Sunday, January 26, 2014

ENTRY WAJIB: DEDIKASI KHAS UNTUK PARA GADIS YANG NEKAD MAHU BERKAHWIN DENGAN ORANG YANG HIDUP DENGAN HIV (ODHA)


GUNAKAN KEWARASAN, BUKAN TAWAKKAL MELULU


sila share


Sejujurnya ini adalah antara entri yang sangat berat untuk aku kongsikan secara terbuka. Aku tahu ianya melibatkan sensitiviti banyak pihak. Mungkin ramai yang akan terasa hati. Akibatnya aku mungkin dilemparkan dengan pelbagai tuduhan dan bakal kehilangan kawan.

Tetapi, apabila semakin hari semakin banyak aku berdepan dengan isu tersebut, kadangkala aku bingung kerana aku tahu isu ini menyebabkan golongan yang teraniaya semakin teraniaya.

Begini.

Perempuan, apabila menghubungiku meminta pandangan untuk mendirikan rumahtangga bersama ODHA, biasanya yang mereka risaukan ialah adakah mereka berisiko dijangkiti, peluang bakal suami hidup sihat, peluang mendapat zuriat bebas HIV, rawatan, masa depan, dan sebagainya. Memang dalam soal tersebut sebenarnya tidak ada banyak masalah.

Semangat mereka pula biasanya sangat berkobar-kobar. Rela berkorban dan sungguh setia. Malahan kadang-kadang lebih teruja untuk membantu bakal suami. Setakat tolong temankan bakal suami jumpa doktor itu, doktor ini, telefon sana, telefon sini untuk dapatkan pandangan atau berikan sokongan, itu standard! Malah, belum apa-apa lagi ada yang sibuk hendak menjadi supporter dan volunteer. Memang bagus, tetapi tidak semudah itu, dik. Banyak perkara yang perlu difahami terlebih dahulu.

Mereka selalunya panik, sangat risau jika perkahwinanterpaksa dibatalkan. Boleh difahami. Maklum sahaja tarikh perkahwinan semakin hampir sedangkan result ujian saringan HIV pra perkahwinan baru saja diketahui. Mana mereka hendak letak muka kerana semua ahli keluarga sudah tahu, kad jemputan ke majlis perkahwinan telah diedarkan, dan macam-macam persediaan telah dibuat.

Ibu dan bapa pula sangat teruja kerana bakal menerima calon menantu mithali. Apa tidaknya – tutur kata lemah lembut, pengetahuan agama boleh tahan, gentleman, punya karier memuaskan, pembersih, rajin di dapur, hormat orang tua, aktif bersukan, tubuh badan sedap mata memandang (six pack), dressing meletup, dan banyak kelebihan dalam macam-macam perkara. Arghhh… mudah cerita memang ‘sempurnalah’!

Tolonglah faham…

Di sebalik semua perkara tersebut, ada perkara yang aku rasa lebih penting yang perlu mereka faham betul-betul sebelum meneruskan hasrat. Hendak diterangkan secara terbuka di blog ini, bimbang menimbulkan salah faham dan lebih banyak stigma. Tidak diterangkan pun salah. Jadi, ini sahajalah kemampuan dan pertolongan yang mampu aku berikan. Setiap hari aku berdepan dengan pelbagai kerenah dan suka duka komuniti. Aku tahu permainan emosi dan psikologi komuniti. Aku tahu beberapa perkara penting yang orang awam tidak tahu.

Keutamaan aku adalah untuk menjaga kebajikan pihak perempuan. Di penghujung segala ujian, perempuanlah yang biasanya menjadi mangsa sebenarya. Peliknya, aku yang cuba membantu dianggap cuba menghalang hasrat mereka. Akibat denial tentang perkara yang mereka tidak sanggup fikirkan atau langsung tidak faham atau memang sengaja tidak mahu faham, atau cuma mahu faham secara berpilih, aku pula dijadikannya musuh.


sila share


Kalau diterangkan pun, belum apa-apa mereka anggap sudah faham semua perkara. Lebih teruk, semua perkara yang aku cuba minta mereka fikirkan betul-betul dianggap tidak penting. Apabila aku cadangkan untuk berjumpa kaunselor jika tidak mempercayai aku, mereka anggap remeh.

Jika sudah kemaruk cinta, kita cakap apa pun tidak berguna. Semuanya mereka anggap mudah dan boleh diatasi. Yang penting bagi mereka, mereka hendak berkahwin. Jika dinasihatkan, mereka kata mereka tahu bahawa perkahwinan ini soal amanah dan tanggungjawab. Sudah pertimbangkan macam-macam perkara. Sudah istisyarah dan istikharah. Tahu bahawa ini komitmen seumur hidup. Sudah dapat restu keluarga. Betulkah keluarga memang faham semua persoalan ini? 

Sudahnya, selepas sebulan dua berkahwin mulalah sibuk hubungi aku semula. Sudahnya ada yang berkahwin sehingga 5 – 6 tahun tidak pernah disentuh suami. Atau, walaupun mempunyai ramai anak dan kelihatan normal sebagai keluarga biasa, tetapi hakikat sebenar ujian hidup, Tuhan sahaja yang tahu. Alami deraan dan trauma mental yang terpaksa ditanggung sepanjang hayat. Sendirian.

Kalau sekadar mahu dengar pandangan yang menyenangkan hati, terpulanglah. Kalau sudah hendak kahwin sangat, kahwinlah. Tidak ada kena-mengena dengan aku. Aku doakan yang baik-baik sahaja.

Jadi, kepada yang berfikiran terbuka dan rasional, cuba fahamkan betul-betul apa yang tersirat di sebalik perkongsian ini. Jika ada perkara yang belum pasti, boleh sahaja hubungi aku. Tetapi sebaik-baiknya telefonlah. Aku tidak larat hendak berbalas-balas e-mel, SMS, FB messages, dan Whatsapp panjang lebar. Banyak perkara yang perlu aku uruskan.

Tetapi janganlah anggap bahawa apabila aku kongsikan isu ini, aku bermaksud menghalang perkahwinan dengan ODHA. Relax la. Aku sendiri pun ODHA. Mustahil aku tergamak hendak halang orang mahu bina masjid. Aku memang sokong pun. Malah aku sentiasa cuba temukan jodoh yang serasi. Ramai sahaja yang sudah berkahwin dan hidup bahagia.

Apa yang aku maksudkan, cuba berfikir secara rasional. Cuba minimakan risiko tertentu yang jauh lebih dahsyat berbanding HIV. HIV terlalu simple untuk difahami. Tetapi, attitude manusia, masya Allah! Ingatlah. Kesilapan sekarang mungkin akan memberikan kesan seumur hidup.


think!


