Sunday, June 23, 2013

HIV: ORANG YANG HIDUP DENGAN HIV BOLEH BERPUASA





Setiap kali menjelang Ramadhan, aku menyediakan perkongsian maklumat ini. Aku berharap ianya boleh dijadikan rujukan asas kepada Orang Yang Hidup Dengan HIV (ODHA) yang berhasrat menunaikan ibadah puasa dan kepada semua anggota masyarakat yang prihatin.

Sukacita dimaklumkan bahawa, sila baca perkongsian ini atas dasar kita memahami bahawa Allah bersifat Maha Berkuasa, Maha Pengasih, Maha Penyayang, Maha Penolong dan redha Allah adalah yang paling utama. Jika mahu membacanya mengikut logik akal dan harm reduction semata-mata, sila abaikan.

Perkongsian ini juga hanya terpakai kepada ODHA yang telah stabil menjalani rawatan HAART dan tidak mengidap sebarang masalah kesihatan yang lain seperti gastrik kronik dan sebagainya.

Kepada yang masih belum memerlukan rawatan HAART, mereka tidak ada masalah untuk berpuasa seperti biasa.

Secara umumnya dilema ODHA untuk menunaikan ibadah puasa adalah disebabkan oleh aturan waktu pengambilan rawatan HAART yang mesti diambil setiap 12 jam.

Contoh: HAART diambil setiap 9 malam dan 9 pagi akan bertukar secara drastik kepada 7 malam (berbuka puasa) dan 5 pagi (sahur).

ODHA bimbang jika perubahan waktu pengambilan tersebut mempengaruhi keberkesanan rawatan HAART sehingga boleh menyebabkan berlakunya risiko resistant.

Resistant bermaksud virus menjadi imun terhadap rawatan HAART dan mengakibatkan pelbagai kesan negatif yang lain terhadap kesihatan mereka.


Sila fahami rajah ini dengan teliti


Jika bukan disebabkan pengambilan rawatan HAART sekali pun, ada pendapat yang mengatakan bahawa ODHA tidak perlu berpuasa. Alasan mereka, sistem imuniti tubuh ODHA yang sedia lemah menjadi semakin lemah tanpa nutrisi yang mencukupi.

Antara penyelesaian paling popular ialah ODHA (terutama yang mengambil HAART) disarankan supaya tidak berpuasa dan situasi tersebut dianggap dharurah. Allah tidak pernah zalim terhadap perkara yang di luar kemampuan kita. ODHA boleh menggantikannya dengan fidyah.

Berdasarkan situasi tersebut juga, bermakna ODHA tidak lagi dapat berpuasa seumur hidup. Jika enggan, segala risiko tanggung sendiri. Setakat ini penyelesaian tersebut paling popular.

Walau bagaimanapun, keberkesanan rawatan HAART masih subjektif kerana turut bergantung kepada beberapa faktor sampingan seperti setakat mana ketepatan dan teraturnya ODHA itu sendiri mengambil HAART sepanjang tahun, menjaga kesihatan diri, mengamalkan cara hidup yang sihat, berfikiran positif, dan sebagainya. Rawatan bersifat dinamik, bukannya statik.
   
Sebagai individu tanpa kemahiran asas di dalam bidang perubatan, aku menghormati dan akur dengan penyelesaian di atas. Tetapi, adakah betul tiada langsung penyelesaian lain? Jika ada, bagaimana justifikasi dan pendapat siapa? Di sinilah perbahasan mula timbul.

Secara jujur, apakah maknanya bulan Ramadhan jika tanpa puasa? Tarawih, tadarus, solat berjemaah, keindahan berbuka bersama keluarga, dan sebagainya akan terasa kosong.

Segala ganjaran istimewa yang Allah janjikan bukan untuk ODHA? Teruk sangatkah hidup sebagai ODHA sehingga Allah pun mendiskriminasi kami? Aku lempang mulut tu laju-laju nak?

Terasa sangat aneh sedangkan zahirnya sebahagian besar daripada ODHA mampu berpuasa dan mustahil Allah bersifat lemah dalam setiap peraturannya.

Walau bagaimanapun, soal kesihatan bukan perkara yang boleh diambil risiko kerana Islam ada penyelesaian terhadap segala permasalahan. Setiap tindakan perlu ada rasional dan alasan yang kukuh. Berani membuta-tuli seperti tidak ada bezanya dengan membunuh diri.

Jika begitu, bagaimana penyelesaiannya?

