Thursday, April 04, 2013

HIV: BERTEMU DR. ISKANDAR FIRZADA BIN OSMAN KALI KE-27



My Best Doctor
Dr. Iskandar Firzada bin Osman

MD (USM), MMed (Family Medicine) (USM),
MAFPM (Mal.), FRACGP (Australia), FAFPM (Mal.),
Fellow in Adolescent Health (Melbourne)
Family Medicine Specialist / Primary Care Physician





Temujanji ini berlaku pada 29 Mac 2013 (Jumaat) pada pukul 4.15 petang di Klinik Kesihatan Jaya Gading, Kuantan, Pahang. Seperti biasa, beberapa hari sebelum temujanji, aku telah menghantar SMS kepada Dr. Iskandar Firzada bin Osman untuk mendapatkan tarikh temujanji yang sesuai dengan kelapangan beliau kerana bekalan HAART hampir habis.



Untuk pengetahuan umum, temujanji hampir setiap bulan yang dilakukan adalah atas kehendak aku sendiri untuk mendapatkan bekalan HAART dan atas keperluan mendapatkan nasihat serta pandangan beliau mengenai rawatan dan penambahbaikan perjalanan Pertubuhan Positive Warriors Malaysia (PPWM). Dr. Iskandar adalah ahli seumur hidup dan Penasihat kepada PPWM.

Hakikat sebenarnya, tidak perlu pun begitu kerana temujanji boleh sahaja dilakukan pada jangka masa tertentu seperti setiap 6 bulan, 3 bulan sekali dan sebagainya kecuali atas keperluan rawatan.

Seperti biasa, kehadiran aku ditemani 2 orang permaisuriku yang cantik jelita iaitu Kak Da dan Ummie. Kali ini kami turut membawa anak bongsu kami, Danish yang sedang bercuti untuk meredakan sedikit tekanannya. Maklum sahaja, hampir sepanjang cuti persekolahannya dipenuhi dengan kelas tambahan. Di Kuantan, anak sulung kami, Danial telah sedia menunggu.

Pemeriksaan kesihatan rutin adalah seperti berikut:

Weight: 76.5 kg (bilalah aku dapat capai berat badan ideal ni?)

Tekanan darah / BP: 112/74

Bacaan gula dalam darah / BS: 5.7

Suhu badan / Temp: 36.5°C

Pemeriksaan mulut: Tiada sebarang tanda jangkitan candidiasis
 






Keputusan terkini Viral Load: Alhamdulillah still not detected. Dr. Iskandar memaklumkan bahawa ujian Viral Load selepas ini hanya akan dijalankan sekali sahaja setiap tahun kerana beliau yakin dengan bacaannya yang stabil.



Dr. Iskandar memaklumkan juga bahawa ujian CD4 akan dijalankan pada Jun 2013 nanti dan ujian Ultra Sound untuk mengetahui perkembangan fungsi hati akan dilakukan pada September 2013 (setahun sekali).

Alhamdulillah segala pemeriksaan kesihatan menunjukkan hasil yang memuaskan kecuali masalah bacaan CD4 ku sahaja. Tetapi, apalah yang hendak digusarkan sangat? Yang penting adalah usaha untuk kekal hidup sihat dan bersyukur dengan nikmat kurniaan Allah. Allah Maha Adil dan Maha Mengetahui. Hidup memang lawannya mati. Kalau tidak mati, sesaklah dunia ini dengan orang-orang tua.

Selesai urusanku, aku bertanyakan pula beberapa soalan yang ahli PPWM ‘kirimkan’. Untuk mengelakkan salah faham, perlu ditekankan bahawa apa yang aku fahami dan catat mungkin agak berbeza dengan pandangan Dr. Iskandar. Jadi jika terdapat beberapa fakta yang tidak tepat atau kabur, sila dapatkan pandangan pengamal perubatan yang lain. Jangan salahkan Dr. Iskandar.


