Thursday, May 30, 2013

STIGMA UMAT ISLAM LEBIH NEGATIF?







Islam mengajar umatnya agar menyantuni orang sakit, hakikat kini pesakit dilihat disisihkan oleh saudara seagama, terutama penghidap AIDS.

Oleh: Mohd. Shah Che Ahmad

  
“Tiada yang lebih perit dirasakan oleh golongan orang hidup dengan HIV (ODHA) selain stigma negatif berterusan yang dilemparkan sesetengah masyarakat terhadap kami,” luah Mohamad Wahid.

Beliau yang juga pengasas Persatuan Positive Warriors berkata, hanya sedikit kesakitan yang dirasai oleh golongan pembawa HIV itu dalam meneruskan kehidupan berbanding bisa tanggapan negatif masyarakat yang sentiasa memandang serong terhadap mereka.

Sedangkan katanya, ramai dalam kalangan masyarakat yang tidak mahu mengambil tahu tentang AIDS, tetapi dengan mudah melontarkan pelbagai tohmahan negatif dengan menganggap dunia bukan lagi tempat bagi golongan itu.

Malangnya, golongan yang sepatutnya memerlukan bantuan dan sokongan itu terus dipulaukan sehingga diumpamakan mayat hidup tanpa diberkati sebarang perhatian malah ada yang dibuang oleh keluarga.

Akhirnya, di celah-celah lorong, di tepi longkang, dan bawah jambatan menjadi kediaman mereka yang hanya menunggu masa untuk ‘pergi’.

Menurut Mohamad yang juga pembawa HIV, apa yang lebih menyedihkan beliau ialah masyarakat Melayu beragama Islam dilihat lebih mempunyai stigma negatif yang menebal berbanding masyarakat agama lain.

Beliau berkata, sedangkan ini jelas bertentangan dengan ajaran agama islam yang mengajar umatnya supaya membantu meringankan penderitaan serta meraikan orang sakit.

“Tidak dinafikan semua orang mempunyai perasaan takut untuk berhadapan dengan ODHA. Ini kerana ramai yang menyangka dengan bergaul bersama pembawa HIV itu boleh memberi risiko menyebabkan jangkitan terhadap mereka.

“Sehinggakan rakan yang dulu rapat mula menjauhkan diri daripada pembawa HIV. Bukan itu sahaja, keluarga juga mula mengasingkan ahli keluarga yang dijangkiti AIDS sehingga diletakkan di tempat khas tanpa diberi perhatian.

“Mereka yang pastinya hilang semangat untuk hidup setelah dijangkiti HIV akhirnya berputus asa dan terus mengambil keputusan berserah dan menunggu mati tanpa sokongan untuk mengambil sebarang rawatan.

“Apa yang lebih menyedihkan ialah, kebanyakan masyarakat, rakan dan ahli keluarga yang meminggirkan pembawa HIV yang rata-ratanya beragama Islam tersebut adalah dalam kalangan orang Islam sendiri,” kata Mohamad ketika ditemui baru-baru ini.

Beliau berkata, ini terbukti berdasarkan pengalaman yang dilalui di samping melihat sikap sesetengah umat Islam yang mudah terpengaruh dengan orang lain tanpa mendapatkan maklumat dengan sendiri.

Menceritakan pengalamannya apabila mendapat tahu dijangkiti HIV, Mohamad yang tidak mahu mendedahkan bagaimana jangkitan berlaku berkata, sudah dijangka ramai daripada kenalannya yang mengetahui perkara tersebut mula meminggirkan beliau.

Walaupun pada mulanya sangat berputus asa, namun berbekalkan sedikit ilmu agama dan rasa tanggungjawab terhadap keluarga membuatkan Mohamad nekad untuk bangkit seperti orang sihat lain.

“Terasa seperti hidup saya ini musnah selepas pemeriksaan mendapati saya benar-benar positif HIV. Saya sangat kesal dan berputus asa kerana tidak menyangka dengan cara itu jangkitan ini berlaku kepada saya.

