Saturday, April 30, 2011

KENALI UBAT ANDA


Di bawah Akta Jualan Dadah 1952 (Pindaan 1989) dan Peraturan-peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984 (pindaan 2006), semua ubat perlu didaftarkan dan kosmetik perlu dinotifikasikan sebelum dipasarkan di Malaysia.

Pendaftaran ubat-ubatan dan notifikasi kosmetik boleh dilakukan dengan mengemukakan permohonan kepada Biro Pengawalan Farmaseutikal Kebangsaan (BPFK).

BPFK bertanggungjawab untuk memastikan kualiti, keberkesanan dan keselamatan produk farmaseutikal yang di pasarkan serta kualiti dan keselamatan produk tradisional dan kosmetik.

Produk yang didapati tidak memenuhi syarat pendaftaran dan kualiti yang ditetapkan akan dikenakan tindakan, iaitu dipanggil balik daripada pasaran.

PENGAMBILAN UBAT DENGAN SELAMAT

Semasa mengambil ubat, seseorang perlu mengetahui:

1.      Nama ubat (nama bahan aktif ubat/ generik)
2.      Indikasi/ Kegunaan ubat
3.      Cara pengambilan ubat, dos yang betul dan arahan pengambilan ubat
4.      Berapa lama ubat itu perlu dimakan
5.      Ubat itu adalah untuk penama (pesakit) sahaja, dan tidak boleh dikongsi dengan orang lain
6.      Bagaimana dan di mana ubat disimpan
7.      Jangan makan atau simpan ubat yang telah melewati tarikh luput atau sudah rosak (bertukar warna, bau atau bentuk)
8.      Ubat yang diambil adalah berdaftar dengan Pihak Berkuasa Kawalan Dadah (PBKD), Kementerian Kesihatan Malaysia, mempunyai nombor pendaftaran dan hologram Meditag yang tulen
9.      Dapatkan maklumat lanjut daripada doktor/ahli farmasi sebelum mengambil ubat secara rawatan sendiri

UBAT DI PASARAN

Ubat preskripsi (ubat yang perlu preskripsi daripada doktor) mengandungi bahan racun berjadual di bawah Akta Racun 1952.o Ubat yang tidak perlu preskripsi (ubat yang tidak perlu preskripsi dari doktor seperti ubat yang dijual di kaunter – vitamin, suplemen kesihatan dan ubat tradisional).

BENTUK UBAT DI PASARAN

Bentuk ubat yang wujud di pasaran:

1.      Tablet
2.      Kapsul
3.      Cecair (untuk diminum/ penggunaan dalaman seperti ubat batuk)
4.      Cecair (untuk penggunaan luaran seperti syampu)
5.      Ubat sedut
6.      Suntikan
7.      Titisan mata
8.      Titisan hidung / penyembur
9.      Enema
10. Krim / losen

KOD MAL

Maklumat tentang ubat-ubatan boleh diperolehi dengan merujuk kepada kod pendaftaran pada bungkusan atau botol ubat. Semua ubat yang dijual di Malaysia mesti mempunyai huruf MAL, 8 nombor dan diikuti dengan satu abjad yang menjelaskan kategori ubat.

 A – ubat yang mengandungi racun berjadual (perlu preskripsi doktor)
 X – ubat yang tidak mengandungi racun berjadual
       (ubat yang boleh dibeli di kedai-kedai farmasi tanpa preskripsi)
 T – ubat tradisional/ semulajadi
 C – pengilang berkontrak
 E – untuk export sahaja
 R – ubat dibungkus semula
 S – ubat dari sumber kedua

PENGAWALAN KOSMETIK DI MALAYSIA

Mulai 1 Januari 2008, semua produk kosmetik perlu dinotifikasikan dengan BPFK sebelum diimport, dikilang atau dipasarkan di Malaysia.

Semua produk kosmetik yang bernotifikasi akan diberikan nombor notifikasi (NOT) diikuti dengan 8 nombor dan huruf ‘K’. Walaubagaimanapun, nombor NOT ini tidak perlu dicetak pada pek pembungkusan produk kosmetik.

Pengguna yang ingin menyemak status notifikasi sesuatu produk kosmetik boleh melayari laman web www.bpfk.gov.my untuk mengetahui nombor NOT produk berkenaan.

UBAT GENERIC

Ubat generik ialah ubat yang mengandungi bahan aktif seperti terkandung dalam produk jenama (juga dikenali sebagai ubat innovator).

Ubat generik mempunyai persamaan dengan produk inovator dalam bentuk dosej, kekuatan, keselamatan, kualiti, cara pengambilan, kegunaan dan keberkesanan. Ubat generik dan produk jenama mempunyai kebaikan dan risiko yang sama.

Contoh, paracetamol merupakan ubat generik dan ‘Panadol’ adalah produk jenama paracetamol atau ubat innovator.

Jika anda mengambil lebih daripada satu jenis ubat pada masa yang sama, anda perlulah mengetahui ramuan sebenar yang terkandung di dalam ubat-ubatan yang diambil itu. Ini penting untuk mengelakkan pengambilan sesuatu bahan ubat secara berlebihan.

Ubat generik biasanya lebih murah daripada produk inovator kerana ubat generik tidak mempunyai paten. Tambahan pula, pengeluar ubat generik kurang berbelanja untuk menjalankan penyelidikan dan pembangunan produk serta promosi produk.


Sam Wong
Persatuan Pengguna-Pengguna Standard Malaysia


Sumber: sini

HIV TERUS HANTUI DUNIA.



