Wednesday, June 22, 2011

LAGI PENDAPAT MEREKA TENTANG HIV/AIDS



Taat perintah Allah - Jalan penyelamat masalah HIV/AIDS

Menyentuh tentang masalah perebakan HIV dan AIDS yang semakin berleluasa dalam masyarakat hari ini, kita tidak dapat lari daripada memperkatakan tentang seks.

Ini kerana ia telah dikenalpasti sebagai faktor penyebar kedua paling tinggi (AHP: Fakta lama ni) selepas pertukaran jarum di kalangan penagih dadah.

Malah, isteri-isteri malang yang mendapat HIV daripada suami yang pernah meniduri wanita lain atau menagih dadah juga melalui hubungan seks.

Namun, apabila isu seks luar nikah atau hubungan sesama jenis ditekankan, para aktivis sering menolak dengan alasan tidak semua mendapat HIV/AIDS melalui cara tersebut.

Malah, ada yang secara terang-terangan mempersoalkan sejauh mana hukum Islam seperti larangan melakukan zina dapat menyelesaikan masalah tersebut.

Sedangkan, jika kita benar-benar memahami Islam, maka kita akan dapat menghayatinya sebagai agama nasihat yang menekankan konsep mencegah lebih baik daripada mengubat.

Bukan sekadar zina, malah mendekati perkara-perkara yang boleh mendorong kepada perbuatan tersebut juga turut dilarang.

Pengurus Operasi Pusat Kebudayaan Islam dan Masjid Central London, Nizar Boga berkata, kunci kepada kejayaan dalam memerangi HIV/AIDS ialah taat kepada perintah Allah dan Rasul secara total.

Ini termasuk soal hubungan seksual kerana walau ia diakui sebagai satu keinginan semula jadi, namun Islam meletakkan had dan sempadan yang jelas berhubung perlakuan tersebut.

``Islam melihat seks sebagai pemberian yang bermanfaat daripada Allah iaitu cara untuk memanjangkan zuriat dan menyalurkan keinginan seksual dalam batas-batas agama.

``Melakukan aktiviti seksual diluar konteks perkahwinan bukan sahaja merosakkan tujuan seks yang sebenar, tetapi juga menimbulkan pelbagai risiko lain,'' katanya.

Beliau berkata demikian pada Konsultasi Antarabangsa Kedua Pemimpin-pemimpin Islam Dalam Menangani Isu HIV/AIDS di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Nizar menegaskan, kemunculan dan penyebaran HIV/AID di sifatkan oleh dunia Islam sebagai satu hukuman dari Allah ke atas mereka yang terlibat dengan aktiviti seksual yang dilarang agama.

Perkara ini jelas ditunjukkan melalui bala yang diturunkan ke atas kaum Lut yang engkar serta mengamalkan hubungan homoseksual.

``Hubungan seks luar nikah, rambang atau sesama jenis, penagihan dadah serta lain-lain perbuatan yang bertentangan dengan tabii dan hukum agama tidak boleh ditolakansur.

``Islam tidak menggambarkan homoseksual dan lain-lain itu sebagai satu penyakit atau masalah mental yang perlukan rawatan, sebaliknya perbuatan bertentangan dengan fitrah manusia yang perlu diperbetulkan,'' jelasnya.

Dalam pada itu, beliau tidak menafikan bahawa keinginan seksual orang-orang Islam tidak ada bezanya dengan mereka dari agama-agama lain.

Bagaimanapun, Islam mempunyai hukum-hukum dan garis panduan yang jelas mengenainya termasuk cara-cara untuk mengawal nafsu seks.

Bagi mereka yang berkemampuan zahir dan batin, Islam menyarankan perkahwinan, manakala yang tidak mampu, mereka disarankan berpuasa sebagai satu cara melemahkan syahwat.

Begitu juga dengan hukuman hudud ke atas para penzina lelaki mahupun wanita yang mana ia bukan semata-mata hukuman, tetapi mekanisme pencegahan serta peringatan agar kita menjauhi perlakuan tersebut.

Ini terbukti apabila penyebaran HIV/AIDS di negara-negara Islam tidak sehebat negara-negara yang tidak menghalang seks luar nikah serta menghalalkan perkahwinan sesama jenis.

``Memang umat Islam juga tidak selamat daripada jangkitan HIV/AIDS kerana ia juga boleh berjangkit melalui pemindahan darah atau organ.

``Tetapi pokok pangkalnya Islam mempunyai mekanisme pencegahan seperti hukum hudud untuk menghukum penzina dan sekaligus mampu mencegah perebakan HIV/AIDS,'' katanya lagi.

Sementara itu, wakil dari Afrika Selatan, Prof. Farid Esack juga tidak menafikan kemurahan seks atau kegiatan seks rambang memainkan peranan yang besar dalam penyebaran HIV/AIDS.

``Pendekatan untuk mencegah HIV/AIDS bukan sekadar tidak melakukan hubungan seks luar nikah, tetapi juga setia kepada suami atau isteri serta penggunaan kondom dalam keadaan tertentu.

``Kondom umpama pisau, boleh digunakan untuk kebaikan atau kejahatan. Dalam konteks perkahwinan, ia dapat mencegah HIV/AIDS jika salah seorang telah dijangkiti,'' katanya.