“Tetapi saya yakin ini adalah ujian daripada Allah SWT kepada saya dan saya anggap ini merupakan proses pengampunan Tuhan kepada saya yang ingin menyedarkan kelalaian selama ini yang saya lakukan,” ujarnya mendakwa HIV membuka lembaran hidup baru baginya ke arah lebih baik dan berjaya.

Umpama pembunuh

Mohamad berkata, stigma negatif orang ramai yang memulaukan golongan ODHA adalah menjadi antara penyebab pembunuh utama bagi pembawa yang lemah dan merasakan diri mereka tiada tempat di dunia ini.

“Sokongan dan nasihat psikologi adalah perkara utama yang diperlukan oleh ODHA. Ini kerana tidak ada yang difikirkan golongan tersebut selain tiada harapan untuk hidup apabila menghidap HIV.

“Dengan pelbagai tohmahan dan perbuatan menyisihkan mereka membuatkan ODHA lebih lemah dan tidak mahu mengambil rawatan yang boleh menyelamatkan mereka sebaliknya menunggu untuk mati,” katanya.

Hakikatnya, Mohamad berkata, masyarakat tidak perlu takut berhadapan dan melakukan sebarang aktiviti dengan pembawa HIV.

Ini kerana katanya, HIV sebenarnya bukanlah virus yang mudah berjangkit.

“Mengetahui status seseorang itu mempunyai HIV adalah lebih selamat berbanding tidak mengetahui. Siapa sangka doktor yang merawat kita di hospital adalah ODHA?

“Begitu juga tukang masak makanan harian yang kita beli di sesebuah kedai berkenaan juga mempunyai HIV?

“Jadi mengapa perlu kita meminggirkan ODHA yang kita kenali? Tidak menjadi masalah pun bagi seseorang untuk bergaul dengan pembawa HIV selagi kita tidak melakukan aktiviti yang boleh menyebabkan jangkitan,” tambahnya yang mempunyai dua isteri dan dua orang anak yang kesemuanya bebas HIV.

Tambahnya, HIV tidak boleh merebak melalui udara, manakala jangkitan melalui air liur pula memerlukan kira-kira tujuh kolam saiz Olimpik air liur pembawa HIV kepada bukan pembawa.


Sumber: Sisipan Mega, Utusan Malaysia, Khamis, 30 Mei 2013
Edisi Online: sini


Retyped with minor editing by: Ummie



Info Berkaitan:

Laman Web Rasmi PPWM: http://www.positivewarriors.org/

NO AKAUN PPWM:
Bank: Maybank
Nombor Akaun: 5560 5750 3949
Nama Pemegang Akaun: Pertubuhan Positive Warriors Malaysia

Para pembaca boleh berkongsi pengalaman melalui FB AHP Positive Warriors Support Group (Secret Group). Anda juga dialu-alukan menjadi ahli Pertubuhan Positive Warriors Malaysia (PPWM). Untuk menyertai, sila hubungi admins yang berikut:

Camelia Sulaiman: camelia_sulaiman@yahoo.com
Luka Rafieqa: rafieqakl@hotmail.com

NGO Sokongan:

Pertubuhan Amal Firdausi Kuala Lumpur (PAFI)
Sila hubungi:
Laman Web: http://www.amalfirdausi.org
E-Mel: amalfirdausi@gmail.com
Talian Marhabah: 018-207-0953 (Encik Hamli) @ 017-311-0306 (Encik Raffie)
Telefon / Faks: 03-9174-0934
FB PAFI: http://www.facebook.com/amalfirdausi (open group)
Twitter: twitter.com/amalfirdausi

Sokongan khusus kepada komuniti wanita: PEWAHIM
Untuk menyertai FB PEWAHIM (secret group) sila hubungi:
E-Mel: pewahim@gmail.com
Telefon: 019-259-5864 (Norlela) Pengasas
No akaun PEWAHIM: 562740121438 (Maybank)




99% BAYI DILAHIRKAN IBU POSITIF HIV TIDAK DIJANGKITI





28 Mei 2013

KUALA LUMPUR - Kira-Kira 99 peratus bayi yang dilahirkan ibu positif HIV di Malaysia tidak dijangkiti virus itu, kata Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Rohani Abdul Karim.