IBU insan paling istimewa di dunia. Bukan saja kerana beliau perlu melalui kegembiraan dan kesukaran ketika hamil dan menjalani proses bersalin, sebaliknya atas dedikasi hidupnya dalam mendidik dan menjaga anak-anak, demi memastikan jiwa, emosi serta kesihatan tubuh badan berada dalam keadaan sihat sempurna.

Bagaimanapun Wakil Tabung Pendidikan Kanak-kanak Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (Unicef) ke Malaysia, Youssouf Oomar, berkata realiti perlu dihadapi dunia hari ini ialah peningkatan jumlah ibu yang hidup dengan HIV, tetapi pada masa terpaksa membesarkan anak yang masih kecil.

"Kira-kira 15.5 juta wanita kini hidup bersama HIV dengan separuh daripada semua golongan dewasa pula hidup bersama virus. Kebanyakan daripada wanita ini sudah menjadi ibu, dan ada antara mereka sudah membesarkan jutaan kanak-kanak.

"Mengambil epidemik yang semakin meningkat itu, generasi ibu dan anak-anak akan datang, sudah pasti paling merasai keperitan itu," tegas Youssouf yang juga Wakil Khas Unicef ke Brunei.

Di Malaysia, gambaran membimbangkan mengenai virus itu ialah bilangan jangkitan HIV di kalangan lelaki mahupun wanita membabitkan jurang yang besar.

Kementerian Kesihatan dan Unicef dalam laporan 'Wanita dan Kanak-kanak Perempuan: Konfrontasi Antara HIV dan Aids di Malaysia' mendedahkan jangkitan HIV di kalangan wanita meningkat secara mendadak, dengan 1.2 peratus jumlah keseluruhan kes baru pada 1990 ke 10.8 peratus pada 2004.

Pada Disember 2008, data mendapati pembahagian jangkitan baru di kalangan wanita berbanding lelaki turut meningkat kepada 19 peratus.
Youssouf berkata, punca utama kepada krisis berkenaan ialah ketidaksamaan gender yang secara tidak langsung menyebabkan wanita lebih berisiko dijangkiti HIV.

"Sekiranya dibandingkan dengan lelaki, wanita lebih tidak mampu untuk mengawal tubuh badan dan kehidupannya," katanya.

Bagaimanapun kelainan berkenaan sebenarnya memberikan pengaruh lebih besar, dibandingkan dengan sekadar perhubungan seksual. Ini kerana apabila wanita bergantung sepenuhnya terhadap kewangan lelaki, mereka mempunyai risiko lebih terus, iaitu penderaan kuasa.

Keganasan serta layanan juga membataskan kebolehan wanita untuk melindungi diri mereka daripada dijangkiti HIV. Malah wanita mungkin berdepan risiko keganasan sekiranya berkeras meminta perlindungan.

Wanita mungkin hidup dalam 'perhubungan yang ganas' kerana merasakan anaknya memerlukan bapa dan disebabkan perasaan itu, besar kemungkinan wanita sanggup memenuhi keinginan lelaki untuk melakukan hubungan seksual tanpa perlindungan, walau mengetahui bahaya menanti.

Sebaik dijangkiti HIV, wanita berdepan dengan pelbagai kesukaran dan cabaran yang boleh mengganggu kemampuannya untuk terus mendapatkan rawatan diperlukan.

Dalam keadaan tertentu, wanita khususnya, mungkin dipersalahkan pula kerana membawa HIV ke dalam isi rumah dan paling malang sekiranya ia mungkin berakhir dengan lebih serius apabila dijauhi anggota ahli keluarga, termasuk suami sendiri.

KEHILANGAN IBU UMPAMA TRAGEDI BAGI ANAK

BAGAIMANAPUN kanak-kanak sebenarnya yang menanggung beban berat ekoran penderitaan kehidupan ibu yang dijangkiti HIV.

Ibu dijangkiti, tetapi tidak menyedari mengenai status HIV pula menanggung risiko memindahkan virus berkenaan kepada anaknya ketika tempoh kehamilan dan kelahiran.

Tanpa penjagaan sebelum dan selepas kelahiran, satu pertiga daripada kanak-kanak lahir bersama ibu yang hidup dengan HIV boleh dijangkiti virus itu.

Walaupun kanak-kanak berkenaan lahir sebelum ibu mereka dijangkiti, dan disahkan sebagai HIV negatif, status kesihatan wanita terbabit akan semakin menurun. Selalunya keadaan itu menyebabkan berlakunya pertukaran tanggungjawab yang di mana kanak-kanak pula memainkan peranan menjaga ibu yang sakit kerana tahu ibu mereka akan meninggal dunia tidak lama selepas itu.

Youssouf berkata, selain masalah emosi, kehilangan ibu pada usia muda bagi kanak-kanak mendatangkan kehancuran yang tidak dapat dimaafkan oleh si kecil.

"Kehilangan ibu satu tragedi bagi si cilik. Malah kematian ibu menafikan kehidupan semula jadi zaman kecilnya, pengasuh utamanya, selain memberi kesan berbahaya yang teruk kerana tidak mendapat akses pendidikan dan penjagaan kesihatan. Ramai kanak-kanak yang hidup tanpa ibu juga mempunyai masalah emosi," katanya.

Laporan Kawalan Mengenai Kanak-kanak dan Aids UNAids dan Unicef 2008 menganjurkan banyak boleh dilakukan seperti melakukan ujian HIV ke atas ibu hamil dan memberi mereka peluang mendapatkan penjagaan serta rawatan.