Beberapa tips mudah

Pastikan bakal suami menitikberatkan tuntutan solat dan nilai-nilai agama.

Cuba kenali rakan-rakan rapat bakal suami. Perhatikan cara pergaulan dan aktiviti mereka. Jangan sampai kelihatan mengongkong atau buruk sangka.

Pastikan bakal suami memang seorang yang jujur. Jika selalu dan pernah berdolak-dalih, serta merahsiakan sesuatu yang sepatutnya tidak perlu dirahsiakan, berhati-hatilah.

Strong character, stabil emosi dan psikologi. Jika selalu down, moody, sering minta dibantu, difahami, dan merajuk mengalahkan anda sendiri seorang perempuan, sila fikirkan kembali keputusan anda.

Terlalu perfectionist, ego, dingin, keras hati, mendesak, mengongkong, dan sukar menerima kelemahan anda. Ianya mungkin petanda-petanda negatif.

Memahami perasaan dan tekanan anda sebagai bakal isteri dan sentiasa bersedia memberikan sokongan bila-bila perlu. Bersedia menerima segala kekuatan dan kelemahan anda.

Memahami maklumat asas HIV, bersedia menjalani rawatan dan patuh kepada rawatan. Faham merangkumi, tahu cara mengelakkan jangkitan, dan bersedia mengambil langkah-langkah pencegahan jangkitan. Faham cara untuk mendapatkan zuriat bebas HIV. Sentiasa berfikiran dan bersikap positif.


Aku, hamba-Nya yang dhaif,
Mohamad bin Wahid @ Pie @ AHP
Facebook: Ahp Pie


Info Berkaitan:

Laman Web Rasmi PPWM:

No. Akaun PPWM:
Bank: Maybank
Nombor Akaun: 5560 5750 3949
Nama Pemegang Akaun: Pertubuhan Positive Warriors Malaysia

Para pembaca boleh berkongsi pengalaman melalui FB AHP Positive Warriors Support Group (Secret Group). Anda juga dialu-alukan menjadi ahli Pertubuhan Positive Warriors Malaysia (PPWM). Untuk menyertai, sila hubungi admins yang berikut:

Abd. Shukor Mohd Yunus: shux@positivewarriors.org
Hishamudin Rahman: carphatz_04@yahoo.com



Friday, January 24, 2014

APA SAHAJA CARA PENYALAHGUNAAN DADAH MENYEBABKAN RISIKO YANG TINGGI DIJANGKITI HIV



sila share


“Betul ke orang tua AHP Pie ni? Tak pernah aku dengar risiko berlaku jangkitan kecuali berkongsi jarum suntikan yang tercemar dengan darah HIV. Sekarang ini, dia pandai-pandai keluarkan statement merapu. Agaknya HIV dah attack kewarasan fikiran dia. Makin sehari makin melalut.”

Sebenarnya risiko jangkitan HIV melalui cara berkongsi jarum suntikan sangat-sangat rendah. Cuma, apabila ianya dilakukan secara berterusan (perulangan), bermakna setiap hari risiko tersebut semakin tinggi. Jangkitan penyakit Hepatitis C seratus kali lebih mudah berjangkit dengan cara tersebut.

Kenapa risiko jangkitan melalui perkongsian jarum suntikan dadah yang tercemar HIV dikatakan rendah?

HIV adalah virus yang sangat lemah dan hanya mampu berada di dalam darah atau tubuh manusia. Di luar tubuh manusia, ianya tidak mampu bertahan lama.

Penagih dadah berkongsi jarum suntikan hanya apabila betul-betul terdesak sahaja. Apabila terpaksa berkongsi jarum suntikan, biasanya mereka akan ‘bilas’ terlebih dahulu sebelum menggunakannya. Malah, mereka biasanya akan ‘melayur’ hujung jarum suntikan tersebut.

Jangan anggap penyalahguna dadah secara suntikan tidak tahu maklumat tentang cara jangkitan HIV. Mereka lebih terdedah dengan maklumat berkaitan cara jangkitan HIV. Itulah antara kebaikan program Needle Syringe Exchange Program atau NSEP.

Dadah biasanya akan dicampur dengan darah yang disedut terlebih dahulu daripada tubuh mereka sendiri dengan alat suntikan tersebut. Diisi ke dalam ‘ceper’ atau sudu yang dicampur dengan dadah yang mereka tagih sebelum dipanaskan, (biasanya menggunakan api lilin) disedut dan disuntik kembali ke dalam tubuh.

Oleh itu, secara keseluruhannya, memang risiko jangkitan dengan cara tersebut sangat-sangat rendah.




Jadi, bagaimana mereka mendapat jangkitan HIV?

Masalah utama, sebaik sahaja terjebak dengan penagihan dadah bermakna bermulalah deretan penyakit rohani. Apabila menagih dan lalok, bagaimana hendak menjaga hubungan dengan Allah dan sesama manusia? Bagaimana mahu menunaikan solat, menjaga amanah, bersikap jujur, bertanggungjawab, dan sebagainya?

Apabila melayan nikmat penagihan, keinginan untuk mencapai pelbagai nikmat yang lain sukar untuk dikawal. Contoh, ketika khayal, mereka sukar untuk membuat pertimbangan yang waras termasuk untuk mengelakkan zina dengan golongan yang berisiko. Tanpa pengaruh dadah sekalipun ianya memang sukar jika tidak dilindungi iman dan rasional.

Atau paling tidak, jika sepatutnya mengambil langkah pencegahan jangkitan, semasa khayal, mulalah hilang pertimbangan. Sepatutnya memakai kondom, mereka cenderung mengabaikannya. Patut pakai kondom di tempat lain, mereka mungkin sarung di tempat lain. Yang penting “sedap.”

Jadi, apabila kita kaitkan dengan miskin iman dan jiwa, apa sahaja bahan yang memabukkan, mengkhayalkan, dan dilarang oleh agama atau undang-undang akan menyebabkan risiko penularan HIV semakin meningkat.

Namakan saja. Arak, heroin, morfin, methamphetamine, marijuana, ecstasy, ketamine, air ketum, dan sebagainya. “You name it, you got it!” Semuanya akan menyebabkan risiko jangkitan kepada HIV.

