Friday, March 18, 2011

ADAKAH HIV BOLEH DIJANGKITI MELALUI AIR LIUR?


Tidak seperti kepercayaan umum, HIV sebenarnya tidak boleh dijangkiti melalui air liur. Justeru itu, adalah tidak apa berkongsi straw, sudu atau gelas minuman dengan penghidap HIV. Selain itu, virus HIV juga tidak boleh hidup lama di luar badan manusia.

Tambahan pula, khabar-khabar angin yang menceritakan kononnya ada manusia jahat yang meletakkan jarum suntikan yang dicemari HIV di kerusi, gagang telefon, pemegang pintu dan sebagainya itu adalah khabar palsu (hoax) yang disebarkan untuk mencetuskan panik.

Telah diterima umum dengan jelas, bahawa HIV tidak boleh disebarkan melalui sentuhan harian biasa. Malah ahli keluarga yang banyak berkongsi peralatan peribadi dengan penghidap HIV, contohnya pinggan mangkuk, pisau pencukur, mahupun berus gigi, tidak dijangkiti.

Jangkitan HIV diperolehi melalui hubungan seksual, pendedahan terhadap produk darah yang tidak disaring, penggunaan dadah, serta dalam kalangan pekerja kesihatan melalui peralatan tajam yang tercemar.

Anak kecil pula dijangkiti HIV melalui uterus/rahim ibu, ketika proses kelahiran. Manakala jangkitan melalui jalan-jalan selain di atas adalah sangat jarang.

Di dalam air liur penghidap hiv, virus hiv sukar untuk diasingkan dan berada dalam kuantiti yang teramat rendah.

Mungkin atas sebab itulah, pekerja pergigian (doktor gigi dsb) mempunyai risiko yang sangat rendah untuk dijangkiti HIV ketika menjalankan tugas.

Di Amerika Syarikat, tidak banyak laporan kes yang didokumentasi membabitkan penyebaran HIV daripada pesakit kepada pekerja pergigian, cuma 7 kes sahaja melalui kecederaan pada ruang mulut.

Dalam sebuah kajian, 1309 pekerja pergigian yang tidak mempunyai faktor jangkitan HIV yang lain, tetapi pernah merawat ramai pesakit yang menghidap AIDS atau berkemungkinan mempunyai jangkitan HIV, hanya seorang doktor gigi yang diuji HIV positif.

Dalam sebuah kajian jangkamasa panjang melibatkan pekerja kesihatan yang banyak bergaul dengan pesakit HIV, tidak ada seorangpun daripada 63 individu yang terdedah dengan air liur pesakit HIV positif setiap hari,  ada tanda-tanda dijangkiti HIV.

Malahan individu yang digigit oleh pesakit HIV juga didapati mempunyai risiko yang rendah – hanya empat kes yang didapati, yang mana tidak disahkan secara epidemiologi melalui RNA Subtyping.

Daripada lapan kanak-kanak bebas HIV yang digigit rakan sepermainan yang HIV positif, serta daripada 38 pekerja kesihatan yang digigit pesakit AIDS, tidak ada seorang pun yang dijangkiti meskipun diperiksa berulang kali dalam tempoh yang panjang.

Tambahan pula, dua jururawat yang melakukan pernafasan mulut-ke-mulut terhadap seorang pesakit AIDS, tidak dijangkiti HIV setelah diperiksa dalam tempoh yang panjang.

kesimpulannya, walaupun terdapat spekulasi mengenai jangkitan HIV melalui air liur yang mungkin berlaku, bukti-bukti yang ada tidak menyokong dakwaan ini.

Untuk maklumat lanjut mengenai HIV dan penyebarannya, anda boleh melayari laman web berbahasa Inggeris milik Pusat Kawalan Penyakit (CDC) Amerika Syarikat, di sini:



Sumber: sini