Untuk itu, aku kongsikan pandangan kedua (2nd opinion). Sebelum aku kongsikan pandangan dan penyelesaian tersebut, sila kosongkan fikiran. Prinsipnya mudah sahaja – terpulang kepada keyakinan masing-masing. Yang penting, kita buat mengikut keyakinan dan keputusan sendiri.

TIDAK MENJADI MASALAH KEPADA PARA ODHA UNTUK BERPUASA SEKALI PUN MEREKA TERPAKSA MELEWATKAN WAKTU PENGAMBILAN HAART

Pendapat ini ialah pendapat yang diberikan oleh Dr. Iskandar Firzada bin Osman (Doktor Pakar Perubatan Keluarga merangkap Tuan Penasihat Pertubuhan Positive Warriors Malaysia) hasil perbincangan beliau dengan rakan-rakan Pakar Perubatan Muslim yang lain.

Bermakna kita sangat beruntung memperolehi pendapat hasil perbincangan sekumpulan doktor pakar.

Apa kata mereka?

“Terdapat pelbagai pendapat oleh pelbagai pihak mengenai perkara tersebut. Kesimpulannya, jika terdapat pelbagai pendapat, maka tiada satu pun yang boleh dibuktikan dengan tepat!

“Yang pasti, banyak perkara yang berupaya mempengaruhi sistem imuniti badan termasuk kesihatan mental atau psikologi. Puasa Ramadhan merupakan ibadah untuk cleanse sistem penghadaman sebagaimana puasa sesetengah pihak yang lain. Oleh itu, persediaan sebelum, semasa, dan selepas berpuasa adalah sangat penting.

“Segera berbuka apabila telah masuk waktu berbuka dan segera memakan HAART, lewatkan sahur serta dimulakan dengan niat (persediaan psikologi) adalah merupakan afdhal serta rukun ibadah puasa.

Oleh itu, isu bahawa puasa Ramadhan boleh menyebabkan sistem imuniti badan menjadi lemah tidak dapat dibuktikan sehingga ke hari ini. Tetapi, kekuatan pegangan agama (spirituality) secara langsung akan memelihara kekuatan kesihatan mental seseorang.

Adakah dengan melewatkan sedikit waktu pengambilan HAART daripada setiap 12 jam tepat kepada setiap 14 jam dan 10 jam (waktu berbuka dan sahur) akan mengakibatkan virus HIV menjadi resistant?

“Sehingga kini, tiada kajian dan tiada bukti berkaitan. Jika sekiranya seseorang ODHA tetap mengambil ubat HAART sebagaimana yang diarahkan iaitu sama ada 2 kali sehari atau 1 kali kali sehari, insya-Allah Viral Load akan menurun dan CD4 akan meningkat.

“Ada juga pihak yang menyarankan (tanpa bukti, juga tanpa pengalaman dan hanya berdasarkan hipotesis sahaja), peringkat awal memulakan rawatan HAART iaitu ketika CD4 masih rendah (juga tidak dinyatakan berapa maksud rendah tersebut).

“ODHA tidak digalakkan untuk berpuasa supaya boleh mengambil ubat HAART setiap 12 jam. Tetapi, apabila sudah stabil atau CD4 sudah meningkat (juga tidak dinyatakan apakah / berapa maksud stabil / tinggi), maka ODHA boleh berpuasa.

“Untuk itu, jawapan mudah saya, boleh berpuasa tetapi segerakan makan ubat apabila berbuka dan lewatkan sahur untuk makan ubat.

“Tetapi penting supaya ODHA faham penerangan di sebalik jawapan ini ada pihak yang mungkin tidak bersetuju dengan pendapat ini kerana bukti saintifik secara kajian (research) belum ada sama ada untuk menyokong atau menidakkannya."

Begitulah pendapat Dr. Iskandar dan rakan-rakan pakar perubatan Muslim beliau. Jazakumullah khier kepada mereka.

Aku berpegang kepada pendapat kedua dan setakat ini aku tidak menghadapi apa-apa masalah ketika berpuasa.

Jika aku kongsikan kondusi kesihatanku yang sebenar, mungkin ramai yang mengatakan aku ‘gila’ kerana tetap berpuasa, malahan menjalani rutin harian yang jauh lebih padat daripada biasa sejak baru sahaja memulakan rawatan HAART. Terbukti bacaan Viral Load not detected (HAART berkesan).

Berani aku katakan bahawa aku sangat selesa berpuasa walaupun turut mengidap diabetes dan pelbagai penyakit kronik lain. Alhamdulillah terasa seperti lebih sihat dari bulan-bulan yang lain.

