Wednesday, August 28, 2013

SEKITAR SEMINAR KESEDARAN STIGMA DAN DISKRIMINASI HIV/ AIDS 2013 DI JOHOR BAHRU




Aku semasa pembentangan mengenai kesedaran Stigma dan Diskriminasi


Sebenarnya segala maklumat asas tentang HIV, rawatan dan pengalaman peringkat awal aku berdepan dengan hakikat hidup sebagai Orang Yang Hidup dengan HIV (ODHA) telah aku kongsikan di blog ini. Terpulang kepada pembaca untuk mencarinya.

Aku juga tidak berapa selesa berkongsi maklumat jika maklumat tersebut sekadar cut & paste daripada mana-mana artikel lain, kecuali betul-betul memerlukan. Bagi aku, ianya menghilangkan originality perkongsian daripada dasar hati aku sebagai ODHA.

Sekarang, masaku pula terlalu banyak dihabiskan dengan segala macam urusan komuniti dan pengurusan NGO sehingga mengekang peluangku untuk berkongsi pengalaman secara kerap di blog seperti dahulu.

Jadi, perkongsian pengalamanku lebih banyak berkisar tentang usaha untuk memperkasakan keyakinan ODHA sendiri supaya berani tampil secara terbuka menentang stigma, diskriminasi, judgmental, dan paranoia.

Memang ada yang menganggap mudah perananku kerana hanya hadir berkongsi pengalaman melalui pelbagai sesi sharing secara terbuka dengan masyarakat awam berbanding melakukan outreach dan peers support secara direct terhadap komuniti.

Walaupun aku kurang berkesempatan melakukan outreach dan peers support secara direct, tetapi sokongan terhadap insan-insan memerlukan tetap aku jalankan secara online dan pelbagai kemudahan komunikasi yang lain. Tekanan untuk aku bergerak ke mana-mana pula sebenarnya melibatkan banyak perkara tertentu.

Menentang stigma, diskriminasi, dan judgmental secara terbuka sangat penting kerana kesemuanya lebih menyakitkan ODHA berbanding rawatan dan peluang hidup sihat. HIV tidak membunuh ODHA, sebaliknya stigma dan diskriminasilah pembunuh sebenar.

Alangkah angkuh dan malangnya apabila menganggap bahawa ODHA adalah manusia-manusia yang patut dicampak sesuka hati, disisihkan, dipersendakan, dan dijadikan bahan jenaka oleh masyarakat (khususnya umat Islam), sedangkan syurga dan neraka milik Allah. Setiap orang akan dipersoalkan di akhirat kelak tentang tindakan yang kita ambil untuk membantu sesama insan. Adakah pasti bahawa syurga itu milik kita sekalipun tanpa HIV?

Dalam keangkuhan tersebut terserlahlah kejahilan sendiri tentang agama dan maklumat yang tepat untuk mencegah penularan HIV. Masih ramai yang menganggap bahawa bergaul, bersentuhan, berkongsi makanan, memakan makanan yang disediakan oleh ODHA, dan sebagainya akan menyebabkan mereka dijangkiti.

Ada pula kononnya mendakwa pisau cukur yang mungkin digunakan untuk mencukur ODHA di kedai-kedai gunting rambut akan menjangkitkan HIV sedangkan yang ditakuti ialah penyakit-penyakit lain yang 100 kali lebih mudah berjangkit seperti hepatitis. Pasangan yang berkahwin dengan ODHA pula katanya perlu menyediakan stok berkotak-kotak kondom sebagai langkah pencegahan. Cliche...!

Akal mereka tidak mampu untuk mengaitkan isu HIV ini sebenarnya boleh melibatkan permasalahan yang lebih besar seperti aqidah, fitnah, dan penganiayaan terhadap sesama umat Islam. Mereka hanya nampak ODHA adalah ‘orang-orang yang keji dan berdosa’, tetapi tidak pernah nampak betapa banyak salah faham di sebaliknya. Kepada yang bersikap sombong dan menghakimi ini, aku doakan semoga Allah membukakan hijab pemikiran mereka dan memberi mereka laluan mudah ke syurga.

