TOLONG SEBAR-SEBARKAN ENTRY INI JIKA ANDA BERSETUJU BAHAWA IANYA MUNGKIN BERKESAN MENENTANG SALAH FAHAM TENTANG HIV, AIDS, STIGMA, DISKRIMINASI, JUDGMENTAL DI KALANGAN GOLONGAN AGAMA! IANYA BOLEH DICETAK DAN DILEKATKAN DI NOTICE BOARD PEJABAT, SEKOLAH, MASJID, SURAU, KOLEJ, IPTA/ IPTS DAN DI MANA SAHAJA YANG DIFIKIRKAN SESUAI. IANYA JUGA BOLEH DISEBARKAN MELALUI APA JUGA WEBSITES, KHUSUSNYA E-MAIL KEPADA SESIAPA SAHAJA GOLONGAN AGAMA YANG ANDA KENALI. BOLEH JUGA DISEBARKAN MELALUI TWITTER, FACEBOOK DAN BLOG UNTUK
TUJUAN PENDIDIKAN.
Assalamualaikum wrh. wbk. ustaz dan ustazah…
Ana doakan antum sentiasa berada dalam redha dan rahmat Allah.
Sebenarnya, ini adalah kali kedua ana menulis surat terbuka kepada ustaz dan ustazah melalui blog ini. Sengaja ana pilih Ramadhan al-Mubarak ini untuk berkongsi pandangan kerana bulan Ramadhan adalah bulan yang penuh keberkatan dan perdamaian.
Insya-Allah, surat-surat begini ana tetap akan taip secara berkala untuk diedarkan kepada ustaz dan ustazah sebagai sebahagian daripada usaha ana menyampaikan apa yang ana yakin benar kepada ustaz dan ustazah.
Harap dalam kesibukan antum berdakwah dan beribadah, sudilah kiranya antum membaca surat seorang PLHIV yang hina-dina ini.
Ustaz dan ustazah yang dirahmati Allah,
Terlebih dahulu, lebih sopan rasanya ana perkenalkan diri ana. Ana seorang PLHIV yang berusia 45 tahun, belum pun sampai 2 tahun didiagnos. Apa puncanya? Tak payahlah sampai ke situ. Kerana sikap seperti itu seolah-olah menggalakkan diskriminasi dan judgmental dalam membantu. Ana tak mahu berpolemik.
Yang pasti, ana bukan pengamal aktiviti berisiko, tetapi individu yang terdedah kepada risiko.
Ana bekas pelajar sekolah agama, ada degree yang berkaitan dengan Islamic studies, pendidikan dan kaunseling. Sudah berkahwin dan punya zuriat. Alhamdulillah setakat ini mereka semua non-PLHIV.
Kenapa ana sibuk cerita pasal status akademik ana ni?
Sebabnya ana mahu antum tahu bahawa ana bukanlah tak ada langsung asas agama. Keluarga ana berlatar belakangkan pendidikan agama dan orang-orang masjid. Sikit-sikit tentang hukum asas halal haram tu ana tahu.
Ana juga tak mahu berkonfrantasi dengan antum. Itu bukan cara ana sekalipun ana boleh sahaja google, cari dan petik mana-mana ayat al-Qur’an dan hadis sebagai hujah untuk mempertahankan pendirian ana. Ana bukan nak tunjuk pandai, jauh sekali memandai-mandai. Berdebat tiada gunanya.
Ustaz dan ustazah,
Memanglah punca jangkitan HIV adalah hanya melalui 4 cara:
- Persetubuhan melalui qubul dan dubur tanpa perlindungan jangkitan (kondom).
- Perkongsian jarum suntikan yang tercemar dengan darah HIV.
- Ibu kepada anak.
- Pemindahan darah dan organ yang tercemar.
Setiap satu punca jangkitan pula punya peratusan risiko yang tertentu. Jangkitan di kalangan suri rumah daripada suami adalah lebih tinggi berbanding di kalangan pekerja seks dan penagih dadah secara suntikan.
Apa relevannya point ana tadi? Maksudnya, HIV ini bukannya mengenal mangsa. Tak kenal mangsanya berdosa atau tidak berdosa. Boleh terjadi kepada sesiapa sahaja yang terdedah kepada risiko termasuk bayi-bayi yang suci bersih daripada dosa dan mereka yang menjalani pemindahan darah.
Jadi, tidak tepatlah kalau kita katakan isu HIV itu semata-mata isu orang berdosa dan hina. Majoriti PLHIV di Malaysia pula berbangsa Melayu beragama Islam. Jika betul mereka hina dan berdosa, apakah langkah yang kita ambil untuk bantu mereka kembali ke pangkal jalan?