Menurut Farid, seksualiti adalah sebahagian daripada fitrah yang mana proses tersebutlah yang bertanggungjawab terhadap kewujudan manusia.

Sebagaimana kita tidak malu mengakui hakikat bahawa menjadi lapar dan dahaga adalah sesuatu yang semula jadi pada manusia, begitu juga seks.

Kegagalan untuk berinteraksi secara jujur dan terbuka tentang persoalan tersebut dengan anak-anak khususnya menunjukkan kegagalan kita meletakkan ia sebagai sebahagian daripada hidup.

``Sebagaimana seks, makan dan minum tidak mengikut lunas-lunas Islam seperti makan berlebihan atau yang tidak halal juga berdosa serta memudaratkan.

``Walau ia satu fitrah, seks yang terkeluar dari batas-batas agama jelas haram dan memudaratkan. Al-Quran mahu pun hadis jelas menolak semua bentuk seks yang tidak bermoral,'' jelas beliau.

Sementara itu, Wakil dari Amerika Syarikat, Dr. Riffat Hassan pula berkata, Islam tidak melihat seks sebagai sesuatu yang bertentangan dengan kerohanian tetapi satu pemberian dan kenikmatan daripada Allah.

Ia juga tidak sekali-kali dikaitkan dengan sifat-sifat kebinatangan, tetapi sebagai satu cara untuk memanjangkan zuriat melalui hubungan suami isteri yang disertai dengan cinta dan kasih sayang.

Malah, alasan utama kenapa perkahwinan amat digalakkan ialah kerana manusia perlukan kepuasan seksual dan keintiman yang sememangnya satu fitrah.

``Perkahwinan dilihat oleh Islam secara umumnya bukan sebagai satu halangan untuk mencapai matlamat yang lebih tinggi dalam hidup, sebaliknya ia adalah alat untuk mewujudkan keadilan dalam masyarakat.

``Ia sekali gus menghalang manusia daripada perkara-perkara yang tidak bermoral serta bertentangan dengan undang-undang yang ada,'' katanya.

Bagaimanapun, jelas beliau masalah yang sering berlaku dalam kelompok tertentu umat Islam menjadikan seolah-olah seks hanya untuk lelaki.

Wanita bukan sahaja tidak berhak menyuarakan pandangan berhubung perancang keluarga, tetapi juga menikmati seks yang selamat sekiranya suami telah dijangkiti HIV/AIDS.

Sedangkan al-Quran jelas tidak pernah mendiskriminasikan wanita, malah meletakkan kedua-dua jantina sama taraf di hadapan Allah.

Ayat 2 surah al-Baqarah membawa maksud bahawa mereka (isteri) adalah pakaianmu dan kamu (suami) adalah pakaian mereka yang bermaksud saling lengkap-melengkapi, keintiman dan kesamarataan.

``Masalah yang yang berlaku dalam sesetengah masyarakat Islam hari ini tidak sama dengan apa yang dijelaskan dalam al-Quran.

``Masih ada yang mengamalkan budaya menjadikan wanita bagaikan patung atau hamba yang hanya berfungsi untuk kepuasan lelaki,'' tegasnya.

Jelas Dr. Riffat, kebanyakan lelaki sebegini hanya berpegang pada ayat bahawa isteri adalah ladang maka mereka boleh datang bagaimana dan bila-bila masa, malah suami juga boleh mengandungkan isteri pada bila-bila masa yang dirasakan perlu.

Sedangkan dalam masa yang sama, mereka lupa untuk menghayati ayat al-Quran dan hadis lain yang menekankan soal musyawarah, kasih sayang serta memberikan layanan yang baik kepada isteri mereka termasuk dalam soal hubungan seks.

Katanya, Rasulullah sendiri melarang seseorang meninggalkan isteri lebih dari empat bulan selepas baginda mendengar rintihan wanita yang ditinggalkan suami terlalu lama.

Ini menunjukkan walau suami tidak mengeluh tetapi sekiranya isteri mengeluh, maka keluhannya juga perlu didengar.

Begitu juga sikap Rasulullah yang suka berhias dan berwangi-wangian untuk isteri-isteri sebagaimana baginda suka isteri-isterinya melakukan perkara yang sama.

Ia juga jelas menunjukkan hak-hak dan kewajipan seksual yang sama antara suami dan isteri, bukan hanya sebelah pihak sahaja.

Malahan azal atau membuang air mani diluar faraj juga dilarang jika isteri tidak mengizinkan, begitu juga pemakaian kondom.

Oleh NOOR AZMAH IBRAHIM




AHP: Membaca semua pandangan mereka, bagaikan tidak kelihatan titik pertemuan untuk bergerak bersama menangani isu secara positif. Masing-masing terpenjara dengan sikap judgmental dan pandangan sendiri sehingga menjadi satu bentuk hukuman maut kepada golongan yang menderita.

Apa cadangan mereka untuk mebimbing golongan yang tersasar dan menderita? Bagaimana mereka mahu menghapuskan stigma? Apa saranan mereka  untuk membantu pasangan dan anak-anak yang tidak berdosa dan teraniaya? Bagaimana dengan golongan yang dijangkiti akibat transfusion darah atau organ? Turun padang membantu pembawa HIV? Nampaknya jauh sekali… Memang kadang-kadang aku cukup sedih dengan golongan agama.