Ujian untuk si ibu seharusnya menjadi keutamaan kerana ia memberikan kesan langsung ke atas kesihatan kandungan. Rawatan untuk ibu ketika kehamilan dan kelahiran pula akan membantu mengurangkan jangkitan HIV ke atas bayi.

SIMPAN JANJI KITA KEPADA KANAK-KANAK

SEMENTARA itu, Youssouf berkata, jalan penyelesaian kepada masalah berkenaan ialah pendidikan.

"Didik wanita bagaimana mencegah daripada dijangkiti HIV, melewatkan aktiviti seksual dan mengambil langkah melindungi kesihatan diri sendiri. Lelaki juga perlu diberikan pendidikan supaya mereka menerima pesanan melindungi wanita daripada terus dijangkiti.

"Sebagaimana kita mendakap Konvensyen Hak Kanak-kanak 20 tahun lalu, janganlah kita melupai janji memberi komitmen memastikan kanak-kanak hidup bebas daripada HIV dan kesan buruk jangkitan," katanya.

Strategi untuk menangani HIV, rawatan dan khidmat sokongan untuk wanita dan gadis mesti diteruskan ke dalam pelan dan bajet AIDS kebangsaan, dan menjadi rujukan kepada semua Strategi Pembangunan Kebangsaan. Langkah ini seharus diperluaskan ke peringkat masyarakat, komuniti masyarakat, dan sebagainya.

Hari Ibu pada 10 Mei diikuti rapat dengan Hari Keluarga Antarabangsa pada 15 Mei. Bersama tema tahun ini, 'Ibu dan Keluarga: Cabaran mendepani perubahan dunia' bagaikan satu peringatan dan cabaran kepada kita semua untuk bangun bersama wanita dan kanak-kanak.

"Sekiranya bertindak sekarang, kita mampu melindungi lebih banyak gadis dan wanita daripada terus dijangkiti, mendapat sakit atau menderita akibat AIDS. Justeru kita perlu berganding tangan menjayakan misi dan matlamat, kita mampu mengotakan janji kita kepada kanak-kanak," katanya.


Sumber: sini



Friday, April 29, 2011

INSURAN KESIHATAN DAN HIV


Aku adalah pemegang satu polisi insuran. Dia orang janji bukan main manis semasa  promosi. Tuntutan cepat, boleh claim ward, sebagai simpanan dan sebagainya. Dah lama jugalah aku beli polisi tu...banyak ribu jugalah duit aku 'hadiahkan'.

Aku manalah tahu akan dijangkiti HIV. Kalau aku tahu, sahlah aku tak akan beli polisi kerana memang segala tuntutan pembawa HIV takkan dilayan. Macamlah pembawa HIV ni hina sangat, tak layak dilayan setaraf orang lain. Daripada beri duit percuma kepada kapitalis, (yang bertopengkan Islamic system-kalau Islamic takkan aniaya pelanggan) baik aku saving sendiri.

Ringkas cerita, hujung september 2010 aku dimasukkan ke hospital atas masalah bibir berdarah. Mula-mula suspek denggi, kemudian neutropenia (kekurangan sel darah putih), kemudian multiple myeloma dan akhirnya leukemia.

Bila dah suspek leukemia, hospital pun pakat-pakatlah buat bone marrow aspiration (ambil sample air tulang sum-sum) terhadap aku yang ada diabetes ni. Tak ada pun doktor yang terangkan risiko. Nurse je yang datang minta tandatangan.

3 kali punggungku berlubang (bukan anal, okay. I teruna suci… hehe…) dikerjakan dan dikerumuni 5 orang doktor pelatih yang pucat lesi dan takut-takut. (rasanya termasuk seorang M.O sebab dia ni macam confident sangat!). Masuk darah berkampit-kampit.

Selepas bone marrow aspiration tu, dua kali kena buat test HIV. Mestilah kedua-dua result negative. Aku bukan pengamal seks bebas, menyuntik dadah dan jauh sekali bayi yang dilahirkan oleh ibu yang ada HIV, haha…

Hujung-hujung aku dirujuk ke hospital Ampang untuk rawatan lanjut sebagai suspek luekemia. Ketika itu langsung tak berbangkit cerita aku kemungkinan positive HIV tetapi segala fail rawatan dikatakan hilang. Bone marrow aspiration dikatakan tak perlu. Tahu-tahu doktor buat test HIV lagi sekali di hospital Ampang. Allah Maha Besar, akhirnya aku disahkan HIV positive.

Hairan bin ajaib. Dalam tempoh 3 bulan segala keputusan dah berubah. Takkan semasa di hospital daerah tu aku window period. Kalau aku masuk hospital kerana symptom HIV, mesti dua kali test yang pertama di hospital daerah tu tu aku dah sangkut. Katakanlah berlaku human error, paling tinggi pun sekali sajalah. Banyak sangat human error, masuk hospital jadi seperti masuk bilik gantung! 

Tapi aku bukan share cerita tentang itu sebenarnya. Dah banyak kali aku cerita. Aku pun malas nak fikir sebab cerita tersebut boleh 'bunuh' aku. Itu cuma flashback situasi sebenar sebelum aku buat tuntutan insuran. 

Kemudian aku pun sibuklah isi borang claim insuran (masa tu belum disahkan HIV positive) untuk  ‘penginapan’  aku selama 21 hari di hospital. (sebenarnya lama tinggal di ward tu sebab menunggu je. "encik, kita kena tunggu result ujian darah ya, kita kena tunggu bekalan darah, kita tunggu doctor ya…") tahu-tahu berminggu-minggu aku lepak dalam ward!   

