagai satu penyakit. Hakikatnya TIDAK kerana AIDS merujuk kepada sekumpulan penyakit yang biasa dihidapi oleh pembawa HIV. Ianya dinamakan Jangkitan Opportunistik (JO).

JO merupakan jangkitan yang “mengambil kesempatan” kerana kelemahan sistem daya tahan badan. Ada lebih kurang 30 JO yang diklasifikasikan sebagai AIDS.

JO hanyalah merupakan penyakit biasa yang mungkin dihidapi oleh sesiapa sahaja tetapi kerana mereka bukan pembawa HIV maka mereka tidak dipanggil pesakit AIDS.

Contohnya penyakit TB. Jika bukan pembawa HIV, mereka dipanggil pesakit TB tetapi jika pembawa HIV, mereka dikatakan mengidap AIDS.

2.                  Setakat ini HIV/AIDS memang tiada penawar (sembuh sepenuhnya) tetapi ianya boleh dirawat sama seperti penyakit-penyakit kronik yang lain seperti pesakit jantung, darah tinggi dan kencing manis.

Melalui rawatan yang betul, penjagaan kesihatan dan pemakanan yang berkhasiat, seseorang pembawa HIV mampu hidup lama dan sihat seperti insan lain tanpa apa-apa masalah. Boleh dikatakan AIDS dapat dielakkan jika pembawa HIV mendapatkan rawatan awal.

3.                  Rawatan HIV terbahagi kepada dua iaitu rawatan Counseling dan Pharmacology. Secara umum, rawatan utama Pharmacology adalah HAART.

4.                  HAART adalah Highly Active Anti-Retroviral Therapy iaitu ubat antiretroviral yang menghalang virus-virus baru terbentuk dan membantu sistem imuniti berfungsi secara normal di dalam badan pembawa HIV/ AIDS.

Disebabkan HAART adalah kombinasi dadah kartel, ianya memberikan risiko kepada pembawa HIV untuk menghadapi kesan sampingan. Oleh itu makanan berkhasiat akan membantu mengurangkan kesan buruk dadah tersebut di samping meningkatkan kebolehan tubuh menyerap ubat-ubatan. Makanan berkalori tinggi seperti protien, karbohidrat dan senaman sangat membantu.

5.                  Punca jangkitan HIV disebabkan kerana individu gagal mengambil langkah-langkah pencegahan semasa melakukan aktiviti berisiko. Contohnya tidak menggunakan kondom semasa melakukan hubungan seks dan berkongsi jarum suntikan yang tercemar dengan darah HIV.

Sekalipun seseorang individu aktif melakukan hubungan seks berbilang pasangan tetapi masih mengamalkan seks yang selamat, beliau tidak akan dijangkiti. Begitu juga sekiranya mereka menyuntik dadah (IDU) tetapi tidak berkongsi jarum suntikan, anda tidak akan dijangkiti.

HIV juga tidak akan berjangkit melalui dadah jenis sedutan seperti ganja, pills seperti ecstasy dan lain-lainpills psychotropic dan cecair seperti ubat batuk.
    
6.                  Punca jangkitan HIV hanyalah melalui:

6.1             Perhubungan seks tanpa kondom dengan orang yang telah dijangkiti HIV, di mana berlaku pemindahan cecair badan seperti air mani, air mazi, bendalir faraj atau darah (termasuk darah haid) dari tubuh orang yang telah dijangkiti HIV itu ke tubuh orang yang lain.

6.2             Melalui darah yang telah dicemari dengan HIV, umpamanya melalui jarum suntikan yang tidak disteril, pemindahan darah dan organ-organ badan.

6.3             Melalui ibu yang telah dijangkiti HIV kepada anaknya semasa kehamilan, kelahiran atau memberi susu badan.

6.4             Pemindahan darah / organ

OLEH ITU…

HIV tidak akan berjangkit melalui sentuhan, bergaul, berkongsi makanan, tandas, peralatan, bersukan, berpelukan, ciuman dan apa sahaja selagi tidak melibatkan punca-punca di atas. Jadi kenapa anda takut dengan pembawa HIV?