Kali ini aku ingin kongsikan pengalamanku menghadiri seminar kesedaran “Stigma dan Diskriminasi HIV & AIDS 2013” di Auditorium JOTIC, Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) baru-baru ini. Kehadiranku adalah sebagai seorang speaker mewakili Pertubuhan Positive Warriors Malaysia (PPWM) dalam program yang telah dianjurkan oleh MBJB bersama Pertubuhan Kebajikan Sinar Sofia (PKSS), Johor Bahru. Anggaran jemputan peserta sekitar 180 orang.


Ucapan perasmian oleh Tuan Haji Abdul Ghazali bin Karim,
Pengarah Khidmat Pengurusan Jabatan Pentadbiran MPJB
yang mewakili Datuk Bandar


Ianya telah dijalankan pada 22 Ogos 2013 (Khamis) yang melibatkan kakitangan MPJB, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), pelbagai komuniti sokongan, ketua-ketua masyarakat, para pelajar IPT, dan jemputan-jemputan khas.


Tuan Pengasas Pertubuhan Kebajikan Sinar Sofia
bersama isteri dan Ustaz Asri bin Jaafar (MAIJ)


Selain menyebarkan kefahaman mengenai HIV dan AIDS serta keburukan Stigma dan Diskriminasi, ianya juga merupakan medan kepada PKSS untuk memperkenalkan peranan mereka dalam usaha membantu komuniti sekitar Johor Bahru.

Melalui pemerhatianku, isu HIV dan AIDS masih agak taboo sekitar Johor Bahru sekalipun pembangunan fizikalnya antara yang terhebat di Malaysia. Sebenarnya, apabila kita semakin bersikap taboo terhadap isu HIV, semakin berisikolah tersebarnya HIV, stigma, diskriminasi, dan judgmental.

Sebaliknya 1 perkara yang positif ialah usaha MBJB, KKM, dan PKSS serta keterbukaan sikap para peserta menampakkan bahawa program tersebut telah mencapai objektif yang membanggakan. Semua pihak yang menjayakan seminar ini telah memainkan peranan dengan cukup cemerlang.


Dr Shahidan bin Haron,
Ketua Penolong Pengarah Kanan Unit HIV/STI,
Jabatan Kesihatan Negeri Johor


Melalui seminar ini, aku berpeluang bertemu beberapa ahli keluarga komuniti yang sedia berhubung dengan aku selama ini, mendengar pelbagai pandangan dan menjalin silaturrahim dengan pelbagai pihak. Dalam keadaan tertentu, aku terasa diriku sangat kerdil berbanding usaha-usaha yang telah sedia diperjuangkan tanpa henti oleh komuniti sokongan sekitar Johor termasuk PKSS.
                     

S/N Azni binti Mohamad,
Hospital Sultanah Aminah Johor Bahru, Klinik Perubatan (I.D)


Alangkah bagus jika lebih ramai ODHA berani tampil berkongsi pengalaman secara terbuka, positif, dan disertai dengan sokongan daripada pihak KKM, golongan agamawan, NGO, dan ketua-ketua masyarakat untuk menentang salah faham tentang HIV dan AIDS. Ianya sangat berkesan dan program-program sebegini sepatutnya dijadikan kaedah utama untuk mendidik masyarakat.

Di kesempatan ini aku mengucapkan terima kasih dan tahniah kepada Datuk Bandar dan MBJB, Jabatan Kesihatan Negeri Negeri Johor, Majlis Agama Islam Johor (MAIJ), pertubuhan-pertubuhan sokongan, Institut Perguruan Guru Malaysia Kampus Temenggong Ibrahim, Jawatankuasa-Jawatankuasa Penduduk setempat dan semua pihak yang terlibat. Mohon maaf atas segala kelemahan diri dan semoga dapat menjalin kerjasama berkekalan untuk meneruskan usaha murni ini demi agama, bangsa dan negara.