Waktu pengambilan HAART yang konsisten

Sila jelas bahawa waktu mengambil HAART mesti tetap kekal. Tidak boleh hari ini makan HAART pukul 9 malam dan sekali lagi pada waktu sahur pukul 3 pagi, tetapi esoknya pula pada pukul 7:30 malam dan sahur pada pukul 5 pagi.

Tips peribadi

Untuk menunaikan ibadah puasa dengan selesa sebagai ODHA, aku sangat teliti menjaga pemakanan dan jadual pengambilan HAART.

Aku berbuka dengan sebiji kurma, sepotong dua kuih-muih dan segelas air kosong. Terus sahaja mengambil HAART dan seterusnya solat Maghrib berjemaah bersama keluarga. Selepas tadarus ringkas, kami makan sekadar yang perlu beserta sebiji Metformin 500 mg (kawalan diabetes) sebelum bersedia untuk solat Isya’ dan bertarawih.

Selain kelebihan ibadah, solat tarawih sangat bagus untuk menjaga kecergasan diri. Jika tidak larat bertarawih di masjid atau surau atas faktor-faktor kesihatan, kami bertarawih di rumah. Jangan terlalu rumitkan keadaan.

Sahur pula aku mengambil HAART menjelang penghujung waktu Imsak. Lebih kurang 5:30 pagi. Bermakna jadual pengambilan HAART aku bertukar daripada pukul 9 pagi – 9 malam kepada 5:30 pagi kepada 7:30 malam secara TETAP.

Untungnya jadual pengambilan HAART semasa sahur ini memudahkan kami sekeluarga untuk berjemaah Subuh di masjid. Pahala sunat berbuka awal dan bersahur lewat pun insya-Allah dapat. Banyak kelebihannya.

Jangan lupa meminum sebanyak mungkin air kosong untuk elakkan dehydration, buah-buahan, makanan berkhasiat dan makanan tambahan yang bersesuaian dan ikut kemampuan. Praktikal dan sederhana adalah sebaik-baiknya.

Aku bersama my best doctor


BEBERAPA INFO LAIN YANG DIKONGSIKAN OLEH DR. ISKANDAR FIRZADA BIN OSMAN MELALUI E-MEL SEBAGAI PANDUAN KEPADA ODHA YANG MAHU DAN MAMPU BERPUASA DAN MENUKAR WAKTU MENGAMBIL HAART DI LUAR NEGARA.

Soalan.

Salam Dr. Iskandar,

Saya menulis e-mail ini directly from my campus di xxx (AHP: Luar Negara).

Alhamdulillah, saya sihat dan dapat cope dengan cuaca yang tidak menentu di musim summer ini. Sakit demam pun tidak ada, allergy setakat ini pun tidak ada. Makan minum yang halal di sini pun banyak. So harap situasi ini berterusan selama 10 bulan saya di sini.

Juga saya berjaya adapt dengan tempoh memakan ubat ARV saya. Seperti yang doktor cadangkan, since saya landing di sini, saya reverse sejam ke belakang bagi setiap 3 hari bila tiba time makan ubat Combivir.

So after 45 hari saya di sini hingga sekarang, saya sudah makan ubat tepat setiap jam 7 petang dan 7 pagi seperti mana amalan saya di Malaysia. Seperti biasa, Efavirenz saya makan right sebelum saya tidur jam 12 tengah malam.

Cuma masalah saya sekarang adalah apabila tiba bulan puasa nanti. Since di sini still summer dan waktu siangnya terlalu panjang (Maghrib jam 9.50 malam dan Subuh jam 1.40 pagi), bagaimana saya harus makan ubat Combivir itu?

Apakah tidak menjadi masalah kalau selama ini selang masa 12 jam, nanti pada bulan puasa selang masanya hanya 4 jam sahaja?

Apa yang menjadi amalan penuntut Malaysia di sini pada bulan puasa adalah, mereka akan berbuka dengan makanan ringan dahulu. After tarawih jam 12 tengah malam atau lewat daripada itu, mereka akan makan nasi atau makanan berat sekaligus untuk bersahur.

So mereka akan tidur right after solat subuh sebab mereka masuk campus di sini mostly jam 9.30 - 10.00 pagi. So maknanya mereka tidak akan tidur malam sehinggalah mereka bersahur dan bersolat Subuh.

Sekiranya saya mengikut amalan jadual seperti mereka, apa nasihat doktor dari segi jadual ubat ARV tu dan maybe dari segi jadual ubat Diabetes Mellitus dan Hypertension saya yang lain.