Kesemua bahan memabukkan ini akhirnya akan mendorong kepada pelbagai punca gejala moral dan akhlak yang lain. Ramai yang mabuk dan khayal terlibat dengan seks bebas. Sekali lagi ditegaskan, tanpa perkara yang memabukkan sekalipun sukar menolak seks, inikan pula apabila dalam keadaan khayal. Cuma secara teknikalnya sahaja berkongsi jarum suntikan yang tercemar dengan HIV mendatangkan risiko jangkitan.

Apabila sudah khayal, ramai yang asalnya dapat bertahan melakukan aktiviti berisiko akhirnya kecundang. Ramai ‘straight’ akhirnya menjadi biseksual sama ada demi survival dengan cara menjadi ‘money boy’ untuk melunaskan kebergantungan penagihan, cuba-cuba, ketika dirawat di pusat-pusat pemulihan, atau semasa di penjara.


sila share


Tidak hairanlah sekarang ini kita lihat ramai golongan terpelajar, anak-anak jutawan, VIP, dan kaki clubbing yang dijangkiti HIV sekalipun mereka bukanlah penyalahguna dadah secara suntikan. Jauh sekali untuk berkongsi jarum suntikan.

Jadi, betullah tajuk entri aku kali ini, bukan?

Itu sahajalah. Maaflah jika ada yang terasa hati. Aku tidak berniat untuk bersikap mendiskriminasi. Aku sekadar mahu mendidik masyarakat. Banyak isu yang terpaksa aku lindungkan untuk elakkan salah faham. Apa yang mahu aku sampaikan ialah, betapa pentingnya kita membimbing dan menyokong mereka kembali ke pangkal jalan. “Prevention is Better Than Cure.”

Apa-apa pun, aku tetap berpendapat, bahawa adalah normal jika manusia melakukan khilaf, tetapi belajar daripada kesilapan dan memperbaiki diri selepas melakukan kesilapan yang lebih utama. Hanya dengan cara menjaga hubungan dengan Allah sahaja penyelesaian mutlak segala permasalahan.

Info ringkas:

NSEP: Needle Syringe Exchange Program. Program Pertukaran (bukan pemberian semata-mata) Jarum dan Alat Suntikan, Methadone dan Kondom yang dilaksanakan sejak tahun 2006. Ianya merupakan satu pendekatan Harm Reduction. Dilakukan semasa temuseru (outreach) kepada golongan yang berisiko untuk memberhentikan penagihan secara sukarela, mengurangkan risiko jangkitan HIV terutama kepada pasangan mereka (isteri atau suami), dan bakal zuriat.



Aku, hamba-Nya yang dhaif,
Mohamad bin Wahid @ Pie @ AHP
Facebook: Ahp Pie


Info Berkaitan:

Laman Web Rasmi PPWM:

No. Akaun PPWM:
Bank: Maybank
Nombor Akaun: 5560 5750 3949
Nama Pemegang Akaun: Pertubuhan Positive Warriors Malaysia

Para pembaca boleh berkongsi pengalaman melalui FB AHP Positive Warriors Support Group (Secret Group). Anda juga dialu-alukan menjadi ahli Pertubuhan Positive Warriors Malaysia (PPWM). Untuk menyertai, sila hubungi admins yang berikut:

Abd. Shukor Mohd Yunus: shux@positivewarriors.org
Hishamudin Rahman: carphatz_04@yahoo.com





Thursday, January 23, 2014

REMAJA PEREMPUAN 14 TAHUN DISAHKAN HIV POSITIF


sila share


MENENTANG STIGMA, DISKRIMINASI DAN JUDGEMENTAL

Ringkas cerita:

Sue, (bukan nama sebenar) adalah seorang gadis sunti berusia 14 tahun. Tinggal berhampiran salah sebuah ibu negeri di Pantai Timur. Dilahirkan dalam keluarga yang bermasalah. Ayah Sue tidak mempunyai pekerjaan tetap dan jarang berada di rumah. Ibunya pula bekerja sebagai seorang pengawal keselamatan di sebuah pusat membeli-belah.

Sue agak tercicir dalam bidang pelajaran, tetapi susuk tubuh Sue tampak lebih dewasa untuk remaja seusianya. Sue merupakan anak tunggal kepada pasangan tersebut.

Pada suatu hari, ayah Sue telah ditangkap oleh pihak berkuasa atas kesalahan terlibat dengan penagihan dadah dan akhirnya dihantar ke sebuah CCRC untuk mendapatkan rawatan.

CCRC: Cure & Care Rehabilition Centre ialah pusat rawatan dan pemulihan kepada klien yang ditahan di bawah Seksyen 6(1)(a) Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983

Tidak lama kemudian, ibu Sue memohon cerai daripada suaminya. Kemudian berkahwin dan menjadi isteri ketiga kepada seorang penjual karpet berbangsa Pakistan yang agak berusia tetapi masih tampan bergaya bernama Pie. (Hehehe… Kebetulan namanya sama dengan nama aku)

Sue diserahkan kepada datuknya, seorang nelayan yang mempunyai tanggungjawab besar kerana mempunyai ramai ahli keluarga yang perlu ditanggung. Neneknya hanya suri rumah sepenuh masa. Ada dua orang bapa saudara Sue yang sudah berkahwin masih tinggal bersama dan mereka juga tidak mempunyai sebarang pekerjaan tetap.

Di CCRC, bapa Sue telah didiagnos sebagai seorang ODHA dan bekas isterinya (ibu Sue) telah dinasihatkan menjalani ujian saringan HIV. Alhamdulillah, ibu Sue disahkan negatif dan mendakwa telah bertahun-tahun tidak mendapat nafkah batin daripada bekas suaminya ketika mereka masih hidup sebagai suami isteri.


sila share


Pasangan atau bekas pasangan kepada ODHA adalah golongan yang paling terdedah kepada risiko jangkitan jika ODHA tersebut tidak menjalani kaunseling, rawatan, dan tidak tahu bahawa mereka telah dijangkiti HIV sebelum ini.

Malangnya, tidak lama kemudian, Sue didapati mengalami keguguran dan disahkan HIV positif selepas menjalani ujian HIV. Melalui kaunseling dan siasatan, barulah diketahui bahawa Sue menjadi hamba seks ayahnya sendiri sejak berusia 11 tahun.

Ianya berlaku ketika ibunya bekerja. Ayahnya telah melayan Sue bagaikan seorang kekasih gelap. Bukan itu sahaja, dua orang daripada bapa saudaranya turut didapati telah merogol Sue beberapa kali sejak tinggal bersama datuknya.