Sebahagian daripada para peserta seminar


Diharapkan perkongsian ini dapat meningkatkan sedikit lagi kefahaman masyarakat tentang isu berkaitan HIV. Getting to Zero. Zero jangkitan baru, zero jangkitan kepada zuriat dan zero AIDS berteraskan nilai-nilai Islam, Melayu dan kekeluargaan.


Aku, hamba-Nya yang dhaif,
Mohamad bin Wahid @ Pie @ AHP



Info Berkaitan:

Laman Web Rasmi PPWM: http://www.positivewarriors.org/

NO AKAUN PPWM:
Bank: Maybank
Nombor Akaun: 5560 5750 3949
Nama Pemegang Akaun: Pertubuhan Positive Warriors Malaysia

Para pembaca boleh berkongsi pengalaman melalui FB AHP Positive Warriors Support Group (Secret Group). Anda juga dialu-alukan menjadi ahli Pertubuhan Positive Warriors Malaysia (PPWM). Untuk menyertai, sila hubungi admins yang berikut:

Camelia Sulaiman: camelia_sulaiman@yahoo.com
Luka Rafieqa: rafieqakl@hotmail.com

NGO Sokongan:

Pertubuhan Amal Firdausi Kuala Lumpur (PAFI)
Sila hubungi:
Laman Web: http://www.amalfirdausi.org
E-Mel: amalfirdausi@gmail.com
Talian Marhabah: 018-207-0953 (Encik Hamli) @ 017-311-0306 (Encik Raffie)
Telefon / Faks: 03-9174-0934
FB PAFI: http://www.facebook.com/amalfirdausi (open group)
Twitter: twitter.com/amalfirdausi

Sokongan khusus kepada komuniti wanita: PEWAHIM
Untuk menyertai FB PEWAHIM (secret group) sila hubungi:
E-Mel: pewahim@gmail.com
Telefon: 019-259-5864 (Norlela) Pengasas

No akaun PEWAHIM: 562740121438 (Maybank)




Monday, August 26, 2013

HIV: HIDUP MATI BERSAMA




Oleh Sarah Zulkifli, Nor Azura Abdul Jalil dan Izlaily Nurul Ain Hussein


Kuala Lumpur: “Dulu apabila doktor sahkan saya dijangkiti virus HIV, saya rasa macam terkena sumpahan dan menjangka dua isteri akan meminta cerai serta hidup saya akan berakhir.

“Tapi, alhamdulillah semua itu tidak berlaku kerana kedua-dua isteri saya tetap bersama saya dan hingga kini kami hidup bahagia bersama anak,” kata penghidap virus HIV, Mohamad Wahid, 46. Dia yang lebih mesra dengan nama Pie dalam kalangan rakan berkata, sudah tiba masanya masyarakat lebih memahami keadaan sebenar individu dijangkiti HIV atau dalam istilah perubatan disebut ‘People Living With HIV’ (PLHIV).

Menurutnya, pemahaman itu penting bagi mengelakkan PLHIV terus menerima layanan tidak adil hingga menyebabkan mereka tertekan dan sukar meneruskan kehidupan.

“Masalah utama individu dijangkiti HIV seperti saya ialah stigma dan salah tanggapan masyarakat hingga menyebabkan kami dipulau, disisih dan difitnah.

“Hakikatnya, dengan kaedah perubatan terkini kami sebenarnya boleh hidup berkeluarga seperti insan normal,”katanya yang sudah lebih dua tahun dijangkiti HIV akibat proses pemindahan darah. Pie berkata, amat menyedihkan apabila ada PLHIV hilang pekerjaan, putus hubungan dengan rakan dan keluarga, tidak dibenarkan berkahwin serta gagal mempertahankan perkahwinan hanya disebabkan salah faham masyarakat.

“Perkara itu tidak sepatutnya berlaku dan saya kini aktif membantu insan senasib dengan saya,” katanya yang aktif menulis dalam blog http://akuhivpositif.blogspot.com selain melakukan aktiviti sukarela melalui pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Positive Warrior.

Mengimbas kisah lampaunya ketika peringkat awal disahkan doktor dijangkiti HIV, Pie mengakui ketika itu dia menjadi seperti ‘separuh gila’ dan pernah terfikir membunuh diri.

