Sunday, October 30, 2011

KEPENTINGAN KESEIMBANGAN MINDA, JASMANI & ROHANI KEPADA PEMBAWA HIV



Dunia kini sudah mula melihat kesihatan secara menyeluruh dan bukan hanya setakat keadaan biologi (jasmani).  Itulah sebabnya yoga dan tai-chi menjadi begitu terkenal kerana senaman tersebut mengambil kira kesihatan minda, jasmani, dan rohani.  Walau bagaimanapun, setiap individu adalah berlainan dan anda mungkin mendapati bahawa sembahyang membantu anda berada dalam keadaan positif.  Petuanya adalah melakukan apa yang selesa anda lakukan.

Kita telah berbincang dengan panjang lebar berkenaan topik bagaimana seorang yang HIV-positif boleh menjalani kehidupan yang memuaskan dengan cara menjaga tubuh badan mereka.  Di sini kita akan lihat peranan minda dan rohani serta bagaimana anda boleh menguruskannya.


Jika anda mahu berasa sihat, ceriakan diri anda.
Orang yang HIV-positif biasanya akan berada dalam keadaan minda yang tertekan.  Mereka merasakan bahawa hayat mereka akan berakhir dan apabila anda meletakkan diri anda dalam keadaan sedemikian rupa, ia boleh mempengaruhi perkara-perkara lain dalam hidup anda seperti kerja, kewangan, kesihatan, keluarga, perhubungan, dan lain-lain.  Ia mempunyai kesan yang akan memburukkan lagi keadaan.

Tetapi anda boleh memutuskan untuk keluar daripada keadaan tertekan ini dengan mengatakan, “Tidak kepada tekanan.  Dan Ya kepada kegembiraan.”

Tip-tip keceriaan
·    Apabila anda telah memulakan komitmen ini, mintalah pertolongan kawan-kawan, keluarga, dan kumpulan sokongan untuk membantu anda meneruskannya.  Ada kalanya makan dengan mereka yang tersayang adalah memadai untuk menceriakan anda.
·    Keluar, bersenam, ketawa, berkongsi, dan buatlah sebarang perkara yang boleh menggembirakan anda.
·    Bangun tidur setiap pagi dan kata kepada diri sendiri, “Hari ini akan menjadi satu hari yang baik.”
·    Jika perasaan sedih serta sugul timbul, jangan menyerah.  Ingatlah, pilihan adalah di tangan anda.
·    Bacalah mengenai orang yang HIV-positif lain yang berjaya hidup dalam keadaan yang memuaskan.  Ini adalah penting kerana mereka dan anda berkongsi sesuatu yang sama dan mereka akan memahami apa yang sedang anda alami.  Tambahan pula mereka mungkin mempunyai cadangan berguna yang boleh membantu anda.
·    Sertailah kumpulan sokongan bagi mereka yang HIV-positif.
·    Kami tahu, berat mata memandang, berat lagi bahu memikul, tetapi anda perlu melakukan komitmen tersebut.
·    Jangan jadikan diri anda tertekan.  Jalani kehidupan, bekerja, tunaikan tanggungjawab anda, dan lain-lain secara beransur-ansur.  Dapatkan pertolongan daripada mereka yang tersayang bagi membantu di mana yang termampu seperti menolong membayar bil, melakukan kerja-kerja rumah, dan lain-lain.
·    Berkongsi perasaan dengan seseorang yang boleh mendengar dan memahami keadaan anda boleh membantu.  Menyertai kumpulan sokongan juga boleh membantu.  Sebagai alternatif, anda juga boleh menghubungi pelbagai organisasi yang menawarkan perkhidmatan kaunseling.  Satu senarai disertakan di akhir buku ini.
·    Sertai kelas meditasi, yoga, tai-chi, dan lain-lain atau bacalah buku mengenai cara-cara untuk bermeditasi.  Ia boleh membantu mengurangkan tahap tekanan, dan menenangkan anda.


Tip-tip untuk menenangkan diri
·    Menarik nafas panjang adalah petua paling berguna.  Apabila anda berasa tidak selesa, tidak tenang, atau tertekan, lakukanlah senaman pernafasan yang mudah.  Ia adalah nafas kehidupan.
·    Penuhi masa anda dengan melakukan perkara-perkara yang anda minati semasa sebelum anda disahkan HIV-positif.
·    Memulakan satu hobi – membaca, berkebun, dan lain-lain.
·    Menonton cerita komedi.
·    Ketawa setiap kali anda berpeluang berbuat demikian.
·    Dengar muzik / lagu-lagu yang mengandungi mesej gembira.

Yang paling penting, sentiasa mempunyai pandangan positif dalam kehidupan.


AHP: Kredit kepada KKM, MAC & Saudara Mohamad Raffie bin Jaafar.


p/s- Sebagai muslim, sudah tentu cara memperolehi ketenangan yang terbaik adalah dengan mendirikan solat, qur’an, zikir, selawat, doa, munajat, redha, tawakkal dan sebagainya.