Adakah terlalu hina menjadi PLHIV berbanding pengamal rasuah, pemanipulasi agama, khianat terhadap anak yatim, penggalak kepada budaya hedonisme dan murtad? Adakah hanya kerana kami ada HIV, maka kami wajar menerima penghinaan?
HIV berpunca daripada virus yang sangat lemah tetapi tabah. Tidak berjangkit di luar tubuh manusia. Dengan rawatan yang maju, PLHIV kini mampu hidup sihat sama seperti pesakit-pesakit kronik lain.
Melalui rawatan yang tepat, PLHIV mampu bekerja, panjang usia, berkahwin dan mendapat zuriat bebas HIV, dan tidak menjangkitkan virus kepada pasangan. Yang penting ilmu. Bezanya cuma stigma, diskriminasi, judgmentaldan paranoia yang kita cipta sendiri.
Apa dosa semua ahli keluarga mereka yang dalam kesedihan menerima hakikat adik-beradik, anak, suami, isteri, atau ayah ibu mereka dijangkiti HIV?
Adakah kita berhak menambahkan derita mereka yang turut menerima impak ini dengan pemulauan, hinaan dan cercaan?
Bukan setakat itu sahaja. Di sesetengah tempat, ada yang enggan menguruskan jenazah PLHIV, malahan kubur pun diasingkan. Syukurlah setakat ini ana tidak pernah jumpa kitab yang menyatakan Allah menyediakan neraka atau syurga khas untuk para PLHIV.
Kenapa ini terjadi?
Itulah keburukan sikap jahil. Sifat sombong adalah hak dan milik Allah. Sebab itu nama-nama Allah penuh sifat kebesaran. Jika makhluk bersifat sombong, bagi ana itu namanya riya’ atau takabbur. Kalau bodoh sombong, itu namanya si ego atau si bodoh sombong yang takabbur. Nau’zubillahi min zaalik.
Ustaz dan ustazah,
Diakui bahawa sebahagian besar PLHIV mendapat jangkitan melalui aktiviti-aktiviti seks bebas atau sejenis. Tidak kiralah sama ada heteroseksual, biseksual, atau homoseksual.
Tetapi, tahukah antum bahawa kesemuanya ada sebab dan musababnya. Mereka berasal daripada latar belakang yang pelbagai. Ada yang membesar daripada keluarga yang berantakan, salah didikan, kurang didikan agama, mengalami kekeliruan seksualiti sejak kecil, mangsa manipulasi seks golongan dewasa, dan macam-macam sebab lagi.
Ana beri contoh begini: Andaikan ada seorang ustaz lahir dengan seksualiti bernafsu terhadap insan sejenis. Ianya bukan pilihan, tetapi kecelaruan naluri yang wujud sejak kanak-kanak dan ustaz tersebut pula muda, sihat, dan normal gelora nafsunya.
Jika bernafsu terhadap perempuan, bolehlah ustaz tersebut mengaku kepada orang lain. Salah satu cara penyelesaiannya sudah tentulah dengan berkahwin.
Bagaimana jika ustaz tersebut berminat terhadap insan sejenis? Takkan antum nak suruh kahwin sejenis? Ustaz tersebut nak mengaku pada orang lain pun tak sanggup sedangkan orang yang diminati, dipuja, dan yang dia bernafsu terhadapnya tinggal serumah atau sebilik.
Bila sebilik dengan seseorang yang kita anggap sahabat tetapi bernafsu terhadapnya, memang sakitlah jawabnya. Kadang-kadang terselak kain pelikat dan tak berbaju. Kadang-kadang bergurau, bertepuk-tampar dan bersentuhan secara normalnya sebagai sahabat karib. Ke hulu ke hilir bersama. Nafsu di dalam hanya Tuhan yang tahu, kan?
Bagaimana tiba-tiba sahabat si ustaz tadi tu kata “ana sayangkan anta lebih daripada segala-galanya,” sambil memeluk dari belakang dan mencium leher ustaz tadi tanpa baju pada malam hari yang dingin?
Kalau lelaki buat begitu terhadap ana, memang mulut dia makan kaki jawabnya… Jika perempuan, tak tahulah. Ana tak tahan!!! Tambahan lagi kalau masa itu umur ana masih muda.
Astaghfirullaahal adzhiim… bukan maksud ana untuk bercakap kotor depan ustaz ustazah. Ana cerita sebagai analogi bagaimana beratnya mereka dengan ujian nafsu tersebut. Lebih teruk daripada ujian para pesakit kronik lain.
Ana setuju kita wajib jauhi zina. Masalahnya, siapa yang tahu masalah seksualiti dalaman ustaz tadi sekalipun ustaz tersebut berjambang dan berserban sebesar bakul? Siapa nak tangkap lelaki dengan lelaki duduk sebilik atau serumah?