(Sebenarnya setiap hari anda mungkin bergaul dan berkongsi peralatan makanan dengan pembawa HIV di masjid, tempat kerja, majlis-majlis perkahwinan, di kedai-kedai makan atau restoran)

7.                  Risiko jangkitan HIV melalui ibu kepada anak adalah sekitar 30% tetapi jika ibu tersebut mengambil HAART, risikonya hampir sifar kerana HAART mampu menekan virus sehingga lebih rendah daripada 50 copies.

8.                  Virus HIV adalah virus yang lemah cuma ianya sangat ‘tabah’ mempertahankan diri, menggandakan diri dan bersembunyi di tubuh pembawa HIV. Ianya jauh lebih lemah berbanding virus Influenza dan H1N1 yang boleh tersebar melalui udara. Pembawa HIV sepatutnya pandai memanipulasi dan belajar daripada ketabahan virus itu sendiri.

9.                  Sekitar 6% daripada darah yang digunakan di hospital adalah tercemar dengan pelbagai jenis virus manakala 2.5% daripadanya mengandungi HIV.

Dapatkan pandangan pakar sebelum anda menandatangani sebarang dokumen persetujuan pemindahan darah dilakukan terutama bagi pesakit yang mempunyai sistem imunisasi badan yang sedia rendah seperti pesakit diabetes dan kanser.

Risiko adalah pasti. Jika tidak, pihak hospital tidak akan meminta anda menandatangani sebarang dokumen untuk akur tentang risiko sebelum prosedur sesuatu pemindahan darah dilakukan.

Bagaimana ianya berlaku? Ianya berlaku apabila penderma mendermakan darah dalam tempoh window period (tempoh pengeraman) virus di dalam darah mereka dan jumlah virus masih di bawah 50 copies.

10.             Jika anda golongan berisiko, menghidap hepatitis, HPV dan sebagainya, jangan sesekali menderma darah sebagai cara untuk mengetahui status kesihatan anda.

11.             Masalah utama pembawa HIV dan masyarakat ialah kegagalan memahami HIV secara tepat. Akibatnya berlakulah judgmental, stigma dan diskriminasi. Sikap ini jauh lebih pantas membunuh pembawa HIV berbanding JO.

12.             Kebanyakan anggota masyarakat tidak sedar bahawa di sebalik pembawa HIV yang mereka hukum dengan stigma dan diskriminasi itu, pasangan dan anak-anak mereka yang tidak bersalah turut mengalami tekanan yang cukup dahsyat akibat kekejaman yang tidak berperikemanusiaan ini.

Mereka dipulaukan, hilang punca pendapatan, keyakinan diri dan sebagainya akibat kedunguan yang tidak perlu. 

13.             Punca utama jangkitan HIV sekarang adalah melalui perhubungan seks termasuk di kalangan isteri pembawa HIV yang tidak mengetahui pasangan mereka mempunyai HIV. Bahkan jangkitan di kalangan surirumah lebih tinggi berbanding di kalangan pekerja seks!

Adilkah penderitaan mereka kita tambah tanpa rasa bersalah?

14.             Lebih 70% pembawa HIV/AIDS di Malaysia adalah umat Islam tetapi masih sedikit golongan agama yang bersedia membantu pembawa HIV. Ujian terhadap pembawa HIV adalah ujian terhadap seluruh umat Islam untuk menilai sejauh mana kita membantu saudara seagama. Membantu mereka adalah tuntutan Fardhu Kifayah yang sering diabaikan.

15.             Terdapat ramai pembawa HIV/AIDS yang perlukan bimbingan untuk bertaubat dan kembali ke pangkal jalan tetapi dipinggir dan keliru akibat sikap judgmental sesetengah golongan. Akibatnya ada yang gagal berubah daripada kehidupan silam. Mereka dihukum dengan sejarah yang tidak lagi mampu mereka ubah dan akibatnya ada yang mati di gereja!

16.             Terdapat hampir 100 ribu orang pembawa HIV di Malaysia dan purata jangkitan setiap hari melebihi 10 orang merangkumi semua golongan anggota masyarakat sama ada pelajar IPT, penjawat awam, profesional, ilmuan, agamawan dan sebagainya.