Beliau berkata ini berikutan pelaksanaan program Pencegahan Jangkitan HIV daripada ibu kepada anak (PMTCT) sejak 1998 di semua pusat kesihatan  kerajaan.

PMTCT merupakan usaha menyeluruh bagi mencegah jangkitan HIV daripada ibu kepada anak sebelum, semasa hamil dan melahirkan anak serta selepas  bersalin.

"Liputan intervensi PMTCT di pusat kesihatan kerajaan meningkat daripada 49.7 peratus pada 1998 kepada 100 peratus pada 2011," katanya dalam ucapan
pembukaan pada Forum Anggota Parlimen sempena Persidangan Global Women Deliver ke-3 di sini hari ini.

Rohani berkata kerajaan juga komited untuk menghapuskan jangkitan HIV secara vertikal menjelang 2015 menerusi penyediaan perkhidmatan PMTCT di  peringkat nasional yang berkualiti dan menyeluruh.

Strategi semasa Malaysia bertujuan mendekati wanita hamil, pasangan dan bayi mereka serta populasi paling berisiko, katanya.

Rohani berkata akses lebih besar untuk perkhidmatan penjagaan profesional dan perancangan keluarga di Malaysia menyebabkan nisbah kematian ibu  menurun daripada lebih 40 bagi setiap 100,000 kelahiran hidup pada 1993 kepada 30 bagi setiap 100,000 kelahiran hidup sejak tahun 2000.

Nisbah itu kekal pada 30 kematian bagi setiap 100,000 kelahiran hidup sehingga tahun 2010.

Mengulas pencegahan kanser dalam kalangan wanita dan remaja perempuan, Rohani berkata Malaysia merupakan satu daripada negara pertama Asia yang memperkenal program suntikan vaksin virus human papilloma (HPV) di peringkat nasional.

Beliau berkata sejumlah RM10 juta diperuntuk pada 2010 kepada Kementerian Kesihatan untuk memperkenal program itu kepada remaja perempuan berusia  13 tahun.

Pada sidang akhbar selepas itu, Rohani berkata pencapaian Malaysia dalam menjaga kepentingan wanita berhubung isu kesihatan dan penguasaan   ekonomi berada di tahap yang membanggakan.

Peranan Malaysia dalam menjaga hak wanita turut mendapat pengiktirafan agensi dan persatuan wanita antarabangsa, katanya.

Beliau berpendapat kuasa politik yang stabil juga penting bagi memastikan usaha ke arah pemerkasaan peranan wanita Malaysia dapat diterus dan dipertingkat.


"Persidangan kali ini merupakan satu peluang perkongsian bermakna kepada Malaysia bagi memastikan perjalanan negara ke arah negara maju, 2020  (berjalan) lancar," katanya.- Bernama


Sumber: Sinar Harian


Republished by: Ummie

P/S:

- Perkongsian ini Ummie republished sekadar membantu AHP memandangkan jadual beliau yang terlalu padat mutakhir ini.

- Bagi mendapatkan zuriat bebas HIV, sila browse entries yang berkaitan di dalam blog ini. 



