Wednesday, September 28, 2011

HIV VS FIBROMYALGIA DAN CHRONIC FATIGUE SYNDROME (CFS)



Salah satu cara yang paling berkesan untuk menimbulkan rasa positif semasa berdepan dengan ujian Allah ialah membandingkan ujian yang kita tempuhi dengan ujian-ujian  insan lain yang lebih menderita, susah, miskin, keseorangan, terlantar dan sebagainya.

Menakjubkan apabila mereka tetap tabah dan mampu menyebarkan ribuan warna yang menyerikan alam. Derita di dalam, hanya Allah yang tahu.

Salah seorang sahabat yang sentiasa memberikan inspirasi begitu terhadapku ialah As. Beliau dipilih Allah dengan ujian penyakit kronik yang dinamakan Fibromylgia dan Chronic Fatigue Syndrome (CFS).  Bila membandingkan ujian yang beliau tempuhi dengan ujian yang aku lalui, aku jadi malu untuk mengeluh.

As masih bujang, baru sahaja menamatkan pengajian yang ada kena mengena dengan bidang perubatan dan ditakdirkan mempunyai karier sebagai tenaga professional dalam bidang yang lain.

Walaupun menderita dengan penyakit tersebut, beliau tidak keberatan dan sentiasa memberikan sokongan terhadap rakan-rakan pembawa HIV di blog kita ini. Kemuliaan hati dan ketabahan hati beliau sangat-sangat aku hargai.

Tahu apa itu Fibromylgia dan Chronic Fatigue Syndrome (CFS)? Jika tidak, sila klik nama penyakit untuk memahaminya secara ringkas.

Di sini aku mengambil kesempatan untuk berkongsi sekelumit daripada pelbagai cabaran dan ujian yang As tempuhi. Salah satunya dalam entry terbaru beliau (dengan izin) yang bertajuk: Seorang wanita.

Jadi, sambil-sambil kita mempelajari sesuatu daripada ketabahan dan pengalaman hidup beliau, apa kata berikanlah sedikit pandangan sebagai tanda sokongan. Bukan belas simpati yang beliau pinta kecuali sekadar berkongsi rasa dengan teman-teman yang beliau hargai.

Mari baca:


Entah, entri kali ini mungkin berbaur luahan seorang wanita itu. Andai ramai yang membaca, mungkin sisi-sisi tepi kehidupan dapat dilihat dengan minda yang lebih terbuka.

Aku sebagai wanita, orang sekeliling tidak akan bertanya tentang sumbangan aku pada masyarakat. Persoalannya lebih berkisar pada jodoh dan perkahwinan.

Sewaktu sedang belajar persoalan lebih kepada seputar perkara akademik. Baikkah atau bagaimana? Jika baik maka mereka tumpang gembira. Bila sudah habis belajar, soalannya sudah bekerja kah? Jika bekerja jurusan berbeza daripada kursus yang diambil, orang akan kata, kenapa ambil kursus yang susah dapat kerja?! Bila sudah kerja, orang akan tanya bila mahu kahwin?

Tapi soalannya takkan habis di situ. Kemudian isunya masuk perkara anak pula. Soalannya takkan pernah habis. Ramai manusia jadikan jawapan "sudah" sebagai kayu ukur kejayaan sebuah kehidupan seorang wanita itu.

Manusia, seringkali memandang pada hasilnya. Dan Allah memandang hanya pada usaha. Ada orang usaha sedikit tetapi dapat lebih. Ada orang usaha kuat habis upaya namun hasil tetap setakat cukup makan. Itulah indahnya pandangan Ilahi. Dan manusia akan terus dengan padangan mereka pada hasil, dan juga anugerah2 peringkat keduniaan yang seseorang itu sandang.

Berkisar tentang jodoh, usia aku masuk arena kemuncak pertanyaan dan suruhan untuk berkahwin. Normal. Cumanya seikhlas hati aku katakan, mahu petik calon sesuka hati bukan semudah memetik cili di tangkai. Dan masak spagetti jauh lebih mudah.

Apatah lagi dengan keadaan aku yang begini. Yup begini. Chronic pain yang jika aku sebut ramai akan ternganga apakah alien yang aku sebutkan tu. Yes, kalau rajin sila google Fibromyalgia. Kesakitan sepanjang masa di semua tempat serta emosi yang selalunya tidak stabil. Memang penat weh jika orang tu nak jaga aku dan ada di sisi tiap masa. Penat tengok aku. Which sepatutnya menjadi penyejuk mata pendamai hati. Yes, tiada siapa yang sanggup untuk me-mampu-kan diri.

