Thursday, May 16, 2013

PERPADUAN MENUJU SIFAR HIV/ AIDS








Usaha ke arah menuju sifar HIV/AIDS adalah tanggungjawab setiap anggota masyarakat. Jika merujuk tanggungjawab ini mengikut pandangan syarak, Perpaduan Menuju Sifar HIV/ AIDS adalah satu tuntutan fardhu kifayah.

Rasionalnya, keperluan melaksanakan tuntutan fardhu kifayah tidak boleh disempitkan atau sekadar berlegar sekitar tuntutan mendirikan solat jamaah dalam sesebuah kariah, soal pengurusan jenazah, dan sebagainya. Ianya perlu dilihat dalam konteks yang lebih luas seperti di dalam bidang kejuruteraan, ekonomi, perubatan, sains, astronomi, dan kemasyarakatan.

Antara contoh tuntutan fardhu kifayah dalam bidang kemasyarakatan ialah tanggungjawab menyeru ke arah kebaikan, mencegah kemungkaran, membantu golongan yang memerlukan dan sebagainya.

Tuntutan fardhu kifayah adalah satu tuntutan yang sangat besar kelebihannya kerana mereka yang melaksanakannya telah melengkapkan atau melepaskan satu tanggungjawab yang sepatutnya dipikul oleh setiap anggota masyarakat Islam yang lain.

Firman Allah:

“Dan tiadalah Kami mengutuskan engkau (wahai Muhammad), melainkan untuk menjadi rahmat bagi sekalian alam.” (Surah al-Anbiya: 107)






“Ditimpakan ke atas mereka kehinaan di mana sahaja mereka berada kecuali mereka yang berhubungan dengan tali Allah dan tali manusia.” (Ali Imran: 112)

Tali manusia yang dimaksudkan dalam ayat ini termasuklah keperluan membantu golongan yang memerlukan seperti orang kurang upaya (OKU), para pesakit kronik yang terbiar, dan anak-anak yatim di jalanan. Maka, perpaduan dan usaha menuju sifar HIV/AIDS juga boleh dianggap tuntutan fardhu kifayah.

Gagal melaksanakannya menyebabkan seluruh umat Islam akan berdosa, bahkan boleh menjadi satu fitnah terhadap keindahan Islam itu sendiri sebagai satu cara hidup yang sempurna dan contoh teladan kepada umat manusia.

Golongan Yang Menerima Kesan Akibat HIV Dan Kewajaran Membantu Mereka

Untuk lebih memahami rasional ianya dianggap sebagai tuntutan fardhu kifayah, kita perlu melihat golongan yang menerima kesan akibat HIV dan kewajaran kita memainkan peranan tersebut.

Mereka terdiri daripada yang dijangkiti atau turut menerima kesan akibat jangkitan. (infected dan affected people) iaitu:

1.      Pengamal aktiviti berisiko atau terdedah kepada risiko
2.      Bekas pengamal aktiviti berisiko
3.      Pasangan kepada pengamal atau bekas pengamal aktiviti berisiko
4.      Zuriat kepada pasangan yang dijangkiti
5.      Ahli keluarga terdekat kepada Orang Yang Hidup Dengan HIV (ODHA)

Perlu diakui bahawa kesemua golongan yang dinyatakan perlu dibimbing, disokong, berhak mendapat rawatan, ruang dan peluang menjalani kehidupan biasa sama seperti insan lain.

Bahkan trend peningkatan penularan jangkitan dan mangsa HIV sekarang lebih terarah kepada pasangan dan zuriat kepada ODHA.

‘Pemangsa’ sebenar dalam isu ini ialah stigma, diskriminasi dan judgemental yang turut membebani affected people. Kesemua mangsa adalah akibat salah faham tersebut.

Fakta Pendorong Menyokong Keperluan Perpaduan Menuju Sifar HIV/ AIDS

Secara umum, di negara kita terdapat lebih 90, 000 orang ODHA dan jumlah yang baru didiagnos setiap hari dalam anggaran 10-12 orang. Manakala jumlah sebenar yang belum didiagnos adalah dijangkakan berlipat kali ganda.

Kebanyakan daripada mereka yang terdedah kepada risiko tetapi enggan menjalani ujian saringan HIV atau enggan mendapatkan rawatan adalah disebabkan oleh sikap stigma, judgemental, dan diskriminasi seperti yang dinyatakan tadi.

Sedangkan dengan kefahaman yang betul, rawatan HIV adalah sangat mudah, dan peluang hidup berkualiti sama seperti bukan ODHA. ODHA tidak membahayakan bukan ODHA.

Perpaduan Menuju Sifar HIV/ AIDS

Getting To Zero adalah perkataan keramat yang penuh makna bagi yang memahaminya. Menuju sifar HIV/ AIDS antaranya bermaksud kita meletakkan objektif untuk menghapuskan jangkitan baru, menghapuskan jangkitan kepada pasangan ODHA, dan menghapuskan jangkitan kepada zuriat.

Kesemuanya boleh dilakukan dengan ilmu dan kefahaman yang tepat tentang HIV/ AIDS serta rawatan.

Kumpulan Yang Terlibat Untuk Membantu Menuju Sifar HIV/ AIDS

1.      Kementerian, jabatan dan agensi-agensi berkaitan
2.      NGOs berkaitan
3.      Yayasan, badan-badan korporat, golongan profesional, majikan, agamawan dan para pemimpin masyarakat setempat
4.      Sokongan komuniti terhadap komuniti
5.      Media massa dan selebriti

Berikut Adalah Secara Ringkas Sebahagian Peranan Dan Penambahbaikan Untuk Menuju Sifar HIV/ AIDS

1.     Kementerian, jabatan dan agensi-agensi berkaitan.

Secara umum pihak kerajaan khususnya melalui Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Kementerian Belia dan Sukan (KBS), Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), dan Agensi Anti Dadah Kerajaan (AADK) telah melaksanakan peranan yang sangat besar untuk menuju sifar HIV/ AIDS.

Walau bagaimanapun, dalam isu rawatan, penambahbaikan dalam soal kefahaman tentang isu HIV/ AIDS dan hak kerahsiaan klien masih terdapat ruang untuk diperbaiki.

Jika kefahaman tentang isu HIV/ AIDS dapat dipertingkatkan, rasa ragu-ragu mendapat layanan yang adil sama seperti klien lain semasa menjalani rawatan tidak akan berlaku.

Apabila individu yang didiagnos sebagai ODHA selesa menjalani rawatan awal dan dengan kaunseling yang tepat, kesihatan ODHA lebih mudah dipantau, dapat menjimatkan kos dan meningkatkan peluang mereka serta keluarga menjalani kehidupan dengan lebih bermakna.

Apabila dirawat dan diberi kaunseling tentang tatacara pencegahan jangkitan, risiko jangkitan kepada pasangan atau zuriat dapat dielakkam

Peranan yang sangat besar juga boleh dimainkan oleh para pendidik. Walaupun kerjasama dengan Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) telah dijalinkan sebelum ini tetapi pendekatannya boleh diubah supaya tidak menjadi beban kepada para guru.

Kelemahan pelaksanaan boleh diperbaiki termasuk meningkatkan pemahaman para pelajar memahami tekanan yang ditanggung oleh affected people. Mencegah lebih baik daripada merawat. Kaedah ini akan dapat mengurangkan risiko jangkitan HIV berleluasa.

2.     Peranan NGOs berkaitan

Terdapat banyak NGOs yang prihatin membantu komuniti. Usaha tersebut adalah usaha yang sangat murni dan patut dihargai, tetapi kita perlukan lebih banyak NGOs yang secara khusus berperanan untuk menentang penularan jangkitan HIV/ AIDS.

Kebanyakan NGOs sedia ada lebih tertumpu dalam usaha outreach dan advokasi seperti membantu membina rumah-rumah perlindungan sementara kepada golongan yang terlibat, membantu ODHA untuk mendapatkan atau menjalani rawatan, mendekati golongan berisiko seperti golongan gelandangan, dan sebagainya.

Malaysian Aids Council (MAC), PT Foundation (PTF) dan lain-lain NGOs telah berusaha bersungguh-sungguh untuk menuju sifar jangkitan baru HIV tetapi usaha tersebut kurang berkesan jika tanpa sokongan setiap lapisan anggota masyarakat.

Begitu juga jika terlalu banyak bidang sokongan yang perlu dilaksanakan, maka fokus khusus untuk menentang penularan jangkitan baru agak terganggu.

Antara program yang sangat berkesan ialah Program Pengukuhan ODHA untuk meningkatkan keyakinan ODHA tampil sebagai front liner dengan imej positif secara terbuka ke dalam masyarakat. Pelaburan yang dikeluarkan oleh pihak JAKIM untuk membantu NGOs dalam usaha tersebut bukannya sedikit.

Alhamdulillah, usaha tersebut telah menunjukkan hasil. Walau bagaimanapun, ODHA yang tampil ini perlu diberikan sokongan berterusan untuk kekal berperanan melalui latihan-latihan kemahiran komunikasi, kemaskini maklumat berkaitan isu HIV dan ketrampilan diri. Keperluan sara hidup mereka juga perlu dipertimbangkan kerana fokus mereka adalah kepada perjuangan.

Begitu juga dengan Program Pertukaran Jarum dan Alat Suntikan (NSEP) dan pengagihan kondom percuma kepada golongan berisiko (yang disertai kaunseling) telah terbukti dapat mengurangkan kadar jangkitan HIV.

Walaupun pada peringkat awal program ini mendapat tentangan yang hebat oleh sebahagian anggota masyarakat, tetapi apabila mereka mula memahami rasional pelaksanaan, ianya telah diterima bahkan terbukti dapat mengurangkan risiko jangkitan.

Kita masih memerlukan kajian terperinci tentang hasil keberkesanan sesuatu program. Program yang berkesan seperti yang dinyatakan tadi perlu diteruskan dengan pendekatan yang kreatif dan dilipat-gandakan.

Selain itu, setiap NGOs perlu saling bekerjasama untuk menguatkan jaringan sesama sendiri dengan pemantauan dan sokongan penuh pihak yang lebih besar peranan dan pengalaman sebagai paksi.

Hormat-menghormati perbezaan dan peranan masing-masing dalam membantu komuniti adalah sangat penting kerana objektifnya adalah untuk saling melengkapi. Keuntungan yang bakal diperolehi adalah untuk kepentingan komuniti.

Masalah-masalah birokrasi mesti diperbaiki, persefahaman perlu ditingkatkan, dan kelemahan komunikasi sesama organisasi perlu diatasi kerana boleh merencatkan usaha menuju ke arah objektif yang sama.

Tegur-menegur dan saling membantu adalah perlu, tetapi sikap menghentam sesama sendiri adalah mengaibkan. Tanggungjawab yang sebegini besar memerlukan sikap profesional. Polemik tidak akan membawa sebarang makna.

3.     Yayasan, badan-badan korporat, golongan profesional, majikan, agamawan dan para pemimpin masyarakat setempat

Kesemua pihak yang dinyatakan di atas adalah kumpulan yang sangat penting untuk menuju sifar jangkitan HIV/ AIDS. Kumpulan ini dianggap sebagai kumpulan sokongan untuk meneruskan kelangsungan menuju sifar jangkitan HIV/AIDS.

Sebagai contoh, apabila majikan tidak memahami dan mendiskriminasi ODHA sehingga ke tahap kemungkinan kehilangan pekerjaan, ada kemungkinan ODHA terpaksa mengabaikan rawatan. Apabila keadaan ini berlaku, sudah tentu kemungkinan penularan HIV lebih berleluasa.