Aku bukan claim atas sebab sakit apa-apa pun, claim masuk ward je. Bukan banyak mana… Lainlah kalau aku claim patah riuk ke, leher tercabut ke... Mana ada orang tak pernah sakit kecuali Fir’aun?

Tahu apa jadi? Maklumlah pihak insuran ni pun ada panel penasihat dan pakar dia orang juga… bila tengok symptom & diagnosis darah aku tu lain macam mesti dia orang inquiry macam-macam dengan pihak hospital. Ingat senang dia orang nak keluar duit? (walaupun sebenarnya itu duit aku!)

Dah dekat setengah tahun aku tunggu, haram nampak bayang insuran nak bayar. Yang aku nampak, hak private & confidential sebagai pesakit mungkin hilang.

Apa taknya? Pihak insuran minta medical report daripada hospital daerah, tetapi pihak insuran kata laporan lambat disiapkan. Bila dah siap, laporan tak lengkap. Hujung-hujung pihak insuran kena refer ke hospital Ampang. Hospital Ampang akan kata apa pula?

Yang uruskan claim insuran kenalan aku. Silap-silap meletup rahsia aku ni bila dia dapat laporan sebenar daripada hospital Ampang.

Katakanlah keluar notice daripada management dia orang nanti, "Pemegang polisi tak layak menuntut kerana tidak menepati syarat." Mesti dia dapat agak punya...  Dahlah duit tak dapat, beban lain pula ditanggung. Tak dapat claim aku tak kisah, rahsia HIV aku ni yang aku risau. Inikah keadilan? Memang betul, hidup di dunia ni tak pernah adil!

Betul, insuran akan cover jika jangkitan HIV disebabkan pemindahan darah atau organ. Tetapi macamana aku nak provekan? Pihak hospital akan buat perakuan berlaku human error? Aku tak percaya. Sedangkan fail rawatan awal-awal dah hilang, belum apa-apa masing-masing dah sibuk mengelak-elak.

Mesti kena naik turun mahkamah bertahun-tahun. Silap-silap masuk media, satu negara tahu masalah aku, tekanan berganda kepada keluarga, macam-macam lagilah…bukan semua orang boleh faham masalah begini terutama di zaman fitnah yang dah jadi budaya. Yang salah jadi betul, yang betul jadi salah.

Ringkasnya beginilah. Nasihat aku ialah, kalau dah ada virus HIV dalam badan, terima sahajalah hakikat. Mengamuk meraung pun tak guna. Sedap ramai-ramai, sakit tanggung sendiri. Lupa-lupakanlah insuran tu…banyak perkara lain lagi nak fikir.   


AHP: Ni hah aku paste kan syarat-syarat polisi aku tu untuk renungan bersama. Tak tahulah kalau ada pengalaman-pengalaman lain yang boleh dikongsikan di sini..

20. AIDS Disebabkan Pemindahan Darah.

Hayat dilindungi dijangkiti virus HIV atau AIDS dengan syarat :-

i.          Jangkitan tersebut dari transfusi darah yang dilakukan di Malaysia
atau Singapura selepas polisi berkuatkuasa;
ii.         Hayat dilindungi tidak menghidapi haemophiliac; dan
iii.        Hayat dilindungi bukan ahli kumpulan berisiko tinggi tetapi tidak
terhad kepada homoseksual, penyalahgunaan dadah secara suntikan
atau pelacur.

Notis pemberitahuan dan bukti kejadian mesti dikemukakan secara bertulis daripada pihak berwajib kesihatan yang mengesahkan bahawa jangkitan terjadi secara perubatan.



HENDAKLAH BERSABAR KETIKA MENGHADAPI UJIAN ALLAH S.W.T.



Oleh Mohd Yaakub bin Mohd Yunus

Setiap manusia pasti akan menghadapi liku-liku putaran hidup bagaikan roller-coaster. Adakalanya kita berada megah di atas dan adakalanya kita berduka di bawah. Kedua-duanya sebenarnya merupakan ujian bagi kita sebagai hamba Allah di muka bumi ini agar dapat dikenal-pasti siapakah di antara kita yang paling berkualiti amalnya menerusi cara kita menghadapi ujian-ujian tersebut.

Firman Allah S.W.T:

Dia lah yang telah mentakdirkan adanya mati dan hidup (kamu) - untuk menguji dan menzahirkan keadaan kamu: siapakah di antara kamu yang lebih baik amalnya; dan Dia Maha Kuasa (membalas amal kamu), lagi Maha Pengampun, (bagi orang-orang yang bertaubat) – al-Mulk (67) : 2

Ujian daripada Allah S.W.T ini meliputi seluruh hamba-Nya yang taat mahupun yang derhaka. Malah ujian bagi hamba-hamba-Nya taat adalah lebih hebat berbanding dengan mereka yang engkar.

Rasulullah s.a.w pernah di tanya:

Ya Rasulullah, siapakah yang paling keras mendapatkan ujian?

Baginda menjawab: Para Nabi dan pengikut-pengikutnya. Seseorang itu akan diuji sesuai dengan kadar agama, jika kadar beragamanya kuat maka ujiannya semakin keras. Jika kadar beragamanya lemah maka dia diuji sesuai dengan kadar agamanya. Seorang hamba akan sentiasa diuji sampai dia akan dibiarkan berjalan di muka bumi tanpa membawa dosa kesalahan. – Hadis riwayat Imam al-Tirmidzi (no: 2322)

Justeru itu segala ujian daripada Allah S.W.T ini haruslah kita tempuhi dengan penuh kesabaran agar ianya dapat mendekatkan kita kepada-Nya dan menerima segala limpah rahmat-Nya.

Firman Allah S.W.T.:

Demi sesungguhnya! Kami akan menguji kamu dengan sedikit perasaan takut (kepada musuh) dan (dengan merasai) kelaparan, dan (dengan berlakunya) kekurangan dari harta benda dan jiwa serta hasil tanaman. Dan berilah khabar gembira kepada orang-orang yang sabar: (Iaitu) orang-orang yang apabila mereka ditimpa oleh sesuatu kesusahan, mereka berkata: (Innalillahi wa inna ilahirajiun) "Sesungguhnya kami adalah kepunyaan Allah dan kepada Allah jualah kami kembali." Mereka itu ialah orang-orang yang dilimpahi dengan berbagai-bagai kebaikan daripada Tuhan mereka serta rahmat-Nya; dan mereka itulah orang-orang yang dapat petunjuk hidayah-Nya. – al-Baqarah (2) : 157

Rata-rata umat Islam di Malaysia hanya akan menyebut Innalillahi wa inna ilahirajiun apabila menerima berita kematian. Tapi menerusi ayat ini dapatlah kita fahami bahawa sekiranya kita ditimpa apa jua bentuk musibah atau mendengar orang lain didatangi bencana maka hendaklah kita mengucapkan kalimah tersebut.

APAKAH ITU SABAR?

Sabar adalah teguh dan tetap berada di atas landasan yang dikehendaki oleh agama apabila berhadapan atau menentang sesuatu pengaruh yang ditimbulkan oleh hawa nafsu baik ketika ingin mengerjakan perbuatan untuk mencari ketaatan Allah, melakukan perkara-perkara maksiat dan ketika ditimpa musibah. Manusia sentiasa berada di dalam situasi di mana pengaruh agama sentiasa berperang dengan hawa nafsu.

Demi untuk menjamin hawa nafsu dapat ditewaskan maka sifat sabar itu perlu ada bagi setiap orang yang beriman. Hendaklah kita fahami bahawa ujian Allah boleh berada dalam bentuk nikmat kebaikan dan juga musibah yang berbentuk kesusahan.

Firman-Nya:

Kami menguji kamu dengan kesusahan dan kesenangan sebagai cubaan; dan kepada Kamilah kamu semua akan dikembalikan. - al-Anbiya’ (21) : 35

DARI AYAT DI ATAS DAPAT KITA NYATAKAN BAHAWA UJIAN YANG PERLU DI HADAPI OLEH MANUSIA INI TERDIRI DARI DUA BENTUK.

PERTAMA: Perkara yang sesuai dengan hawa nafsu manusia seperti kekayaan, berjawatan tinggi, terkenal dan mengecapi semua nikmat dunia yang lain. Manusia ketika ingin mencapai nikmat dunia, mereka perlu untuk berusaha dengan bersungguh-sungguh serta bersabar. Apabila nikmat tersebut telah dikecapi maka ujian yang datang darinya juga begitu hebat maka kesabaran memainkan peranan yang penting demi menjamin bahawa nikmat dunia yang diperolehi itu dipergunakan sesuai dengan kehendak Allah dan Rasul-Nya.

Sebagai contoh, kekayaan yang kita perolehi adakalanya menyebabkan manusia lupa daratan, menjadi angkuh dan menjauhkannya dari perintah Allah S.W.T.. Oleh itu hendaklah hawa nafsu itu diperangi menerusi sifat sabar agar kekayaan bukan sahaja akan menjadikannya insan yang beriman malah dibelanjakan hartanya itu sesuai dengan kehendak Allah dan Rasul-Nya.

Allah S.W.T. mengingatkan kita melalui firman-Nya:

Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu dilalaikan oleh (urusan) harta benda kamu dan anak-pinak kamu daripada mengingati Allah (dengan menjalankan perintah-Nya). Dan (ingatlah), sesiapa yang melakukan demikian, maka mereka itulah orang-orang yang rugi. – al-Munaafiquun (63) : 11

KEDUA: Ujian dalam ketegori ini meliputi perkara-perkara yang tidak secocok dengan kehendak hawa nafsu manusia. Ianya boleh terjadi disebabkan perbuatan atau usaha manusia itu sendiri ataupun ianya datang di luar kawalan manusia seperti bencana yang tidak dapat dielakkan.

UJIAN YANG TIDAK SELARI DENGAN HAWA NAFSU KITA TETAPI TERJADI DISEBABKAN PERBUATAN MANUSIA SENDIRI TERBAHAGI KEPADA DUA BENTUK.

1.         KETAATAN : Manusia memerlukan kesabaran tatkala hendak melaksanakan amalan-amalan yang berbentuk ketaatan. Ini adalah kerana ujian yang dihadapi oleh seseorang apabila hendak melaksanakan ibadah sekiranya tidak dihadapi dengan penuh kesabaran akan menyebabkan gagalnya perlaksanaan amalan tersebut.

Sebagai contoh yang mudah apabila kita hendak melaksanakan solat tahajud atau subuh yang mana kita perlu menghadapi ujian malas untuk bangun awal dari tempat tidur kita. Sekiranya kita tidak sabar untuk menghadapi ujian tersebut maka akhirnya kita akan memilih tilam serta bantal yang empuk dari beribadah di atas sejadah.