AHP: Fakta adalah melalui rujukan pelbagai sumber. Sila betulkan jika terdapat kesilapan dan sila tambah untuk pemurnian. Insya-Allah aku akan jadikan entry wajib setiap bulan sebagai usaha bersama menentang stigma, diskriminasi, judgmental dan malpractice! Terima kasih.

  

Info Berkaitan:

Laman Web Rasmi PPWM:

NO AKAUN PPWM:
Bank: Maybank
Nombor Akaun: 5560 5750 3949
Nama Pemegang Akaun: Pertubuhan Positive Warriors Malaysia

Para pembaca boleh berkongsi pengalaman melalui FB AHP Positive Warriors Support Group (Secret Group). Anda juga dialu-alukan menjadi ahli Pertubuhan Positive Warriors Malaysia (PPWM). Untuk menyertai, sila hubungi admins yang berikut:

Abd. Shukor Mohd Yunus: shux@positivewarriors.org
Hishamudin Rahman: carphatz_04@yahoo.com
Arm Ly: psychonutsbeast@gmail.com

ENTRY WAJIB: SURAT TERBUKA HIV POSITIF KEPADA ALIM ULAMA’ SEMPENA RAMADHAN 1433 HIJRAH





TOLONG SEBAR-SEBARKAN ENTRY INI JIKA ANDA BERSETUJU BAHAWA IANYA MUNGKIN BERKESAN MENENTANG SALAH FAHAM TENTANG HIV, AIDS, STIGMA, DISKRIMINASI, JUDGMENTAL DI KALANGAN GOLONGAN AGAMA! IANYA BOLEH DICETAK DAN DILEKATKAN DI NOTICE BOARD PEJABAT, SEKOLAH, MASJID, SURAU, KOLEJ, IPTA/ IPTS DAN DI MANA SAHAJA YANG DIFIKIRKAN SESUAI. IANYA JUGA BOLEH DISEBARKAN MELALUI APA JUGA WEBSITES, KHUSUSNYA E-MAIL KEPADA SESIAPA SAHAJA GOLONGAN AGAMA YANG ANDA KENALI. BOLEH JUGA DISEBARKAN MELALUI TWITTER, FACEBOOK DAN BLOG UNTUK 
TUJUAN PENDIDIKAN.


Assalamualaikum wrh. wbk. ustaz dan ustazah…
Ana doakan antum sentiasa berada dalam redha dan rahmat Allah.

Sebenarnya, ini adalah kali kedua ana menulis surat terbuka kepada ustaz dan ustazah melalui blog ini. Sengaja ana pilih Ramadhan al-Mubarak ini untuk berkongsi pandangan kerana bulan Ramadhan adalah bulan yang penuh keberkatan dan perdamaian.

Insya-Allah, surat-surat begini ana tetap akan taip secara berkala untuk diedarkan kepada ustaz dan ustazah sebagai sebahagian daripada usaha ana menyampaikan apa yang ana yakin benar kepada ustaz dan ustazah.

Harap dalam kesibukan antum berdakwah dan beribadah, sudilah kiranya antum membaca surat seorang PLHIV yang hina-dina ini.

Ustaz dan ustazah yang dirahmati Allah,

Terlebih dahulu, lebih sopan rasanya ana perkenalkan diri ana. Ana seorang PLHIV yang berusia 45 tahun, belum pun sampai 2 tahun didiagnos. Apa puncanya? Tak payahlah sampai ke situ. Kerana sikap seperti itu seolah-olah menggalakkan diskriminasi dan judgmental dalam membantu. Ana tak mahu berpolemik.

Yang pasti, ana bukan pengamal aktiviti berisiko, tetapi individu yang terdedah kepada risiko.

Tetapi  kalau antum nak tahu juga, kena rajin-rajinlah membaca di blog ini: http://akuhivpositif.blogspot.com Insya-Allah antum akan tahu dan faham.

Ana bekas pelajar sekolah agama, ada degree yang berkaitan dengan Islamic studies, pendidikan dan kaunseling. Sudah berkahwin dan punya zuriat. Alhamdulillah setakat ini mereka semua non-PLHIV.