Ana jamin, antum belum tentu selamat jika memang begitu nafsu dalaman antum. Tak kiralah terhadap sesama lelaki atau sesama perempuan (lesbian). Kita yang normal ni mudah sahaja bercakap kerana tidak berdepan ujian.
Bukan bermaksud ana nak bela mereka secara membuta tuli. Ana cuma mahu kita melihat dalam perspektif yang adil. Kalau yang sengaja menempah penyakit dan gatal mencuba-cuba akibat melayan nafsu tu, ana pun marah.
Tetapi, sekalipun mereka pernah khilaf, adakah wajar mereka dibiarkan begitu sahaja?
Bagaimana jika yang khilaf ini kita boleh bantu kembali ke jalan Allah? Kepada golongan yang mengalami seksualiti songsang tersebut, bagaimana nak bantu mereka mengawal nafsu mereka? Bukankah berjihad melawan nafsu itu amat berat?
Ini ujian hati. Penyakit dalaman. Malang sungguh jika masyarakat hanya tahu menghukum dan menghina. Mereka akan lari jauh-jauh kepada golongan yang boleh menerima mereka. Akibatnya? Bayangkanlah sendiri.
Ustaz dan ustazah,
HIV tidaklah sebahaya mana pun jika kita faham. Salah faham dan masalah di sebaliknya yang jauh lebih besar. Ana sudah melaluinya sehingga ana sendiri pernah terfikir untuk menamatkan hidup dengan cara yang salah.
Akidah dan bimbingan terhadap mereka untuk bermujahadah menentang ujian nafsu lebih penting.
Tahukah antum berapa ramai yang rosak aqidahnya kerana dihina oleh golongan agama dan akibat dibuang masyarakat? Tahukah antum betapa ramai yang masih tenggelam dalam maksiat sekalipun telah diuji dan diberi peringatan oleh Allah? Tahukah antum berapa ramai ahli keluarga mereka yang berdendam dan membenci golongan agama kerana enggan membantu mereka berdepan fitnah dan ujian ini?
Janganlah kita termasuk ke dalam golongan yang bersikap zalim tanpa disedari, wahai ustaz dan ustazah.
Ustaz dan ustazah,
PLHIV bukan sekadar penagih dadah jalanan, pekerja seks, atau penzina yang umum biasa bayangkan. Tangan-tangan mereka mungkin antara tangan-tangan yang sering membantu kita.
Ya, sejujurnya sebahagian daripada mereka pernah terbabas jauh daripada agama. Tetapi, majoriti mereka tetap ingin kembali.
Berada bersama komuniti yang membuat ana sedar bahawa mereka terdiri daripada pelbagai latar belakang pendidikan, punya karier yang hebat dan tinggi. Ramai yang berperanan penting dalam masyarakat. Kalau ana dedahkan mungkin antum tak percaya.
Bahkan mungkin antum tidak percaya bahawa ramai juga daripada PLHIV berkelulusan agama dari IPT dalam negara dan luar negara termasuk Timur Tengah. Doktor, ustaz dan ustazah pun ramai yang PLHIV, tetapi akibat tekanan, mereka mengambil sikap memencilkan diri atau bertukar bidang.
Ustaz dan ustazah,
Sebaik sahaja diuji dengan HIV, mereka cuba tercari-cari kekuatan dan arah. Cuba kembali ke pangkal jalan. Tetapi, alangkah malang akibat sikap judgmental dan diskriminasi, mereka kekal memilih jalan hitam.
Menghadiri beberapa majlis bersama mereka, beberapa kali air mata ana tumpah. Tak mampu menahan sebak di depan khalayak. Mereka sangka ana menangis kerana simpati terhadap mereka.
Betul, tetapi tidak tepat, wahai ustaz dan ustazah. Ana menangis bukan semata-mata sedih mengenangkan nasib mereka, tetapi ana tertanya-tanya di manakah antum ketika mereka perlukan bimbingan?
Ana sedih kerana mereka hanya saling menyandarkan sokongan dan masalah dengan rakan-rakan senasib. Mereka tercari-cari arah pulang. Sangat sedih melihat mereka berkongsi sokongan sesama mereka tanpa bimbingan. Maka jadilah mereka seperti peniaga caca marba. Babi, kitab agama, tasbih, arak, dan video lucah mereka jual sekali atas satu meja.
Akibatnya, sebahagian daripada mereka kekal dalam kejahilan, kelalaian, syirik dan khurafat. Yang tidak solat, kekal tidak solat. Yang alpa terus alpa, bahkan terus berbangga dengan seksualiti mereka.