Info Berkaitan:

Laman Web Rasmi PPWM: http://www.positivewarriors.org/

NO AKAUN PPWM:
Bank: Maybank
Nombor Akaun: 5560 5750 3949
Nama Pemegang Akaun: Pertubuhan Positive Warriors Malaysia

Para pembaca boleh berkongsi pengalaman melalui FB AHP Positive Warriors Support Group (Secret Group). Anda juga dialu-alukan menjadi ahli Pertubuhan Positive Warriors Malaysia (PPWM). Untuk menyertai, sila hubungi admins yang berikut:

Camelia Sulaiman: camelia_sulaiman@yahoo.com
Luka Rafieqa: rafieqakl@hotmail.com

NGO Sokongan:

Pertubuhan Amal Firdausi Kuala Lumpur (PAFI)
Sila hubungi:
Laman Web: http://www.amalfirdausi.org
E-Mel: amalfirdausi@gmail.com
Talian Marhabah: 018-207-0953 (Encik Hamli) @ 017-311-0306 (Encik Raffie)
Telefon / Faks: 03-9174-0934
FB PAFI: http://www.facebook.com/amalfirdausi (open group)
Twitter: twitter.com/amalfirdausi

Sokongan khusus kepada komuniti wanita: PEWAHIM
Untuk menyertai FB PEWAHIM (secret group) sila hubungi:
E-Mel: pewahim@gmail.com
Telefon: 019-259-5864 (Norlela) Pengasas
No akaun PEWAHIM: 562740121438 (Maybank)



Sunday, May 26, 2013

BEBERAPA PERISTIWA PENTING SEKITAR PERJUANGANKU SEBAGAI ORANG YANG HIDUP DENGAN HIV (ODHA) SEPANJANG MEI 2013



Sepanjang Mei 2013, selain daripada berdepan dengan rutin harian yang sentiasa menjawab pelbagai pertanyaan dan urusan berkaitan HIV serta pengurusan Pertubuhan Positive Warriors Malaysia (PPWM), aku juga sibuk menghadiri pelbagai events atas jemputan pelbagai pihak terutamanya menjelang sambutan Hari Memperingati AIDS Sedunia (IAMD 2013).

Disebabkan oleh kekangan tersebut aku tidak berkesempatan mengemaskini blog ini seperti biasa. Bahkan masih terdapat senarai panjang tugas yang tidak menampakkan sebarang peluang untuk berehat seketika dalam waktu terdekat.

Kepenatannya hanya Tuhan yang tahu. Ada kalanya berminggu aku terpaksa meninggalkan keluarga termasuk tugas-tugas hakikiku. Syukurlah setakat ini majikan dan rakan-rakan setugasku masih boleh bertolak-ansur. Jazakumullah kheir kepada mereka. InsyaAllah ini sebahagian daripada berkat doa komuniti.

Kadang-kadang aku agak tertekan dengan rasa bersalah membebankan rakan-rakan setugas, tetapi perjuangan ini sangat penting untuk mendidik masyarakat mengenai HIV/ AIDS secara terbuka khususnya bagi menentang stigma, diskriminasi, paranoia, dan judgmental.

Bahkan berjuang membantu komuniti dan menghadiri pelbagai event tersebut, komitmenku jauh lebih berat berbanding tugas hakiki. Ada kalanya terpaksa bersedia sejak pagi sehingga larut malam. Sentiasa bergerak dan keluar masuk hotel merata-rata tempat dan sebahagiannya hanya menggunakan perbelanjaan sendiri yang bukan sedikit.

Antara aktiviti terbesar yang baru aku lalui ialah menghadiri Program Perkhemahan Muhibbah Siri 2/2013, anjuran Bahagian Pembangunan Keluarga, Sosial dan Komuniti JAKIM dengan kerjasama Yayasan Ihtimam Malaysia, dan Majlis AIDS Malaysia pada 17 – 19 Mei 2013 di Dusun Eco Resort & Training Village, Bentong, Pahang.

Para peserta adalah terdiri daripada ahli PPWM yang melibatkan infected, affected, NGOs sokongan, supporters, dan volunteers. Kehadiranku adalah semata-mata untuk memberikan sokongan kepada komuniti khususnya ahli PPWM dan demi memastikan hubungan baik antara PPWM dengan pihak JAKIM, Yayasan Ihtimam, serta MAC terpelihara.