Katanya, dia mengambil masa lama memaklumkan perkara itu kepada isterinya, Mariani Sulaiman, 46, dan Hashimawati Hashim, 36, kerana takut mereka tidak dapat menerima berita buruk menimpa dirinya. “Ketika itu saya beranggapan orang sekeliling pasti menjauhkan diri daripada saya dan saya percaya mereka akan meminta menceraikan mereka. “Nak batuk, bersin, kongsi makanan dengan mereka (isteri dan anak) pun saya takut, saya mahu menjauhkan diri daripada mereka sebenarnya,” katanya.

Berikutan itu, kata Pie, dia mengambil masa lama memaklumkan perkara itu kepada kedua-dua isterinya.

“Selepas beberapa lama, barulah saya mendapat kekuatan berterus-terang dengan mereka. Pada mulanya mereka terkejut, namun mereka pasrah dan menerima perkara itu sebagai takdir. “Untuk tidak menzalimi mereka, saya memberi mereka pilihan sama ada meneruskan perkahwinan atau meninggalkan saya kerana tidak mahu mereka terseksa hidup dengan penghidap HIV seperti saya. “Saya bersyukur kerana mereka masih lagi ingin bersama saya dan sangat positif menerima berita itu,” katanya sambil menegaskan sokongan keluargalah membuatkan dia mampu meneruskan kehidupan seperti biasa.

Pie berkata, selepas mengambil ubat secara konsisten dan mengikut segala nasihat doktor, dia lega kerana dia tidak ‘mewariskan’ virus HIV kepada kedua-dua isterinya.

Malah, hasil pengambilan ubat dan pemantauan berterusan doktor, dia tidak berdepan masalah melakukan hubungan kelamin dengan kedua-dua isterinya.

“Bukan setakat itu, doktor juga mengesahkan PLHIV sebenarnya boleh mendapat zuriat yang bebas daripada HIV atau penyakit AIDS,” katanya.

Sama seperti isteri Pie, dua anak lelakinya yang berusia 17 dan 21 tahun turut menerima keadaan dirinya dengan hati terbuka. “Kami sekeluarga mengambil keputusan menghadapi situasi itu seperti biasa. Saling menyokong dan menjaga rahsia itu selama-lamanya,” katanya.


Artikel ini disiarkan pada : 2013/08/26
Sumber:

Begitulah berita tentang kehidupan aku sebagai Orang yang Hidup Dengan HIV (ODHA) yang dipaparkan dalam Harian Metro pada 26 Ogos 2013 (Isnin).

Sebenarnya ini bukanlah kali pertama gambar dan wajahku dipaparkan di media tetapi bezanya kali ini ianya di muka hadapan dan melibatkan gambar isteri-isteriku. Temubual bersama wartawan diadakan pada 12 Ogos 2013 (Isnin) yang lalu di rumah kami.

Ianya ekoran bantahan rasmi yang Pertubuhan Positive Warriors Malaysia (PPWM) kemukakan berkaitan salah faham info berkenaan dengan isu HIV dalam akhbar yang sama sebelumnya. Syukur Alhamdulillah pihak Harian Metro mengambil tanggungjawab untuk memperbetulkan persepsi tersebut.

Walaupun terdapat beberapa perkara yang agak tidak menepati berbanding yang aku nyatakan semasa temubual, tetapi secara keseluruhan artikel kali ini adalah memuaskan dan error boleh difahami. Tahniah kepada pihak Harian Metro.

Antara maklumat yang tidak berapa tepat tersebut ialah, aku dikatakan mengambil masa yang lama untuk berterus-terang kepada keluarga, sedangkan sebaik sahaja didiagnos sebagai ODHA, aku terus sahaja memaklumkan statusku kepada kedua-dua isteriku.

Selain itu, aku telah meminta jasa baik wartawan supaya tidak memaklumkan punca jangkitan untuk mengelakkan bertambahnya stigma dan diskriminasi yang tidak diperlukan serta mungkin boleh menimbulkan perbahasan dari sudut perundangan tetapi punca jangkitanku yang sepatutnya off record tetap disiarkan. Walau bagaimanapun, objektif yang ingin disampaikan sangat jelas. Itu yang lebih penting.