Firman Allah S.W.T.:

"Tuhan yang mencipta dan mentadbirkan langit dan bumi serta segala yang ada di antara keduanya; oleh itu, sembahlah engkau akan Dia dan bersabarlah dengan tekun tetap dalam beribadat kepada-Nya; adakah engkau mengetahui sesiapapun yang senama dan sebanding dengan-Nya?" – Maryam (19) : 65

Segala amalan yang boleh membawa kita ke syurga dilingkari oleh perkara-perkara yang tidak disenangi oleh hawa nafsu yang perlu kita hadapi agar perlaksanaannya menjadi realiti.

Rasulullah s.a.w. bersabda:

Syurga itu dikelilingi dengan hal-hal yang tidak disukai (oleh hawa nafsu), sedangkan neraka dikelilingi oleh syahwat. Hadis riwayat Imam Muslim (no: 2823)

2.         KEMAKSIATAN: Manusia juga memerlukan kesabaran yang tegar untuk menghindarkan diri dari melakukan perbuatan-perbuatan maksiat baik dari segi perbuatan, perkataan dan keinginan hatinya. Maksiat itu walaupun mempunyai daya tarikan yang kuat namun ianya sebenarnya tidak sesuai dengan kehendak hawa nafsu manusia kerana pada hakikatnya ia akan membawa keburukan kepada manusia.

Kita ambil contoh melakukan seks bebas. Perbuatan tersebut sememangnya dapat memuaskan nafsu syahwat manusia, namun ia sebenarnya memusnahkan sistem kekeluargaan manusia, menyebarkan penyakit berjangkit serta membawa gejala sosial yang menghancurkan generasi masa hadapan. Lantaran itu Allah S.W.T. melarang perbuatan maksiat. Firman-Nya:

Sesungguhnya Allah menyuruh berlaku adil, dan berbuat kebaikan, serta memberi bantuan kepada kaum kerabat; dan melarang daripada melakukan perbuatan-perbuatan yang keji dan mungkar serta kezaliman. Dia mengajar kamu (dengan suruhan dan larangan-Nya ini), supaya kamu mengambil peringatan mematuhi-Nya. - al-Nahl (16) : 90

UJIAN YANG DATANG TANPA DAPAT DIKAWAL OLEH MANUSIA DALAM BENTUK BENCANA MAHUPUN MUSIBAH YANG DIHADAPI JUGA TERDAPAT DUA BENTUK.

1.         Musibah yang melanda namun manusia mampu menghindarinya seperti penganiayaan sesama manusia, dipulaukan oleh masyarakat, dihina oleh orang ramai melalui perbuatan dan ucapan. Sebagai contohnya ujian yang dihadapi oleh para pendakwah yang dicemuh oleh masyarakat sekelilingnya yang jahil dan musuh-musuh Allah. Dia sebenarnya boleh meneruskan dakwahnya dengan cara yang penuh hikmah dan bersabar atas ujian tersebut tanpa melakukan apa-apa balasan yang akan memburukkan lagi keadaan.

Firman Allah S.W.T.:

Dan bersabarlah terhadap apa yang dikatakan oleh mereka (yang menentangmu), dan jauhkanlah dirimu dari mereka dengan cara yang baik. – al-Muzzammil (73) : 10

Walaupun begitu Allah S.W.T membenarkan kita untuk membalas kejahatan yang dilakukan oleh pihak lain tanpa melakukannya secara berlebih-lebihan namun bersabar itu adalah jalan yang lebih baik.

Dan jika kamu membalas kejahatan (pihak lawan), maka hendaklah kamu membalas dengan kejahatan yang sama seperti yang telah ditimpakan kepada kamu, dan jika kamu bersabar, (maka) sesungguhnya yang demikian itu adalah lebih baik bagi orang-orang yang sabar. – al-Nahl (16) : 126

2.         Musibah yang melanda manusia dan dia tidak mampu untuk menghalangnya sama sekali. Contohnya seperti kematian, kemarau berpanjangan, kecacatan, wabak penyakit, banjir besar dan bencana-bencana alam yang lain. Apabila terjadinya musibah sedemikian rupa maka hendaklah kita menghadapinya dengan keredhaan dan penuh kesabaran.

Firman Allah S.W.T.:

Demi sesungguhnya! Kami akan menguji kamu dengan sedikit perasaan takut (kepada musuh) dan (dengan merasai) kelaparan, dan (dengan berlakunya) kekurangan dari harta benda dan jiwa serta hasil tanaman. Dan berilah khabar gembira kepada orang-orang yang sabar. – al-Baqarah (2) : 155

Haruslah kita ingati bahawa musibah yang menimpa manusia itu ada hikmah yang tersembunyi. Sebagai contohnya bagi mereka yang berada dalam daerah yang dilanda wabak taun dan menghadapinya redha dan penuh kesabaran maka Allah S.W.T. akan memberinya ganjaran seperti seorang yang mati syahid.

‘Aisyah r.a bertanya kepada Rasulullah s.a.w. tentang hal wabak taun, maka diberitahu oleh Rasulullah s.a.w. bahawa wabak taun ialah satu bentuk siksa Allah yang dikirimkan kepada sesiapa sahaja yang dikehendaki-Nya, tetapi Allah menjadikannya sebagai rahmat bagi para hamba-Nya yang beriman. Maka seorang mukmin yang berada di daerah yang dijangkiti wabak itu jika sabar dan ikhlas kerana dia mengerti tidak akan terkena wabak itu kecuali kalau memang sudah ditakdirkan Allah baginya, maka Allah akan mencatat baginya sebagai ganjaran seperti pahala seorang yang mati syahid. – Hadis riwayat Imam al-Bukhari (no: 3474)

Justeru itu dapatlah kita fahami bahawa semua umat manusia terdedah kepada pelbagai bentuk ujian daripada Allah S.W.T dan kenyataan ini memerlukan setiap orang menyemai sifat kesabaran yang hakiki dalam setiap gerak-geri hidupnya. Menyedari akan pentingnya sifat kesabaran ini maka Allah S.W.T. memberikan keutamaan yang besar bagi mereka yang sabar.