Walau bagaimanapun, saya akan masih tetap menjalankan / melaksanakan ibadah puasa seperti biasa, cumanya saya akan makan ubat ARV mengikut yang seperti dijadualkan kerana Combivir boleh diambil dengan atau tanpa makanan.

Tujuan saya berpuasa untuk menghormati bulan Ramadhan serta rakan-rakan Muslim yang lain. Insya-Allah, yang akan menentukan sama ada puasa tersebut diterima atau tidak, hanya Allah sahaja.

Wallahu 'Alam. InsyaAllah, apabila pulang ke Malaysia saya akan qada puasa tersebut.

Harap doktor dapat membantu dalam hal ini since bulan puasa nanti sudah hampir tiba.

Jawapan Dr. Iskandar:

Assalamualaikum,

Alhamdulillah bila dengar saudara boleh menyesuaikan diri dengan keadaan di sana. Berhubung dengan pertanyaan / persoalan yang ditimbulkan, untuk makluman, sumber rujukan saya adalah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).

Kebiasaannya, saya akan browse soal jawab ruangan Kemusykilan Agama. Jika sekiranya tiada soalan yang sedemikian, saya akan bertanya melalui website JAKIM. Insya-Allah, kebiasaannya dalam masa tidak sampai 48 jam, saya akan terima jawapan daripada JAKIM.

Berikut adalah beberapa soalan serta jawapan yang ada kaitan dengan permasalahan / kemusykilan yang sama-sama kita hadapi:

Kod Rujukan Soalan: 9tpmt

Soalan

Saya mempunyai satu penyakit yang mungkin tidak akan sembuh kecuali dengan izin Allah. Sekarang ini saya sedang makan ubat dan tidak boleh berpuasa. Ubat yang saya makan ini mengikut jadual.

Contohnya saya makan ubat pada pukul 8 pagi, 8 malam dan 10 malam. Andai kata saya tidak makan ubat ini tepat pada waktunya, maka ianya akan memberi kesan kepada kesihatan saya.

Saya juga sudah meminta pendapat daripada seorang doktor Muslim, dan saya memang tidak boleh berpuasa. Apakah syarat saya untuk membayar puasa saya memandangkan seumur hidup saya bergantung pada ubat dan tidak boleh berpuasa.

Jawapan

Orang yang sakit boleh meninggalkan puasa dan menggantikannya pada hari yang lain. Dalam situasi yang dihadapi oleh Puan, sekiranya sakit yang Puan alami itu tidak ada harapan sembuh, maka Puan harus meninggalkan puasa. Walau bagaimanapun, Puan wajib membayar fidyah dengan kadar satu cupak beras (675 gm) bagi satu hari puasa yang ditinggalkan dan diberikan kepada fakir miskin.

Kod Rujukan Soalan: 4u4fk
(Hukum Puasa Ganti Untuk ODHA)

Soalan

Bagaimana puasa untuk ODHA? ODHA kena makan ubat setiap 12 jam, jika tidak, dikhuatiri virus HIV akan naik, iaitu jika makan ubat tidak ikut waktu yang ditetapkan. “Penyakit” ini tidak ada ubat untuk sembuh. Ubat hanya untuk kurangkan dan kawal virus HIV sahaja.

Jawapan

Pertama sekali, hendaklah mendapatkan pengesahan daripada Pakar Perubatan Muslim bahawa ODHA tersebut tidak dapat berpuasa kerana boleh membawa mudarat kepadanya, maka ODHA tersebut hendaklah membayar fidyah.

Kod Rujukan Soalan: ojy1c
(Waktu Imsak Dan Buka Puasa Di Negara Siang Lebih Panjang)

Soalan

Anak saya bermastautin di Eropah. Waktu buka puasa jam 9.45 malam, imsak jam 1.45 pagi. Waktu berpuasa 20 jam. Ada banyak negara di Eropah mengikut waktu puasa Mekah tetapi ulama’ di negara dia tidak mahu mengikut waktu Mekah semasa bulan puasa jatuh di bulan yang siang lebih panjang dari malam.

Bolehkah dia ikut waktu berbuka puasa dan imsak Mekah? Ramai umat Islam yang tidak larat berpuasa bila terkena musim siang panjang dari malam kerana terlalu lama berpuasa. Terima kasih.

Jawapan

Dalam situasi tersebut, masyarakat Islam yang berada di negara yang mengalami waktu siang lebih panjang daripada waktu malam, mereka masih perlu mengikuti sebagaimana waktu di tempat mereka, iaitu mereka masih perlu untuk menunggu matahari terbenam untuk berbuka.