Harian Metro di rumah semasa temubual


Sebaik sahaja berita tentangku dikeluarkan di media, banyak respon pro dan kontra yang aku dan keluarga terima. Malahan terasa kelakar apabila isu poligami yang lebih diperdebatkan oleh pembaca di laman-laman sosial. Kepada yang mengutuk, Alhamdulillah dan terima kasih. Tidak mengapalah, sekurang-kurangnya mungkin boleh juga membantu stigma masyarakat terhadap poligami yang diharuskan oleh syarak.

Itulah buktinya betapa kadang-kadang kita sibuk menuding jari kononnya akhbar mengutamakan berita-berita sensasi berbanding fakta, sedangkan kitalah peneraju sebenar berita sensasi dan sarcasm.

Kutukan dan celaan tidak perlu dihiraukan. Langsung tidak menjadi kudis. Jika takut dengan hinaan, kami sekeluarga tidak akan mendedahkan diri kepada media. Aku lakukan demi mencari keredhaan Allah dan demi perjuangan. Hidup bukan kerana pujian, lemah semangat bukan kerana cercaan, sindiran dan sikap sinis.

Ramai juga yang menganggap bahawa aku (kami sekeluarga) sengaja mencari publisiti murahan. Kenapa perlu didedahkan aib diri? Persoalannya, hinakah aku apabila secara terbuka mengakui hidup sebagai ODHA?

Risiko yang kami sekeluarga ambil sebenarnya bukan kecil. Tambahan aku bukanlah seorang yang hidup semata-mata sebagai volunteer, supporter dan menguruskan NGO sepenuh masa.

Aku dan isteri-isteri mempunyai karier tetap. Silap langkah boleh ditekan atas alasan-alasan demi kepentingan perkhidmatan dan dihumban ke serata ceruk rantau yang pihak atasan suka. Belum apa-apa, ada sesetengah pihak seolah-olah mengingatkan isteri-isteriku bahawa mereka boleh menjejaskan nama baik karier. Allahu Akbar!

Berkorban diri dan cuba mendidik masyarakat memahami isu HIV dengan tepat dan prihatin terhadap tanggungjawab fardhu kifayah rupa-rupanya menjadi ‘jenayah?’ So, di sini, secara terbuka aku katakan kepada ‘orang atasan’ silalah lakukan sesuka hati atas kuasa yang dipinjamkan-Nya. Aku akan pertahankan hak dan perjuangan ini sehingga nafas terakhirku. Jangan aniaya keluargaku kerana mereka tidak bersalah apa-apa.

Kami mengambil risiko besar apabila di mana-mana sahaja orang ramai mula semakin mengenali kami sekeluarga. Tambahan lagi di dalam bandar sekecil Temerloh dengan statusku ini. Bagaimana pula dengan ahli kariah, ahli-ahli keluarga kami, teman-teman rapat, dan sebagainya?

Tohmahan bahawa aku pembela perjuangan LGBT dan ‘orang-orang berdosa’ secara membuta-tuli terpaksa aku redhakan. Ringkas cerita, punah-ranah dan jatuh segala macam ‘sahamku’. Jangan fikir mudah dan glamour dengan langkah yang aku lakukan.

Pesanan ikhlasku untuk komuniti, ayuhlah bangkit membuktikan bahawa selama ini kita dianiaya dan dihimpit dari segenap sudut. Ini bukan masanya untuk bersembunyi dan melayan emosi. Buktikan kita lebih baik dari semalam.

Jika dengan sedikit usaha ini dapat memberi inspirasi untuk kebaikan komuniti, ucapkan syukur kepada Allah. Tidak perlu memujiku kerana memang sejak mula aku sekeluarga telah infakkan diri untuk perjuangan. Terpulang kepada diri masing-masing sama ada untuk terus disalah erti dan sentiasa memberi alasan atau sama-sama berjuang.