Soalan 1

Bagaimana jika seorang Orang Yang Hidup Dengan HIV (ODHA) termuntah selepas memakan ubat HAART? Berapakah tempoh masa yang diperlukan bagi ubat itu menyerap ke dalam usus?

Menurut Dr. Iskandar, HAART mengambil masa 1 jam untuk diserap ke dalam usus. Jika sekiranya dalam tempoh kurang dari 1 jam waktu pengambilan, maka ubat itu perlu diambil semula. Bagi yang melepasi tempoh 1 jam, HAART tidak perlu diambil semula.


Soalan 2

Adakah madu atau sengatan lebah dan sebagainya terbukti untuk merawat HIV?

Menurut Dr. Iskandar, setakat ini, tiada keputusan saintifik yang membuktikan keberkesanannya untuk merawat HIV. Bagi membuktikan keberkesanan sesuatu bahan itu secara saintifik, beberapa fasa kajian perlu dilaksanakan. Percubaan dan kajian demi kajian adalah perlu bagi membuktikan hasil kajian tersebut selamat. Setakat ini keselamatan dan keberkesanan MASIH dipersoalkan.

Kesimpulannya, penemuan rawatan HIV dengan cara tersebut masih di peringkat kajian. Apabila sesuatu kajian menunjukkan penemuan atau hasil dan tanda-tanda positif, maka suatu artikel berkaitan perkara tersebut akan diterbitkan. Ianya bertujuan sebagai critical appraisal di kalangan para pengamal perubatan. Perincian isu artikel tersebut akan dikritik secara ilmiah.

Jadi, kepada para sahabat komuniti yang cepat teruja, cool ya. Makan sahajalah apa yang ada, ini pun sudah sedia terbukti. Sama sahaja dengan dakwaan bahawa cicak tokek, getah pokok bintangor, dan sebagainya yang pernah diwar-warkan dahulu. Akhirnya senyap-sunyi hingga sekarang. Utamakan amalan hidup sihat dan mencari keredhaan Allah. Kita takutkan Allah, bukannya virus.

Tidak perlu risaukan kesan sampingan HAART dan sebagainya hingga mempertaruhkan kesihatan diri. Setiap dos ubat yang diambil dengan nasihat doktor adalah dengan kajian, pemantauan, dan risiko yang terlalu minima. Telan panadol dan makan apa sahaja sekali pun ada risiko. Tidak percaya, selepas ini sila telan 3 baldi madu, 3 balang habbatus sauda’ dan 15 botol minyak zaitun  setiap hari. Jangan marah ya. Gurau.


Soalan 3

Bagaimanakah pengambilan rawatan HAART apabila berlaku perubahan zon masa? Contohnya apabila ODHA perlu travel ke London.

Menurut Dr. Iskandar, tempoh masa berada di London itu perlu dipertimbangkan. Jika sekadar seminggu dua, ianya tidaklah terlalu memerlukan anjakan waktu. Jika destinasi yang dituju setakat berganjak sejam dua, anjakkan sahaja sepanjang tempoh tersebut sebelum kembali ke jadual asal apabila pulang ke Malaysia.

Sekiranya tempoh tersebut adalah melebihi 4 bulan, maka waktu pengambilan ubat perlu dianjakkan satu jam secara beransur-ansur pada setiap kali waktu pengambilan secara berterusan. Seelok-eloknya dilakukan ketika berada di Malaysia sehingga menepati waktu siang dan malam di sesuatu tempat seperti yang dikehendaki ODHA.

Bagi ubat HAART yang perlu diambil setiap 24 jam, tidak perlu terlalu mengikut perubahan zon masa yang berlaku. Tetapi, bagi ubat HAART yang perlu diambil setiap 12 jam, adalah penting bagi ODHA berkenaan menganjakkan waktu pengambilan seperti yang telah dinyatakan tadi.


Soalan 4

Ada sesetengah ODHA mengalami kesan sampingan selepas memakan ubat HAART atau ubat-ubatan lain yang dipreskripsikan oleh doktor. Contoh-contoh kesan sampingan tersebut adalah kesan lenguh pada saraf, panas badan, dan dehidrasi. Bagaimanakah cara untuk menanganinya?