DI ANTARA KEUTAMAN-KEUTAMAAN TERSEBUT ADALAH SEPERTI BERIKUT:

1.         Sifat sabar menunjukkan seseorang itu memiliki keimanan yang tinggi kepada Allah S.W.T.

Sabda Rasulullah s.a.w.:

Sangat mengagumkan keadaan seorang mukmin sebab segala keadaan untuknya (dianggap) baik dan tidak mungkin terjadi demikian kecuali bagi seorang mukmin. Jika mendapat nikmat dia bersyukur maka syukur itu lebih baik baginya. Dan bila menderita kesusahan dia sabar maka kesabaran itu lebih baik baginya. - Hadis riwayat Imam Muslim (no: 2999)

2.         Mereka yang sabar akan menerima ganjaran pahala yang tidak terbatas dan memudahkannya untuk menjadi ahli syurga.

Firman Allah S.W.T:

Sesungguhnya orang-orang yang bersabarlah sahaja yang akan disempurnakan pahala mereka dengan tidak terkira. – al-Zumar (39) : 10

Rasulullah s.a.w. bersabda:

Allah 'Azza wa Jalla telah berfirman: “Apabila saya menguji seorang hamba-Ku dengan buta kedua matanya, kemudian dia sabar, maka Aku akan menggantikannya dengan Syurga. – Hadis riwayat Imam al-Bukhari (no: 5653)

3.         Mereka yang sabar sentiasa dekat dengan Allah S.W.T. dan mudah untuk menerima bantuan-Nya bagi menghadapi kehidupan yang mendatang.

Firman-Nya

Sesungguhnya Allah menyertai(membantu) orang-orang yang sabar. – al-Baqarah (2) : 153

4.         Kesabaran termasuk dalam kategori amalan yang sangat baik dan dituntut untuk dikerjakan. Firman Allah S.W.T.:

Dalam pada itu (ingatlah), orang yang bersabar dan memaafkan (kesalahan orang terhadapnya), sesungguhnya yang demikian itu adalah dari perkara-perkara yang dikehendaki diambil berat (melakukannya). – al-Syuura (42) : 43

5.         Kesabaran menunjukkan seseorang untuk memiliki kekuatan yang hakiki. Sabda Rasulullah s.a.w.

"Bukan ukuran kekuatan seseorang itu dengan bergusti tetapi orang yang kuat itu adalah orang yang mampu mengawal hawa nafsu ketika marah." - Hadis riwayat Imam al-Bukhari (no: 6114)

Demikianlah beberapa keutamaan sifat sabar yang sempat penulis perturunkan. Adalah harapan penulis melalui keutamaan-keutamaan yang dipaparkan ini ianya akan menjadi pencetus yang membakar semangat bagi para pembaca untuk menjadi insan yang penyabar terutamanya ketika menghadapi pelbagai ujian daripada Allah S.W.T.

Apatah lagi hidup pada zaman yang serba moden ini kita semakin terdedah dengan ujian-ujian yang semakin getir yang memerlukan kita untuk memaksimumkan penyemaian sifat kesabaran dalam jiwa kita.


Sumber: sini

Thursday, April 28, 2011

HIV AKIBAT PEMINDAHAN DARAH- (SUDAH TAKDIR?)


 
KUALA LUMPUR: “Bukan salah hospital, waktu itu dia amat kritikal dan memerlukan darah. Pihak hospital sudah melakukan ujian terhadap darah berkenaan sebelum diberi kepadanya.

“Hasil ujian, darah itu menunjukkan negatif virus HIV. Apa yang berlaku adalah takdir dan bukan kecuaian kerana daripada kajian dilakukan mendapati 2.5 peratus daripada jumlah penduduk akan menghidapi penyakit HIV akibat pemindahan darah,” kata Pakar Perunding Kanan Pediatrik dan Penyakit Berjangkit Hospital Kuala Lumpur (HKL) Dr Kamarul Razali ketika mengulas mengenai kejadian seorang remaja lelaki dijangkiti HIV selepas menerima pemindahan darah ketika menghidap demam kuning kronik, 11 tahun lalu.

Remaja berkenaan yang kini berusia 14 tahun dan dirawat di HKL sejak dua tahun lalu menerima pampasan berjumlah RM100,000 daripada kerajaan berikutan kecuaian itu.

Sebelum ini, remaja itu mendapat rawatan susulan di sebuah hospital kerajaan di selatan Semenanjung.

Menurutnya, masyarakat seolah-olah menyalahkan pihak hospital yang dianggap cuai dalam proses pemindahan darah sedangkan ia berlaku di luar jangkaan dan seharusnya ia menjadi tanggungjawab penderma.

“Penderma harus bertanggungjawab sekiranya penderma adalah penagih dadah atau menghidap HIV, mereka tidak seharusnya menderma kerana tindakan mereka itu boleh menyebabkan risiko,” katanya.

Bagaimanapun, Dr Kamarul berkata, dengan perkembangan perubatan, pesakit dapat dirawat dengan lebih baik selain pesakit turut menerima kaunseling bagi memulihkan keyakinan mereka berhadapan dengan masyarakat.

Harian Metro Selasa lalu melaporkan penderitaan seorang remaja yang menghidap penyakit HIV selepas tiga bulan menjalani rawatan pemindahan darah di sebuah hospital kerajaan.