Alhamdulillah dengan sokongan dan bimbingan pihak JAKIM dan Sifu Hanafi, para peserta mendapat banyak manfaat khususnya untuk membina kekuatan diri dan jalinan ukhwah. Aku berharap melalui program sebegini akan memberikan output yang besar terhadap pembangunan komuniti. Tahniah kepada semua pihak termasuk kepada ahli-ahli PPWM sendiri yang memberikan kerjasama demi memastikan semuanya berjalan lancar.


Aku bersama-sama Ustaz Zakuan bin Sawai, Pengarah Eksekutif Yayasan Ihtimam Malaysia yang sangat sporting


Sifu Hanafi sedang mengendalikan bengkel bersama komuniti


Pada sebelah petang 18 Mei 2013, aku terpaksa bergegas ke Kuala Lumpur kerana perlu bersedia dan mewakili PPWM untuk event seterusnya iaitu sebagai ahli panel forum sempena Hari Memperingati AIDS Sedunia Peringkat Kebangsaan di Dewan Daud Al-Fathoni di Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin, Putrajaya pada 19 Mei 2013.

Ahli-ahli panel yang lain ialah Ustaz Mohamad Zamri bin Mohamad Shafek (Ketua Penolong Pengarah, Institut Latihan Malaysia, JAKIM) dan Saudara Fahrin Ahmad, Selebriti Sokongan Riben Merah, Majlis AIDS Malaysia sebagai moderator.

Majlis tersebut telah dihadiri oleh pelbagai NGOs dan individu prihatin dan telah dirasmikan oleh Tuan Haji Razali bin Shahabudin, Timbalan Ketua Pengarah Pembangunan Insan JAKIM yang mewakili Ketua Pengarah JAKIM.

Syukur alhamdulillah selepas forum tersebut berlangsung, aku adalah salah seorang daripada 5 orang yang dipilih sebagai Tokoh Anugerah Komuniti Terbaik 2013. Aku merasakan diriku sangat kerdil berbanding tokoh-tokoh lain yang jauh lebih berperanan tetapi sekurang-kurangnya ianya sebagai satu pengiktirafan kepada PPWM dan kepada mereka yang berani dan sedia tampil secara terbuka membantu komuniti.

Bukan nama, pengiktirafan, dan penghargaan yang dikejar. Tambahan lagi perjuanganku masih terlalu baru dalam usaha membantu komuniti berbanding para senior yang jauh lebih berpengalaman.


Ketika forum bersama Ustaz Mohamad Zamri dan Fahrin Ahmad

Bersama Tuan Haji Razali, beberapa orang VVIP dan sebahagian daripada penerima Tokoh Anugerah Komuniti Terbaik 2013

Bersama sebahagian daripada pihak media


Bersama Encik Hisham Hussein, Setiausaha Kehormat Majlis AIDS Malaysia dan Roswati Ghani Pengarah Eksekutif Majlis AIDS Malaysia (MAC)


Sebahagian daripada staf sokongan MAC yang komited membantu komuniti


Usai majlis, aku telah ditemubual oleh banyak media arus perdana, tetapi seperti biasa aku tidak mempunyai cerita sedih dan sensasi yang mahu dikongsikan walaupun aku hidup sebagai ODHA. Segala-galanya terlalu biasa dan normal. Yang penting adalah menentang stigma, diskriminasi dan judgmental yang lebih memudaratkan ODHA berbanding peluang hidup sihat. Terpulang kepada pihak media untuk menyiarkannya.

Pada 20 – 21 Mei 2013 pula, aku bersama Dr. Ilias Adam Yee (mewakili Universiti Malaya) dan Saudara Fahrin Ahmad serta Owen Yap (Selebriti Sokongan Riben Merah, MAC) hadir sebagai penceramah dan berkongsi pandangan tentang isu HIV/AIDS termasuk rawatan terkini, stigma, diskriminasi, dan judgmental bersama kakitangan Sime Darby di Auditorium Sime Darby Plantation Corporate Office, Petaling Jaya, Selangor dan di Wisma Sime Darby, Jalan Raja Laut, Kuala Lumpur anjuran MAC.