Menurut Dr. Iskandar, setiap ubat mempunyai kesan sampingan. Terdapat 2 kaedah bagi menyelesaikan situasi ini.

Pertama, penyelesaian secara fizikal. Contohnya, jika berlaku panas badan selepas mengambil ubat, ODHA tersebut perlu mandi lebih kerap, tidak melakukan sebarang aktiviti dan berada di tempat-tempat yang boleh menyebabkan suhu badan meningkat. Selain itu, jika menyebabkan kekeringan kulit, ODHA boleh menyapukan pelembap (moisturizer) pada bahagian yang kering.

Kedua, penyelesaian dari segi masa pengambilan ubat. ODHA perlu bijak menganalisis kemampuan badan masing-masing. Mungkin sebahagian daripada ubat-ubatan lebih baik diambil sebelum tidur kerana suhu yang lebih sejuk, waktu rehat yang panjang, dan meminum sebanyak mungkin cecair (sebaik-baiknya air kosong).

Selain minuman, ODHA juga boleh memakan buah-buahan yang berjus (juicy) seperti tembikai, buah delima, betik, limau, dan sebagainya yang bersesuaian.


Soalan 5

Adakah wujud kesan sampingan terhadap genetik (kemampuan imuniti, antibodi, kecerdasan minda dan fizikal) kepada bakal bayi yang dilahirkan oleh seseorang ibu ODHA yang tidak atau telah mengambil rawatan HAART?

(Perlu diingatkan bahawa soalan ini tiada kaitan dengan isu risiko jangkitan daripada ibu bapa ODHA kepada bayi. Ianya isu yang berbeza.)

Menurut Dr. Iskandar, tiada kaitan. Jika bayi yang dikandungnya itu negatif HIV, maka antibodi bayi tersebut adalah kuat. Walau bagaimanapun, bayi tersebut perlu dipantau sehingga usianya 18 bulan sebelum disahkan negatif sepenuhnya. Untuk mengelakkan entri ini jadi berjela, aku akan sediakan entri khas tentang isu berkaitan selepas ini.


Soalan 6

Wujud sesetengah pusat hemodialisis yang tidak membenarkan PLHIV mendapatkan perkhidmatan rawatan mereka. Persoalannya, adakah HIV boleh berjangkit melalui perkongsian mesin hemodialisis memandangkan ianya melibatkan proses pertukaran darah dan adakah terdapat pusat rawatan khas hemodialisis yang disediakan oleh pihak KKM kepada ODHA?

Menurut Dr. Iskandar, HIV, Hepatitis-B, dan Hepatitis-C tidak boleh berjangkit melalui perkongsian mesin hemodialisis.

Menurut Dr. Iskandar lagi, pusat hemodialisis terbahagi kepada 2 jenis iaitu pusat hemodialisis kerajaan dan pusat hemodialisis swasta. Pusat hemodialisis itu sendiri sebenarnya memperolehi subsidi daripada kerajaan, agensi-agensi kerajaan dan badan-badan NGO tertentu yang lain. Kesemua kakitangan di pusat perkhidmatan hemodialisis, tidak kira pusat hemodialisis kerajaan atau swasta adalah diwajibkan mengambil suntikan vaksin Hepatitis-B dan Hepatitis-C.

Segala peralatan yang digunakan adalah ‘pakai buang’, mengamalkan piawai prosedur (SOP) yang ketat dan mustahil boleh berlaku jangkitan HIV ketika menggunakan peralatan hemodialisis.

Pusat hemodialisis kerajaan membenarkan ODHA menjalani proses hemodialisis tanpa diskriminasi. Pusat-pusat hemodialisis swasta pula adalah di luar bidang pengetahuan beliau.

Jika masalah tersebut berlaku di pusat rawatan swasta, ada kemungkinan pusat hemodialisis swasta melakukannya atas faktor-faktor tertentu seperti mengguna pakai semula beberapa peralatan yang telah digunakan (yang sepatutnya dibuang selepas penggunaan).

Atau mungkin mereka mengguna pakai semula beberapa peralatan tertentu tanpa SOP yang ketat bagi menjamin kebersihan peralatan yang telah digunakan untuk mendapatkan keuntungan berganda.

Ada kemungkinan juga terdapat pusat hemodialisis swasta tertentu yang tidak menerima sama sekali ODHA daripada menggunakan perkhidmatan hemodialisis mereka. Kes ini adalah disebabkan salah faham pada pihak pusat hemodialisis swasta tersebut (dibaca sebagai diskriminasi dan judgemental).


Soalan 7

Bolehkan ODHA menggunakan kolam mandi yang sama dengan bukan ODHA?

Sebenarnya soalan ini terlalu asas tetapi mungkin juga masih ada yang keliru. Cara jangkitan HIV hanya melalui cara-cara berikut:

1. Melalui hubungan seks dengan ODHA (tanpa rawatan) dan langkah pencegahan.
2. Berkongsi jarum dan alat suntikan yang tercemar dengan HIV.
3. Secara vertical iaitu daripada pasangan ODHA kepada anak sama ada semasa mengandung, proses kelahiran atau penyusuan susu ibu (tanpa rawatan).
4. Menerima transfusi darah atau transplant organ yang tercemar dengan HIV.

Selain daripada perkara-perkara tersebut, tidak perlulah kita fikirkan. Berkongsi pakaian, berkucupan, digigit nyamuk yang sama, menjalani rawatan spa ikan, tidur sebantal, berkongsi makanan, peralatan, dan sebagainya tidak akan menjangkitkan HIV. Bahkan ada kemungkinan mandi di kolam atau tempat mandi rekreasi awam tanpa pemuliharaan dan penjagaan kebersihan yang baik, mendedahkan ODHA kepada beberapa virus yang boleh membawa maut seperti E. coli, chelora, leptospirosis (kencing tikus) dan sebagainya. ODHA dinasihatkan berhati-hati apabila berekreasi di kawasan tersebut.

Penting: ODHA tidak membahayakan bukan ODHA tetapi bukan ODHA yang membahayakan ODHA jika imuniti badan ODHA tersebut lemah.

Itu sahaja untuk kali ini. Jutaan ribuan penghargaan dan terima kasih kepada Dr. Iskandar Firzada bin Osman dan semua kakitangan Klinik Kesihatan Jaya Gading, Kuantan, Pahang atas perkhidmatan yang cemerlang. Jazakumullah khier.

Aku, hamba-Nya yang dhaif,
Mohamad bin Wahid @ Pie @ AHP


Para pembaca boleh berkongsi pengalaman melalui FB AHP Positive Warriors Support Group (Secret Group). Anda juga dialu-alukan menjadi ahli PPWM, untuk menyertai, sila hubungi admins yang berikut:

Camelia Sulaiman: camelia_sulaiman@yahoo.com
Luka Rafieqa: rafieqakl@hotmail.com

NGO Sokongan:

Pertubuhan Amal Firdausi Kuala Lumpur (PAFI)

Sila hubungi:
Laman Web: http://www.amalfirdausi.org
E-Mel: amalfirdausi@gmail.com
Talian Marhabah: 018-207-0953 (Encik Hamli) @ 017-311-0306 (Encik Raffie)
Telefon / Faks: 03-9174-0934
FB PAFI: http://www.facebook.com/amalfirdausi (Open Group)
Twitter: twitter.com/amalfirdausi


Sokongan khusus kepada komuniti wanita: PEWAHIM
Untuk menyertainya FB PEWAHIM, (secret group) sila hubungi:
E-Mel: pewahim@gmail.com
Telefon: 019-259-5864 (Norlela) Pengasas
No akaun PEWAHIM: 562740121438 (Maybank)