Kaedah menentukan waktu berbuka dengan mengikut waktu Maghrib bagi negara yang terdekat hanya digunakan di negara-negara yang mengalami waktu siang atau malam yang berpanjangan sehingga mencecah 6 bulan dalam sesuatu masa.

Ringkasnya, anak anda yang berada di negara yang mengalami perubahan iklim tersebut masih perlu mengikut pergerakan peredaran matahari. Dia perlu menunggu sehingga terbenamnya matahari untuk berbuka puasa pada hari tersebut.

Combivir merupakan gabungan ubat Zidovudine 300mg + Lamivudine 150mg. Dose untuk Zidovudine adalah 300mg setiap 12 jam (i.e. 2 kali sehari). Dose untuk Lamivudine pula sama ada 150mg setiap 12 jam (i.e. 2 kali sehari) ATAU boleh juga diambil 300mg sekali sehari (i.e. sama seperti Efavirenz).

Oleh sebab itu, Combivir perlu dimakan 2 kali sehari atau sebaik-baiknya setiap 12 jam. Jika sekiranya pengambilan ubat tersebut tidak boleh tepat setiap 12 jam, perbezaan selang masa di antara dose pertama dan kedua ± 4 jam masih lagi boleh diterima.

Tetapi jika perbezaan selang masa di antara dose pertama dan kedua lebih dari 4 jam, ianya tidak boleh diterima.

Untuk Efavirenz, tidak akan menjadi masalah sebab hanya perlu diambil sekali sehari sahaja.

Untuk ubatan Diabetes Mellitus, Metformin mesti diambil bersama-sama dengan makanan sajian utama. Jika sekiranya hanya selepas  tarawih makan makanan berat beserta sahur, maka Metformin hanya perlu diambil ketika itu sahaja.

Acarbose sama seperti Metformin. Cumanya Acarbose diambil sebaik sahaja selepas makan, sementara Metformin diambil bersama-sama dengan makanan.

Untuk Gliclazide MR, mesti diambil ketika berbuka, tetapi dose mesti dikurangkan kepada separuh sahaja iaitu jika pengambilan Glicazide MR sebelum ini adalah 60mg, maka semasa berbuka, diambil sebanyak 30mg sahaja.

Ubat-ubatan untuk Hypertension (Enalapril dan Amlodipine), tidak sepatutnya menjadi masalah sebab hanya perlu diambil sekali sehari sahaja.

Itu sahaja setakat ini. Kepada sahabat-sahabat ODHA, terpulanglah kepada keyakinan dan pendirian masing-masing. Kondusi kesihatan dan rawatan kita pun tidak sama.

Personally, jika bertanya pendapat aku, aku lebih rela mati berpuasa berbanding dengan sengaja meninggalkan puasa selagi aku yakin berpuasa lebih baik kepadaku. Itu yang wajib aku jawab di akhirat nanti.


Aku, hamba-Nya yang dhaif,
Mohamad bin Wahid @ Pie @ AHP


Info Berkaitan:


Laman Web Rasmi PPWM: http://www.positivewarriors.org/

NO. AKAUN PPWM
Bank: Maybank
Nombor Akaun: 5560 5750 3948
Nama Pemegang Akaun: Pertubuhan Positive Warriors Malaysia


Para pembaca boleh berkongsi pengalaman melalui FB AHP Positive Warriors Support Group (Secret Group). Anda juga dialu-alukan menjadi ahli PPWM, untuk menyertai, sila hubungi admins yang berikut:

Camelia Sulaiman: camelia_sulaiman@yahoo.com
Luka Rafieqa: rafieqakl@hotmail.com

NGO Sokongan:

Pertubuhan Amal Firdausi Kuala Lumpur (PAFI)

Sila hubungi:
Laman Web: http://www.amalfirdausi.org
E-Mel: amalfirdausi@gmail.com
Talian Marhabah: 018-207-0953 (Encik Hamli) @ 017-311-0306 (Encik Raffie)
Telefon / Faks: 03-9174-0934
FB PAFI: http://www.facebook.com/amalfirdausi (Open Group)
Twitter: twitter.com/amalfirdausi


Sokongan khusus kepada komuniti wanita: PEWAHIM
Untuk menyertainya FB PEWAHIM, (secret group) sila hubungi:
E-Mel: pewahim@gmail.com
Telefon: 019-259-5864 (Norlela) Pengasas
No akaun PEWAHIM: 562740121438 (Maybank)

BERTEMU DR. ISKANDAR FIRZADA BIN OSMAN KALI KE-29




Aku bersama my best doctor


Ermm… dah berabuk blog aku ini kerana lama tidak dikemaskini. Seperti biasa pelbagai idea dan pengalaman yang mahu kukongsikan tetapi rutin harian memang terlalu padat dan memenatkan. Kadang-kadang urusan komuniti tidak membenarkan aku berehat walau sedikit pun. Aku perlu bertindak mengikut priority.