Sebahagian daripada staf Sime Darby Plantation

Bersama Dr. Ilyas dan Fahrin Ahmad di Sime Darby Plantation

Bersama Owen Yap, Dr. Ilyas dan Fahrin Ahmad di Wisma Sime Sime Darby


Sejujurnya aku mengkagumi komitmen semua ahli panel dan staf Sime Darby yang sangat memahami dan bersikap terbuka. Saudara Fahrin Ahmad dalam kedua-dua sesi sanggup merendah diri berkongsi minuman denganku untuk membuktikan kepada audience bahawa tiada jangkitan melalui pergaulan kasual dengan ODHA. Walaupun simple, cara tersebut sangat berkesan dan bermakna.

Barangkali kerana mereka memang berpendidikan tinggi dan sentiasa terdedah dengan pelbagai info tanpa judgmental, maka mereka bersikap amat terbuka. Sime Darby yang ku perhatikan adalah sebuah Government-Linked Company (GLC) yang sangat prihatin dengan nasib komuniti terpinggir termasuk orang kurang upaya (OKU), ibu tunggal, dan kanak-kanak terbiar.

Aku sangat berharap PPWM dapat menjalin kerjasama baik yang berkekalan dengan pihak Sime Darby melalui peluang menjalin hubungan yang pihak MAC buka.


Sebahagian daripada staf Wisma Sime Darby, ahli panel dan kakitangan MAC


Pada 21-23 Mei 2013, aku bergegas pula ke Ancasa Allsuites Resort & Spa, di Port Dickson, Negeri Sembilan untuk berkongsi sokongan dalam satu sesi ceramah bertajuk Stigma, Sokong & Bantu bersama para Imam JAWI anjuran JAKIM iaitu Bengkel Manual Islam Dan HIV/ AIDS.

Bersama golongan agamawan adalah keutamaanku untuk menentang salah faham dan membantu komuniti. Perlu diingatkan bahawa sekitar 98,000 ODHA yang telah didiagnos sebagai ODHA. Mereka yang belum didiagnos adalah dalam anggaran 2 – 3 kali ganda dan jumlah tersebut tidak termasuk affected people yang menerima kesan yang hampir sama seperti suami, isteri, anak, keluarga, dan sebagainya.

Kadar jangkitan di kalangan pasangan kepada ODHA menunjukkan peningkatan yang semakin tinggi berbanding pengamal aktiviti berisiko dan kesemua mereka (tanpa mengira punca jangkitan) berhak mendapat bimbingan, sokongan, dan rawatan.

Stigma, judgmental, dan diskriminasi hanya akan menambah penularan virus dan penganiayaan. Inilah yang seharusnya disedari oleh semua pihak. Visual negatif di dalam fikiran masing-masing bahawa ODHA adalah sekadar insan-insan yang sengaja mengambil risiko, terbiar di jalanan, kurus kering, dan tidak menyumbang apa-apa kepada negara mesti dihapuskan.

Ramai ODHA turut menyumbang jasa kepada agama dan pembangunan negara. Selain memegang pelbagai jawatan penting di dalam pelbagai bidang profesiosional, ramai ODHA turut terdiri daripada lulusan agama termasuk dari Timur Tengah seperti bekas para pelajar tahfiz, imam, ustaz, ustazah, peguam syar’ie, dan sebagainya.

Aku sangat sedih jika golongan agamawan yang sepatutnya membantu, tetapi bersikap tidak ambil peduli tentang isu yang melibatkan ramai umat Islam ini dengan pelbagai alasan masing-masing.

Adalah malang jika terdapat golongan agamawan berpendidikan tinggi yang masih tidak jelas tentang cara jangkitan HIV, rawatan terkini, keliru tentang pelaksanaan program pertukaran jarum suntikan, methadone, dan pembahagian kondom (Needle Syringe Exchange Program atau NSEP). Tiada guna bersikap menghukum sedangkan golongan agamawan sangat diperlukan oleh komuniti dan besar pengaruh serta peranannya di kalangan masyarakat setempat.

Sekadar berkongsi, aku pernah menghadiri satu program yang dianjurkan oleh sebuah NGO tertentu, yang sokongan sesama komunitinya sangat hebat, tetapi kosong tanpa pengisian agama. Akhirnya program tersebut yang sepatutnya dibina untuk mendapat redha Allah menjadi sia-sia tanpa penglibatan golongan agamawan. Sesat dan menyesatkan kerana tuntutan fardhu ain dianggap hanya soal individu. Harm reduction semata-mata dan kerana itulah aku bersetuju PPWM ditubuhkan atas landasan perjuangan Islam, Melayu dan kekeluargaan.

Alhamdulillah, para imam di dalam program yang aku hadiri kali ini menunjukkan sedia faham tentang isu HIV/AIDS, prihatin dan mempunyai semangat yang berkobar-kobar untuk mengadakan pelbagai program bagi meningkatkan kesedaran dengan cara yang tepat kepada masyarakat di peringkat kariah masing-masing. Kepada para pemimpin hebat ini, kita doakan mereka istiqamah dengan azam mereka.


Bersama Dr. Nurul Aidah dari Klinik Kesihatan Tanglin

Bersama Dr. Zaini binti Haji Ishak, Ketua Penolong Pengarah Kanan Unit HIV/AIDS dari Jabatan Kesihatan Negeri Sembilan


Bersama Ustaz Zakuan, Ustaz Arrahman, Ustaz Shahrul Nizam, dan Para Imam JAWI


Setakat ini dulu, jumpa lagi. Jazakumullah kheir yang tidak terhingga kepada semua pihak yang prihatin dan membantu komuniti khususnya JAKIM, Yayasan Ihtimam, MAC, dan para penceramah setiap program.

Ayuh sahabat-sahabatku ODHA, kita bangkit. Ini bukan lagi masanya untuk kisah syahdu syahdan dan melayan emosi. Makin dibiarkan ketidakfahaman tentang isu HIV/ AIDS ini, makin berleluasa penganiayaan.



Aku hamba-Nya yang dhaif
Mohamad bin Wahid @ Pie @ AHP



Info Berkaitan:

Laman Web Rasmi PPWM: http://www.positivewarriors.org/

NO AKAUN PPWM:
Bank: Maybank
Nombor Akaun: 5560 5750 3949
Nama Pemegang Akaun: Pertubuhan Positive Warriors Malaysia

Para pembaca boleh berkongsi pengalaman melalui FB AHP Positive Warriors Support Group (Secret Group). Anda juga dialu-alukan menjadi ahli Pertubuhan Positive Warriors Malaysia (PPWM). Untuk menyertai, sila hubungi admins yang berikut:

Camelia Sulaiman: camelia_sulaiman@yahoo.com
Luka Rafieqa: rafieqakl@hotmail.com

NGO Sokongan:

Pertubuhan Amal Firdausi Kuala Lumpur (PAFI)
Sila hubungi:
Laman Web: http://www.amalfirdausi.org
E-Mel: amalfirdausi@gmail.com
Talian Marhabah: 018-207-0953 (Encik Hamli) @ 017-311-0306 (Encik Raffie)
Telefon / Faks: 03-9174-0934
FB PAFI: http://www.facebook.com/amalfirdausi (open group)
Twitter: twitter.com/amalfirdausi

Sokongan khusus kepada komuniti wanita: PEWAHIM
Untuk menyertai FB PEWAHIM (secret group) sila hubungi:
E-Mel: pewahim@gmail.com
Telefon: 019-259-5864 (Norlela) Pengasas
No akaun PEWAHIM: 562740121438 (Maybank)