Begitu juga jika sesebuah NGOs menunjukkan komitmen yang tinggi untuk meningkatkan pemahaman tentang penularan HIV, tetapi jika tanpa sokongan kewangan akibat stigma, judgemental, dan diskriminasi terhadap usaha membantu komuniti, ianya tidak dapat digerakkan dengan berkesan.

Golongan cendikiawan terutama di Institusi Pengajian Tinggi (IPT) yang menunjukkan keprihatinan dan membuat kajian serta sudi berkongsi pengetahuan perlu diberi sokongan penuh. Mereka termasuklah di kalangan doktor-doktor pakar.

Validity dan value pandangan mereka sangat tinggi di sisi pandangan masyarakat dan perlu sentiasa dijemput berkongsi pandangan dalam apa jua medan.

Golongan agamawan yang tidak bersikap judgemental dan mempunyai kemahiran membantu komuniti berupaya meningkatkan kesedaran masyarakat tentang cara penularan HIV dengan tepat sangat berperanan ke arah menuju sifar jangkitan HIV/ AIDS.

Diakui, kita memerlukan undang-undang, peraturan dan penguatkuasaan dalam setiap aspek kehidupan. Tetapi daripada saling bertelingkah, lebih baik tumpukan kepada usaha yang boleh dilaksanakan untuk membantu.

Adalah lumrah terdapat perbezaan nilai hidup yang ditafsirkan mengikut persepsi individu berdasarkan sejarah dan latar belakang hidup masing-masing. Ada kalanya memerlukan bimbingan dan pendidikan berterusan supaya menepati pandangan Islam.

Setiap perancangan, ada langkah-langkah dan tahap-tahapnya. Daripada berdebat, lebih baik kita saling bekerjasama dengan kapasiti masing-masing.

Pemimpin akan dihisab tentang tanggungjawab mereka sebagai pemimpin. Penguatkuasa, ada amanah dalam bidang penguatkuasaan. Golongan yang membantu, mainkanlah peranan dalam bidang khidmat bantu dan sokongan.

Rasulullah S.A.W. bersabda:

“Setiap kamu adalah pemimpin dan kamu sekelian akan ditanya perihal kepimpinan kamu. Seorang imam (ketua) adalah pemimpin dan dia akan ditanya mengenai kepimpinannya. Seorang lelaki adalah pemimpin keluarganya dan dia akan ditanya mengenai kepimpinannya. Isteri adalah pemimpin dalam rumahtangga suaminya dan dia akan ditanya mengenai tanggungjawab kepimpinannya. Seorang pembantu adalah pemimpin harta majikan dan dia akan ditanya mengenai kepimpinannya. Seorang anak adalah pemimpin harta bapanya dan dia bertanggungjawab mengenai kepimpinannya. Maka setiap kamu adalah pemimpin dan setiap kamu akan ditanya mengenai kepimpinannya.”  (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

4.     Sokongan komuniti terhadap komuniti

Keberkesan peranan komuniti sendiri yang membantu komuniti semakin mendapat pengiktirafan. Grief reaction lebih mudah dihadapi, kesedaran rawatan dan kekangan  penularan HIV lebih berkesan. Peranannya hampir sama dengan NGOs tetapi dalam medan yang agak terhad.

Ianya sangat berkesan dan kurang tekanan, tetapi kurang meluas kerana medan yang serba terbatas tersebut.

Walau bagaimanapun, medan ini dapat dipertingkatkan seperti melalui usaha yang telah dijalankan oleh pihak MAC dan JAKIM. Bengkel-bengkel pengukuhan ODHA sentiasa dijalankan di seluruh negara secara berterusan.

Insan-insan hebat ini mampu memberi impak terhadap usaha menuju sifar HIV/ AIDS. Adalah diharapkan muka-muka baru yang terdiri daripada kalangan ODHA sendiri sudi menghadiri bengkel-bengkel yang dianjurkan tanpa prasangka.