Kenapa ana sibuk cerita pasal status akademik ana ni?

Sebabnya ana mahu antum tahu bahawa ana bukanlah tak ada langsung asas agama. Keluarga ana berlatar belakangkan pendidikan agama dan orang-orang masjid. Sikit-sikit tentang hukum asas halal haram tu ana tahu.

Ana juga tak mahu berkonfrantasi dengan antum. Itu bukan cara ana sekalipun ana boleh sahaja google, cari dan petik mana-mana ayat al-Qur’an dan hadis sebagai hujah untuk mempertahankan pendirian ana. Ana bukan nak tunjuk pandai, jauh sekali memandai-mandai. Berdebat tiada gunanya.

Ustaz dan ustazah,

Memanglah punca jangkitan HIV adalah hanya melalui 4 cara:
-  Persetubuhan melalui qubul dan dubur tanpa perlindungan jangkitan (kondom).
-  Perkongsian jarum suntikan yang tercemar dengan darah HIV.
-  Ibu kepada anak.
-  Pemindahan darah dan organ yang tercemar.

Setiap satu punca jangkitan pula punya peratusan risiko yang tertentu. Jangkitan di kalangan suri rumah daripada suami adalah lebih tinggi berbanding di kalangan pekerja seks dan penagih dadah secara suntikan.

Apa relevannya point ana tadi? Maksudnya, HIV ini bukannya mengenal mangsa. Tak kenal mangsanya berdosa atau tidak berdosa. Boleh terjadi kepada sesiapa sahaja yang terdedah kepada risiko termasuk bayi-bayi yang suci bersih daripada dosa dan mereka yang menjalani pemindahan darah.

Jadi, tidak tepatlah kalau kita katakan isu HIV itu semata-mata isu orang berdosa dan hina. Majoriti PLHIV di Malaysia pula berbangsa Melayu beragama Islam.  Jika betul mereka hina dan berdosa, apakah langkah yang kita ambil untuk bantu mereka kembali ke pangkal jalan?

Adakah terlalu hina menjadi PLHIV berbanding pengamal rasuah, pemanipulasi agama, khianat terhadap anak yatim, penggalak kepada budaya hedonisme dan murtad? Adakah hanya kerana kami ada HIV, maka kami wajar menerima penghinaan?

HIV berpunca daripada virus yang sangat lemah tetapi tabah. Tidak berjangkit di luar tubuh manusia. Dengan rawatan yang maju, PLHIV kini mampu hidup sihat sama seperti pesakit-pesakit kronik lain.

Melalui rawatan yang tepat, PLHIV mampu bekerja, panjang usia, berkahwin dan mendapat zuriat bebas HIV, dan tidak menjangkitkan virus kepada pasangan. Yang penting ilmu. Bezanya cuma stigma, diskriminasi, judgmentaldan paranoia yang kita cipta sendiri.

Apa dosa semua ahli keluarga mereka yang dalam kesedihan menerima hakikat adik-beradik, anak, suami, isteri, atau ayah ibu mereka dijangkiti HIV?

Adakah kita berhak menambahkan derita mereka yang turut menerima impak ini dengan pemulauan, hinaan dan cercaan?

Bukan setakat itu sahaja. Di sesetengah tempat, ada yang enggan menguruskan jenazah PLHIV, malahan kubur pun diasingkan. Syukurlah setakat ini ana tidak pernah jumpa kitab yang menyatakan Allah menyediakan neraka atau syurga khas untuk para PLHIV.

Kenapa ini terjadi?

Itulah keburukan sikap jahil. Sifat sombong adalah hak dan milik Allah. Sebab itu nama-nama Allah penuh sifat kebesaran. Jika makhluk bersifat sombong, bagi ana itu namanya riya’ atau takabbur. Kalau bodoh sombong, itu namanya si ego atau si bodoh sombong yang takabbur. Nau’zubillahi min zaalik.

Ustaz dan ustazah,

Diakui bahawa sebahagian besar PLHIV mendapat jangkitan melalui aktiviti-aktiviti seks bebas atau sejenis. Tidak kiralah sama ada heteroseksual, biseksual, atau homoseksual.

Tetapi, tahukah antum bahawa kesemuanya ada sebab dan musababnya. Mereka berasal daripada latar belakang yang pelbagai. Ada yang membesar daripada keluarga yang berantakan, salah didikan, kurang didikan agama, mengalami kekeliruan seksualiti sejak kecil, mangsa manipulasi seks golongan dewasa, dan macam-macam sebab lagi.

Ana beri contoh begini: Andaikan ada seorang ustaz  lahir dengan seksualiti bernafsu terhadap insan sejenis. Ianya bukan pilihan, tetapi kecelaruan naluri yang wujud sejak kanak-kanak dan ustaz tersebut pula muda, sihat, dan normal gelora nafsunya.

Jika bernafsu terhadap perempuan, bolehlah ustaz tersebut mengaku kepada orang lain. Salah satu cara penyelesaiannya sudah tentulah dengan berkahwin.

Bagaimana jika ustaz tersebut berminat terhadap insan sejenis? Takkan antum nak suruh kahwin sejenis? Ustaz tersebut nak mengaku pada orang lain pun tak sanggup sedangkan orang yang diminati, dipuja, dan yang dia bernafsu terhadapnya tinggal serumah atau sebilik.

Bila sebilik dengan seseorang yang kita anggap sahabat tetapi bernafsu terhadapnya, memang sakitlah jawabnya. Kadang-kadang terselak kain pelikat dan tak berbaju. Kadang-kadang bergurau, bertepuk-tampar dan bersentuhan secara normalnya sebagai sahabat karib. Ke hulu ke hilir bersama. Nafsu di dalam hanya Tuhan yang tahu, kan?

Bagaimana tiba-tiba sahabat si ustaz tadi tu kata “ana sayangkan anta lebih daripada segala-galanya,” sambil memeluk dari belakang dan mencium leher ustaz tadi tanpa baju pada malam hari yang dingin?

Kalau lelaki buat begitu terhadap ana, memang mulut dia makan kaki jawabnya…  Jika perempuan, tak tahulah. Ana tak tahan!!! Tambahan lagi kalau masa itu umur ana masih muda.

Astaghfirullaahal adzhiim… bukan maksud ana untuk bercakap kotor depan ustaz ustazah. Ana cerita sebagai analogi bagaimana beratnya mereka dengan ujian nafsu tersebut. Lebih teruk daripada ujian para pesakit kronik lain.

Ana setuju kita wajib jauhi zina. Masalahnya, siapa yang tahu masalah seksualiti dalaman ustaz tadi sekalipun ustaz tersebut berjambang dan berserban sebesar bakul? Siapa nak tangkap lelaki dengan lelaki duduk sebilik atau serumah?

Ana jamin, antum belum tentu selamat jika memang begitu nafsu dalaman antum. Tak kiralah terhadap sesama lelaki atau sesama perempuan (lesbian). Kita yang normal ni mudah sahaja bercakap kerana tidak berdepan ujian.

Bukan bermaksud ana nak bela mereka secara membuta tuli. Ana cuma mahu kita melihat dalam perspektif yang adil. Kalau yang sengaja menempah penyakit dan gatal mencuba-cuba akibat melayan nafsu tu, ana pun marah.

Tetapi, sekalipun mereka pernah khilaf, adakah wajar mereka dibiarkan begitu sahaja?

Bagaimana jika yang khilaf ini kita boleh bantu kembali ke jalan Allah? Kepada golongan yang mengalami seksualiti songsang tersebut, bagaimana nak bantu mereka mengawal nafsu mereka? Bukankah berjihad melawan nafsu itu amat berat?

Ini ujian hati. Penyakit dalaman. Malang sungguh jika masyarakat hanya tahu menghukum dan menghina. Mereka akan lari jauh-jauh kepada golongan yang boleh menerima mereka. Akibatnya? Bayangkanlah sendiri.

Ustaz dan ustazah,

HIV tidaklah sebahaya mana pun jika kita faham. Salah faham dan masalah di sebaliknya yang jauh lebih besar. Ana sudah melaluinya sehingga ana sendiri pernah terfikir untuk menamatkan hidup dengan cara yang salah.