Entah bagaimana, laporan polis yang sepatutnya dilakukan dapat dielakkan oleh datuk Sue. Sue kekal dipelihara oleh datuknya bersama ahli keluarga yang lain. Dua orang bapa saudara yang telah merogolnya telah melarikan diri.

Pada peringkat permulaan, datuk Sue patuh membawa Sue menghadiri kaunseling dan pemantauan kesihatan di hospital, tetapi lama kelamaan mereka mula enggan.

Setelah disiasat, barulah diketahui bahawa datuk Sue tidak mampu menyediakan peruntukan kewangan untuk berulang-alik ke hospital secara berterusan dan pekerjaannya sebagai nelayan melibatkan masa yang tidak menentu.

Mereka lebih mempercayai rawatan cara kampung. Setiap hari mereka menyediakan pelbagai ramuan herba untuk merawat Sue dan mendakwa ianya terbukti ‘berkesan’. Maklumlah, Sue bersekolah, bergaul, dan menjalani kehidupan seperti remaja biasa.

Sebenarnya, yang lebih membimbangkan mereka ialah jika status kesihatan Sue sebagai ODHA diketahui oleh orang ramai. Ini akan mendatangkan aib besar kepada mereka sekeluarga yang sedia susah dan miskin.

Bayangkan masa depan dan kesihatan Sue sanggup dipertaruhkan demi menjaga aib keluarga sedangkan isu tersebut tidak sepatutnya timbul. Segala maklumat patient adalah sulit. Ianya dilindungi undang-undang. Jika kita sendiri tidak mengaku bahawa kita seorang ODHA, tidak ada sesiapa yang boleh menyebarkannya, malah perbuatan tersebut boleh didakwa.

Bagaimana agaknya dengan nasib Sue jika suatu hari nanti jatuh sakit dan telah lewat untuk memulakan rawatan? Inilah antara kisah-kisah sedih yang sentiasa berlaku dalam kehidupan harian kita, yang mungkin tidak pernah kita ambil tahu. Umumnya kita hanya menganggap HIV adalah isu orang-orang yang sengaja mencari risiko dan dosa.

Kita hukum ODHA seolah-olah hidup kita atau ahli keluarga kita tidak akan diuji begitu kerana kita insan ‘baik-baik’. Kita tidak pernah sedar bahawa ramai yang tidak bersalah. Ramai isteri dan bayi-bayi yang tidak berdosa. Kita menghakimi orang-orang yang telah bertaubat daripada kesalahan lampau.

Penolakan kita terhadap ODHA menyebabkan sebahagian daripada mereka kekal dalam aktiviti berisiko kerana dipinggirkan dan dipandang sinis. Mereka membentuk sokongan sesama kelompok mereka sendiri. Tidak hairanlah akhirnya virus semakin menular dan sebahagiannya adalah hasil ‘sumbangan’ kita akibat sikap negatif yang kita amalkan.


sila share


Hampir 100 ribu orang disahkan ODHA yang melibatkan SEMUA LAPISAN MASYARAKAT di Malaysia. Jika digandakan dua kepada yang belum didiagnos, ianya mencecah 300 ribu. Jika kita ambil sejumlah ahli keluarga dan insan-insan rapat dalam hidup ODHA (affected people) yang turut menerima tekanan, bayangkan sahaja jumlah yang menerima kesan akibat salah faham ini. Adakah jumlah tersebut sedikit atau terpencil?

Hina sangatkah ODHA? Mulia sangatkah kita? Adakah kita pasti insan-insan yang kita minta tolong dan bergaul setiap hari itu sebenarnya bukan seorang ODHA? Adakah mempunyai HIV dalam tubuh aku ini satu dosa dan aku melakukan jenayah apabila hidup sebagai seorang HIV positif?

HIV hanyalah sekadar virus yang boleh dirawat. Tidak membahayakan sesiapa, bahkan orang-orang yang hidup tanpa HIV lebih membahayakan ODHA jika imuniti badan mereka rendah. Bergaul, berpelukan, bersalaman, berkongsi makanan, dan sebagainya dengan ODHA bukanlah masalah. Penyakit-penyakit yang tersebar melalui udara jauh lebih merbahaya berbanding HIV.

Rawatannya juga sangat mudah. Rawatannya simple, kaunseling dan farmakologi. Memang (setakat ini) belum ditemui penawar mutlak, tetapi ianya sama seperti diabetes, darah tinggi, thalassemia, dan lain-lain penyakit kronik. Masih boleh dirawat dan dikawal supaya ODHA mampu hidup sihat seperti biasa. HIV tidak membunuh. Stigma, diskriminasi, dan judgemental adalah pembunuh sebenar.


Aku, hamba-Nya yang dhaif,
Mohamad bin Wahid @ Pie @ AHP
Facebook: Ahp Pie


Info Berkaitan:

Laman Web Rasmi PPWM:

No. Akaun PPWM:
Bank: Maybank
Nombor Akaun: 5560 5750 3949
Nama Pemegang Akaun: Pertubuhan Positive Warriors Malaysia

Para pembaca boleh berkongsi pengalaman melalui FB AHP Positive Warriors Support Group (Secret Group). Anda juga dialu-alukan menjadi ahli Pertubuhan Positive Warriors Malaysia (PPWM). Untuk menyertai, sila hubungi admins yang berikut:

Abd. Shukor Mohd Yunus: shux@positivewarriors.org
Hishamudin Rahman: carphatz_04@yahoo.com




Tuesday, January 21, 2014

KISAH BENAR SEORANG GADIS DIJANGKITI HIV




Kisah ini telah lama kusimpan. Memang aku berhajat untuk kongsikan bersama para pembaca sebagai renungan, tetapi sering tertangguh. Diharapkan kisah ini dapat membuka mata sebahagian anggota masyarakat untuk menentang stigma, diskriminasi, dan judgemental terhadap Orang Yang Hidup Dengan HIV (ODHA). Kami bukanlah seburuk dan sebahaya yang disangka.

Jika ada yang berasa malang dan teraniaya dengan ujian tertentu dalam hidup, ingatlah bahawa Allah tidak uji hamba-hambaNya melainkan dengan ujian yang memang mampu ditangani. Setiap ujian penuh dengan hikmah.

Bukannya kita sahaja yang berdepan dengan ujian-ujian tertentu dalam kehidupan dan seolah-olah orang lain tidak pernah diuji. Pokok pangkalnya terpulang kepada kita melihat ujian yang kita hadapi. Kisah ini cuma satu daripada ribuan kisah sedih yang aku simpan, malahan banyak lagi yang lebih menyedihkan.