Komuniti memerlukan seramai mungkin pemimpin pelapis. Ilmu dan latihan yang diperolehi boleh dimanfaatkan dengan pelbagai cara.

5.     Media massa dan selebriti

Perlu diakui bahawa media massa sangat besar peranannya dalam membantu usaha menuju sifar HIV/ AIDS termasuk menentang stigma, diskriminasi, dan judgemental.

Secara umum, media massa yang dimaksudkan ialah media massa arus perdana dan media alternatif. Kedua-dua media tersebut amat diharapkan dapat memainkan peranan untuk menghakis berita dan visual berbaur stigma yang menggalakkan tekanan berterusan terhadap kehidupan ODHA dan affected people. Maklumat yang tidak tepat hanya akan menambahkan kekeliruan dan gagal mengekang penularan HIV.

Kerjasama yang berterusan, mengutamakan liputan berita yang menghasilkan output positif dan dapat membangunkan jati diri komuniti perlu diperbanyakkan.

Isu-isu sensasi yang menambahkan kemudaratan dan salah faham sepatutnya dihindari kerana ianya tidak akan mencapai objektif menuju sifar jangkitan HIV/AIDS.

Begitu juga penglibatan para selebriti dalam bidang masing-masing seperti dalam bidang perubatan, agama, pembangunan insan, dan industri hiburan tanah air boleh membantu merealisasikan hasrat ini dengan pantas.

Kesimpulan

Diharapkan semua pihak yang dinyatakan tadi supaya bersatu dalam usaha menuju sifar jangkitan HIV/AIDS. Tanpa perpaduan, objektif tersebut sukar dicapai.

Tuntutan fardhu kifayah ini perlu dilaksanakan dengan penuh kesungguhan kerana selain daripada tanggungjawab kita terhadap sesama manusia, umat Islam sendiri adalah antara yang paling ramai menjadi mangsa. Perpaduan menuju sifar HIV/ AIDS adalah satu peluang untuk berjuang fisabilillah dan insya-Allah beroleh ganjaran pahala yang sangat besar.

Hadis Rasulullah SAW:
“Sekasih-kasih manusia kepada Allah ialah mereka yang memberi manfaat kepada manusia yang lain.”  (Hadis Riwayat at-Tabroni)


“Selamat Menyambut Hari Memperingati AIDS Sedunia 2013”


Aku hamba-Nya yang dhaif
Mohamad bin Wahid @ Pie @ AHP

Info Berkaitan:

Laman Web Rasmi PPWM: http://www.positivewarriors.org/

NO AKAUN PPWM:
Bank: Maybank
Nombor Akaun: 5560 5750 3949
Nama Pemegang Akaun: Pertubuhan Positive Warriors Malaysia

Para pembaca boleh berkongsi pengalaman melalui FB AHP Positive Warriors Support Group (Secret Group). Anda juga dialu-alukan menjadi ahli Pertubuhan Positive Warriors Malaysia (PPWM). Untuk menyertai, sila hubungi admins yang berikut:

Camelia Sulaiman: camelia_sulaiman@yahoo.com
Luka Rafieqa: rafieqakl@hotmail.com

NGO Sokongan:

Pertubuhan Amal Firdausi Kuala Lumpur (PAFI)
Sila hubungi:
Laman Web: http://www.amalfirdausi.org
E-Mel: amalfirdausi@gmail.com
Talian Marhabah: 018-207-0953 (Encik Hamli) @ 017-311-0306 (Encik Raffie)
Telefon / Faks: 03-9174-0934
FB PAFI: http://www.facebook.com/amalfirdausi (open group)
Twitter: twitter.com/amalfirdausi

Sokongan khusus kepada komuniti wanita: PEWAHIM
Untuk menyertai FB PEWAHIM (secret group) sila hubungi:
E-Mel: pewahim@gmail.com
Telefon: 019-259-5864 (Norlela) Pengasas
No akaun PEWAHIM: 562740121438 (Maybank)