Di kesempatan ini aku sekali lagi mengucapkan ribuan terima kasih kepada akhbar Harian Metro, Puan Sarah Zulkifli, Puan Nor Azura Abdul Jalil dan Cik Izlaily Nurul Ain Hussein. Semoga kerjasama ini berterusan untuk kebaikan masyarakat Islam dan insyaAllah jasa kalian akan beroleh pahala yang berkekalan.

Aku, hamba-Nya yang dhaif,
Mohamad bin Wahid @ Pie @ AHP




Info Berkaitan:

Laman Web Rasmi PPWM: http://www.positivewarriors.org/

NO AKAUN PPWM:
Bank: Maybank
Nombor Akaun: 5560 5750 3949
Nama Pemegang Akaun: Pertubuhan Positive Warriors Malaysia

Para pembaca boleh berkongsi pengalaman melalui FB AHP Positive Warriors Support Group (Secret Group). Anda juga dialu-alukan menjadi ahli Pertubuhan Positive Warriors Malaysia (PPWM). Untuk menyertai, sila hubungi admins yang berikut:

Camelia Sulaiman: camelia_sulaiman@yahoo.com
Luka Rafieqa: rafieqakl@hotmail.com

NGO Sokongan:

Pertubuhan Amal Firdausi Kuala Lumpur (PAFI)
Sila hubungi:
Laman Web: http://www.amalfirdausi.org
E-Mel: amalfirdausi@gmail.com
Talian Marhabah: 018-207-0953 (Encik Hamli) @ 017-311-0306 (Encik Raffie)
Telefon / Faks: 03-9174-0934
FB PAFI: http://www.facebook.com/amalfirdausi (open group)
Twitter: twitter.com/amalfirdausi

Sokongan khusus kepada komuniti wanita: PEWAHIM
Untuk menyertai FB PEWAHIM (secret group) sila hubungi:
E-Mel: pewahim@gmail.com
Telefon: 019-259-5864 (Norlela) Pengasas

No akaun PEWAHIM: 562740121438 (Maybank)

   



RAWATAN ART MAMPU LAHIR ZURIAT BEBAS HIV



My Best Doctor
Dr. Iskandar Firzada bin Osman
MD (USM), MMed (Family Medicine) (USM),
MAFPM (Mal.), FRACGP (Australia), FAFPM (Mal.),
Fellow in Adolescent Health (Melbourne)
Family Medicine Specialist / Primary Care Physician


Kuala Lumpur: Rawatan Antiretroviral Therapy (ART) dengan mewajibkan Orang Yang Hidup Dengan HIV (ODHA) mengambil ubat secara berterusan bukan saja membolehkan ODHA dan pasangannya menjalani kehidupan berkeluarga seperti insan normal, malah mereka juga mampu melahirkan zuriat yang bebas virus HIV.

Pakar Perubatan Keluarga, Dr Iskandar Firzada Osman berkata, rawatan ART memerlukan individu dijangkiti HIV atau PLHIV mengambil tiga jenis ubat daripada dua kumpulan ubat berbeza. “Ia perlu diambil seumur hidup bukan dengan tujuan menyembuhkan, tetapi dengan tujuan mengawal pembiakan virus HIV,” katanya.

Beliau berkata, selain rawatan ART, ODHA juga terdedah dengan jangkitan opportunistik lain seperti demam yang apabila dijangkiti bukan ODHA, ia jangkitan biasa, namun teruk bagi ODHA.

“Untuk mengelakkan jangkitan opportunistik itu, ODHA perlu mendapatkan imunisasi supaya boleh melawan jangkitan kuman, selain menerima rawatan ART."

Dr Iskandar berkata, jika wanita ODHA hamil menerima rawatan ART sekurang-kurangnya dua minggu sebelum melahirkan anak, risiko bayi dilahirkan dijangkiti virus HIV amat rendah iaitu cuma 0.8 peratus.

Menurutnya, jika wanita ODHA yang hamil dan tidak menerima sebarang rawatan ART, risiko anak dijangkiti HIV antara 30 hingga 45 peratus.