Nina (bukan nama sebenar), adalah seorang remaja yang baru sahaja berusia 18 tahun. Anak sulung kepada sebuah keluarga berpendapatan sederhana yang tinggal di Selatan Semenanjung. Sementara menunggu keputusan SPM, Nina belajar berdikari dengan bekerja di sebuah kilang berdekatan rumah keluarganya.

Sama seperti kebanyakan remaja seusianya, Nina tidak dapat membuat keputusan dengan bijak semasa memilih kawan. Dalam diam, Nina mula bercinta dengan seorang lelaki yang disukainya, tetapi batas percintaan mereka masih terkawal.

Pada masa yang sama, salah seorang kawan lelaki di tempatnya bekerja menaruh hati pada Nina. Luahan cinta lelaki tersebut Nina tolak dengan baik. Setelah berkali-kali memujuk dan mungkin akibat rasa tercabar, lelaki tersebut mengugut Nina dengan mengatakan bahawa jika dia tidak dapat memiliki Nina, jangan harap ada lelaki lain yang dapat mengambil tempatnya.

Begitulah sikap manusia apabila dirinya miskin jiwa dan iman. Lebih malang apabila ianya adalah lelaki yang sepatutnya bersikap sebagai pelindung.


sila share


Nina menganggap ugutan tersebut tidak lebih daripada sekadar ugutan kosong dan terus berkawan seperti biasa sama seperti rakan setugas yang lain. Apabila tiba waktu rehat bekerja, mereka makan bersama-sama, berbual bertukar-tukar cerita dan sebagainya. Pada hujung minggu, mereka keluar beramai-ramai sesama mereka, lazim seperti remaja tipikal zaman sekarang. Nina tidak sedar bahaya yang sedang menunggu.

Pada suatu hari ketika pulang dari kerja, lelaki yang pernah mengugutnya mempelawa Nina untuk singgah makan di sebuah gerai. Sebagai seorang remaja daif yang baru berusia 18 tahun dan kerana memang lapar, Nina menurut sahaja pelawaan. Anehnya, 'secara tiba-tiba' kawan lelakinya menukar fikiran apabila sekadar mahu membungkus makanan untuk dibawa pulang. Alasannya, kerana mahu cepat balik dan kepenatan. Nina akur dengan tindakannya.

Sampai di rumah sewa lelaki tersebut, Nina dipujuk untuk makan bersama-sama sebelum pulang. Malangnya, bermula detik itulah terjadinya peristiwa yang mengubah keseluruhan perjalanan hidup Nina.

Sebaik sahaja habis meneguk air minuman yang diberikan, pandangan mata Nina mulai kabur dan seterusnya tidak sedar apa yang berlaku. Keesokan paginya barulah Nina sedar bahawa dirinya telah ternoda.


Hati Nina sakit bukan kepalang, tetapi kerana merasakan dirinya hina akibat perbuatan lelaki tersebut dan bimbang aibnya diketahui keluarga, Nina memintanya supaya bertanggungjawab. Itu sahaja jalan penyelesaian yang Nina nampak ketika itu dan memang itulah rancangan sebenar lelaki tersebut.

Teman lelaki yang dicintainya sebelum ini pula terpaksa dilupakan. Nina perlu meneruskan kehidupan seperti biasa menunggu kesesuaian masa untuk berkahwin.

Dalam tempoh menunggu tersebutlah, Nina terpaksa melayan kehendak lelaki durjana yang telah merosakkannya setiap kali diperlukan. Nina bimbang dirinya ditinggalkan walaupun penyerahannya bukanlah dengan rela. Malah Nina merasakan dirinya sentiasa diperkosa setiap kali perkara tersebut berlaku.

Dalam masa yang sama, barulah Nina tahu bahawa lelaki yang merosakkannya merupakan seorang penagih dadah tegar. Jenuh Nina menasihatkannya supaya meninggalkan dunia penagihan kerana mereka bakal berkahwin tetapi, faham-faham sahajalah apabila individu terbabit hidup dalam penagihan. Bahkan daripada ditinggalkan, Nina kadangkala memberikan duitnya kepada lelaki tersebut untuk membeli dadah dan sering melihat beliau menyalahgunakan dadah tanpa segan silu di hadapannya.

Untuk menyegerakan urusan perkahwinan, Nina terpaksa berterus-terang kepada keluarga bahawa dirinya telah dinoda. Sedihnya hati ibu dan ayah tidak terkira. Tetapi apa lagi yang mampu dilakukan kerana yang terjadi tetap terjadi? Sehingga sekarang, Nina sangat trauma mengenang kembali betapa sedihnya ayah dan ibunya melihat kesilapan yang telah dilakukannya.

Akhirnya mereka bertunang atas persetujuan kedua-dua belah pihak keluarga. Tetapi, ujian berganda apabila tunangnya jatuh sakit dan dirawat di hospital ketika tarikh perkahwinan semakin hampir. Ketika dirawat, baru diketahui bahawa lelaki yang merosakkannya adalah seorang HIV positif dan turut menghidap Hepatitis-C di samping penyakit-penyakit kronik lain.

Atas nama peri kemanusiaan, Nina tetap menjaga lelaki tersebut yang terlantar di hospital walaupun lelaki tersebutlah penyebab ujian hidupnya bertimpa-timpa. Nina redha demi menjaga aib diri dan keluarga.




Sesungguhnya Allah Maha Perencana segala kejadian. Tidak lama kemudian, lelaki itu telah meninggal dunia. Gelap-gelita terasa hidup Nina kerana terkilan tidak sempat bergelar seorang isteri yang sekurang-kurangnya dapat menutup aib. Dirinya hanya seorang perempuan. Apalah yang dapat dijawabnya nanti kepada bakal suaminya apabila mengetahui bahawa dirinya telah ternoda.

Selama 3 tahun Nina masih disahkan bebas HIV walaupun telah beberapa kali menjalani Rapid Test semasa lelaki itu baru didiagnosMalahan Nina sempat menyambung pembelajarannya sehingga menjawat jawatan tertentu di sebuah Kementerian. Alhamdulillah, bekas teman lelaki pertamanya masih sudi menerima apabila Nina berterus-terang bahawa dirinya telah teraniaya. Mereka akhirnya bertunang dan harapan hidup bahagia kembali berbunga.

Sekali lagi Nina diuji apabila ujian saringan pra perkahwinan mengesahkan dirinya adalah seorang HIV positif dan turut menghidap Hepatitis C. Kali ini, tunang Nina tidak dapat lagi menerima Nina kerana status tersebut sangat mengerikan baginya. Tambahan lagi apabila tanpa pengetahuan asas mengenai HIV, masyarakat secara umumnya menyangka Orang Yang Hidup Dengan HIV menjangkitkan virus kepada mereka dan tidak boleh melahirkan zuriat bebas HIV sama seperti 30 tahun yang lalu.