Akidah dan bimbingan terhadap mereka untuk bermujahadah menentang ujian nafsu lebih penting.

Tahukah antum berapa ramai yang rosak aqidahnya kerana dihina oleh golongan agama dan akibat dibuang masyarakat?  Tahukah antum betapa ramai yang masih tenggelam dalam maksiat sekalipun telah diuji dan diberi peringatan oleh Allah? Tahukah antum berapa ramai ahli keluarga mereka yang berdendam dan membenci golongan agama kerana enggan membantu mereka berdepan fitnah dan ujian ini?

Janganlah kita termasuk ke dalam golongan yang bersikap zalim tanpa disedari, wahai ustaz dan ustazah.

Ustaz dan ustazah,

PLHIV bukan sekadar penagih dadah jalanan, pekerja seks, atau penzina yang umum biasa bayangkan. Tangan-tangan mereka mungkin antara tangan-tangan yang sering membantu kita.

Ya, sejujurnya sebahagian daripada mereka pernah terbabas jauh daripada agama. Tetapi, majoriti mereka tetap ingin kembali.

Berada bersama komuniti yang membuat ana sedar bahawa mereka terdiri daripada pelbagai latar belakang pendidikan, punya karier yang hebat dan tinggi. Ramai yang berperanan penting dalam masyarakat. Kalau ana dedahkan mungkin antum tak percaya.

Bahkan mungkin antum tidak percaya bahawa ramai juga daripada PLHIV berkelulusan agama dari IPT dalam negara dan luar negara termasuk Timur Tengah. Doktor, ustaz dan ustazah pun ramai yang PLHIV, tetapi akibat tekanan, mereka mengambil sikap memencilkan diri atau bertukar bidang.

Ustaz dan ustazah,

Sebaik sahaja diuji dengan HIV, mereka cuba tercari-cari kekuatan dan arah. Cuba kembali ke pangkal jalan. Tetapi, alangkah malang akibat sikap judgmental dan diskriminasi, mereka kekal memilih jalan hitam.

Menghadiri beberapa majlis bersama mereka, beberapa kali air mata ana tumpah. Tak mampu menahan sebak di depan khalayak. Mereka sangka ana menangis kerana simpati terhadap mereka.

Betul, tetapi tidak tepat, wahai ustaz dan ustazah. Ana menangis bukan semata-mata sedih mengenangkan nasib mereka, tetapi ana tertanya-tanya di manakah antum ketika mereka perlukan bimbingan?

Ana sedih kerana mereka hanya saling menyandarkan sokongan dan masalah dengan rakan-rakan senasib. Mereka tercari-cari arah pulang. Sangat sedih melihat mereka berkongsi sokongan sesama mereka tanpa bimbingan. Maka jadilah mereka seperti peniaga caca marba. Babi, kitab agama, tasbih, arak, dan video lucah mereka jual sekali atas satu meja.  

Akibatnya, sebahagian daripada mereka kekal dalam kejahilan, kelalaian, syirik dan khurafat. Yang tidak solat, kekal tidak solat. Yang alpa terus alpa, bahkan terus berbangga dengan seksualiti mereka.

Malahan ada yang rela ditaja menyerahkan tubuh dan buntut kepada Yahudi demi keseronokan duniawi yang palsu. Tertekan di negara sendiri, berhijrah pula ke negara lain dan mengamalkan budaya hidup yang lebih Barat daripada Barat. Yang makan budu tiba-tiba sahaja menggemari pizza.

Mencemuh tidak akan membantu. Semakin dicemuh, semakin banyak isu LGBT yang kita jumpa di media massa termasuk internet. Takkan antum tiada langsung rasa terpanggil untuk mencegah mereka daripada terus hidup dalam maksiat? Membantu mereka tidak cukup sekadar membaca 1, 2 ayat al-Qur’an atau hadis.

Mereka umpama sekumpulan kanak-kanak yang seronok bermain air dan berakit berhampiran air terjun. Akibat leka, mereka lalai hingga jeritan amaran tentang rakit yang semakin hampir terjunam tidak mereka dengar.