Sumber: sini 

 

Minda AHP: Walau pun keberangkalian untuk dijangkiti cuma 2.5 peratus tetapi bersedialah menjadi sebahagian daripada statictic tersebut apabila kita menjalani prosedur pemindahan organ atau darah. Seelok-eloknya utamakanlah darah ahli keluarga sendiri ketika memerlukan.

Jauhilah kehidupan yang menjadikan kita golongan yang berisiko tinggi dan menderma virus kepada insan lain yang tidak bersalah. Derita mereka, Tuhan sahaja yang tahu.

Bila begini, semua pihak akan cuba berlepas tangan dan jika dibawa ke mahkamah akan mengudang sensasi media, polemic dan tekanan yang tidak berkesudahan sehingga menghilangkan focus terhadap proses rawatan.



INFO PENTING KEPADA PEMBAWA HIV YANG MEMPUNYAI MASALAH DIABETES


Aku adalah salah pembawa HIV yang juga merupakan seorang pesakit diabetes. Sebagai renungan bersama, eloklah baca info ini:


10 SALAH TANGGAPAN MENGENAI DIABETES

1. Diabetes bukan penyakit Mematikan – Salah!

Kenyataannya, diabetes adalah pembunuh global, yang menyebabkan kematian jauh lebih banyak daripada kematian akibat HIV/AIDS. Penyakit ini membunuh 3.8 juta orang setahun. Setiap 10 saat seseorang mati akibat diabetes atau yang berkaitan dengan diabetes.

2. Diabetes hanya wujud di negara-negara kaya sahaja – Salah!

Diabetes menyerang semua populasi, tanpa mengira pendapatan populasi tersebut. Jumlah ini terus bertambah. Lebih dari 240 juta orang di dunia kini mengidap diabetes. Angka ini akan terus bertambah hingga lebih dari 380 juta pada tahun 2025. Di beberapa negara di Asia, Timur Tengah, Oceania dan Caribien, 12-20% populasi terkena diabetes. Pada 2025, 80% pengidap diabetes akan melimpah di negara berpendapatan rendah dan menengah.

3. Diabetes didanai besar-besaran secara global – Salah!

Official Overseas Development Aid (bantuan rasmi luar negeri) untuk sektor kesihatan pada 2002 mencapai USD 2.9 juta, dan hanya 0.1% saja untuk mendanai SELURUH penyakit tidak menular kronik (non-communicable chronic disease). Sebagian besar dari dana USD 2.9 juta ini untuk mendanai HIV/AIDS. Meskipun diabetes jauh lebih mematikan secara global.

Jika dibandingkan dengan HIV/AIDS, dana untuk diabetes hanya diperuntukan sebahagian kecil sahaja dari  0.1% dari dana yang tersedia.
Sebagai tambahan, Bank Dunia memberikan USD 4.2 juta pinjaman untuk dana kesihatan, populasi dan nutrisi antara tahun 1997 dan 2002. Hanya 2.5% dari dana tersebut diberikan untuk penyakit kronik.

4. Diabetes dapat ditangani dengan biaya rendah – Salah!

Rawatan diabetes kosnya tinggi dan berpotensi untuk melumpuhkan sistem pemeliharaan kesihatan manapun. Pembangunan ekonomi yang ingin dicipta oleh PBB untuk negara-negara membangun tentunya menjadi terbantut akibat masalah diabetes ini.

5. Diabetes hanya dihidapi pada  usia lanjut saja – Salah!

Kenyataannya, diabetes diderita oleh hampir semua kelompok umur. Ketika ini, kira-kira 246 juta orang antara usia 20 hingga 79 mengidap diabetes. Di negara-negara membangun, pengidap diabetes tidak kurang daripada 80 juta orang di antara usia 40-59 tahun.

6. Diabetes didominasi di kalangan lelaki– Salah!

Faktanya, diabetes dialami baik oleh lelaki maupun wanita. Malah sedikit lebih banyak dialami oleh kaum wanita. Ini juga meningkat secara dramatis di kalangan usia muda dan populasi tertentu akibat faktor risiko keturunan.

7. Diabetes adalah akibat “gaya hidup” yang tidak sihat– Salah!

Fakir miskin dan anak-anak hanya memiliki pilihan terbatas untuk hidup dalam hal cara hidup mahupun pendidikan. Singkatnya mereka terpaksa (atau dipaksa) ber “gaya hidup” tidak sihat akibat kondisi ekonomi dan kurangnya pendidikan.

8. Diabetes tidak dapat dicegah – Salah!

Pernyatan di atas sementara adalah benar untuk kategori diabetes type 1, lebih daripada 80% pengidap diabetes type 2 dapat dicegah dengan diet sihat, meningkatkan aktiviti kecergasan dan mendorong gaya hidup sihat.

9. Diabetes dicegah dengan biaya yang mahal – Salah!

Banyak cara yang murah dan berbiaya rendah untuk mencegah diabetes. Perbaikan lingkungan hidup, perubahan diet dan peningkatan aktiviti kecergasan fizikal dapat mencegah diabetes.

10. Kita semua akan mati, oleh sesuatu sebab – Benar tapi. . .
Kematian memang adalah hal yang tak dapat dielakkan, namun kita wajib berusaha agar kematian tidak harus dialami secara perlahan-lahan, menyakitkan atau secara luar biasa. Diabetes menyebabkan 3.8 juta kematian secara global. Dengan kesedaran, pencegahan dan ditangani dengan tepat, hal ini dapat kita cegah.


Sumber: sini