Kali ini, Nina tidak sanggup lagi memaklumkan berita sedih bahawa dirinya seorang ODHA kepada keluarga kerana tidak tergamak melihat ibu dan bapanya sedih buat kali kedua. Segala-galanya kekal menjadi rahsia peribadi. 

Malangnya, itulah juga yang sentiasa menjerat diri Nina. Apabila dihampiri mana-mana lelaki yang gagal mendapat kepercayaan Nina untuk menjadi suami, status kesihatannya sebagai ODHA dijadikan senjata paling bisa. Menyembunyikan status dianggap tidak beretika tetapi apabila memaklumkan status, sama ada ditolak atau dijadikan bahan ugutan. 

Kini, dalam usia mencecah hampir 30 tahun, Nina keseorangan menerima ketentuan hidupnya dan tercari-cari kekuatan. Fitrah sebagai seorang wanita yang inginkan kehidupan berkeluarga dan memiliki zuriat sendiri terasa sangat sulit tanpa insan yang benar-benar mengerti derita yang Nina tanggung. Sejarah tidak lagi mampu diubah walaupun Nina sendiri sangat benci apabila mengenangkan kesilapan lampaunya.

Bayangkan jika ahli keluarga kita sendiri berada dalam situasi Nina. Apakah agaknya yang kita rasa apabila ahli keluarga kita diperlakukan begitu? Bagaimanakah perasaan pembaca jika berada di tempat Nina, yang mengetahui dirinya insan yang berdosa dan hina akibat teraniaya serta melakukan khilaf pada usia remajanya yang terlalu naif? Bukankah stigma, diskriminasi, dan judgemental itulah pembunuh sebenar terhadap ODHA seperti aku?

(Mak aih, apabila aku baca semula teknik penulisanku, terasa klasik sungguh. Seklasik diri sendiri… Uwaaa!!! Confirmed aku dah tua sangat)


Aku, hamba-Nya yang dhaif,
Mohamad bin Wahid @ Pie @ AHP
Facebook: Ahp Pie


Info Berkaitan:

Laman Web Rasmi PPWM:

No. Akaun PPWM:
Bank: Maybank
Nombor Akaun: 5560 5750 3949
Nama Pemegang Akaun: Pertubuhan Positive Warriors Malaysia

Para pembaca boleh berkongsi pengalaman melalui FB AHP Positive Warriors Support Group (Secret Group). Anda juga dialu-alukan menjadi ahli Pertubuhan Positive Warriors Malaysia (PPWM). Untuk menyertai, sila hubungi admins yang berikut:

Abd. Shukor Mohd Yunus: shux@positivewarriors.org
Hishamudin Rahman: carphatz_04@yahoo.com



Saturday, January 18, 2014

BERTEMU DR. ISKANDAR FIRZADA BIN OSMAN KALI KE-31 DAN KE-32





Memang 2 temujanji tersebut sudah agak lama berlaku, tetapi aku tidak sempat menulisnya kerana perlu menulis mengikut mengikut keutamaan. Walau bagaimanapun, fakta tetap terpelihara.

Aku gabungkan perkongsian pengalaman tersebut di dalam 1 entri. Diharapkan perkongsian pengalaman ini dapat memberikan manfaat kepada para pembaca.


PERTEMUAN KALI KE-31

Date: 29 October 2013
Day: Tuesday
Venue: Klinik Kesihatan Jaya Gading, Kuantan
Time: About 11.00 am

Kali ini, aku hanya ditemani Kak Da kerana Ummie ada komitmen penting yang lain. Seperi biasa, pertemuan dengan Dr. Iskandar dimulakan dengan routine check-up iaitu weight, blood pressure, body temperature, dan mouth.

Weight: 72.1 kg
Blood pressure: 120/70
Temperature: 36.6°C
Mouth: No oral candidiasis

Awal-awal pertemuan, Dr. Iskandar terus bertanyakan tentang rawatan nicotine patch untuk aku berhenti merokok kerana pada pertemuan sebelum ini aku telah memaklumkan kepada Dr. Iskandar bahawa aku kembali merokok sejak hampir setahun yang lalu.

Dengan malu-malu tahi kucing aku akui belum memulakannya. Nasib baik Dr. Iskandar tidak bertanya lanjut. Jika tidak, aku malu kerana gagal mematuhi nasihatnya.

Buat masa sekarang, aku memang belum yakin kerana sentiasa penat, stress dan travel hingga dinihari dengan macam-macam urusan. Situasi tersebut membuatkan aku susah untuk fokus.

Mungkin alasanku sangat leceh bagi sesetengah orang, tetapi jika mereka tahu apa yang aku alami, ianya adalah sesuatu yang sukar. Lagipun, rokok yang aku hisap sponsored bythe white devil”. Hahaha… (bilalah aku dapat berhenti merokok ni?)

sila share

Berikut aku kongsikan beberapa info menarik semasa sesi rawatan.

Soalan 1:

Soalan ini adalah atas permintaan seorang rakan komuniti. Adakah sebarang supplement food dan ubatan lain boleh mengganggu fungsi HAART?

Jawapan:

Secara umumnya tidak. Jika mendapat jangkitan bakteria, Orang Hidup Dengan HIV (ODHA) boleh mengambil antibiotik. Cuma jika batuk dan selsema berterusan, jumpa doktor kerana bimbang ada jangkitan tekak dan paru-paru.

Sedikit info tambahan:

Flu berjangkit melalui respiratory iaitu pernafasan dan cecair batuk. Guna mask untuk elakkan jangkitan, tetapi penghidap flu (tidak semestinya ODHA sahaja) tidak perlu menjauhkan diri. Penghidap dinasihatkan supaya sentiasa membawa sapu tangan dan menutup mulut ketika bersin.

Soalan 2:

Mengapa aku sangat cepat menerima kesan sampingan apabila mengambil makanan yang mempunyai kandungan gula walaupun diabetes aku terkawal? Contohnya cepat merasa tidak bermaya seperti mengantuk dan keletihan.

Jawapan:

Normal untuk setiap pesakit diabetes jika mereka mempunyai kandungan gula yang tinggi di dalam badan, kerana gula di dalam darah tidak boleh diguna pakai. Pesakit diabetes dinasihatkan makan pada masa yang  tetap dan kerap, tetapi sedikit.