Kalaulah kita ramai-ramai, bersama mengingatkan, tentu lain keadaannya. Kalau ana seorang atau cuma segelintir yang membantu, apa sangatlah upaya kami. Mari kita sama-sama menyinsing lengan. Yang ada membawa lampu menyalakan lampu. Yang membawa kereta membunyikan hon. Yang ada bot laju memecut mengejar mereka untuk memberi peringatan.

Mampukah kita berlapang dada sedangkan mereka akan memaut kaki antum yang selangkah lagi ke pintu syurga kelak? Bukankah tidak semestinya segala musibah itu adalah bala’? Ada musibah sebagai Kaffarah dan Ibtila’.

Bukankah ujian iman dan sikap tidak peduli juga salah satu bentuk ujian yang lebih bahaya daripada virus HIV? 

Ustaz dan ustazah,

Jika sekadar memikirkan kepentingan diri, ana tak perlu pening-pening kepala kerana mereka. Alhamdulillah, ana ada keluarga yang sangat supportive menerima ana. Ana cukup jelas tentang HIV. Ana tak hairan apa orang nak fikir tentang status ana sebagai PLHIV. Ana juga ada doktor yang sangat bagus merawat ana.

Memang kadangkala ana sendiri pening kepala kerana sikap negative mereka, tetapi sikap tersebut sangat normal bagi insan-insan yang menghadapi ujian ini dan ditambah lagi dengan tekanan psikologi, emosi, ubat-ubatan, dan sebagainya. Jiwa mereka memberontak. 

Suka atau tidak, antum mesti bantu mereka. Isteri, anak-anak yang tidak berdosa turut menjadi mangsa. Perempuan yang jatuh cinta dan ditipu lelaki homoseksual sangat menderita apabila berkahwin jika suami mereka gagal berubah. Belum termasuk lelaki normal yang ditipu isteri homoseksual. Ngeri, bukan? 

Kesimpulannya, ana tak minta banyak sangat, wahai ustaz dan ustazah…

Ana cuma minta, janganlah cepat sangat menghukum. Jadilah insan yang betul-betul berjiwa besar berbanding mereka yang sebahagian antum anggap lemah asas agamanya ini. Ketahui maklumat yang tepat tentang HIV dan sebarkan cara yang tepat mencegah virus ke dalam masyarakat.

Antum sangat besar kewajipan, pengaruh dan peranannya dalam menyebarkan info kepada masyarakat.

Kita wajib memusuhi virus dan perbuatan haram yang banyak menghancurkan ramai umat Islam ini tetapi bukan memusuhi pengidapnya. Mereka saudara seagama kita. Pemulauan, pemencilan, cercaan dan hinaan hanya satu bentuk penafian terhadap hak serta tanggungjawab yang sepatutnya kita tunaikan.

Maafkan ana, ustaz dan ustazah. Ana bukan bermaksud mengajar. Ana sekadar menjalankan kewajipan ana menyeru ke arah kebaikan dan mencegah keburukan. Tuntutan ini tidak terkecuali terhadap sesiapa pun, apatah lagi melibatkan saudara seagama. Janganlah hendaknya kita terlepas pandang isu yang sangat besar ini.

Tugas ana hanyalah menyampaikan. Soal hidayah, urusan Allah.
Lahawlawalaa quwwata illa billah…

Wabillahi taufik walhidayah,

Ana asif (AHP)



Info Berkaitan:


Laman Web Rasmi PPWM:

NO AKAUN PPWM:
Bank: Maybank
Nombor Akaun: 5560 5750 3949
Nama Pemegang Akaun: Pertubuhan Positive Warriors Malaysia

Para pembaca boleh berkongsi pengalaman melalui FB AHP Positive Warriors Support Group (Secret Group). Anda juga dialu-alukan menjadi ahli Pertubuhan Positive Warriors Malaysia (PPWM). Untuk menyertai, sila hubungi admins yang berikut:

Abd. Shukor Mohd Yunus: shux@positivewarriors.org
Hishamudin Rahman: carphatz_04@yahoo.com
Arm Ly: psychonutsbeast@gmail.com