“Jika hanya bapa ODHA, tetapi ibu tidak, maka anak tidak akan dijangkiti virus HIV dengan syarat bapa menerima rawatan ART,” katanya.


Artikel ini disiarkan pada : 2013/08/26

Sumber:



Info Berkaitan:

Laman Web Rasmi PPWM: http://www.positivewarriors.org/

NO AKAUN PPWM:
Bank: Maybank
Nombor Akaun: 5560 5750 3949
Nama Pemegang Akaun: Pertubuhan Positive Warriors Malaysia

Para pembaca boleh berkongsi pengalaman melalui FB AHP Positive Warriors Support Group (Secret Group). Anda juga dialu-alukan menjadi ahli Pertubuhan Positive Warriors Malaysia (PPWM). Untuk menyertai, sila hubungi admins yang berikut:

Camelia Sulaiman: camelia_sulaiman@yahoo.com
Luka Rafieqa: rafieqakl@hotmail.com

NGO Sokongan:

Pertubuhan Amal Firdausi Kuala Lumpur (PAFI)
Sila hubungi:
Laman Web: http://www.amalfirdausi.org
E-Mel: amalfirdausi@gmail.com
Talian Marhabah: 018-207-0953 (Encik Hamli) @ 017-311-0306 (Encik Raffie)
Telefon / Faks: 03-9174-0934
FB PAFI: http://www.facebook.com/amalfirdausi (open group)
Twitter: twitter.com/amalfirdausi

Sokongan khusus kepada komuniti wanita: PEWAHIM
Untuk menyertai FB PEWAHIM (secret group) sila hubungi:
E-Mel: pewahim@gmail.com
Telefon: 019-259-5864 (Norlela) Pengasas

No akaun PEWAHIM: 562740121438 (Maybank)


Sunday, August 18, 2013

ENTRY WAJIB: HAK DAN PERUNTUKAN UNDANG-UNDANG UNTUK MELINDUNGI STATUS SEBAGAI PEMBAWA HIV







Stigma, diskriminasi dan judgmental adalah sinonim dalam kehidupan Orang Yang Hidup Dengan HIV (ODHA).

Status sebagai HIV positif kadangkala dipandang sangat jijik dan sering dikaitkan dengan isu moral dan agama berdasarkan tafsiran yang sempit. Dugaan psikososial ini berterusan menjadi tekanan utama kepada ODHA termasuk affected people.

Status kesihatan mereka boleh disalahguna oleh majikan, pihak yang sepatutnya membantu dan merawat, termasuk di kalangan mereka yang rapat dengan ODHA. Akibatnya berlakulah penganiayaan, kehilangan pekerjaan, dan maruah ODHA diperkotak-katikkan sesuka hati.

Status sebagai ODHA juga boleh dimanipulasi sebagai senjata yang sangat berkesan untuk mengugut. Sebagai contoh, ada yang mengugut untuk mendedahkan kesilapan silam mereka, status mereka kepada ahli keluarga, atau kepada pihak majikan jika tidak berpuas hati terhadap perkara-perkara tertentu.

Kebelakangan ini aku kerap menerima aduan bahawa terdapat individu di dalam komuniti sendiri yang menjadikan status dan rahsia peribadi ODHA yang dikenali sebagai salah satu cara untuk memastikan kepentingan peribadi si pelaku dipenuhi.

Salah satu kaedah untuk menanganinya dengan cara yang paling berkesan adalah melalui peruntukan undang-undang negara. Kali ini, aku sertakan peruntukan undang-undang berkaitan jika ada di kalangan komuniti berdepan dengan isu tersebut.

Walau bagaimanapun, setiap peruntukan undang-undang tidak bermakna jika tanpa keberanian untuk mempertahankan diri. Setiap ODHA mesti tahu dan faham hak mereka daripada menjadi mangsa manipulasi oleh individu yang tidak bertanggungjawab.

Maklumat berikut adalah secara umum. Untuk penjelasan yang lebih terperinci, sila rujuk pengamal undang-undang. Peruntukan undang-undang ini juga cuma terpakai jika kita bersedia membawa kes ini ke mahkamah dan jika perkara tersebut sudah berlaku.