Karbohidrat adalah sumber tenaga yang lambat diserap. Jika ianya diambil dengan banyak, tetapi tidak digunakan, ianya akan menjadi lemak di dalam tubuh. Seeloknya lebihkan sumber protein (lauk-pauk seperti ikan dan ayam) dan sayur-sayuran berbanding nasi. 

Memandangkan pertemuan kali ini agak ringkas dan lebih kepada perbincangan hal-hal peribadiku dan kesihatan keluarga serta mendapatkan nasihat Dr. Iskandar untuk membantu komuniti, setakat itu sahaja yang dapat aku kongsikan.

sila share


PERTEMUAN KALI KE-32

Date: 24 December 2013
Day: Tuesday
Venue: Klinik Kesihatan Jaya Gading, Kuantan
Time: About 3.00 pm

Alhamdulillaah, kami (aku, Kak Da, dan Ummie) tiba di KK Jaya Gading pada lebih kurang jam 3.00 petang. 

My routine check-up seperti berikut:

Weight: 70.2 kg
Blood pressure: 122/70
Pulse rate: 72/min
Mouth: No oral candidiasis

Jika dibuat perbandingan dengan pertemuan sebelum ini, ternyatalah berat badanku semakin hari semakin menurun. Kepenatan melampau, masa makan yang tidak menentu, rehat dan tidur yang tidak pernah cukup menjadikan aku begitu. Barangkali dalam tempoh setahun lagi badanku betul-betul melidi. Perlu diingat bahawa ramai sahaja ODHA yang gempal, berisi, dan sebagainya. Penurunan berat badanku tiada kaitan dengan HIV.

Dr. Iskandar juga memaklumkan kepadaku bahawa darahku turut akan diambil. Darah tersebut adalah untuk ujian HbA1c, kidney, liver, cholesterol, dan full blood count (FBC). Manakala pada 7 Januari 2014 pula ujian darah untuk mengetahui bacaan terkini CD4 dan viral load pula perlu dilakukan.

Sambil-sambil memeriksa tahap kesihatanku, Dr. Iskandar sempat bertanyakan perkembangan terkini kami sekeluarga termasuk anak-anak. Sikap tersebut sebenarnya satu terapi minda yang sangat berharga kepada kami sekeluarga.

sila share

Soalan 1:

Apa pandangan Dr. Iskandar tentang sebuah blog yang menggalakkan ODHA supaya TIDAK mengambil rawatan HAART dengan alasan dan rujukan tertentu. Ianya menyulitkan aku kerana ramai yang terpengaruh dengan pandangan yang diutarakan.

Jawapan:

Dr. Iskandar telah membuat sedikit kajian tentang entries di dalam blog tersebut kerana aku telah memaklumkan sebelum temujanji lagi. Dr. Iskandar berpendapat bahawa kesemua rujukan penulis blog tersebut adalah daripada sumber yang lama. Kesemuanya adalah dari tahun-tahun 1985, 1987, 1988, 1989, 1993, dan yang terbaru pun adalah tahun 1996.

Menurut Dr. Iskandar, bidang perubatan adalah suatu bidang yang dinamik. Setiap maklumat is being reviewed setiap 5 tahun. Perubahan dan penambahbaikan sentiasa berlaku. Isu yang ditimbulkan di dalam entri blog berkenaan tidak lagi relevan. Ini adalah kerana segala maklumat yang sudah melebihi 10 tahun adalah obsolete dan tidak lagi boleh diguna pakai.

Setiap patient yang diagnosed dengan apa juga penyakit kronik tidak cukup sekadar menjalani kehidupan yang sihat. Rawatan melibatkan pengambilan ubat dan amalan gaya hidup sihat.

Contoh: Patient diabetes yang mengamalkan gaya hidup sihat. Belum disarankan mengambil ubat, tetapi selepas tempoh-tempoh tertentu, akhirnya tetap perlu mengambil rawatan yang bersesuaian untuk penyakit diabetes tersebut.

Jika dilihat daripada konteks HIV, tujuan rawatan (HAART khususnya) adalah bertujuan untuk meningkatkan kualiti kesihatan seseorang ODHA dan mencegah penularan jangkitan.

Secara asasnya, apabila rawatan diambil, maka CD4 akan meningkat, viral load akan menurun dan risiko penularan virus akan berkurangan atau tidak berlaku. Jika seseorang ODHA menjalani rawatan HAART setelah jumlah CD4nya terlalu rendah, hasilnya immunologic response yang berlaku ialah peningkatan bacaan CD4 mungkin sangat perlahan.

Situasi yang berlaku kepada ODHA yang enggan mengambil rawatan HAART kerana mereka merasakan mereka sihat (peringkat awal). Tetapi hakikatnya semakin hari imuniti badan mereka akan semakin lemah kerana jumlah virus semakin meningkat.

Dr. Iskandar memberikan contoh isu imunisasi. Ramai ibu bapa yang enggan anak-anak mereka diberikan imunisasi kerana mereka beranggapan bahawa penyakit-penyakit yang berkaitan sudah tidak wujud lagi. Sedangkan mereka sepatutnya melihat pada masa dahulu iaitu semasa penyakit-penyakit tersebut masih banyak dihidapi.

Apabila keadaan tersebut berlaku, maka imunisasi yang diambil telah berjaya mengurangkan kadar penularan penyakit-penyakit berkenaan. Jika imunisasi tidak diambil pada masa sekarang, tidak mustahil penyakit-penyakit tersebut kembali meningkat.

Sebagai contoh, terdapat kes ibu bapa di Wales, England yang enggan anak-anak mereka mendapat imunisasi untuk measles atau demam campak yang berlaku antara 5 hingga 6 tahun dahulu. Mereka khuatir imunisasi tersebut akan menyebabkan anak-anak mereka mendapat autisme.

Akibatnya berlaku peningkatan penyakit measles di kalangan kanak-kanak sehingga menyebabkan kematian. Akhirnya barulah mereka sedar bahawa sebenarnya measles ini masih belum dibasmi sepenuhnya lagi. Penyakit yang dikatakan sudah dibasmi hanyalah smallpox atau cacar air sahaja.

Soalan 2:

Adakah aku berada di fasa wasting HIV atau wasting AIDS? Ini kerana ada beberapa orang doktor yang prihatin risau apabila melihatku yang semakin kurus, keletihan, dan lesu. Mereka bimbang jika aku berkemungkinan mengalami wasting HIV atau wasting AIDS (maksudnya lebih kurang mula menunjukkan tanda-tanda menghidap AIDS).

Menurut pemahamanku, antara ciri-ciri seseorang ODHA di tahap wasting HIV/AIDS ialah apabila berlakunya penurunan berat badan khususnya otot secara mendadak tanpa sebab, cirit-birit, lemah, dan demam extreme yang tiada kaitan dengan jangkitan demam lain.

Di dalam situasiku, sekalipun kurus berbanding sebelum ini, tetapi BMI (body mass index) idealku masih lagi jauh untuk kucapai. Penurunan berat badan bukanlah mendadak dan boleh difahami kerana sentiasa sibuk. Aku juga tidak mengalami sebarang simptom walaupun CD4ku masih lagi rendah. Viral load pula kekal not detected.

Jawapan:

Menurut Dr. Iskandar, berdasarkan cara hidupku yang sentiasa sibuk dan turut menghidap diabetes, penurunan berat badanku sekarang boleh difahami. Ianya bukanlah mendadak, bahkan masih belum mencapai tahap BMI yang sepatutnya.

Aku juga tidak mempunyai sebarang simptom AIDS seperti tidak mempunyai sebarang jangkitan opportunistic. Segala-galanya adalah normal setakat ini. Jadi, soal wasting AIDS atau HIV adalah sangat subjektif.

sila share

Soalan 3:

Aku pernah menghadapi masalah urine sebelum ini dalam tempoh hampir sebulan. Aku rasa agak tidak selesa di urat utama zakar ketika membuang air kecil. Ada ketikanya menitis tanpa disedari semasa bekerja dan sebagainya hingga menggangguku terutama untuk menunaikan solat. Aku bimbang jika ianya berkaitan dengan masalah batu karang dan kidney. Maklumlah aku juga seorang penghidap diabetes yang berisiko terhadap masalah kidney

Menurut Dr. Iskandar, keadaan itu adalah disebabkan oleh jangkitan urine atau jangkitan pundi kencing. Punca kepada keadaan tersebut adalah haematogenous spread bagi lelaki. Ianya bermaksud jangkitan yang diperolehi daripada bahagian organ yang lain seterusnya merebak ke bahagian urine atau pundi kencing.

Bagi perempuan pula, jangkitan seperti itu berlaku disebabkan saluran kencing yang pendek dan terletak berhampiran dengan dubur. Ianya lebih kepada contamination atau pencemaran.

Apabila berlaku jangkitan sebegini, maka berlakulah juga keradangan atau inflammation pada pundi kencing. Pundi kencing berfungsi untuk menyimpan urine. Jangkitan ini menyebabkan rasa untuk membuang air kecil itu cepat dan boleh menyebabkan tidak sempat untuk ke tandas dan seterusnya menitis.

Dr. Iskandar menasihatkan aku supaya minum banyak air dan tidak menahan proses pembuangan air kecil. Ini adalah bagi mengelakkan berlakunya jangkitan urine, jangkitan pundi kencing, dan batu karang.

Soalan 4:

Adakah aku boleh mengambil multivitamin yang lain untuk meningkatkan tahap kesihatan selain yang telah dibekalkan oleh pihak klinik? Aku bimbang ianya memberi kesan sampingan kerana pengambilan terlalu banyak ubat-ubatan mungkin membebankan fungsi kidney. Selain itu, aku berpendapat vitamin boleh menambahkan selera makan.

Jawapan:

Sebarang jenama multivitamin boleh diambil. Jika berlaku lebihan multivitamin, sistem tubuh akan membuangnya secara automatik. Vitamin tersebut juga tidak memberikan sebarang kesan sampingan kepada buah pinggang.

Menurut Dr. Iskandar, pengambilan vitamin sebenarnya tidak meningkatkan selera makan seseorang individu. Sekiranya berlaku, ianya adalah subjektif dan biasanya di bawah pengaruh psikologi sahaja. Ada kes di mana seseorang itu tetap kekal kurus walaupun dia mengamalkan pengambilan vitamin.

Itu sahaja yang dapat aku kongsikan kali ini. Di kesempatan tersebut, aku meminta izin Dr. Iskandar untuk menjalankan HIV rapid test terhadap Kak Da dan Ummie sekalipun aku yakin tiada sebarang kemungkinan jangkitan. Ianya sekadar langkah berhati-hati kerana kini sudah lebih 3 tahun aku hidup sebagai ODHA dan mengadakan hubungan suami isteri seperti biasa. 

Tiada masalah jika mereka mahu menjalani ujian tersebut. Ini adalah kerana pihak KK mahu normalize ujian tersebut. Normalize di sini bermaksud sesiapa sahaja boleh menjalani rapid test pada bila-bila masa sahaja. Keputusan ujian, Alhamdulillah mereka kekal negatif (non-reactive). 

Aku juga telah disahkan oleh Dr. Iskandar tidak mempunyai anaemia. Alhamdulillah. Ini adalah kerana hanya sel darah putih dan plateletku yang rendah, tetapi tahap haemoglobinku tinggi. Mereka yang menghidap anaemia mempunyai tahap haemoglobin yang rendah.

Dalam bahasa yang mudah, CD4 merujuk kepada sel darah putih yang berfungsi untuk menentang jangkitan penyakit. Haemoglobin pula adalah sel darah merah yang mengangkut oksigen. Platelet bertindak seperti plaster atau gam yang menghentikan pendarahan apabila berlaku luka.

Consultation diteruskan di antara dengan Dr. Iskandar dengan rakan komuniti yang menyertai kami.

Jazakumullah kheir kepada Dr. Iskandar Firzada bin Osman dan semua kakitangan KK Jaya Gading, Kuantan yang memberikan perkhidmatan yang sangat professional dan cemerlang.


Aku, hamba-Nya yang dhaif,
Mohamad bin Wahid @ Pie @ AHP
Facebook: Ahp Pie


Info Berkaitan:

Laman Web Rasmi PPWM:

No. Akaun PPWM:
Bank: Maybank
Nombor Akaun: 5560 5750 3949
Nama Pemegang Akaun: Pertubuhan Positive Warriors Malaysia

Para pembaca boleh berkongsi pengalaman melalui FB AHP Positive Warriors Support Group (Secret Group). Anda juga dialu-alukan menjadi ahli Pertubuhan Positive Warriors Malaysia (PPWM). Untuk menyertai, sila hubungi admins yang berikut:

Abd. Shukor Mohd Yunus: shux@positivewarriors.org
Hishamudin Rahman: carphatz_04@yahoo.com
Arm Ly: psychonutsbeast@gmail.com