Sukar nak cakap, tapi untuk memudahkan cerita supaya orang faham, aku akui aku setuju dengan kata-kata kamu. Seperti yang kamu harapkan, aku juga inginkan seseorang yang boleh bersama memikul beban kesakitan yang aku lalui tiap hari, seseorang yang boleh aku berkongsi derita, seseorang yang boleh memberi bahu menadah tangisan kesakitan aku saban waktu.

Memang mudah dan indah jika nak cakap, "mesti ada punya seseorang yang akan tahan semua ni dengan kamu". "Bila kahwin nanti akan lain, dia akan support kamu sepenuhnya tiap masa". Dan pelbagai lagi ayat2 indah. Indah. Imaginasi manusia memang hanya mahukan yang indah2 belaka.

Tahukah kamu bagaimana teruknya kesakitanku tiap saat dan tika? Tahukah kamu bagaimana emosi boleh bertukar deria? Seringkali waktu aku kesakitan dan kemurungan, sahabat2 terpaksa menarik aku kemas dalam dakapan hangat meredakan kepiluan dan kekusutan di jiwa. Dan biasanya tangisan aku akan terhambur di bahu mereka. Yup, aku menulis dengan birai mata menakung air, jiwa menahan sebak.

Kerna itu aku sentiasa berfikir, manusia, sejauh manakah mampu bertahan dengan emosiku yang selalu tak stabil. Manusia, sekuat manakah dia akan bertahan untuk menjaga seorang yang sentiasa kesakitan. Pasti ada masanya turut sama melenting dan meluah rasa perit menjaga seorang pesakit. Apatah lagi jika impian dan harapannya pada sebuah perkahwinan adalah yang indah dan mahukan seorang pendamping yang mampu memberi segala keperluan jiwa.

Tidak bermakna aku katakan mereka tidak baik. Dan tidak bermakna aku sahaja yang betul. Cumanya menjaga isteri yang sakit juga adalah ujian besar buatnya. Pasti dia akan jatuh jua pada kemuncak kepenatan. Penat emosi mungkin. Kerana fitrah kita ini yang cenderung untuk jadi begitu. Fitrah. Bukan salah seorang suami itu. Ia hanya fitrah.

Sahabat2 ku sudah masuk ke era pelepasan mungkin. Setelah perjalanan meraih sebuah ijazah sarjana muda berakhir. Maka berakhir jua kepenatan emosi mereka melihat diriku yang sentiasa kesakitan. Berakhir jua kepenatan pada sebuah penjagaan yang hampir sempurna buat sahabat yang sakit. Seriyes, aku selalunya untuk menjaga diri pun masih fail akibat kesakitan ini.

Jadi sejujurnya, aku tidak mahu menambah beban buat seseorang. Seseorang yang akan terpaksa menghadap diriku hampir tiap masa. Aku tidak mahu menyukarkan kehidupan seorang dia. Kerna apa yang dia damba selayaknya ada pada wanita-wanita yang jauh lebih baik. Yang tidak punyai sakit kronik sebelum perkahwinan. Jika sihat di awal perkahwinan, sayang dan cinta boleh meresap. Kemudiaanya waktu sakit, hati lebih terbuka untuk menjaga, kerana sayang yang beraja. Aku kira tidak mampu seketul hati itu untuk tiba-tiba menjaga isteri sakit yang baru hendak dikenali hati budinya. Boleh jadi anjakan paradigma begitu. Terkejut juga.

Aku sebenarnya sudah penat mahu menerangkan. Maka kamu baca sahajalah di sini. Mungkin kamu ada fahaman dan pendirian kamu, bahawa ia akan jadi yang indah-indah sahaja pasca perkahwinan buat seorang wanita yang sakit kronik sepertiku. Itu fikir imaginasi kamu. Bagaimana dengan logiknya?

Terima kasih atas segala perhatian daripada kamu atas kesakitan dan perlunya pada sebuah perkahwinan aku.

Demikian hidup ini adalah tautan daripada segala rasa. Tapi percayalah kesakitan yang diberi adalah kerna dia mahu kita sentiasa mengingatiNya. Dia mahu kita sentiasa merasa perlu kepadaNya..

Sepertinya perjuangan itu takkan berakhir, hingga kedua tapak kaki kita menginjak ke syurga..

Mahu ku singkap tabir hatiku yang kelabu, moganya ada ruang untuk cahayaMu!


p/s: Bila sudah habis ijazah muda, soalan seterusnya, bila mahu sambung belajar? -__- manusia...takkan habis.


AHP: Atas nama persahabatan dan tanda sokongan, coretkanlah sesuatu.