Blogging adalah jiwaku kerana minatku dalam bidang penulisan dan merupakan salah satu terapi minda yang sangat bermakna. Melalui blog, aku mendapat kepuasan tertentu kerana berpeluang membantu komuniti dengan cara yang tersendiri.

Maklumat yang aku kongsikan kali ini sebenarnya sudah agak lama tetapi tetap perlu dikongsikan kerana ianya dokumentasi peribadi yang sangat penting iaitu pengalamanku menghadiri kaunseling dengan Doktor Iskandar Firzada bin Osman.

Seperti biasa, pertemuanku dengan Dr. Iskandar ditemani oleh dua orang ratu hatiku iaitu Kak Da dan Ummie. Cuma kali ini anak bongsu kami iaitu Danish turut menemani kerana temujanji awal telah diatur dengan Dr. Iskandar supaya beliau mengizinkan Danish mengadakan temubual untuk satu tugasannya berkaitan bidang kerjaya sebagai seorang doktor.

Danish perlu melaksanakan tugasan tersebut kerana cita-citanya adalah untuk menjadi seorang doktor. Untuk makluman kepada yang belum mengetahui, Danish adalah seorang pelajar MRSM yang bakal menghadapi peperiksaan SPM pada tahun ini. Tolong doa-doakan kejayaan cemerlang Danish dalam peperiksaan yang bakal dihadapi tidak berapa lama lagi.

Jom baca beberapa catatan ringkas mengenai temujanji yang telah berlaku lebih 2 minggu yang lalu.


27 Mei 2013 (Isnin)
4.45 petang

Routine check-up
Fasting blood sugar: 6.2
Weight: 75.8 kg (decreased from the previous visit)
Temperature: 36.6°C
Blood pressure: 114/68
Pass rate: 66 (< 70 is good)
Mouth: No oral candidiasis

Secara umum tahap kesihatanku adalah semakin baik. Alhamdulillah.

Berikut adalah soalan-soalan peribadi dan komuniti yang elok dikongsikan kepada umum. Jawapan yang diberikan oleh Dr. Iskandar Firzada pula adalah berdasarkan pemahamanku. Jadi, mohon maaf dan pembetulan jika terdapat beberapa fakta yang tidak berapa tepat. Mohon teguran.

Soalan 1:

Aku terlibat dengan pelbagai jadual aktiviti yang sangat padat, tetapi cepat merasakan keletihan yang agak melampau dalam tempoh yang agak panjang. Aku meminta nasihat dan pandangan Dr. Iskandar tentang cara-cara untuk mengatasi keletihan tersebut.

Jawapan:

Ianya bergantung kepada aktiviti yang dilakukan. Jadual harian yang padat sehingga tidak cukup rehat dan kepelbagaian aktiviti yang dilakukan itu melibatkan otot. Faktor usia turut memainkan peranan. Jadi, dalam usiaku yang sebegini, adalah normal jika agak lambat untuk kembali refreshed, recharged, revived, dan rejuvenated selepas melakukan pelbagai aktiviti yang memenatkan.

Dalam erti kata lain, “Sedarlah diri kau tu sudah tua, Pie…”

Soalan 2:

Seorang ahli komuniti mengalami kekaburan pada mata kirinya selepas pengambilan HAART. Adakah itu sesuatu yang normal?

Jawapan:

Menurut Dr. Iskandar, pengambilan HAART memang dijangka memberikan beberapa kesan sampingan yang bersifat sementara. Antara kesan-kesan sampingan biasa dan memang dijangka termasuklah ruam kemerah-merahan pada anggota badan dan rasa mual. Kesan-kesan sampingan yang tidak dijangka pula perlulah dibuat pemeriksaan lanjut untuk memastikan punca-punca sebenar.

Kekaburan pada sebelah mata adalah suatu keadaan yang tidak dijangka atau sangat jarang berlaku berpunca daripada pengambilan HAART. Jika kekaburan pada mata adalah suatu kesan sampingan, maka biasanya ianya akan melibatkan kesan terhadap kedua-dua belah mata, dan bukannya pada sebelah mata sahaja. Jadi, Dr. Iskandar menyarankan agar ahli komuniti tersebut membuat pemeriksaan lanjut terhadap keadaan tersebut.

Soalan 3:

Seorang ahli komuniti yang merupakan seorang ibu yang hidup dengan HIV (ODHA) baru sahaja melahirkan seorang anak. Beliau runsing pihak hospital enggan memberikan suntikan BCG kepada bayinya. Alasan pihak hospital ialah bayi tersebut belum disahkan sepenuhnya bebas HIV atau tidak.

Jawapan:

Menurut Dr. Iskandar, suntikan BCG (Bacille Calmette Guerin) adalah sebagai vaksin untuk Tuberculosis (TB) atau batuk kering. BCG mengandungi vaksin hidup yang telah dilemahkan. Vaksin hidup itu adalah mycobacterium bovis yang bertindak mengurangkan risiko jangkitan TB.

Secara umumnya, prosedur yang diguna pakai di seluruh dunia adalah terhadap bayi-bayi yang belum disahkan bebas HIV sepenuhnya (melepasi umur 18 bulan) ialah mereka TIDAK AKAN DIBERI SUNTIKAN BCG.

Rasional:

Bayi normal yang tidak menerima suntikan BCG lebih terdedah kepada jangkitan TB tetapi bagi bayi-bayi yang terdedah kepada risiko jangkitan HIV adalah lebih baik dielakkan. Vaksin yang terkandung di dalam BCG adalah ‘hidup’ dan lebih meningkatkan risiko jangkitan TB seandainya bayi tersebut didiagnos positif HIV dalam tempoh 18 bulan yang dinyatakan tadi.

Vaksin TB adalah vaksin yang ‘hidup’ walaupun telah dilemahkan. Prosedur tersebut terpaksa dilakukan untuk mengurangkan kemudaratan (harm reduction). Dengan mengelakkan risiko jangkitan TB, sistem pertahanan badan seseorang dapat bertahan daripada jangkitan TB sekalipun tanpa suntikan BCG.

Soalan 4:

Seorang ahli komuniti bertanya sama ada susu kambing formula sesuai diberikan kepada bayi beliau. Susu kambing formula tersebut menyatakan bahawa ianya adalah susu yang kedua terbaik di dunia untuk diberikan kepada bayi. Jururawat yang merawat beliau melarang dan menyatakan bahawa susu kambing adalah sukar untuk dihadam oleh bayi.

Jawapan:

Adalah menjadi dasar Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bahawa ibu yang positif HIV dilarang memberikan susu badan (breastfeed) kepada bayi mereka. Sebagai alternatifnya, pihak hospital akan membekalkan susu formula.

Justeru itu, pihak KKM telah menyediakan susu formula bayi (infant formula) secara PERCUMA kepada ibu-ibu yang positif HIV selama 2 tahun, tidak kira apa pun latar belakang ibu-ibu tersebut sama ada berkemampuan atau tidak. Ibu-ibu positif HIV tersebut boleh membuat aduan kepada pihak pengurusan hospital sekiranya susu formula bayi tidak diterima.

Dr. Iskandar turut menyatakan bahawa sebarang susu formula bayi adalah sesuai untuk diminum oleh bayi jika tiada sebarang alahan sampingan, tidak kira apa pun sumber susu itu sama ada daripada lembu, kambing, atau unta sekalipun tetapi selain yang dibekalkan oleh pihak KKM, ibu bapa kepada bayi hendaklah membelinya dengan kewangan sendiri. Walau bagaimanapun, susu formula bayi yang disediakan oleh pihak KKM untuk para ibu yang positif HIV adalah dikawal oleh Pegawai Zat Makanan.

Soalan 5:

Seorang isteri yang positif HIV mempersoalkan mengapa bacaan CD4 suaminya yang juga positif HIV lebih tinggi berbanding dirinya, sedangkan suaminya adalah pihak yang menjangkitkan. Tidakkah sepatutnya CD4 pihak yang menjangkitkan adalah lebih rendah berbanding yang dijangkiti?

Jawapan:

Menurut Dr. Iskandar, tidak semestinya CD4 pihak yang menjangkitkan adalah lebih tinggi berbanding yang dijangkiti. CD4 suami itu mungkin tinggi, tetapi Viral Load beliau juga mungkin tinggi. CD4 adalah sekadar antibodi untuk perlindungan diri sendiri dan bergantung kepada imuniti individu.

Soalan 6:

Seorang ahli komuniti perlu mengambil sejenis makanan tambahan (supplement food) bagi melegakan sejenis penyakit yang sedang dialaminya. Makanan tambahan bertindak merencatkan penyakit tersebut daripada terus-menerus merebak.

Walau bagaimanapun, doktor yang merawat itu menyatakan bahawa pihak KKM tidak menyediakan makanan tambahan untuk para klien. Klien perlu membeli sendiri makanan tambahan tersebut.

Jawapan:

Menurut Dr. Iskandar, pihak KKM tidak menyediakan makanan tambahan untuk para klien. Klien perlu membeli sendiri makanan tambahan tersebut.

Namun begitu, para penjawat awam yang terpaksa membeli beberapa ubatan tertentu yang tidak disediakan oleh KKM boleh menuntut kembali bayaran perubatan (medical claim) daripada jabatan mereka bertugas.

Pesara kerajaan pula boleh memperolehi ubat tersebut secara percuma. Kedua-dua keadaan ini adalah sah dengan syarat penjawat awam dan pesara kerajaan tersebut mempunyai preskripsi yang telah disahkan oleh pegawai perubatan kerajaan.

Tuntutan bayaran perubatan tersebut pula perlulah disertakan dengan resit dan disahkan oleh pegawai perubatan kerajaan sebelum diserahkan kepada pihak pentadbiran jabatan tempat bertugas.

Borang yang perlu diisi bagi tujuan tuntutan bayaran perubatan:

Peraturan Permohonan Perbelanjaan Kemudahan Perubatan

Soalan 7:

Mengapa di kalangan sesama doktor pakar perubatan sendiri memberikan pandangan yang berbeza-beza dan mengelirukan masyarakat tentang hasrat ODHA untuk mendirikan rumahtangga, apatah lagi memperolehi zuriat?

Jawapan:

Memang masih terdapat segelintir para doktor termasuk doktor pakar (specialist) dan kakitangan KKM unit Infectious Disease (ID) sendiri yang masih stigma tentang HIV dan AIDS.

Doktor-doktor pakar ini tidak bersetuju dengan niat dan keputusan para ODHA yang mahu berkahwin dan mempunyai zuriat walaupun terbukti wujudnya kemajuan dalam bidang perubatan HIV/AIDS. Rawatan dan teknologi terkini terbukti sangat efektif.

Dr. Iskandar menasihatkan agar masyarakat umum berhati-hati dengan doktor-doktor pakar yang mempunyai stigma dan mentaliti sebegini. Sekiranya kita bertemu dengan segelintir doktor yang mempunyai pandangan demikian, masyarakat berhak mendapatkan pendapat kedua (second opinion) daripada pengamal perubatan yang lain.

Danish bersama doktor idolanya, Dr. Iskandar

Setakat ini sahaja perkongsian kali ini. Semoga ada manfaatnya kepada kita semua. Insya-Allah jumpa lagi. Jutaan penghargaan dan terima kasih kepada Dr. Iskandar Firzada bin Osman dan semua kakitangan Klinik Kesihatan Jaya Gading, Kuantan, Pahang atas perkhidmatan yang cemerlang. Jazakumullah khier.


Aku, hamba-Nya yang dhaif,
Mohamad bin Wahid @ Pie @ AHP


Para pembaca boleh berkongsi pengalaman melalui FB AHP Positive Warriors Support Group (Secret Group). Anda juga dialu-alukan menjadi ahli PPWM, untuk menyertai, sila hubungi admins yang berikut:

Camelia Sulaiman: camelia_sulaiman@yahoo.com
Luka Rafieqa: rafieqakl@hotmail.com

NGO Sokongan:

Pertubuhan Amal Firdausi Kuala Lumpur (PAFI)

Sila hubungi:
Laman Web: http://www.amalfirdausi.org
E-Mel: amalfirdausi@gmail.com
Talian Marhabah: 018-207-0953 (Encik Hamli) @ 017-311-0306 (Encik Raffie)
Telefon / Faks: 03-9174-0934
FB PAFI: http://www.facebook.com/amalfirdausi (Open Group)
Twitter: twitter.com/amalfirdausi


Sokongan khusus kepada komuniti wanita: PEWAHIM
Untuk menyertainya FB PEWAHIM, (secret group) sila hubungi:
E-Mel: pewahim@gmail.com
Telefon: 019-259-5864 (Norlela) Pengasas
No akaun PEWAHIM: 562740121438 (Maybank)