Tahap perlindungan di bawah peruntukan undang-undang mengenai isu berkaitan  boleh dibahagikan kepada 3 fasa:

FASA PERTAMA – Sebelum berlaku (berkemungkinan berlaku)

Laporan polis adalah fasa awal bagi mengelakkan sebarang kejadian yang tidak diingini daripada berlaku.

Laporan awal kepada pihak polis hanya memerlukan keterangan secara lisan dan/atau jika kita mempunyai sebarang bukti bertulis/fizikal, boleh dibawa bersama dan dilampirkan dengan laporan lisan kepada pegawai yang berkenaan.

Laporan perlu diletakkan atas kapasiti JENAYAH kerana pencabulan hak asasi orang lain adalah hak dan kepentingan negara (i.e. the case will be seen as the country versus the criminal).

FASA KEDUA - Telah berlaku dan sedang berlaku (privacy invasion)

Ianya berlaku apabila ODHA menerima ugutan. Pemfailan kes di mahkamah boleh dilakukan sama ada melalui khidmat guaman ATAU pembawaan kes sendiri untuk mendapatkan perintah injunksi untuk melarang pelaku daripada terus melakukan kerosakan imej terhadap seseorang. Jika pelaku masih melakukan hal tersebut, dia boleh diambil tindakan undang-undang kerana melanggar perintah mahkamah atau tidak menghormati mahkamah (hukuman penjara).

FASA KETIGA - Berlaku dan telah merosakkan imej seseorang (privacy invasion)

Perlindungan ini di bawah tort, pelanggaran hak peribadi (privacy invasion). Kes tort (bidang undang-undang yang berkaitan dengan perlakuan salah) mencakupi banyak isu termasuk fitnah dan kecuaian.

Dalam hal ini, sesiapa sahaja tidak boleh menggunapakai maklumat peribadi, atau apa-apa sahaja milik peribadi untuk kepentingan diri sendiri tanpa persetujuan bertulis atau lisan yang jelas daripada empunya diri.

Seseorang yang mendapati bahawa imej dirinya telah dirosakkan oleh seseorang individu lain boleh membuat permohonan sivil (civil claim) dengan tuntutan sebesar mana pun kerosakan yang berlaku waima berjuta-juta ringgit.

Mohon perhatian dan teguran di kalangan para pengamal undang-undang untuk penambahbaikan.


Aku, hamba-Nya yang dhaif,
Mohamad bin Wahid @ Pie @ AHP



Info Berkaitan:

Laman Web Rasmi PPWM: http://www.positivewarriors.org/

NO AKAUN PPWM:
Bank: Maybank
Nombor Akaun: 5560 5750 3949
Nama Pemegang Akaun: Pertubuhan Positive Warriors Malaysia

Para pembaca boleh berkongsi pengalaman melalui FB AHP Positive Warriors Support Group (Secret Group). Anda juga dialu-alukan menjadi ahli Pertubuhan Positive Warriors Malaysia (PPWM). Untuk menyertai, sila hubungi admins yang berikut:

Camelia Sulaiman: camelia_sulaiman@yahoo.com
Luka Rafieqa: rafieqakl@hotmail.com

NGO Sokongan:

Pertubuhan Amal Firdausi Kuala Lumpur (PAFI)
Sila hubungi:
Laman Web: http://www.amalfirdausi.org
E-Mel: amalfirdausi@gmail.com
Talian Marhabah: 018-207-0953 (Encik Hamli) @ 017-311-0306 (Encik Raffie)
Telefon / Faks: 03-9174-0934
FB PAFI: http://www.facebook.com/amalfirdausi (open group)
Twitter: twitter.com/amalfirdausi

Sokongan khusus kepada komuniti wanita: PEWAHIM
Untuk menyertai FB PEWAHIM (secret group) sila hubungi:
E-Mel: pewahim@gmail.com
Telefon: 019-259-5864 (Norlela) Pengasas

No akaun PEWAHIM: 562740121438 (Maybank)