Malahan ada yang rela ditaja menyerahkan tubuh dan buntut kepada Yahudi demi keseronokan duniawi yang palsu. Tertekan di negara sendiri, berhijrah pula ke negara lain dan mengamalkan budaya hidup yang lebih Barat daripada Barat. Yang makan budu tiba-tiba sahaja menggemari pizza.
Mencemuh tidak akan membantu. Semakin dicemuh, semakin banyak isu LGBT yang kita jumpa di media massa termasuk internet. Takkan antum tiada langsung rasa terpanggil untuk mencegah mereka daripada terus hidup dalam maksiat? Membantu mereka tidak cukup sekadar membaca 1, 2 ayat al-Qur’an atau hadis.
Mereka umpama sekumpulan kanak-kanak yang seronok bermain air dan berakit berhampiran air terjun. Akibat leka, mereka lalai hingga jeritan amaran tentang rakit yang semakin hampir terjunam tidak mereka dengar.
Kalaulah kita ramai-ramai, bersama mengingatkan, tentu lain keadaannya. Kalau ana seorang atau cuma segelintir yang membantu, apa sangatlah upaya kami. Mari kita sama-sama menyinsing lengan. Yang ada membawa lampu menyalakan lampu. Yang membawa kereta membunyikan hon. Yang ada bot laju memecut mengejar mereka untuk memberi peringatan.
Mampukah kita berlapang dada sedangkan mereka akan memaut kaki antum yang selangkah lagi ke pintu syurga kelak? Bukankah tidak semestinya segala musibah itu adalah bala’? Ada musibah sebagai Kaffarah dan Ibtila’.
Bukankah ujian iman dan sikap tidak peduli juga salah satu bentuk ujian yang lebih bahaya daripada virus HIV?
Ustaz dan ustazah,
Jika sekadar memikirkan kepentingan diri, ana tak perlu pening-pening kepala kerana mereka. Alhamdulillah, ana ada keluarga yang sangat supportive menerima ana. Ana cukup jelas tentang HIV. Ana tak hairan apa orang nak fikir tentang status ana sebagai PLHIV. Ana juga ada doktor yang sangat bagus merawat ana.
Memang kadangkala ana sendiri pening kepala kerana sikap negative mereka, tetapi sikap tersebut sangat normal bagi insan-insan yang menghadapi ujian ini dan ditambah lagi dengan tekanan psikologi, emosi, ubat-ubatan, dan sebagainya. Jiwa mereka memberontak.
Suka atau tidak, antum mesti bantu mereka. Isteri, anak-anak yang tidak berdosa turut menjadi mangsa. Perempuan yang jatuh cinta dan ditipu lelaki homoseksual sangat menderita apabila berkahwin jika suami mereka gagal berubah. Belum termasuk lelaki normal yang ditipu isteri homoseksual. Ngeri, bukan?
Kesimpulannya, ana tak minta banyak sangat, wahai ustaz dan ustazah…
Ana cuma minta, janganlah cepat sangat menghukum. Jadilah insan yang betul-betul berjiwa besar berbanding mereka yang sebahagian antum anggap lemah asas agamanya ini. Ketahui maklumat yang tepat tentang HIV dan sebarkan cara yang tepat mencegah virus ke dalam masyarakat.
Antum sangat besar kewajipan, pengaruh dan peranannya dalam menyebarkan info kepada masyarakat.
Kita wajib memusuhi virus dan perbuatan haram yang banyak menghancurkan ramai umat Islam ini tetapi bukan memusuhi pengidapnya. Mereka saudara seagama kita. Pemulauan, pemencilan, cercaan dan hinaan hanya satu bentuk penafian terhadap hak serta tanggungjawab yang sepatutnya kita tunaikan.
Maafkan ana, ustaz dan ustazah. Ana bukan bermaksud mengajar. Ana sekadar menjalankan kewajipan ana menyeru ke arah kebaikan dan mencegah keburukan. Tuntutan ini tidak terkecuali terhadap sesiapa pun, apatah lagi melibatkan saudara seagama. Janganlah hendaknya kita terlepas pandang isu yang sangat besar ini.
Tugas ana hanyalah menyampaikan. Soal hidayah, urusan Allah.
Lahawlawalaa quwwata illa billah…
Wabillahi taufik walhidayah,
Ana asif (AHP)
Para pembaca boleh berkongsi pengalaman melalui FB AHP Positive Warriors Support Group (Secret Group). Untuk menyertai, sila hubungi:
Survivor: survivorpng@yahoo.com
Luka Rafieqa: rafieqakl@hotmail.com
AHP: positive4eva@gmail.com
Sokongan khusus kepada wanita: PEWAHIM.
Untuk menyertainya FB PEWAHIM, sila hubungi:
pewahim@gmail.com
019-259-5864 (Norlela) Pengasas
Link Perniagaan Online Komuniti: