Sunday, October 07, 2012

ORANG YANG HIDUP DENGAN HIV DAN AIDS TIDAK DIBENARKAN MENUNAIKAN HAJI?



My Best Doctor
Dr. Iskandar Firzada bin Osman

MD (USM), MMed (Family Medicine) (USM),
MAFPM (Mal.), FRACGP (Australia), FAFPM (Mal.),
Fellow in Adolescent Health (Melbourne)
Family Medicine Specialist / Primary Care Physician


Alhamdulillah, musim haji datang lagi. Seronok sangat jika kita berkemampuan dan dapat menunaikan Rukun Islam yang kelima. Ramai di kalangan ODHA yang berkemampuan daripada segi kesihatan dan kewangan berhasrat menunaikannya.

Duit sudah mula dikumpul, pihak Tabung Haji pun sudah meluluskan kuota giliran kita. Hati berbunga menerima berita tersebut apatah lagi dapat menunaikannya bersama keluarga tersayang.

Sebaiknya menjalani pemeriksaan kesihatan, bakal haji ODHA mula keliru sama ada untuk memaklumkan status kesihatan mereka atau merahsiakan. Kalau merahsiakan status, bimbang dianggap menipu untuk beribadah sekalipun kita tahu itu sekadar prosedur dunia. Jika berlaku apa-apa masalah kesihatan di Tanah Suci sama seperti jemaah lain, apa pula kata pihak yang merawat nanti? Berlaku jujur, lain pula isunya.

Apabila ditanya kepada pihak Lembaga Urusan dan Tabung Haji (LUTH), jawapannya tidak standard. Ada berbagai-bagai tetapi indirectly, TIDAK DIZINKAN. Boleh agaknya kita katakan bahawa mahu beribadah pun seolah-olah ada diskriminasi?

Sekalipun status kami adalah Orang Dengan HIV/AIDS, tetapi jika doktor mengesahkan layak untuk pergi, apa lagi halangannya untuk kami menunaikan haji? Bimbang berjangkit kepada jemaah haji yang lain? Itu stigma.

Mari baca beberapa fakta ini dengan teliti.


SOALAN-SOALAN TENTANG HUKUM IBADAH HAJI DAN PENGIDAP HIV

Soalan

Assalamualaikum.

Pesakit saya adalah penghidap HIV, sedang menerima rawatan, stabil serta belum atau tidak mendapat AIDS. Beliau berkemampuan dari segi kewangan untuk menunaikan haji.

Walau bagaimanapun, menurut seorang pegawai Cawangan Kesihatan Lembaga Tabung Haji, pesakit HIV memang tidak dibenarkan menunaikan ibadah haji. Sedangkan di dalam Buku Panduan Pemeriksaan Bakal Haji, hanya pesakit HIV dengan AIDS yang tidak dibenarkan.

Mohon jelaskan hukumnya. Terima kasih.

Jawapan

Tujuannya adalah untuk mengelak daripada kemudaratan yang tidak dapat dipastikan kepada jemaah haji lain walaupun kebarangkaliannya adalah sedikit dan untuk tidak mengganggu keselesaan jemaah yang lain.

Apa pun, keputusan muktamad terletak pada kedutaan Saudi. Tabung Haji mengikut peraturannya sahaja. Jika keadaan terpaksa, maka gugur kewajipan haji untuknya sebab darurat. Berbincanglah dengan mereka dan dapatkan surat pengesahan daripada mereka.


UPAH HAJI UNTUK PLHIV

Soalan

Saya mempunyai seorang ahli keluarga yang merupakan penghidap HIV. Beliau mampu menunaikan haji dan tidak mempunyai sebarang masalah kesihatan lain serta tidak membahayakan bakal jemaah haji yang lain.

Walau bagaimanapun, beliau dimaklumkan oleh pihak Tabung Haji bahawa PLHIV tidak dibenarkan oleh pihak Tabung Haji dan kerajaan Arab Saudi untuk menunaikan haji. Soalan saya, apakah hukumnya jika beliau mengupah orang lain untuk menunaikan haji untuk beliau ketika beliau masih hidup?

Jawapan

Ya dia boleh buat upah haji sebab penyakitnya itu termasuk dalam penyakit yang tiada harapan sembuh sama seperti penyakit tua. Terbaik dia mengupah seorang ustaz yang alim, sihat tubuh badan dan warak untuk menunaikan haji bagi pihaknya. Inilah yang terbaik tetapi memerlukan belanja yang agak besar. Atau cara biasa pun boleh juga.



Berikut adalah sebahagian daripada jawapan emel yang aku perolehi daripada Dr. Iskandar bin Osman, melalui conversations emel kami.

Emel 1

Assalamualaikum,

Disertakan Buku Garis Panduan Pemeriksaan Kesihatan Bakal Jemaah Haji yang telah dikeluarkan atau diterbitkan bersama oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Lembaga Tabung Haji Malaysia (TH).

Objektif pemeriksaan kesihatan bakal jemaah haji jelas diterangkan. Definisi ‘Clinical AIDS’ juga dilampirkan bersama. Pekerjaan ibadah haji merupakan pekerjaan ibadah fizikal. Sebab itu, hanya yang berkemampuan dari segi fizikal, mental/emosi dan sosial sahaja WAJIB mengerjakan ibadah haji.

Disebabkan keadaan di Tanah Suci penuh sesak dengan jutaan umat Islam dari seluruh pelosok dunia, maka kemungkinan untuk seseorang itu terdedah kepada pelbagai penyakit berjangkit amat tinggi. Sebab itu, seseorang yang sedang mengalami AIDS tidak diluluskan untuk menunaikan haji. Walau bagaimanapun, PLHIV yang tidak mengalami masalah AIDS, boleh diluluskan.

Implikasi tidak mengisytiharkan masalah HIV, dikhuatiri jika terputus bekalan ubat di sana kelak, sukar untuk mendapatkan bekalan. Begitu juga jika memerlukan rawatan berkaitan masalah HIV di sana kelak, perawat akan lambat memberikan rawatan yang khusus disebabkan tidak mengetahui status pesakit. Implikasi ibadah pula, dikhuatiri jika tidak jujur menyatakan masalah, akan mengurangkan atau merosakkan pahala ibadah.

Di dalam buku Garis Panduan Pemeriksaan Kesihatan Jemaah Haji’ sememangnya jelas, AIDS (Clinical AIDS) tidak lulus tetapi orang yang dijangkiti HIV (PLHIV), BOLEH DILULUSKAN sebagaimana juga Tuberculosis, Sputum Positive On Treatment sememangnya tidak lulus tetapi DILULUSKAN selepas tamat rawatan atau sputum smear negative on treatment BOLEH DILULUSKAN sebab tidak tersenarai di dalam ‘KES-KES YANG DIANGGAP TIDAK LAYAK UNTUK PERJALANAN JAUH DAN / ATAU KES-KES YANG TIDAK BERUPAYA KERANA KEADAAN FIZIKAL DAN MENTAL YANG TIDAK MENGIZINKAN’.

Sebab itu, semasa pemeriksaan kesihatan bakal jemaah haji serta di dalam ‘Buku Rekod Kesihatan Jemaah Haji’ tidak ada ujian WAJIB untuk HIV (sebagaimana ujian ‘wajib’ untuk ibu-ibu mengandung atau hamil dan bakal pengantin Muslim). Hanya pengakuan daripada bakal jemaah haji sahaja.

Ramai PLHIV yang pernah menunaikan umrah dan ada juga yang menunaikan umrah pada bulan Ramadhan, tetapi tidak siapa tahu status PLHIV mereka serta Alhamdulillah semuanya kembali dengan sihat. Saya tetap akan meluluskan bakal Jemaah Haji PLHIV selagi PLHIV tersebut tidak mengalami AIDS.

Pengalaman saya bekerja dengan Rombongan Perubatan Tabung Haji semasa musim haji (3 bulan), pegawai Tabung Haji akan menentukan bahawa orang yang akan melaksanakan upah haji melalui Tabung Haji adalah orang yang benar-benar layak. Mereka perlu menjalani sesi temuduga yang dijalankan oleh pakar-pakar rujuk ibadah haji Tabung Haji ketika di Mekah.

Pakar-pakar rujuk ini terdiri daripada pegawai-pegawai agama sama ada dari Tabung Haji atau yang dipinjamkan kepada Tabung Haji semasa musim haji dari agensi-agensi seperti Kementerian Pelajaran, Jabatan Agama Negeri dsb. Setelah lulus temuduga, barulah mereka diberikan tugasan untuk melaksanakan upah haji.

Berkenaan Pesakit HIV (PLHIV) yang stabil (berikut adalah jawapan dari Pegawai Tabung Haji hasil komunikasi salah seorang Pakar Perubatan Keluarga di Wilayah Persekutuan dengan Pegawai Tabung Haji tersebut)

Bagi kes Jemaah Haji PLHIV yang pernah diluluskan sebelum ini, penerbangannya disahkan hanya setelah Pasukan Rombongan Perubatan melaporkan dan seterusnya memohon kebenaran untuk membawa Jemaah Haji PLHIV tersebut ke Tanah Suci dan dipersetujui oleh Pihak Berkuasa Arab Saudi.

Namun sebagai syaratnya, Jemaah Haji PLHIV hanya boleh berada di dalam pengawasan pihak Pasukan Rombongan Perubatan sahaja sehinggalah selesai ibadah haji tersebut. Dari segi pergerakan, aktiviti Jemaah Haji PLHIV ini amatlah terbatas dan tidak sebagaimana Jemaah Haji (JH) biasa.

Aspek pengetahuan di kalangan Jemaah Haji tentang cara pergaulan dan perhubungan dengan pesakit HIV/AIDS terutama di kalangan warga tua/emas juga amat terbatas.

Dan perlu dimaklumi; kemampuan pasukan perubatan juga ada limitasinya dari segi kemampuan dan penyediaan ubat-ubatan.

Buku ‘Garis Panduan Pemeriksaan Kesihatan Jemaah Haji’ yang kita gunakan ini perlu dikemaskinikan semula kerana telah diulang cetak untuk beberapa tahun. Sekian, terima kasih.


Emel 2

Jawapan daripada Dr. Sha’ari b. Ngadiman, Timbalan Pengarah Kawalan Penyakit (Penyakit Berjangkit) Gred Khas C yang juga merupakan Ketua Sektor HIV/STI, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang baru sebentar tadi menelefon saya.

Menurut beliau, pendirian KKM setakat hari ini adalah sebagaimana ‘Buku Panduan Pemeriksaan Kesihatan Jemaah Haji’ iaitu ’Clinical AIDS’ tidak diluluskan tetapi PLHIV yang lain, sama ada belum menerima ARV atau yang sedang menerima ARV diluluskan atau dibenarkan.

Malah, pendapat peribadi beliau sepatutnya digalakkan, untuk menunjukkan bahawa mereka boleh serta berhak untuk menghadapi kehidupan sebagaimana orang lain dengan tidak ada prejudis atau stigma.

Keperluan serta tuntutan spiritual seseorang pesakit perlu diambil kira jika sekiranya kita berkehendakkan atau mengamalkan pendekatan yang holistik dalam merawat pesakit.

Walau bagaimanapun, beliau tidak bersetuju jika sekiranya PLHIV merahsiakan status mereka kerana bimbang jika berlaku masalah perubatan di Tanah Suci, doktor yang merawat gagal untuk memberikan rawatan yang sepatutnya atau sempurna.

Seperkara lagi, jika PLHIV merahsiakan status mereka di dalam ‘Buku Rekod Kesihatan Jemaah Haji’, maka sebenarnya PLHIV sendiri yang masih mempunyai prejudis atau stigma terhadap diri mereka sendiri. Untuk itu, beliau bimbang niat atau tujuan seseorang itu mengerjakan ibadah haji akan terjejas.

Beliau AMAT TIDAK BERSETUJU serta agak TIDAK SENANG HATI dengan kenyataan bahawa pihak LUTH dan imigresen secara automatik, melalui kad pengenalan bakal jemaah haji, mempunyai link dengan pihak KKM untuk mengetahui status kesihatan setiap bakal jemaah.

Ini adalah kerana maklumat status kesihatan setiap pesakit yang mendapatkan rawatan di premis KKM adalah sulit serta tidak boleh diakses oleh mana-mana pihak sekalipun tanpa kebenaran daripada pesakit. Malah, di kalangan anggota di KKM sendiri, maklumat sebegini HANYA boleh diakses oleh anggota yang tertentu sahaja dengan prinsip ‘need to know basis only’. Tidak ada link sebagaimana yang dimaksudkan.

Untuk bakal jemaah haji, hanya laporan pemeriksaan kesihatan jemaah haji yang dilakukan oleh doktor atau Pegawai Perubatan atau Pakar Perubatan yang tercatat di dalam ‘Buku Rekod Kesihatan Jemaah Haji’ sahaja yang pihak LUTH akan terima. Dr. Sha’ari b. Ngadiman mohon supaya perkara ini dimaklumkan kepada semua anggota KKM serta orang ramai kerana bimbang ianya boleh mengakibatkan integriti KKM serta integriti anggota KKM terjejas.

Akhir sekali, nasihat beliau, kepada para PLHIV yang ingin menunaikan ibadah haji, sila dapatkan pemeriksaan kesihatan jemaah haji sebagaimana bakal jemaah haji yang lain.

Jika boleh, dapatkan pemeriksaan kesihatan daripada doktor atau Pegawai Perubatan dan Pakar Perubatan yang telah sedia merawat PLHIV. Doktor atau Pegawai Perubatan dan Pakar Perubatan itu yang akan menentukan sama ada PLHIV tersebut layak atau lulus.


Dr. Iskandar Firzada Osman
MD (USM), MMed (Family Medicine) (USM),
MAFPM (Mal.), FRACGP (Australia), FAFPM (Mal.),

Fellow in Adolescent Health (Melbourne)
Family Medicine Specialist / Primary Care Physician


PENTING: PEKELILING PENTING URUSAN BERKAITAN (SILA KLIK)


Kredit kepada Dr. Iskandar Firzada bin Osman


Para pembaca boleh berkongsi pengalaman melalui FB AHP Positive Warriors Support Group (Secret Group). Untuk menyertai, sila hubungi:

Survivor: survivorpng@yahoo.com
Luka Rafieqa: rafieqakl@hotmail.com 
AHP: positive4eva@gmail.com


Sokongan khusus kepada wanita: PEWAHIM.
Untuk menyertainya FB PEWAHIM, (secret group) sila hubungi:

pewahim@gmail.com
019-259-5864 (Norlela) Pengasas

No akaun PEWAHIM: 562740121438 (Maybank)