Sunday, August 11, 2013

MALAYSIA CATAT 95,000 KES HIV



Oleh: Hidayatul Akmal Ahmad

Sejak kes pertama mula dikesan pada 1986, bilangan jangkitan HIV terkumpul yang dilaporkan di negara kita sehingga 2011 ialah mencecah 95,000 serta hampir 15,000 kematian akibat AIDS.

Golongan lelaki terus mewakili majoriti iaitu 90 peratus daripada kes HIV yang terkumpul di Malaysia. Walaupun jangkitan dalam kalangan mereka menunjukkan penurunan ketara sejak 2003, kadar jangkitan dalam kalangan wanita menunjukkan trend berbeza.

Wanita dan gadis semakin dijangkiti HIV dan 21 peratus daripada mereka mula dijangkiti di seluruh negara pada 2011 berbanding hanya lima peratus 10 tahun lalu.

Selepas 30 tahun pemerhatian klinikal HIV yang pertama, penyelidik dan doktor perubatan berkumpul pada Persidangan Persatuan AIDS Antarabangsa ketujuh di ibu negara bagi membincangkan perkembangan dan kemajuan terkini.


PENAGIH dadah antara paling berisiko dijangkiti HIV dan Aids

Agenda utama ialah meningkatkan peranan yang dimainkan oleh diagnosis untuk menguruskan rawatan bagi mereka yang menghidap HIV.

Pengarah Unit HIV, Imunologi dan Penyakit Berjangkit Hospital St Vincent, Sydney, Australia, Prof Andrew Carr berkata, apabila seseorang dijangkiti HIV, tidak bermakna mereka akan mati.

“Apabila dirawat, mereka yang menghidap HIV boleh hidup mencapai umur yang biasa jika tidak dihinggapi penyakit itu. Oleh kerana prognosis ini serta sifat virus itu berubah, cara kita menguruskan pesakit juga perlu berubah.

“Ketika rawatan mula dijalankan dulu, memang tiada pemantauan langsung. Hari ini kita mengetahui lebih banyak mengenai virus yang memerlukan peralatan diagnosis menjadi lebih sofistikated.

“Ini bukan bertujuan untuk tinjauan diagnosis saja, tetapi pemantauan serta pengurusan penyakit yang berterusan,” katanya di ibu kota, baru-baru ini.

Antara cabaran terbesar dalam pengurusan pesakit HIV ialah kadar mutasi yang tinggi. HIV bertambah dengan pantas dan sering berubah bentuk, terutama bagi pesakit yang menerima rawatan antiretrovirus.

Bagi mengukur keberkesanan rawatan ini, penting untuk pesakit dipantau sekerap mungkin, secara ideal dua kali setahun dengan ujian beban viral. Ini membantu doktor mengukur jumlah virus dalam darah serta menentukan keberkesanan rawatan.

Satu cabaran ujian beban viral ialah bergantung kepada mengenal pasti sesetengah bahagian genom virus. Mengikut sejarah, ujian ini hanya mensasarkan satu kawasan virus.

Ada kalanya ia turut disasarkan oleh ubat dan boleh memberi kesan terhadap ketepatan keputusan dalam menghadapi mutasi.

Perkembangan terkini dalam ujian beban viral ialah ujian yang bukan hanya mensasarkan dua bahagian genom virus yang bebas, malah kawasan yang tidak disasarkan oleh ubat.

Adalah penting bagi ujian pemantauan beban viral untuk menyatakan kuantiti virus tahap tinggi dan rendah bagi membolehkan doktor membuat keputusan berkaitan keperluan untuk rawatan yang lebih atau kurang agresif.

Ketua Jabatan dan Pakar Perunding Kanan (Penyakit Berjangkit) Jabatan Perubatan Hospital Sungai Buloh, Datuk Dr Christopher KC Lee berkata, HIV masih menjadi isu yang mencabar di Malaysia.

“Keupayaan HIV untuk bermutasi bukan saja membawa kepada kegagalan rawatan, malah penyebaran strain virus yang memiliki ciri ketahanan.

“Peralatan baru dalam sistem pertahanan doktor yang berupaya memberi keyakinan ketika pemantauan beban viral pada pesakit ialah sesuatu yang dialu-alukan,” katanya.

Dalam pada itu, Pengarah Urusan Roche Diagnostik Asia Pasifik, Lance Little berkata, pihaknya berbesar hati dapat bekerjasama dengan ahli klinikal dan makmal untuk mencapai kemajuan dalam ujian.

“Ujian automatik sepenuhnya yang inovatif ini akan menyediakan keputusan yang boleh dipercayai supaya ahli klinikal boleh merawat pesakit HIV yang menjalani ujian terapi dengan lebih yakin serta cekap,” katanya.

Di Malaysia ada 81,000 penghidap HIV (anggaran 0.5 peratus populasi). Pada 2011, sebanyak 3,479 kes baru HIV dilaporkan iaitu anggaran separuh daripada jumlah kes ketika kemuncak epidemik pada 2002.

Hari ini, HIV di Malaysia berubah wajah. Pada peringkat awal epidemik, penagih dadah suntikan (IDU) adalah pesakit utama. Walaupun mereka jumlah besar penghidap HIV, hari ini IDU cumalah 38.7 peratus daripada jangkitan baru.

Sebaliknya, wanita yang hanya sejumlah kecil peratusan jangkitan baru 20 tahun dulu, kini mencapai 21 peratus daripada bilangan pesakit yang baru dijangkiti.


VIRUS HIV (warna hijau) menyerang sel-sel limfosit menyebabkan pesakit kehilangan daya tahan terhadap penyakit

Mengenai HIV/AIDS

• AIDS disebabkan oleh Virus Kurang Daya Tahun Manusia (Human Immunodeficiency Virus atau HIV). Jika seseorang dijangkiti HIV, tubuh akan menghasilkan antibodi untuk cuba melawan jangkitan.

• Ujian darah untuk HIV mencari antibodi ini. Jika seseorang itu mempunyai antibodi ini dalam darah mereka, bermakna orang itu dijangkiti HIV. Mereka yang mempunyai antibodi HIV dipanggil ‘HIV Positif’.

• HIV membabitkan pelbagai jenis dan terbukti mampu bermutasi dalam tubuh individu ketika jangkitan. Aids wujud dalam individu HIV positif selepas beberapa tahun dijangkiti kerana HIV akan melemahkan sistem imun tubuh sedikit demi sedikit, selain menyebabkan tubuh mudah terdedah kepada pelbagai penyakit.


Ketahanan ubat HIV

Keupayaan HIV untuk bermutasi dan mengubah semula virus dengan kehadiran ubat antiretrovirus dipanggil ketahanan ubat HIV.

Mutasi ini mengakibatkan kegagalan rawatan, kenaikan kos langsung dan tidak langsung berkaitan dengan keperluan untuk memulakan rawatan barisan kedua yang lebih mahal untuk pesakit, penyebaran strain HIV yang tahan dan keperluan membangunkan ubat anti-HIV yang baru.


Ujian beban viral HIV

Ujian beban viral HIV mengukur jumlah HIV di dalam darah pesakit. Ia membantu memantau penyakit, mengawasi terapi dan prognosis penyakit.

Ujian beban viral HIV dwi sasaran Roche mensasarkan dua kawasan bebas genom HIV, dan mengelak potensi kurang pengkuantitian beban viral virus dalam pesakit yang dijangkiti.

Ia memastikan keutuhan keputusan yang dipertingkatkan dan peningkatan keyakinan dalam menilai beban viral walaupun dalam menghadapi kepelbagaian genetik HIV-1 yang semakin meningkat.


INFO TERAPI HIV

• HIV tiada penawar tetapi pelbagai jenis ubat boleh digunakan secara gabungan untuk mengekang virus.

• Terapi antiretrovirus mengekalkan jumlah HIV dalam tubuh pada tahap rendah. Ini mengurangkan kelemahan sistem imun dan membolehkannya pulih daripada kerosakan yang mungkin disebabkan oleh HIV.

• Terapi antiretrovirus standard membabitkan kombinasi sekurang-kurangnya tiga ubat antiretrovirus untuk melawan virus HIV dan mencegah penyakit HIV daripada merebak.


Artikel ini disiarkan pada: 11/08/2013

Sumber: sini


Info Berkaitan:

Laman Web Rasmi PPWM: http://www.positivewarriors.org/

NO AKAUN PPWM:
Bank: Maybank
Nombor Akaun: 5560 5750 3949
Nama Pemegang Akaun: Pertubuhan Positive Warriors Malaysia

Para pembaca boleh berkongsi pengalaman melalui FB AHP Positive Warriors Support Group (Secret Group). Anda juga dialu-alukan menjadi ahli Pertubuhan Positive Warriors Malaysia (PPWM). Untuk menyertai, sila hubungi admins yang berikut:

Camelia Sulaiman: camelia_sulaiman@yahoo.com
Luka Rafieqa: rafieqakl@hotmail.com

NGO Sokongan:

Pertubuhan Amal Firdausi Kuala Lumpur (PAFI)
Sila hubungi:
E-Mel: amalfirdausi@gmail.com
Talian Marhabah: 018-207-0953 (Encik Hamli) @ 017-311-0306 (Encik Raffie)
Telefon / Faks: 03-9174-0934
FB PAFI: http://www.facebook.com/amalfirdausi (open group)
Twitter: twitter.com/amalfirdausi

Sokongan khusus kepada komuniti wanita: PEWAHIM
Untuk menyertai FB PEWAHIM (secret group) sila hubungi:
E-Mel: pewahim@gmail.com
Telefon: 019-259-5864 (Norlela) Pengasas
No akaun PEWAHIM: 562740121438 (Maybank)